SEORANG peniaga kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang mengarahkannya mengisi pautan dalam laman sosial menyebabkan akaun bank miliknya digodam menggunakan fail kit pakej android (APK).

Ketua Polis Daerah Siburan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa lelaki berusia lewat 30-an itu diperdaya menerusi hantaran di WhatsApps sebelum diminta mengisi butiran peribadi dan akaun bank ke dalam pautan di laman sosial.

Katanya, selepas membuat semakan penyata akaun, mangsa mendapati wang di dalam akaun miliknya dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga.

“Ini mengakibatkan mangsa kerugian melebihi RM100,000. Berdasarkan kes terdahulu, sindiket penipuan ini menggunakan modus operandi menggodam akaun bank mangsa menggunakan APK selepas memperdaya mereka melalui iklan.

“Iklan itu berkenaan penjualan barangan serta perkhidmatan membersihkan rumah, selain menawarkan perkhidmatan saluran televisyen berbayar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terkini pula katanya, mereka menggunakan tawaran peluang untuk melihat kandungan WhatsApp milik orang lain.

“Mangsa yang berminat, seterusnya memuat turun fail APK yang dihantar menggunakan aplikasi WhatsApp sebelum akaun mereka digodam,” katanya, lapor Harian Metro.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here