Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kris Wu dipenjara 13 tahun, perkosa tiga wanita

    Kris Wu dipenjara 13 tahun, perkosa tiga wanita

    BEKAS anggota kumpulan K-Pop popular, EXO, Kris Wu, 32, dipenjara 13 tahun atas kesalahan merogol tiga wanita oleh Mahkamah Daerah Chaoyang Beijing, kelmarin.

    Hasil siasatan pihak berkuasa antara November hingga Disember 2020, model, penyanyi dan pelakon kelahiran Guangzhou, Guangdong, China yang dibesarkan di Kanada itu juga didapati mengumpulkan beberapa individu lain atas skandal pemerkosaan.

    Bagi kesalahan jenayah rogol, Wu dihukum penjara selama 11 tahun enam bulan, manakala 22 bulan lagi atas hukuman mengumpulkan orang untuk aktiviti seksual.

    Sebelum ini, Wu yang memiliki 50 juta pengikut dalam aplikasi Weibo ditahan polis Chaoyang, Beijing pada 31 Julai, tahun lalu selepas didakwa memperdaya wanita untuk melakukan hubungan seks.

    Pemilik nama Wu Yi Fan itu dilaporkan melakukan perbuatan seks bersama tiga wanita di kediamannya tanpa kerelaan mangsa, lapor BH Online.

    Ketika kejadian antara November hingga Disember 2020, semua mangsa didakwa tidak sedarkan diri kerana berada dalam keadaan mabuk.

    Kris Wu memperdaya wanita sebelum melakukan jenayah rogol

    Tahun lalu, seorang pelajar Du Meizhu, 19, mendakwa Wu merogolnya pada usia 17 tahun.

    Meizhu mendakwa, Wu memperdaya ramai wanita dan gadis bawah umur 18 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya dengan alasan merekrut pelakon.

    Kes tersebut mula mendapat liputan meluas daripada pihak media sehingga mendapat kecaman orang ramai.

    Rentetan kes berkenaan, beberapa jenama mewah membatalkan perjanjian untuk bekerjasama dengan Wu.

    Malah, ada beberapa mangsa turut berkongsi perbuatan kakitangan Wu mempelawa ke pesta karaoke dan disuruh minum arak sehingga mabuk sebelum bertindak kasar.

    Susulan itu, satu gerakan dikenali sebagai #MeToo di China diwujudkan yang menyaksikan ramai golongan wanita tampil ke hadapan bagi menyuarakan pengalaman menjadi mangsa gangguan seksual termasuklah membabitkan individu berpengaruh pada 2018.

    Selain kes jenayah rogol, Wu didenda sebanyak 600 juta yuan (RM375 juta) atas kesalahan mengelak membayar cukai Perkhidmatan Cukai Perbandaran Beijing bagi Pentadbiran Percukaian Negeri.

    Dilahirkan pada 6 November 1990, Wu adalah penyanyi, rapper, pelakon dan model.

    Wu sempat bersama EXO selama dua tahun sebelum meninggalkan kumpulan popular itu pada 2014 kerana tidak berpuas hati dengan perjanjian kontrak bersama SM Entertainment.

    Kemudiannya, Wu melebarkan kerjaya solo dan menceburi dunia lakonan.

  • Nekad bakar rumah sendiri selepas menang taruhan Piala Dunia

    Nekad bakar rumah sendiri selepas menang taruhan Piala Dunia

    SEORANG peminat bola sepak di Indonesia nekad membakar rumahnya sendiri selepas tidak berpuas hati dengan jumlah wang taruhan yang diterima.

    Kejadian itu berlaku di Desa Tanaki Lindongan, Kecamatan Siau Barat Selatan di Sitaro, wilayah Sulawesi Utara pada Jumaat lalu.

    Individu dikenali sebagai JD atau Joi dipercayai bertindak sedemikian kerana terlalu gembira setelah menang pertaruhan Piala Dunia 2022.

    “Siasatan awal mendapati Joi bersama rakannya bertaruh 200,000 rupiah (RM57) ketika perlawanan antara Brazil dan Serbia.

    “Kemenangan akhirnya berpihak kepada Joi selepas pasukan Brazil berjaya mengalahkan Serbia 2-0,” kata Ketua Polis Kepulauan Sitaro, Iwan Permadi kepada Detikcom semalam.

    Menurutnya, Joi kecewa selepas rakannya tidak memberikan jumlah wang seperti yang dijanjikan.

    “Temannya hanya memberikan 120,000 rupiah (RM34). Joi kemudiannya membuat kecoh hingga ditegur oleh seorang imam.

    “Dia yang berada di bawah pengaruh alkohol bagaimanapun tidak dapat menerima teguran itu lalu pulang ke rumahnya sambil menjerit-jerit,” jelas Iwan lagi, menurut Sinar Harian yang memetik lapioran Agensi.

    Setibanya di rumah, Joi telah mengusir isteri dan anaknya sebelum mengambil botol berisi minyak tanah dan membakar kediaman keluarganya.

    Akibat tindakan melulu itu, Joi ditahan pihak berkuasa kerana mengganggu ketenteraman awam dan turut mengalami kerugian dianggarkan berjumlah 5 juta rupiah (RM1,427).

  • Warga emas maut tersepit, lori dipandu terbalik

    Warga emas maut tersepit, lori dipandu terbalik

    SEORANG pemandu lori warga emas maut selepas kenderaan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 15, Jalan Kampung Budu-Tualang Padang, Benta, dekat Lipis pukul 4.35 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Johari Md Jali, 70, yang beralamat di Kampung Sementeh, Lanchang, meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Siasatan mendapati kemalangan itu berlaku apabila lori dipandu mangsa telah hilang kawalan semasa melalui jalan yang berselekoh serta menuruni bukit.

    “Ketika kejadian, mangsa yang memandu lori dalam perjalanan dari Lanchang membawa muatan tar untuk dihantar ke Kampung Kemahang, Benta.

    “Ketika menuruni bukit yang berselekoh, lori yang dipandunya telah hilang kawalan lalu telah terbabas ke sebelah kanan jalan dan terbalik,” katanya dalam kenyataan di Lipis malam ini.

    Katanya, mangsa yang tersepit dalam bahagian kepala lori telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan akibat cedera parah di kepala.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis dikejarkan ke lokasi kemalangan dengan menaiki dua jentera.

    “Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

  • Kanak-kanak lelaki 9 tahun maut

    Kanak-kanak lelaki 9 tahun maut

    SEORANG kanak-kanak berusia sembilan tahun maut, selepas kereta dinaiki empat sekeluarga terbabit kemalangan di Munggu Tapang, Bukit Bangunan di Sri Aman, hari ini.

    Dalam kejadian itu, budak tersebut lelaki berkenaan menaiki kenderaan terbabit bersama bapanya yang juga pemandu, ibu dan seorang lagi adiknya berusia enam tahun.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pukul 5.15 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman ke lokasi kejadian.

    “Kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas akibat hilang kawalan.

    “Terdapat empat orang mangsa yang terbabit di dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum Bomba sampai lokasi kejadian.

    Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit mengalami cedera ringan, manakala seorang anak mangsa yang berumur sembilan tahun tidak sedarkan diri dan disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan.

    “Ibu mangsa dan seorang lagi anak mangsa yang berumur enam tahun yang selamat dan dibawa ke Klinik Pantu,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Anak gajah mati dilanggar Perodua Viva

    Anak gajah mati dilanggar Perodua Viva

    SEEKOR anak gajah mati selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di Lahad Datu, pukul 2.16 pagi tadi.

    Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Sylverter Saimin berkata, anak gajah berkenaan mati di lokasi kejadian.

    “Anak gajah berkenaan dikatakan sedang melintas jalan di lokasi itu. Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta Perodua Viva tidak dapat mengelak lalu melanggar anak gajah berkenaan.

    “Kakitangan JHL Lahad Datu melakukan bedah siasat dan kemudian menanam bangkai anak gajah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, pemandu Perodua Viva seorang lelaki tempatan tidak mengalami kecederaan.

    “Namun kereta Perodua Viva dipandu lelaki terbabit rosak di bahagian hadapan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah

    Warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah

    LELAKI warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah di Taman Bulatan Miri, Jalan Bulatan Park di Miri, hari ini.

    Chin Tet Min@ Tet Bui, 72, ditemui terbaring tidak sedarkan diri dengan badannya dikerumuni tebuan.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 2.57 petang dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral bergerak ke lokasi.

    “Setibanya pasukan, didapati mangsa lelaki terbaring tidak sedarkan diri dikerumuni tebuan yang masih berterbangan di sekitar tubuhnya.

    “Kaedah RECEO diaplikasikan dan anggota mengalihkan mangsa menggunakan baju khas pelindung, bagi tujuan memusnah sarang serangga berbisa itu

    “Mangsa berjaya dialihkan ke kawasan jarak selamat anggaran 9.1 meter dari lokasi asal dia terbaring serta diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.

    “Pihak perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, pemantauan di buat di sekitar lokasi dan anggota menjumpai satu sarang tebuan di atas pokok dengan anggaran ketinggian 21.3 meter.

    Katanya, perbincangan dibuat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memusnahkan sarang itu dan perlu menggunakan jentera ‘sky lift’.

    “Tindakan memusnahkan sarang tebuan akan segera dilaksana apabila jentera tiba, atas faktor keselamatan penduduk dan orang awam yang beriadah di taman awam itu,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Soleh, si kucing dilantik sebagai penjawat awam

    Soleh, si kucing dilantik sebagai penjawat awam

    SEEKOR kucing ‘dilantik’ sebagai penjawat awam (PNS) di Pejabat Perkhidmatan Cukai atau KPP Pratama Serpong di Tangerang Selatan, Indonesia.

    Berdasarkan ciapan menerusi akaun rasmi Direktorat Jenderal (Ditjen) Percukaian Kementerian Kewangan, haiwan digelar Soleh itu turut diberikan ‘kad pekerja’.

    Difahamkan, kucing berbulu putih dan hitam itu ditemui di KPP Pratama Serpong ketika ia masih kecil.

    Kedatangannya turut disambut baik oleh pegawai di premis itu sehinggalah ia turut dianggap sebagai ‘kakitangan’ di pejabat berkenaan.

    “Soleh kini sudah menjadi staf kami,” ujar admin akaun Twitter tersebut, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

    Antara ‘tugas’ diberikan kepada Soleh adalah menggembirakan dan menceriakan kakitangan serta pembayar cukai yang hadir di KPP Pratama Serpong.

    “Soleh sering dilihat melakukan ‘tugasnya’ di sekitar rakan sekerjanya lain. Seluruh ruang @pajakserpong adalah tempat kerja Soleh yang dilantik sebagai ‘pelatih ahli meow’,” jelas ciapan itu lagi secara berseloroh.

  • Gerakan yakin gabungan PN masih diterima rakyat

    Gerakan yakin gabungan PN masih diterima rakyat

    PENINGKATAN jumlah undian kepada calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, menunjukkan slogan prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan oleh Perikatan Nasional (PN) diterima rakyat.

    Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata sebanyak 34 peratus pengundi kali pertama berbangsa Melayu memberi undi dan sokongan kepada PN.

    “Ia membuktikan rakyat menerima ideologi PN. Undi yang diperoleh Gerakan juga meningkat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun lalu dan juga PRN Johor awal tahun ini diadakan.

    “Fokus bagi Gerakan adalah Pulau Pinang. Kita berjaya mendapat tempat kedua dalam empat daripada lima kerusi Parlimen yang dipertandingkan walaupun semua kerusi tersebut membabitkan empat ataupun lebih calon,” katanya hari ini di Ibu Pejabat Parti Gerakan, lapor BH Online.

    Dominic turut berkata, fokus Gerakan kini adalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dahulu.

    “Pada masa yang singkat ini, kita juga akan mempersiapkan jentera bagi mengharungi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu pada tahun hadapan,” katanya.

    Pada PRU15, Gerakan bertanding di 20 kerusi Parlimen dengan lima daripada kerusi Parlimen itu akan dipertandingkan di Pulau Pinang, negeri yang pernah menjadi kubu kuat parti itu sebelum dirampas DAP pada 2008.

    Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan gabungan parti politik itu tidak akan menyertai Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif.

    PN juga akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen dengan membawa suara rakyat selaras prinsip demokrasi berparlimen.

  • Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands

    Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands

    SEORANG lelaki maut selepas tertimbus runtuhan tanah di Blue Valley berhampiran Kampung Raja, di Cameron Highlands hari ini.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, pihaknya menerima panggilan pukul 12.54 tengah hari berhubung kejadian itu.

    Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands dikejarkan ke lokasi.

    “Mangsa warga tempatan berusia 37 tahun itu terperangkap di dalam sebuah pengorek kaut (backhoe) yang tertimbus ketika melakukan kerja mengorek tanah di kawasan itu.

    “Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa, namun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

  • ‘Nak jumpa kawan pun tak boleh’, Ismail nafi ‘Langkah Tropicana’

    ‘Nak jumpa kawan pun tak boleh’, Ismail nafi ‘Langkah Tropicana’

    NAIB presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan terdapat pertemuan tertutup semalam yang melibatkan pemimpin BN dan PAS di sebuah kelab golf di Petaling Jaya, Selangor. 

    Menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri menyifatkan segala tindakannya kini disalah tafsir, sehingga dia dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan dari Pas sementara pihak yang bertemu dengan pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) dianggap hero. 

    “Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

    “Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan Pas (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya lapor Malaysia Kini.

    Khabar angin berhubung perjumpaan di Tropicana Golf Resort yang diberi julukan ‘Langkah Tropicana’ itu berlegar dalam media sosial, disertakan dengan beberapa gambar yang didakwa dirakan ketika pertemuan itu.

    Sepuluh pemimpin BN dan Pas dikatakan terlibat pertemuan itu.

    Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang didakwa terlibat pertemuan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan bekas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan semalam dia hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri (PMO), tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa dia bersama Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

    Malah menurutnya, pemimpin UMNO lain seperti Khairy Jamaluddin turut difitnah, bahawa dia membuat gerakan untuk melawan Presiden parti, Daruk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

    “Sekarang ni, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi Perdana Menteri, pemimpin UMNO memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan UMNO,” katanya. 

    Khabar angin itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem – antara mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH, dan mereka yang tidak bersetuju.

    Terdapat juga gesaan sebelum ini dari dalam UMNO untuk Ahmad Zahid meletakkan jawatan selepas Presiden UMNO itu menghantar surat kepada pihak istana menyatakan sokongan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Minta jangan jadi paparazzi

    Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan.

    Wee menjelaskan dia cuma ke lokasi berkenaan untuk menjamu selera dengan rakannya.

    “Ini mengarut. Saya sedang menjamu selera (brunch), dimsum bersama dua rakan di restoran, pada jam 10 pagi semalam,” katanya. 

    Apabila ditanya sama ada dia ada bertemu dengan pemimpin lain dalam senarai tersebut, Wee berkata dia ada terserempak dengan Ismail Sabri yang sedang bersarapan berseorangan. 

    Katanya, dia hanya menegur ringkas Ismail Sabri dan beredar kerana enggan mengganggu bekas Perdana Menteri itu. 

    “Saya tak nampak orang lain pun. Macam mana saya nak tahu kalau dia ada perjumpaan ke tak? 

    “Kamu boleh periksa dengan pengurusan Tropicana, periksa CCTV? Tolonglah, ini privasi. Macam mana mereka boleh buat macam tu?” katanya. 

    Menyifatkan individu yang merakam gambar yang diambil sebagai ‘paparazzi, Wee meminta supaya tindakan seumpamanya dihentikan. 

    “Saya tak terlibat dalam apa-apa pertemuan… saya di sana menikmati brunch saja,” katanya yang mengulangi dia tidak terlibat dengan mana-mana pertemuan yang dimaksudkan. 

    Sementara itu, Annuar turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan apabila ditanya mengenai perkara itu. 

    “Nak main golf kot,” jawabnya ringkas.