Author: Wartawan WartaRakyat

  • PN tolak sertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana rasis – Wan Saiful

    PN tolak sertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana rasis – Wan Saiful

    PERIKATAN Nasional (PN) menafikan dakwaan bahawa gabungan politik itu bersifat perkauman apabila menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dalam kerajaan perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sebaliknya, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penolakan kerjasama dengan DAP oleh PN adalah disebabkan ideologi haluan kiri yang dibawa parti itu.

    “Kami (PN) tidak menolak DAP kerana sentimen perkauman atau agama. Kami menentang DAP kerana strategi parti itu untuk menafikan hak sesiapa yang berbeza pendapat.

    “Jika DAP mendesak orang lain untuk berhenti bercakap tentang perkauman, mereka harus berhenti mendakwa bahawa sesiapa yang tak setuju dengan dia (DAP) semuanya atas dasar perkauman,” katanya ketika menyertai kempen calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin di Taman Mahsuri, Padang Serai di Kulim, hari ini.

    PN sebelum ini memutuskan untuk tidak menyertai Kerajaan Perpaduan meskipun diajak untuk bekerjasama oleh Anwar selaku Perdana menteri, sebaliknya memilih untuk menjadi pembangkang.

    Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa DAP sedang menyebarkan agenda berhaluan kiri yang tidak pernah dinafikan parti itu.

    “Negara kita dibina atas falsafah sayap kanan dan kita menentang apa sahaja yang diperjuangkan oleh DAP bukan kerana mereka Cina atau India, malah orang Melayu yang berada dalam DAP juga salah kerana parti itu mempunyai ideologi yang salah.

    “Ini yang kita cuba jelaskan kepada rakyat supaya mereka tidak terpedaya dengan propaganda DAP bahawa sesiapa yang menentang mereka adalah rasis,” katanya.

    Mengulas pilihan dibuat PN untuk kekal sebagai pembangkang, beliau berkata, pihaknya tidak boleh boleh membenarkan kerajaan didominasi PH khususnya DAP untuk mentadbir negara tanpa semak dan imbang sewajarnya.

    “Kita beranggapan bahawa kerajaan (Persekutuan) ini bukan kerajaan perpaduan, tetapi kerajaan PH,” katanya lapor BH Online.

    Selain Azman, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut disertai calon Barisan Nasional (BN), Datuk C. Sivaraj; Dr. Mohamad Sofee Razak (PH), Hamzah Abd. Rahman (PEJUANG), Mohd. Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

  • Agong titah BN sertai kerajaan bukan diterajui PN, kata Zahid

    Agong titah BN sertai kerajaan bukan diterajui PN, kata Zahid

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen gabungan itu supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) ketika kemuncak kemelut politik yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Zahid berkata, tujuannya bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk selepas sebelumnya membuat untuk berkecuali dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk menentukan keputusan akhir.

    “Hal ini berlaku selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh PN.

    “Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti.

    “BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama,” katanya, memetik laporan Malaysianow, hari ini.

    Kemelut politik melanda negara apabila kerajaan tidak dapat dibentuk selepas tiada gabungan mendapat majoriti mudah bagi menentukan Perdana Menteri baharu selepas keputusan PRU15 diumumkan.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui Pakatan Harapan (PH) terpaksa bersaing untuk membuktikan mereka mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, kedua-dua mereka mendakwa mempunyai majoriti kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

    Kedua-dua mereka dipanggil mengadap oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di mana Muhyiddin berkata 115 akuan bersumpah ahli Parlimen diserahkan kepada Istana Negara.

    Bagaimanapun ditolak istana dan Agong mencadangkan supaya Anwar dan Muhyiddin membentuk kerajaan perpaduan yang ditolak oleh PN.

    Namun, setelah Agong mendapatkan nasihat Majlis Raja-Raja Melayu, Anwar akhirnya dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu pada 24 November sekali gus mengakhiri kemelut politik selama hampir lima hari dalam negara.

  • Polis tahan warga asing gantung Jalur Gemilang terbalik

    Polis tahan warga asing gantung Jalur Gemilang terbalik

    POLIS menahan seorang lelaki warga Bangladesh kerana enggan membetulkan Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di luar kediamannya di sebuah pangsapuri, di Klang baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengerusi penduduk berhubung kejadian itu sekitar pukul 12.40 tengah hari pada Sabtu.

    “Kejadian itu tular menerusi satu grup WhatsApp salah sebuah komuniti penduduk di Klang di mana salah seorang penghuni sebuah pangsapuri telah memasang bendera Malaysia secara terbalik.

    “Pengerusi komuniti penduduk terbabit telah menasihati lelaki terbabit tetapi suspek melawan, membuat provokasi dan enggan membetulkan bendera itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, suspek yang menetap di Malaysia sejak setahun lalu itu ditahan sekumpulan anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Utara bagi membantu siasatan.

    Katanya, lelaki berusia lingkungan 30-an itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bekerja sebagai seorang operator di sebuah kilang di sekitar Klang Utara.

    “Suspek direman tiga hari di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • Calon PN DUN Tioman diterima rakyat – Tuan Ibrahim

    Calon PN DUN Tioman diterima rakyat – Tuan Ibrahim

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim dilihat mudah diterima rakyat sekali gus mencerahkan peluang gabungan itu menambah jumlah kerusi DUN dimenanginya di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejak beberapa hari berkempen, Nor Idayu sentiasa menyapa dan berbual mesra dengan para pengundi.

    Malah katanya, calon PN itu tidak mengira beza umur dan latar belakang masyarakat dalam usaha mendekati sekali gus menawan hati pengundi.

    “Calon Perikatan Nasional di Tioman, Idayu Hashim dilihat mudah diterima rakyat.

    “Sejak beberapa hari kempen, beliau sentiasa menyapa dan berbual mesra dengan para pengundi di Tioman tanpa mengira beza umur dan latar masyarakat.

    “Insya-Allah, misi menghantar ADUN wanita ke DUN Pahang semakin hampir. Doakan semua!,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

    Tinjauan Warta Rakyat mendapati Nor Idayu tidak kekok mendekati pengundi di DUN Tioman dan diterima baik masyarakat.

    Menerusi siri jelajah yang dikongsi di Facebook calon PN itu, beliau mula berkempen dengan mendekati pengundi di kedai roti canai Pak Ali sebelum beramah mesra bersama pengunjung di Pasar Besar Kuala Rompin.

    Beliau juga berkesempatan menyantuni peserta program memanah di Masjid Tengku Mahkota Abdullah.

    Di Pahang, PN mempunyai 17 kerusi DUN, BN mempunyai 16 kerusi dan PH mempunyai 8 kerusi.

  • Rampas deposit jika gagal tanggal poster, bendera parti sebelum 3 Disember

    Rampas deposit jika gagal tanggal poster, bendera parti sebelum 3 Disember

    SEMUA wakil bagi calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diingatkan supaya menanggalkan bendera, poster dan kain rentang parti masing-masing sebelum 3 Disember depan.

    Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dengan merampas deposit pihak berkenaan jika ia tidak dilakukan.

    “Perkara ini di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, dua minggu diberikan selepas tarikh mengundi iaitu pada 19 November lalu (buka semua bendera, poster dan kain rentang parti politik).

    “Jadi maknanya tarikh akhir sampai 2 Disember, iaitu sehingga Jumaat depan. Pada 3 Disember kalau tiada sebarang perubahan baru kita ambil tindakan.

    “Dari pihak kita (MBI), kita akan rampas deposit mereka dan kemudian kita ambil alih kerja itu (tanggal bendera parti dan sebagainya),” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri program Ipoh Car Free Day, di Ipoh, hari ini.

    Seramai 1,500 warga Ipoh menyertai Ipoh Car Free Day siri ke-56 pagi tadi dengan tema Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia.

    Dalam pada itu, Rumaizi turut meminta semua parti politik untuk mengambil maklum berhubung perkara tersebut.

    “Nasihat saya kepada semua parti politik, kerana saya sudah maklumkan kepada wakil-wakil ejen calon supaya kutip segera kerana ikut undang-undang 14 hari yang berakhir pada 2 Disember ini,” katanya lagi.

    Tinjauan di sekitar Bandaraya Ipoh khususnya di Tambun dan Meru di Ipoh mendapati, masih banyak bendera dan kain rentang parti politik belum ditanggalkan, malah terdapat longgokan bendera yang dibiarkan di bahu jalan.

  • Akaun bank peniaga digodam, kerugian RM100,000

    Akaun bank peniaga digodam, kerugian RM100,000

    SEORANG peniaga kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang mengarahkannya mengisi pautan dalam laman sosial menyebabkan akaun bank miliknya digodam menggunakan fail kit pakej android (APK).

    Ketua Polis Daerah Siburan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa lelaki berusia lewat 30-an itu diperdaya menerusi hantaran di WhatsApps sebelum diminta mengisi butiran peribadi dan akaun bank ke dalam pautan di laman sosial.

    Katanya, selepas membuat semakan penyata akaun, mangsa mendapati wang di dalam akaun miliknya dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga.

    “Ini mengakibatkan mangsa kerugian melebihi RM100,000. Berdasarkan kes terdahulu, sindiket penipuan ini menggunakan modus operandi menggodam akaun bank mangsa menggunakan APK selepas memperdaya mereka melalui iklan.

    “Iklan itu berkenaan penjualan barangan serta perkhidmatan membersihkan rumah, selain menawarkan perkhidmatan saluran televisyen berbayar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Terkini pula katanya, mereka menggunakan tawaran peluang untuk melihat kandungan WhatsApp milik orang lain.

    “Mangsa yang berminat, seterusnya memuat turun fail APK yang dihantar menggunakan aplikasi WhatsApp sebelum akaun mereka digodam,” katanya, lapor Harian Metro.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Telur ayam kurang akibat sabotaj tidak benar – Penternak

    Telur ayam kurang akibat sabotaj tidak benar – Penternak

    DAKWAAN kononnya kekurangan telur ayam di pasaran disebabkan tindakan sabotaj penternak yang mahukan harga bahan mentah itu dinaikkan adalah tidak benar.

    Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng berkata, tuduhan itu amat tidak berasas apatah lagi tindakan sabotaj termasuk menyimpan telur di gudang, hanya merugikan penternak.

    Menurutnya, tuduhan yang menyatakan pemborong mengutamakan pasaran Singapura juga tidak benar kerana isu kekurangan telur di pasaran kerana berlaku kekurangan ayam penelur di seluruh negara.

    “Penternak ayam sebenarnya menghadapi isu kekurangan ayam penelur sejak beberapa bulan lalu berikutan gabungan faktor isu kekurangan ayam, harga dedak yang terlalu tinggi serta penyakit.

    “Kekurangan ayam segar sebelum ini menyebabkan penternak terpaksa menjual ayam penelur sebagai ayam daging berikutan permintaan tinggi ayam segar di pasaran.

    “Ia menyebabkan kita kekurangan ayam penelur dan pusingan telur untuk pasaran juga akhirnya terjejas.

    “Harga dedak yang terlalu tinggi dan penyakit yang menyerang ayam juga antara faktor menyebabkan ayam penelur berkurangan sekali gus jadi punca bekalan telur terus terjejas dan tidak dapat dipenuhi sejak hampir lima bulan lalu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Minggu lalu, peniaga kedai runcit sekitar Johor Bahru dilaporkan mendakwa isu kekurangan telur di pasaran tempatan sejak lima bulan lalu, seolah-olah disengajakan apabila pemborong mencatu bekalan telur yang dihantar ke kedai-kedai runcit di Johor Bahru.

    Ia berikutan peniaga mendakwa pemborong lebih mengutamakan telur dihantar ke pasaran Singapura berikutan harganya lebih tinggi di sana.

    Dalam pada itu, Ka Leng menyifatkan tuduhan menyatakan kekurangan telur di pasaran adalah tindakan terancang penternak yang mahukan menaikkan harga bahan mentah itu juga adalah tuduhan yang melampau.

    “Mana ada kita rancang dan simpan telur. Jangka hayat telur tidak lama, kalau disimpan akan rosak dan hanya rugikan kami.

    “Berbanding ayam segar boleh disejuk beku, telur jika disimpan dalam peti sejuk lebih seminggu pun akan rosak,” katanya.

    Bagaimanapun Ka Leng berkata, bekalan telur ayam kini semakin pulih apabila lebih 60 peratus permintaan dapat dipenuhi penternak ketika ini.

    Katanya, ketika ini bekalan telur hampir stabil dengan hanya 40 peratus lagi gangguan pada bekalan.

    “Sebab itu di beberapa kawasan berlaku situasi seperti lambakan bekalan telur sehari dua ini, sedangkan ia hanya kebetulan berlaku ketika kerajaan baharu ditubuhkan.

    “Bekalan telur dijangka pulih sepenuhnya menjelang Ramadan nanti apabila pusingan ayam penelur dan telur dapat menghasilkan telur seperti biasa,” katanya.

    Untuk rekod, secara purata negara memerlukan antara 30 hingga 31 juta biji telur sehari yang dikeluarkan oleh 1,500 penternak seluruh negara.

  • Perdana Menteri Ke-10 menghadap Sultan Johor

    Perdana Menteri Ke-10 menghadap Sultan Johor

    DATUK Seri Anwar Ibrahim buat pertama kali menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Johor Bahru hari ini selepas secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

    Perkara itu dikongsi Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Facebook baginda hari ini.

    “DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, hari ini.

    “Datuk Seri Anwar telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November baru-baru ini,” titah Baginda.

  • PN sedia kekalkan jawatan MB kepada BN-Tuan Ibrahim

    PN sedia kekalkan jawatan MB kepada BN-Tuan Ibrahim

    KESEDIAAN Perikatan Nasional (PN) Pahang mengekalkan jawatan Menteri Besar kepada Barisan Nasional (BN) adalah bertujuan untuk kestabilan politik di negeri itu.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, di peringkat awal PN bersedia bersama dengan BN memandangkan jumlah kerusi yang dimenangi di Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir sama hanya dibezakan satu kerusi setakat ini.

    “Kita bersedia mengekalkan jawatan MB kepada BN dengan beberapa perkara lain dibincangkan bersama seperti agihan kerusi Exco dan lain-lain.

    “Walau bagaimanapun itu tawaran PN kepada BN demi kestabilan politik di Pahang dan sebagainya,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata, pada masa sama PN membuat tuntutan antaranya tiga daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diberi kepada PN, Exco sama banyak dan Speaker menjadi milik PN.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka yakin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili BN Pahang mungkin akan mempertimbangkan syarat tersebut.

    “Insya-Allah, sinar harapan itu ada di mana PN Pahang bersedia berkompromi sebagai model penyatuan ummah dan Pahang dijadikan model,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN memenangi 17 kerusi berbanding BN 16 kerusi manakala Pakatan Harapan (lapan).

    Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pula ditangguhkan selepas calon PN,Md Yunus Ramli meninggal dunia pada 19 November lalu.

  • Pelajar maut, rakan cedera motosikal bertembung lori

    Pelajar maut, rakan cedera motosikal bertembung lori

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pelajar tingkatan tiga maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori di simpang tiga Gajah Puteh, Mukim Jeneri di Sik pada pukul 7.45 malam, semalam.

    Mangsa, Muhammad Naufal Muhammad Lutfi, 15, meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Daerah Sik.

    Rakannya, Muhammad Alif Ikmal Abdul Razak yang turut berusia 15 tahun dan penunggang motosikal itu cedera di beberapa bahagian badan.

    Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, kemalangan membabitkan kedua-dua pelajar yang menaiki motosikal jenis Honda C100 dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 36 tahun.

    Katanya, lori tersebut datang dari arah Pendang menghala ke Sungai Petani, manakala motosikal terbabit datang dari arah Dewan Teratai di Gajah Puteh menghala ke Kampung Betong.

    “Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu lori tersebut telah nampak kedua-dua mangsa yang sedang menunggang motosikal dan telah membunyikan hon beberapa kali sebelum mereka memberhentikan motosikalnya.

    “Malangnya, tiba-tiba mangsa membelok ke kanan jalan menyebabkan pemandu lori tidak sempat menekan brek dan mengelak, lalu terlanggar motosikal mangsa di bahagian sebelah kirinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Difahamkan mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Irsyadiah, Pondok Ampang di Jeneri, Sik tercampak dan mengalami kecederaan.

    Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke hospital oleh ambulan Pasukan Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) untuk mendapatkan rawatan.

    Namun, mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kerana kecederaan parah di bahagian kepala, sementara rakannya mengalami luka di lutut sebelah kanan, calar di ibu jari kaki sebelah kanan serta sakit-sakit badan.

    Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital terbabit untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.