Author: Wartawan WartaRakyat

  • PN mahu berperanan sebagai pembangkang berwibawa – Muhyiddin

    PN mahu berperanan sebagai pembangkang berwibawa – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau sebaliknya berkata, PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

    Menurutnya, ia juga bagi memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil .

    “Perikatan Nasional akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

    “Ia juga bagi memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tawaran agar gabungan itu menyertai kerajaan persekutuan pimpinan beliau.

    “Namun atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen, PN berpendirian untuk tidak menyertai Kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan,” jelas Muhyiddin.

    Namun Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

  • Piala Dunia: 10 ejen bookie pertaruhan ditahan

    Piala Dunia: 10 ejen bookie pertaruhan ditahan

    10 individu yang bertindak sebagai ejen bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 ditahan Polis Kontinjen Johor dalam tempoh Isnin hingga semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek ditahan dalam 10 serbuan di seluruh negeri ini menerusi operasi Op Soga IX.

    Menurutnya, mereka yang ditahan semuanya adalah lelaki berusia antara 22 hingga 43 tahun.

    “Had nilai kredit keseluruhan mencecah sehingga lebih RM1.059 juta, manakala wang tunai yang dirampas berjumlah RM9,730.

    “Kita turut merampas 10 telefon bimbit termasuk kad sim dan sebuah buku memo pad yang mempunyai catitan disyaki pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau berkata, semua tangkapan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.

    Kamarul Zaman berkata, Op Soga IX itu diadakan bagi membanteras gejala perjudian dan pertaruhan yang membabitkan kejohanan piala dunia itu.

    “Fokus utama operasi khas ini adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh sempena Piala Dunia Qatar 2022 bagi menahan individu yang bertindak sebagai bookie atau ‘punter’ dan juga tempat menjalankan judi bola sepak.

    “Pelaksanaan penugasan Op Soga IX ini merujuk kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

  • GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di sini hari ini, Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

    “Ini akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerja-kerja mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat,” katanya.

    Jumlah kerusi diperlukan untuk mendapatkan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat adalah 148 kerusi.

    Mengenai pembentukan Kabinet, Anwar berkata saiznya akan diperkecilkan dan beliau akan meminta persetujuan daripada ahli-ahli yang akan dilantik nanti untuk mengurangkan gaji mereka.

    Menurutnya, pembentukan Kabinet masih dalam perbincangan dan akan diumumkan segera mungkin.

    Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti-parti terlibat berhubung pembentukan Kabinet.

    “Parti masing-masing akan mengusulkan nama. Jadi, saya harus berikan pertimbangan sedemikian,” katanya ketika ditanya mengenai pecahan anggota Kabinet mengikut parti.

    Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri malam tadi, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Anwar sebelum ini dilaporkan berkata akan mengecilkan saiz Kabinet kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding jumlah 31 menteri dalam pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA  

  • Suara umat Islam perlu dalam kerajaan dan permohonan maaf DAP

    Suara umat Islam perlu dalam kerajaan dan permohonan maaf DAP

    MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan supaya parti didominasi Muslim menyertai kerajaan baru jika mereka bimbang kerajaan bakal didominasi mereka yang mungkin membawa perkara yang bercanggah dengan identiti negara atau merosakkan integriti pentadbiran.

    “Saya juga berpendapat parti yang mempunyai dominasi Muslim perlu menyertai kerajaan baru ini jika mereka bimbang dominasi dalam kerajaan pihak yang mungkin membawa perkara yang bercanggah dengan identiti negara atau merosakkan integriti pentadbiran.

    “Dengan sokongan yang kuat, kerajaan baru tidak bimbang ugutan golongan tertentu untuk keluar kerajaan jika tuntutan mereka tidak diperolehi,” katanya yang dilihat merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 73 kerusi selepas mengalahkan lawannya di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

    Pada sidang media pertamanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menawarkan tawaran kepada PN untuk menyertai kerajaan disifatkannya sebagai “kerajaan perpaduan”.

    Beberapa analisis mengesahkan tinjauan sebelum pilihan raya yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) bergelut dalam usahanya memenangi sokongan Melayu.

    Penganalisis politik Bridget Welsh turut dilaporkan berkata PH hanya mempunyai 11% undi Melayu dalam pilihan raya baru-baru ini, sementara Barisan Nasional (BN) mendapat 33% dan PN mendapat 54%.

    Parti Islam PAS pula mendominasi kemenangan dengan memenangi 49 kerusi Parlimen, lebih tiga kali ganda kerusi yang dimenanginya pada 2018.

    ‘Mohon maaf kepada umat Islam’

    Dalam hantaran Facebook beliau hari ini, Asri turut menyarankan supaya DAP memohon maaf kepada masyarakat Melayu-Islam seperti yang mereka lakukan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Katanya, tindakan itu akan dapat meredakan perasaan masyarakat majoriti negara ini dan memulakan azam yang lebih baik dengan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat Melayu negara ini.

    “Jika DAP enggan, mereka kelihatan sama sahaja dengan identiti DAP yang umat Islam resah dan tolak sebelum ini,” katanya lapor Malaysianow.

    Terdahulu, pemimpin utama DAP Anthony Loke dan Lim Guan Eng telah memohon maaf kepada GPS atas kenyataan yang melukakan perasaan rakyat dan gabungan parti politik Sarawak tersebut.

  • PN mainkan peranan semak, imbang dalam Parlimen – Muhyiddin

    PN mainkan peranan semak, imbang dalam Parlimen – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

    “Dengan Kerajaan Persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.

    “Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

    “Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10,” katanya.

    Semalam, Anwar yang juga Pengerusi PH mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada pukul 5.06 petang.

    PRU-15 pada 19 November menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

  • Cekal, ikhlas teruskan perjuangan PN pasca PRU-15 – Hamzah

    Cekal, ikhlas teruskan perjuangan PN pasca PRU-15 – Hamzah

    SOKONGAN luar biasa rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuktikan aspirasi perjuangan, jenama dan hala tuju gabungan itu diterima baik oleh rakyat Malaysia terutamanya golongan muda.

    Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bergerak kehadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah Perikatan Nasional walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15.

    Menurutya, Perikatan Nasional percaya bahawa para penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik.

    “Bergerak kehadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah Perikatan Nasional walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15.

    “Perikatan Nasional percaya bahawa para penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan pimpinan tertinggi parti merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengundi dan memberikan sokongan kepada parti dalam PRU-15.

    Katanya, ucapan terima kasih tidak terhingga juga diucapkan khususnya kepada para petugas serta jentera Parti Perikatan Nasional di seluruh negara yang telah bertungkus-lumus bekerja keras bagi menentukan kemenangan di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi parti.

    “Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional mendoakan kesejahteraan semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dokongan kepada
    Perikatan Nasional. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati perjuangan kita semua,” tambahnya.

  • Banjir kilat landa Jeddah, 2 maut

    Banjir kilat landa Jeddah, 2 maut

    SEKURANG-KURANGNYA dua orang maut akibat hujan lebat hampir enam jam yang mencetuskan banjir kilat di Jeddah, Arab Saudi semalam.

    Hujan bermula pukul 8 pagi itu menjejaskan kehidupan seharian penduduk dengan kebanyakan orang ramai terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dimasuki air sebelum diselamatkan.

    Lapor Saudi Gazette, ia kejadian banjir terburuk dalam tempoh 13 tahun.

    Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM), Jeddah merekodkan jumlah hujan sebanyak 179 mm dalam tempoh enam jam melebihi paras dicatatkan pada 2009.

    Trafik penerbangan dan kenderaan terganggu selama beberapa jam kerana laluan utama dan jalan raya ditenggelami air.

    Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA) terpaksa ditunda manakala Lebuhraya Haramain dan beberapa jalan utama lain ditutup selama beberapa jam.

    Beberapa jalan di kawasan perumahan Jeddah dinaiki air akibat hujan lebat, menyebabkan banyak kenderaan rosak.

    Kebanyakan orang ramai yang terperangkap di rumah kemudiannya berkongsikan cuaca buruk dan kenderaan dihanyutkan banjir dalam akaun media sosial mereka.

    Jurucakap Pertahanan Awam, Kolonel Muhammad Al-Qarni berkata, dua kematian dilaporkan akibat hujan lebat di Jeddah.

    Menurutnya, perenang dari Pertahanan Awam Jeddah menyelamatkan ramai pemandu yang terperangkap di dalam kenderaan mereka yang tenggelam dalam terowong Jalan Raja Abdullah yang ditenggelami air.

  • Final Piala Malaysia: Johor cuti peristiwa Ahad

    Final Piala Malaysia: Johor cuti peristiwa Ahad

    KERAJAAN Johor mengumumkan Ahad ini, 27 Nov sebagai cuti peristiwa bagi negeri itu selepas pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 esok.

    Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cuti itu juga bagi menghargai sokongan padu yang sentiasa diberi oleh rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan.

    Menurutnya, ia telah hmendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    “Tahniah JDT yang telah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022.

    “Sama-sama kita hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok bagi terus memberi sokongan padu kepada pasukan JDT,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Setelah menewaskan Sabah FC 3-1 pada 20 Nov, JDT mara ke peringkat akhir Piala Malaysia untuk melawan Selangor esok.

  • Kerajaan perpaduan: Pas bincang tawaran PM bersama rakan komponen PN

    Kerajaan perpaduan: Pas bincang tawaran PM bersama rakan komponen PN

    PAS akan membincangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada masa sama berkata, parti itu perlu meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Mengenai tawaran Perdana Menteri (Anwar) kepada Perikatan Nasional untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

    “(Pada masa sama Pas) turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam PRU-15 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan menerima dengan redha serta hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri.

    Katanya, Pas mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana kemelut kepimpinan negara pasca PRU-15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

    “Pas menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

    “Pas turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

    “Pas yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” tambahnya.

  • Kerajaan Anwar tiada keabsahan moral, dakwa Ahmad Faizal

    Kerajaan Anwar tiada keabsahan moral, dakwa Ahmad Faizal

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa kerajaan baharu di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai keabsahan moral.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu katanta, didakwa tetap dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara kerana disebabkan rancangan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menghadapi tuduhan rasuah, sedangkan gabungan yang diterajuinya hanya mendapat 82 kerusi.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu berkata, Anwar menjadi Perdana Menteri bukan dengan sokongan majoriti rakyat sebaliknya melalui pencaturan politik dengan BN sedangkan Anwar berjanji kepada rakyat semasa kempen tidak akan bergabung dengan BN yang terpalit dengan skandal dan rasuah.

    “Lain daripada (Pengerusi Perikatan Nasional) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan berurusan dengan Zahid, atau pun menggugurkan tuduhan rasuah terhadap beliau semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan PM,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Beliau berkata, pembentukan kerajaan baharu yang meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak menggambarkan kerajaan perpaduan seperti mana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Kerajaan yang baharu dibentuk dengan Anwar sebagai PM bukan kerajaan perpaduan. Ini adalah kerana gabungan politik yang mewakili orang Melayu iaitu PN tidak sebahagian dari kerajaan PH-BN ini yang didominasi DAP, parti terbesar kerajaan baharu dengan 40 kerusi,” jelas beliau.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 5 petang tadi.

    Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Pelantikan tersebut berikutan perkenan Seri Paduka Baginda selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada sebelah pagi, hari sama.

    Anwar dipercayai akan menerajui kerajaan Persekutuan baharu menggabungkan dua parti terbesar iaitu PH dan BN dengan majoriti kerusi Parlimen iaitu 112.

    Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri bermula apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

    Pada PRU15, PH memenangi sebanyak 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (73 kerusi), BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (22 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (enam kerusi) dan calon Bebas dua kerusi.