Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Superman Hew’ ditahan atas ucapan ceramah berbaur perkauman

    ‘Superman Hew’ ditahan atas ucapan ceramah berbaur perkauman

    BEKAS orang kuat DAP, Hew Kuan Yau ditahan polis susulan video tular ucapannya dalam sebuah ceramah Pakatan Harapan (PH) di Raub, Pahang pada Khamis lalu bahawa masyarakat Cina perlu mengambil kesempatan daripada perpecahan orang Melayu.

    Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan Hew, yang lebih dikenali sebagai “Superman Hew” ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang dibantu JSJ Bukit Aman di Puchong Jaya, Selangor hari ini.

    Katanya, Hew disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam.

    “Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Selepas video minggu lalu itu tular, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kenyataan Hew itu bukan pendirian PH. Hew meninggalkan DAP pada 2016.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, Hew turut disiasat di bawah seksyen sama atas ucapannya dalam sebuah ceramah di Taman Pandan Mawar, Melaka pada Jumaat lalu.

    Katanya, Hew ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan perintah reman akan dipohon terhadapnya.

    “Permohonan reman Seksyen 117 KPJ akan dipohon dan penama aakn ditahan di IPD Dang Wangi bagi pihak polis mendapatkan keterangan-keteranga lanjut,” tambahnya.

  • SD: ‘Nama besar’ UMNO, komponen BN antara 10 MP sokong Muhyiddin

    SD: ‘Nama besar’ UMNO, komponen BN antara 10 MP sokong Muhyiddin

    BEBERAPA pemimpin komponen UMNO dan Barisan Nasional (BN) antara 10 Ahli Parlimen gabungan itu yang menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, menurut sumber.

    Sepuluh Ahli Parlimen berkenaan, yang kini telah menarik sokongan daripada pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu antara lain dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.

    “Ada seorang pemimpin UMNO yang sangat lantang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

    “Beliau mengetuai sembilan Ahli Parlimen lain menandatangani SD menyokong Muhyiddin itu. Antara mereka turut termasuk beberapa ‘nama besar’,” kata sumber itu kepada FMT.

    Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan lebih lanjut. Difahamkan, nama 10 Ahli Parlimen itu tersebar di media sosial hari ini.

    BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

    Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Presiden MIC SA Vigneswaran berkata 10 Ahli Parlimen BN telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

    Susulan itu, katanya, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat kepada Istana Negara menyatakan bahawa kesemua 30 Ahli Parlimen BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

    Portal itu turut melaporkan hanya 28 daripada 30 Ahli Parlimen BN telah menandatangani aku janji sebelum pilihan raya umum untuk memberi mandat kepada Zahid mengadakan perbincangan bersama mana-mana parti berhubung pembentukan kerajaan.

    BN kini dalam perbincangan dengan PH dan PN mengenai pembentukan kerajaan campuran.

  • Budak perempuan 11 tahun maut didera bapa tiri

    Budak perempuan 11 tahun maut didera bapa tiri

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dipercayai didera bapa tirinya di rumah mereka di Taman Sri Ramal, di Kajang, kelmarin.

    Kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 12.39 tengah malam tadi daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Serdang.

    Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihak Jabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah hospital berkenaan sebelum itu telah menerima pesakit seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa menggunakan ambulans dari rumahnya.

    “Kanak-kanak itu dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 11.33 malam. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

    “Hasil pemeriksaan bedah siasat pula mendapati punca kematian mangsa adalah dipercayai daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan sehingga usus pecah.

    “Selain itu terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, dada dan lengan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki yang juga bapa tiri mangsa berusia 53 tahun di pekarangan hospital itu pada pukul 2.25 petang, Rabu.

    “Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini dengan menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah semasa ketiadaan ibu mangsa,” katanya.

    Mohd. Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes ini boleh menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Bukan kali pertama Zahid tipu istana, Tun Faisal buat laporan polis

    Bukan kali pertama Zahid tipu istana, Tun Faisal buat laporan polis

    SATU laporan polis dibuat susulan kandungan surat yang tular menyaksikan Pengerusi Barisan Nasional (BN)Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mewakili 30 ahli Parlimen, mengatakan kesemua mereka menyokong pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia ke-10. 

    Laporan polis itu dibuat oleh bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, petang tadi. 

    Katanya, ini bukan kali pertama Zahid cuba menipu dan memperdaya Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    Katanya, ia pernah dilakukan selepas mesyuarat MKT UMNO di Janda Baik, Pahang berkaitan penarikan balik sokongan terhadap perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

    Pada Oktober 2020, Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara menulis surat secara bersama kepada Agong bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar.

    Atas sebab itu, kata Faisal, pemimpin tersebut tidak boleh terlepas dan dibiarkan mengulangi kesalahannya. 

    “Mungkin dulu dia terlepas. Sekarang kita buat laporan polis supaya ada siasatan.

    “Kita harap daripada laporan ini, pihak berkuasa boleh ambil tindakan (ke atas Zahid),” katanya kepada petugas media selepas selesai membuat laporan kira-kira dua jam berada di dalam balai polis berkenaan, lapor MalaysiaNow.

    Sebelum ini, kandungan surat itu tular dalam media sosial yang kemudiannya diakui sendiri oleh Zahid bahawa beliau menghantar surat mendakwa kesemua ahli Parlimen BN menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri. 

    Awal hari ini, Sultan Abdullah seharusnya bertemu dengan 30 ahli Parlimen BN secara individu selepas memberi isyarat wujud percanggahan mengenai siapakah yang mereka sokong sebagai perdana menteri. 

    Bagaimanapun, hanya Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang hadir mewakili gabungan itu.

    Selain itu, wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut mengadap Yang di-Pertuan Agong.

    Menjelang petang, tumpuan mula beralih kepada hotel ternama di Kuala Lumpur yang dipercayai menjadi lokasi perbicangan rasmi kali pertama antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan BN. 

    Antara pemimpin UMNO yang dikatakan hadir termasuk perdana menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Mohamad.

    Zahid pula dilaporkan tidak berada dalam pertemuan tersebut.

  • Individu rakam perbualan suara seperti Najib perlu dipanggil kenal pasti audio – Peguam

    Individu rakam perbualan suara seperti Najib perlu dipanggil kenal pasti audio – Peguam

    PENDAKWAAN akan memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengenal pasti rakaman audio dikatakan perbualan antara Datuk Seri Najib Razak dengan kerabat diraja Arab.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan perkara itu dalam permohonan pendakwaan supaya rakaman audio itu diterima masuk sebagai bukti dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib.

    Terdahulu peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan bahawa individu yang merekodkan rakaman itu mesti dipanggil (untuk mengenal pasti rakaman audio terbabit).

    Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, beliau tidak fikir individu itu akan berbuat demikian kerana sudah tentu dia akan mengaku melakukan sesuatu yang tidak betul.

    Beliau berkata, rakaman audio itu melanggar hak asasi Najib mengikut Perlembagaan Persekutuan kerana tidak mematuhi peruntukan Seksyen 43 Akta SPRM.

    Pada peringkat itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah bahawa pendakwaan tidak menyatakan bagaimana rakaman terbabit diperoleh agensi berkenaan.

    Muhammad Shafee menjawab, beliau akan terkejut jika pihak pendakwaan bersedia untuk menyatakan sumber bagaimana ia diperoleh dengan jelas.

    “Saya akan terkejut (kerana ia akan mendedahkan) keadaan di negara ini… berhubung Cawangan Khas… dari segi kaedah mengintip perbualan telefon individu.

    “Itulah sebabnya pendakwaan menyatakan ia boleh diterima masuk walaupun diperoleh (secara tidak sah), yang menghalang permintaan Yang Arif (supaya tidak melihat) bagaimana rakaman berkenaan ditemui, dan dalam kes ini bagaimana intipan itu dilakukan.

    “Untuk membolehkan ia diterima masuk, rantaian audio dan asal usul serta sejarah rakaman hendaklah dipertimbangkan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Rakaman audio yang dipertikaikan itu dimainkan di mahkamah ketika bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, memberi keterangan dan mengenal pasti suara berkenaan kedengaran seperti Najib.

    Dalam rakaman itu, suara seperti Najib memanggil seorang individu sebagai ‘Yang Teramat Mulia’ dan bercakap mengenai keperluan menyelesaikan kebuntuan berhubung isu 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang didakwa memalukan Malaysia serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Menurut pendakwaan, rakaman itu harus diterima masuk mengikut Seksyen 41(A) Akta SPRM, iaitu ‘peruntukan khas’ yang mengatasi Seksyen 65 Akta Keterangan berkaitan bukti berdokumen.

    Sementara itu bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang pada awalnya dijangka memberi keterangan terhadap Najib, esok, bagaimanapun tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.

    Ahmad Akram memaklumkan kepada mahkamah, beliau menerima pesanan WhatsApp daripada pegawai penyiasat bahawa Zeti Akhtar cuti sakit selama dua hari.

    Beliau berkata, pegawai penyiasat menerima pesanan ringkas itu daripada peguam Zeti Akhtar.

    Terdahulu pada awal prosiding, hari ini, Ahmad Akram memaklumkan bahawa Zeti Akhtar bersedia menjadi saksi dan berkemungkinan akan dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, esok.

  • Pertemuan tertutup pemimpin PN, BN tamat

    Pertemuan tertutup pemimpin PN, BN tamat

    PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) difahamkan baharu sahaja selesai mengadakan pertemuan tertutup di Hotel St Regis, Kuala Lumpur.

    Pertemuan dua jam yang bermula pukul 3 petang itu dipercayai hasil persetujuan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada malam tadi.

    Menurut laporan Astro Awani antara wakil BN yang hadir adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

    Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

    Wakil parti Perikatan Nasional (PN) termasuk Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dominic Lau.

    Turut hadir ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Radzi Jidin dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Sebelum ini, BN mengadakan perjumpaan dengan Pakatan Harapan (PH) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Seri Pacific, di ibu negara kelmarin.

    Anwar turut dilaporkan berkata, tujuh wakil BN terlibat dalam perbincangan bersama PH. Antara yang hadir ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Ismail Sabri.

  • PN tumpu keharmonian, kestabilan di Pahang

    PN tumpu keharmonian, kestabilan di Pahang

    TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menjelaskan perbincangan pembentukan kerajaan Pahang dengan Barisan Nasional (BN) menjurus untuk mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik di negeri itu.

    Beliau berkata, perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, kebajikan rakyat serta usaha memperkukuhkan kerjasama dua parti teras di Pahang.

    Beliau juga yakin, kemelut pembentukan kerajaan negeri dapat diselesaikan menerusi semangat ukhwah Islamiyah, berpandukan kebijaksanaan Sultan dan Pemangku Raja Pahang.

    “Memang benar saya dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta beberapa pimpinan mengadakan pertemuan bagi membincangkan kemelut di Pahang.

    “Kami yakin ia dapat diselesaikan dengan baik. Berita mengenai syarat yang ditularkan sangat tidak tepat dan tidak perlu dilayan,” katanya menerusi muat naik di Twitter, hari ini lapor BH Online.

    Semalam, media melaporkan, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian sudah mengadakan perbincangan dengan Wan Rosdy, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang berhubung pembentukan kerajaan negeri.

    Beliau, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka itu mewakili Majlis Tertinggi PN untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan Pahang, seperti dimaklumkan Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PN Pahang memenangi 17 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang, diikuti BN (16), manakala Pakatan Harapan (PH), memperoleh lapan kerusi. 

    Tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, sekali gus bakal menyaksikan kerajaan campuran seperti yang berlaku di Perak.

    Proses pengundian bagi satu lagi kerusi DUN iaitu Tioman akan dilaksanakan pada 7 Disember depan, susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, awal pagi Sabtu lalu.

  • Wanita Indonesia pukul kucing hingga mati dipenjara enam bulan

    Wanita Indonesia pukul kucing hingga mati dipenjara enam bulan

    SEORANG wanita warga Indonesia yang bertindak kejam memukul seekor kucing jantan jalanan dengan sebatang penyapu sehingga mati dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

    Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga pisang goreng iaitu Hotimah, 60, selepas dia mengaku melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai tidak bernombor di Serdang Jaya, Seri Kembangan di sini pada 7.46 pagi 20 Ogos lepas.

    Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda minimum 20,000 maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

    Hotimah dilihat menangis dan jatuh terduduk di atas bangku dalam kandang tertuduh selepas mendengar hukuman itu.

    Mahkamah memerintahkan Hotimah, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS), menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

    Pegawai Pendakwa Mohd Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada OKS kerana tindakannya yang disifatkan sebagai sangat kejam.

    “Dalam kes ini, OKS telah memukul kucing itu sehingga mati dan ia merupakan makhluk tuhan yang tidak mampu berkata-kata. Kucing itu juga tidak mengganggu atau merosakkan harta benda OKS selain perbuatan OKS memukul kucing ini adalah kesalahan serius dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

    Hotimah, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia menghidap penyakit jantung.

    “Saya mengaku melakukan kesalahan itu. Saya minta maaf tuan,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, Hotimah yang ketika itu menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah kedai, bertindak memukul kucing yang duduk di atas kerusi di premis tersebut sehingga batang penyapu patah.

    Siasatan mendapati OKS telah memukul haiwan tersebut sehingga mati dan terdapat kesan retakan pada tengkorak di bahagian kiri kepala kucing itu. – BERNAMA

  • Cabul anak rakan, buruh binaan dipenjara 5 tahun, 2 sebatan

    Cabul anak rakan, buruh binaan dipenjara 5 tahun, 2 sebatan

    SEORANG buruh binaan dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang juga anak kenalannya.

    Hukuman itu diputuskan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman selepas tertuduh Taher Md Abu, 55, didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia lima tahun ketika kejadian.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 24 Disember 2019 di sebuah rumah di daerah Kuala Terengganu jam 7 malam.

    Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 menurut laporan Astro Awani.

    Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 28 Disember 2019.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

  • Presiden MIC sahkan surat Zahid menipu Agong yang didedah Annuar Musa

    Presiden MIC sahkan surat Zahid menipu Agong yang didedah Annuar Musa

    PENDEDAHAN surat yang dikongsi mantan Tan Sri Annuar Musa yang didakwanya menipu Yang di-Pertuan Agong disahkan tulen oleh Presiden MIC, Datuk Seri SA Vigneswaran hari ini.

    Terdahulu, mantan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkongsi dalam akaun Facebooknya surat dihantar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Agong mengatakan semua Ahli Parlimen (MP) gabungan itu menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM), walhal tiada keputusan sedemikian diputuskan.

    Annuar mempersoalkan tindakan Zahid yang dianggap membelakangi keputusan Dewan Tertinggi BN untuk tidak membuat pendirian berhubung gabungan mana yang akan disokong mereka.

    “Beliau (Zahid) mengaku menghantar surat itu selepas 10 Ahli Parlimen BN menarik balik sokongan mereka kepada (Pengerusi Perikatan Nasional) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan BN membuat keputusan untuk kekal berkecuali,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

    Pengakuan Vigneswaran ini secara tidak langsung menunjukkan Zahid membuat keputusan sendiri sehingga menghantar surat yang menipu Agong kononnya BN menyokong Anwar sebagai calon PM Ke-10.

    Terdahulu, Unit Komunikasi BN menafikan surat yang telah tersebar itu selepas dikongsi oleh Annuar.

    Terdahulu, sekumpulan akar umbi UMNO akan membuat laporan polis terhadap Zahid susulan dakwaan menipu Agong selepas tular surat tersebut.

    Pengerusi BN itu didakwa menghantar surat kepada Agong pada 22 November dengan mengatakan semua 30 Ahli Parlimen parti itu bersetuju untuk menyokong Anwar sebagai PM Ke-10.

    Wakil kumpulan tersebut, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang juga mantan Timbalan Ketua Bahagian UMNO dalam satu mesej kepada media memberitahu satu laporan polis akan dibuat di IPD Putrajaya petang ini.

    “Satu laporan polis berkaitan Surat Pengerusi BN yang didakwa cuba menipu DYMM YDPA akan dibuat di IPD Putrajaya pada jam 4.15 petang hari ini, 23 November 2022.

    “Mohon jasa baik dan bantuan pihak media untuk membuat liputan,” kata kenyataan ringkas tersebut.