SEORANG warga emas dijatuhi hukuman denda sebanyak RM30,000 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu selepas didapati bersalah mengabaikan empat ekor anjing peliharaan sehingga menyebabkan seekor daripadanya mati dua tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Mazdi Abdul Hamid ke atas tertuduh, Ho Yuh Ma, 63, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu di Mahkamah Sesyen, di Georgetown hari ini.

Mengikut pertuduhan, Yuh Ma selaku orang kena saman (OKS) didapati secara tidak munasabah meninggalkan empat ekor anjing tanpa jagaan, makanan dan minuman hingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya sehingga salah seekornya mati di tempat kejadian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sam Ah Chow, Tanjong Bunga di Georgetown, 17 Julai 2020.

Tertuduh yang bekerja sendiri dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Sesyen 29(1)(e)Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Roziman Awang Tahrin dan Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Baldev Singh Bhar.

Ketika prosising kes, Roziman memohon mahkamah mengambil kira sensitiviti kes tersebut yang telah menyebabkan kematian seekor anjing selain menetapkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap OKS supaya perkara sama tidak berulang.

“Hukuman itu juga dapat memberi mesej kepada masyarakat supaya tidak mengabaikan kebajikan haiwan,” katanya.

Difahamkan tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here