Author: Wartawan WartaRakyat

  • Rakyat sendiri akan hukum ‘politikus’

    Rakyat sendiri akan hukum ‘politikus’

    PERJUANGAN pemimpin Melayu terdahulu seperti Allahyarham Tun Abdul Razak Husein Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Allahyarham Tun Hussein Onn dan lain-lain menjadi sia-sia akibat kerakusan kuasa.

    Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, rakyat sendiri akan menilai orang politik digelar ‘politikus’ yang hanya mementingkan kuasa dan sanggup menggadaikan prinsip demi menyelamatkan diri.

    Ahmad Naufal Mahfodz

    “Boleh nilai sendiri sifat kemunafikan BN-PH. Sanggup gadaikan prinsip menarik balik perakuan bersumpah (SD) dan memilih bersama perasuah. UMNO akan terima akibat hasil pengkhianatan mereka kepada bangsa Melayu.

    “Perjuangan PH-BN kini tidak lagi demi orang Melayu, tetapi hanya untuk mendapat kuasa serta menjaga ‘tengkuk’ masing-masing sehingga sanggup mengkhianati orang Melayu. Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri sanggup gadaikan prinsip kerana mahu menyelamatkan diri daripada kes-kes mahkamah beliau.

    “Sebab itu kami keluar daripada PH kerana prinsip mereka bertentangan dengan prinsip kami. Kami pegang kepada konsep Fiqh Aulawiyat iaitu suatu kefahaman yang membolehkan kita menilai setiap tindakan dan perbuatan dengan harganya yang berpatutan berdasarkan pertimbangan syarak, tanpa kita mengurangkan atau melebihkan dalam membuat penilaian,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyatakan pendirian tolak PKR, DAP, Bersatu’ untuk sebelum PRU-15, bukan selepas.

    Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, Ahmad Zahid perlu membawa prinsip yang jelas.

    “No DAP, no Anwar, no Bersatu. Tetapi akhirnya sudah jelas beliau membuka pekung sendiri. Kita pernah bekerjasam dalam kerajaan. Tapi kenapa beliau memilih PH dan bukan Bersatu.

    “Ini kerana beliau takut semua kes mahkamah akan berjalan seperti biasa selepas permohonanya meminta tolong kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggugurkan kes tidak diikuti kerana Perikatan Nasional (PN) sendiri mengamalkan prinsip bersih dan integriti,” katanya.

    Tambahnya, hidup sebagai ahli politik adalah membawa misi rakyat dan negara. Slogan Barisan Nasional (BN) sendiri tawarkan kemakmuran dan kestabilan.

    “Kestabilan ada pada slogan PN. Kalau betul nak stabil pilih parti yang ada kesamaan bukan yang bertentangan dengan prinsip. Kerajaan hari ini tidak bawa kestabilan kepada rakyat. Kerajaan hari ini adalah yang fikir pasal jawatan,” katanya.

  • ‘Ini senarai tindak-tanduk DAP terhadap Islam dan Melayu’ – Pemuda Pas

    ‘Ini senarai tindak-tanduk DAP terhadap Islam dan Melayu’ – Pemuda Pas

    DEWAN Pemuda Pas hari ini, tampil mempertahankan kenyataan presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan DAP yang juga komponen Pakatan Harapan (PH) sebagai parti ekstrim dan mempromosi Islamofobia.

    Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Hanafi Zulkapli berkata, kenyataan Abdul Hadi itu adalah berasaskan fakta yang jelas menunjukkan ada pemimpin DAP menolak asas Perlembagaan Persekutuan, bersikap islamofobik dan rasis dalam setiap perlakuan serta tindak-tanduk mereka.

    Beliau menyenaraikan beberapa tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP sebelum ini dan tidak pernah ditarik balik hingga kini.

    “Pada 2014, pemimpin DAP Ngeh Koo Ham menyatakan pendirian bahawa hak untuk murtad patut diberikan kepada orang Islam dan kenyataan itu tidak pernah ditarik balik hingga kini.

    “Pada April 2019, senator daripada DAP, Nga Hock Cheh menggesa pengguguran status kaum termasuk Islam pada MyKAD, kononnya atas dasar mewujudkan identiti nasional. 

    “Pada 14 November lalu, Nga Kor Ming ketika kempen PRU15 menyatakan gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan Taliban hanya kerana ketegasan Pas dalam mengawal aktiviti maksiat. 

    Kenyataan media Dewan Pemuda Pas

    “Pada Oktober lalu, tokoh DAP Lim Kit Siang, menyebut Malaysia tidak memerlukan Ketuanan Melayu, sebaliknya hanya perlukan Ketuanan Malaysia. Malah sehingga kini, DAP masih berpegang kepada Deklarasi Setapak yang berhasrat mengubah status Bumiputera dalam Malaysia. Deklarasi tersebut tidak ditarik balik,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Hanafi menegaskan, semua kenyataan dan pendirian pemimpin DAP itu jelas menunjukkan mengenai sifat malignan DAP terhadap fabrik sosial negara ini. 

    Katanya, tak perlu menunggu Presiden Pas membuat laporan polis, rakyat sendiri sudah lama melaporkan perbuatan dan tindak-tanduk DAP untuk diambil tindakan mengikut lunas undang-undang. 

    “Ini termasuk laporan polis oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam pada 22 Februari 2022 berhubung keceluparan pemimpin DAP, P. Ramasamy terhadap Majlis Agama Islam Perlis.

    “Laporan polis dibuat oleh Pemuda Pas pada 7 Julai 2021 terhadap kenyataan penghinaan oleh Kit Siang berkaitan isu Kerajaan Allah, selain laporan oleh NGO UMMAH pada 19 November 2022 berkenaan kempen rasis oleh pemimpin DAP, Hew Kuan Yew,” katanya.

    Justeru, beliau berkata, fakta membuktikan apa yang disebut Presiden Pas itu bukanlah suatu fitnah, sebaliknya beliau hanya menyatakan perkara sebenar yang berlaku. 

    “Kebenaran itu pahit untuk ditelan. Namun sepahit mana kebenaran itu, ia harus diakui. 

    “Sama seperti hakikat kerajaan ini dianggotai sebuah parti yang bersifat pesimis terhadap Islam dan bangsa Melayu. Walau pun cuba dinafikan, ia tidak pernah mengubah fakta sebenar hala tuju dan perjuangan mereka,” tegasnya.

    Hanafi menegaskan yang Pas mengakui dan menjunjung perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap kerajaan hari ini. 

    “Semua kerajaan terbentuk dan mendapat perkenan baginda adalah sah di sisi Perlembagaan seperti mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk pada Mac 2020 walaupun sering dituduh kerajaan pengkhianat,” katanya.

  • NGO lapor polis dakwa tulisan Zahid kaitkan campur tangan Agong bentuk kerajaan

    NGO lapor polis dakwa tulisan Zahid kaitkan campur tangan Agong bentuk kerajaan

    TIGA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam pembentukan kerajaan. 

    Pertubuhan Prihatin Alam Sekitar dan Masyarakat (PRIALAM), Muhibbah Akrab Malaysia (MAM) serta Pertubuhan Perpaduan Kemanusiaan Malaysia (PPKM) bersama dua wakil membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

    Muhammad Firdaus Abu Mangsor yang mewakili PRIALAM dan MAM berkata, laporan polis itu dibuat berkait kenyataan Ahmad Zahid di Facebooknya, bertajuk ‘Barisan Nasional (BN) mendukung Perlembagaan Negara dan Menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong’ kelmarin.

    “Dalam entri itu, ada kenyataan Ahmad Zahid yang boleh membawa maksud Yang di-Pertuan Agong seolah-olah campur tangan dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) tidak disokong atau dikecualikan daripada menerajui kerajaan. 

    “Kenyataan beliau juga seperti menggambarkan bahawa pembentukan kerajaan adalah bukan atas dasar majoriti kepercayaan ahli Dewan Rakyat, tetapi atas dasar titah daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

    Turut hadir, wakil PKPM, Mohammad Shamsul Hakim Ab Aziz.

    Beliau berkata, tindakan Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan sedemikian dilihat sebagai mencabul peruntukan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan. 

    “Kenyataan Ahmad Zahid itu umpama menghina dan mempalitkan Yang di-Pertuan Agong dalam proses politik dan ini boleh membawa keresahan rakyat serta institusi raja berperlembagaan di Malaysia. 

    “Berdasarkan apa yang dinyatakan Ahmad Zahid itu, maka perkara ini perlu disiasat termasuk kemungkinan pemimpin BN terbabit dalam konspirasi mencabul peruntukan Perlembagaan Malaysia,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Semalam, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook, menyebut BN pada awalnya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, namun menukar keputusan itu. 

    “BN mula-mula membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya. 

    “Begitu juga GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah). 

    “Hal ini berlaku selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk. 

    “Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti,” katanya seperti dipaparkan dalam Facebooknya itu.

  • Pembantu muzik mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap murid 9 tahun

    Pembantu muzik mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap murid 9 tahun

    SEORANG bekas pembantu muzik mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan yang berusia sembilan tahun.

    Tertuduh Mohd Anuar Wahab, 40, membuat pengakuan tersebut atas kesemua pertuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia sembilan tahun.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah sekolah dan di tepi jalan di daerah Kuala Nerus, lapor Astro Awani.

    Perbuatan itu dilakukan antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang pada 2018.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Selain itu, mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran selain tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • UMNO tidak pernah jadi pembangkang, sebab itu sanggup bersama PH

    UMNO tidak pernah jadi pembangkang, sebab itu sanggup bersama PH

    PAS sudah biasa menjadi pembangkang tetapi tidak UMNO yang membuat keputusan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri Pahang.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar berkata, parti itu kesal dengan sikap UMNO yang mana perjuangan asalnya adalah membela orang Melayu dan agama Islam namun kini berubah menjadi pembela DAP.

    Jadi beliau berkata, Pas di negeri ini akan menjadi pembangkang dengan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak bersedia bersama PH yang diterajui DAP. 

    “Memang kesal dengan sikap UMNO yang sepatutnya menjadi parti yang membela orang Melayu, Islam tetapi kita tengok dia jadi pembela DAP.

    “Kita (Pas) menjadi pembangkang kerana kita tidak bersedia untuk bersama sama dengan PH, kita akan menjadi pembangkang bagi tujuan semak dan imbang.

    “Kami (Pas) dah biasa jadi pembangkang, UMNO yang tak pernah jadi pembangkang sebab itu dia sanggup kerjasama dengan PH. Ini satu tindakan yang tidak munasabah bagi UMNO,” katanya ketika ditemui selepas ceramah umum sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Kampung Mentara, Rompin, semalam.

    Rosli dalam pada itu menafikan Perikatan Nasional (PN) mahu menuntut semua jawatan Exco kerajaan negeri dalam rundingan bersama BN. 

    “Kita layak memohon jawatan Menteri Besar disebabkan kita menang majoriti, UMNO yang tak layak mohon Menteri Besar kerana minoriti.

    “Dakwaan kononnya PN nak semua jawatan Exco itu menipu, membohong tak pernah ada (dalam rundingan) PN nak semua Exco. Tapi kalau UMNO nak jadi Menteri Besar, komposisi Exco biarlah sama banyak, logik. Namun dia nak bersama PH,” ujarnya lapor Satu Berita.

    Sementara itu, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu, gabungan tersebut di negeri ini akan jadi pembangkang bermaruah bukannya pengemis.

    “Orang menang 17 kerusi DUN dapat satu jawatan Exco, manakala yang menang lapan ditawar dua Exco.

    “PN Pahang akan jadi pembangkang bermaruah bukan pengemis. Kita akan berkhidmat untuk rakyat demi rakyat. Tak mengapa jadi pembangkang tak bermakna kita duduk tepi longkang, kita berkhidmat. Ini takdir Allah SWT, nak berlawan dalam DUN,” katanya.

  • Penceramah bebas didakwa 9 pertuduhan rogol, amang seksual

    Penceramah bebas didakwa 9 pertuduhan rogol, amang seksual

    SEORANG penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja antara Jun 2021 dan Februari lepas.

    Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fathi Naim, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

    Mengikut pertuduhan, suami kepada tiga isteri itu didakwa terhadap tujuh pertuduhan merogol dan masing-masing satu bagi pertuduhan melakukan amang seksual serta hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja perempuan yang kini berusia 14 tahun.

    Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu dalam sebuah kereta jenis Toyota Vellfire di hadapan surau dan di parkir Dataran Eco World selain dalam sebuah hotel di sekitar Bandar Puncak Alam dekat sini, antara Jun 2021 dan Februari lepas.

    Bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual, bapa lapan anak itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

    Bagi kesalahan melakukan hubungan seks dengan objek, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ku Hayati Ku Haron yang juga merupakan Pengarah Pendakwaan Selangor menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

    “Saya juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh dilarang mendekati dan menghubungi mangsa dalam kes ini,” katanya yang turut dibantu TPR Aqharie Durranie dan TPR Nurul ‘Izzati Mohamad.

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Samry Masri merayu kepada mahkamah agar anak guamnya dikenakan jaminan rendah iaitu mengikut kes dan bukan mengikut pertuduhan yang dituduh dengan alasan lelaki itu adalah penanggung utama keluarga.

    “Sebelum ditangkap tertuduh adalah penceramah bebas dan selepas kes ini tular, dia hilang punca pendapatan. Tertuduh juga mempunyai tiga isteri dan lapan anak berusia satu hingga 11 tahun selain menanggung kedua-dua ibu bapa yang telah tua.

    “Selain itu, tertuduh kini menghidapi sakit ‘slipped disc’ dan sedang menjalani rawatan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Syafeera kemudian membenarkan Muhammad Fathi Na’im diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

  • Saya hanya rujuk ‘ketidakrelaan’ ahli UMNO – Azman

    Saya hanya rujuk ‘ketidakrelaan’ ahli UMNO – Azman

    Oleh BADLISHAH MAT

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkata, kenyataan dibuatnya mengenai Kerajaan Perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukan menghina institusi diraja.

    Menurut Azman, beliau hanya merujuk terhadap sikap ‘ketidakrelaan’ akar umbi dan penyokong UMNO selepas BN bergabung dengan PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Malah, sebaliknya beliau berkata, PN turut akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

    “Saya agak kasar sedikit malam itu sebab kerajaan baru tertubuh. Jadi kita tengok pemimpin-pemimpin UMNO sanggup menjual perjuangan parti dengan murahnya. Itulah saya rujuk sebagai yang saya sebut (kerajaan zina).

    “Saya cakap berdasarkan prinsip perjuangan UMNO sendiri yang langgar resolusi Perhimpunan Agung UMNO pada 2021 iaitu No Anwar No DAP. Jadi ahli-ahli UMNO di bawah marah sebab ideologi perjuangannya sangat bertentangan,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Taman Nesa, Padang Serai di Kulim.

    Kelmarin, Azman berkata, pengundi BN Parlimen Padang Serai khususnya penyokong UMNO akan memberi isyarat jelas menolak pemimpin yang tidak menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu, 7 Disember ini.

    Katanya, penolakan itu disebabkan penyokong dan akar umbi UMNO tertipu dengan pucuk pimpinan parti mereka yang pada awalnya menegaskan tiada kerjasama dengan DAP dan Anwar.

    Malah Azman menyifatkan kerjasama antara PH dan BN itu juga diibaratkan seperti ‘kerajaan penzinaan’ kerana ‘perkahwinan’ yang tidak direstui ahli serta pemimpin di peringkat bawahan.

    Mengulas lanjut, Azman memaklumkan beliau sudah memberi keterangan kepada pihak polis di Balai Polis Kulim Hi-tech, Kulim semalam berhubung kenyataannya itu.

  • Tidak perlu tukar pegawai kerajaan kerana dendam politik- Wan Saiful

    Tidak perlu tukar pegawai kerajaan kerana dendam politik- Wan Saiful

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi jaminan segera bahawa sikap dendam terhadap penjawat awam tidak akan dibiar berleluasa di Putrajaya.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, institusi penting negara itu berada dalam keadaan bahaya jika ada pegawai kanan kerajaan ditukar atau dihentikan atas sebab dendam politik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    “Justeru, saya kesal kerana dalam pertemuan pertama Perdana Menteri dengan penjawat awam, beliau gagal memberi jaminan bahawa kerajaan PH tidak akan menjalankan ‘witch hunt’ terhadap pegawai kerajaan.

    “Kita semua masih ingat bagaimana Timbalan Presiden PKR (Parti Keadilan Rakyat), Rafizi Ramli dengan bongkak mengugut akan mencari penjawat awam yang menjalankan tugasan mereka.

    “Adakah membalas dendam ini masih lagi menjadi ‘polisi senyap’ kerajaan Pakatan Harapan? Apatah lagi sekarang ini heboh dikatakan bahawa Rafizi Ramli melobi hebat untuk menjadi Menteri Kewangan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Menurut beliau, jika sikap dendam tersebut dibawa ke kementerian, maka akan memberi kesan kepada pentadbiran negara.

    “Jadi, mungkinkah peruntukan akan dipotong begitu saja jika dia tidak suka kepada individu tertentu?

    “Semoga Allah menjaga dan melindungi penjawat awam yang menjalankan tanggungjawab mereka terhadap negara dan agama dengan ikhlas dan berdedikasi,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pada 17 November lalu, media melaporkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki selepas agensi itu melakukan serbuan ke atas syarikatnya, Invoke.

    Ujarnya, PH akan ‘mencari’ Azam pula berhubung skandal pegangan sahamnya sebelum ini jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Bagaimanapun, Anwar dalam Perhimpunan bulan di Dataran Perdana Putra di Putrajaya hari ini menegaskan beliau tidak berminat untuk mengorek kisah lalu dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

    Beliau berkata, perkara lebih penting ketika ini adalah mengembalikan imej perkhidmatan awam yang semakin merosot ke tahap lebih tinggi.

  • Syifa Melvin, Safawi Rasid sah bergelar suami isteri

    Syifa Melvin, Safawi Rasid sah bergelar suami isteri

    PELAKON dan pempengaruh media sosial Syifa Melvin selamat bergelar isteri kepada pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Safawi Rasid dengan sekali lafaz pada malam tadi.

    Syifa atau Nur Syifa Athirah Amirul Melvin, 28, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Khairil Nizam yang berwakil walikan bapanya iaitu Amirul Melvin Abdullah.

    Majlis pernikahan pasangan itu diadakan secara tertutup di Hotel Hilton, Petaling Jaya yang dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat pengantin.

    Pada majlis berkenaan, Safawi atau Muhammad Safawi Rasid, 25, menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin kepada Syifa.

    Terdahulu, berita pernikahan pasangan tersebut kecoh di media sosial apabila kad undangan perkahwinan mereka tersebar namun Syifa atau Safawi masing-masing enggan mengesahkan perkara tersebut.

    Safawi bagaimanapun memberitahu dia tidak berniat menyembunyikan perkahwinan tersebut sebaliknya lebih selesa ia tidak dihebohkan kepada orang ramai.

    “Bukan saya tidak mahu beritahu media atau sombong, cuma kalau boleh saya punya perkahwinan nak ia berjalan dengan tenang dan tidak mahu kecoh-kecoh.

    “Tarikh ini saya pilih sebab ada sesuatu yang istimewa,” katanya memetik laporan mStar.

    Terdahulu, pasangan ini diraikan dalam majlis berinai yang diadakan pada malam kelmarin.

    Sementara itu, majlis bertandang di pihak lelaki akan diadakan pada 3 Disember ini.

  • Keputusan PN jadi pembangkang demi kestabilan politik – Mahathir

    Keputusan PN jadi pembangkang demi kestabilan politik – Mahathir

    PERIKATAN Nasional (PN) memilih untuk menjadi pembangkang bagi memastikan kestabilan politik negara dapat dikekalkan.

    Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Md. Rais berkata, walaupun PN kalah Pilihan Raya Umum ke-15, gabungan itu tetap komited untuk berkhidmat kepada rakyat.

    “Kami memilih untuk menjadi pembangkang kepada kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan, kerana pembangkang adalah faktor penting dalam memastikan suara rakyat didengari dengan lebih lantang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

    Menurut Mahathir, menjadi sebuah parti pembangkang penting dalam membawa suara kesakitan dan penderitaan rakyat.

    “Inilah yang mereka maksudkan dengan kestabilan politik dan keperluan untuk menjadi pembangkang untuk PN adalah satu kemestian,” katanya.

    Tambahnya, suara penyokong PN juga tidak akan diketepikan hanya kerana PN tidak mentadbir negara.

    “Kita masih ada di sini untuk terus berjuang dan memastikan Malaysia terus aman dan makmur dalam setiap aspek demi generasi akan datang,” katanya.

    Dalam pada itu, Mahathir turut mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang yang disegani bukan sahaja dalam negara bahkan dunia.

    “Tiada manusia yang sempurna, tetapi beliau memang terbukti dihormati oleh kawan dan lawan.

    “Pengiktirafan yang beliau peroleh daripada para pemimpin dunia terutama dari negara-negara seperti Palestin dan Jepun membuktikan kredibiliti beliau,” katanya, lapor Sinar Harian.