Author: Wartawan WartaRakyat

  • Misi lelaki bawa 243 bungkusan daun ketum dalam kereta gagal

    Misi lelaki bawa 243 bungkusan daun ketum dalam kereta gagal

    HASRAT seorang lelaki untuk menjual daun ketum ke Temerloh terbantut setelah diberkas polis Bentong di Kilometer (KM) 63 Lebuh Raya Karak ke Kuala Lumpur (arah Barat), sekitar pukul 3 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) menahan suspek berusia 44 tahun itu yang membawa 243 bungkusan plastik daun ketum dalam bonet dan tempat duduk belakang kereta dipandunya.

    “Anggota polis peronda mobile patrol vehicle (MPV), BPJKK telah menahan sebuah kereta jenis Proton dipandu oleh seorang lelaki di Kilometer 63, Lebuh Raya Karak – Kuala Lumpur (arah Barat) dan membuat pemeriksaan.

    “Hasil pemeriksaan di belakang bonet kereta, polis telah menemui sejumlah 243 bungkusan plastik dipercayai berisi daun ketum dan anggaran berat 243 kilogram (kg) bernilai RM5,751.00,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, daun ketum itu telah dibeli oleh suspek di Pendang, Kedah dan dibawa pulang untuk dijual kepada pembeli yang telah membuat pesanan di Temerloh.

    Jelasnya lagi, suspek juga telah membeli satu bungkusan daun ketum seberat satu kilogram dengan harga RM10 dan kemudiannya akan menjual kepada pelanggan yang telah membuat pesanan dengan harga RM17 bagi berat yang sama.

    “Hasil siasatan, suspek juga pernah melakukan penghantaran daun ketum ke kawasan Pantai Timur sebelum ini.

    “Suspek ditahan reman selama empat hari mulai 29 November 2022 hingga 2 Disember 2022 untuk membantu siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan sekiranya disabitkan kesalahan, suspek akan dikenakan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau keduanya sekali.

    Bagaimanapun, Zaiham memberitahu, hasil saringan ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif.

    “Saya meminta orang ramai menjauhkan diri dengan penyalahgunaan dadah dan ketum serta bekerjasama dengan polis menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah terus ke Pusat Kawalan Daerah IPD Bentong menerusi talian 09-2222222,” ujarnya.

  • Pegawai bank dijel 10 tahun perdagang isteri untuk seks

    Pegawai bank dijel 10 tahun perdagang isteri untuk seks

    SEORANG pegawai bank dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan memperdagangkan isterinya bagi tujuan eksploitasi seks, Oktober lalu.

    Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas tertuduh lelaki berusia 35 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdagangkan isterinya berusia 35 tahun bagi maksud eksploitasi seks.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Kuala Pilah pada 30 Oktober lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan telah insaf dan sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan atas kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan iaitu hidup atas wang hasil daripada persundalan isterinya.

    “Saya memohon hukuman penjara berjalan serentak dan hukuman yang sama iaitu tujuh tahun penjara, kalau mahkamah putuskan (hukuman penjara) lebih daripada itu saya mohon digantikan dengan sebatan.

    “Saya juga mohon isteri dapat dikeluarkan daripada pusat perlindungan supaya keluarga dapat aturkan dia pulang ke Sabah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Selain itu tertuduh turut memohon mahkamah menyerahkan semula tiga barang rampasan iaitu kunci rumah, kunci kereta dan telefon bimbit.

    Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi memberitahu kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan tidak bermoral selain perlu mengambil kira mangsa adalah isterinya sendiri selain melanggar hak-hak asasi manusia.

    Berdasarkan fakta kes, pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah telah menangkap tertuduh yang disyaki menjadi ejen serta ‘transporter’ dalam menguruskan aktiviti pemerdagangan manusia dengan tujuan mengeksploitasi seks ke atas mangsa.

    Hasil siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh merupakan suami yang sah kepada mangsa telah memperdagangkan mangsa bagi tujuan eksploitasi seks sejak Julai 2022 bagi tujuan menyelesaikan hutang yang ditanggung.

    Sebelum ini media melaporkan tertuduh dihukum penjara tujuh tahun dan tiga kali sebatan atas pertuduhan hidup dengan wang hasil daripada persundalan isterinya pada Oktober lalu.

  • Kerjasama BN-PH dianggap jual maruah parti demi kekal berkuasa

    Kerjasama BN-PH dianggap jual maruah parti demi kekal berkuasa

    TINDAKAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dianggap menjual maruah parti itu untuk kekal berkuasa.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan, demi mengekalkan kuasa politik, BN khususnya UMNO yang melaungkan ‘No PKR, No DAP, No Bersatu’, mengetepikan prinsip tersebut.

    Menurut bekas ahli majlis tertinggi UMNO itu, walaupun menyedari bahawa apa yang dilakukan Zahid adalah strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beliau tetap beranggapan tindakan BN itu seolah-olah langsung tidak berpegang kepada prinsip dan nilai dalam sebuah perjuangan.

    “Pilihan raya umum kali ini benar-benar pelik, banyak perkara tidak disangka berlaku. Ini pun tak pernah berlaku, ada orang berkempen dalam pilihan raya maki orang bagai nak rak, lepas pilihan raya pergi peluk orang itu bagai nak rak. Tak ada dalam pilihan raya.

    “Tak ada dalam pilihan raya seorang pemimpin seperti Zahid yang laungkan ‘No Anwar, No DAP itu untuk pilihan raya saja, lepas pilihan raya lain.

    “Jadi kalaulah sebelum pilihan raya macam itu, selepas pilihan raya macam lain. Jadi esok dia cakap macam itu, lusa dia cakap lain lah agaknya. Sebelum dilantik dalam Kabinet lain, lepas dilantik lain.

    “Ada orang cakap dengan saya, dia kata ini soal strategi, betul saya faham soal strategi tapi kalau pun strategi, kita dalam Perikatan Nasional (PN) takkan sanggup sampai menjual maruah semurah itu, kita tak sanggup buat sebab itu bila kita kata tiada PH, memang tiada PH. Bila kita kata tidak mahu membentuk kerajaan dengan PH, kita tak kerjasama dengan PH,” katanya semasa ceramah PN di Rompin malam tadi.

    Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu menegaskan, PN kekal berpegang kepada pendirian parti dan sanggup jadi pembangkang yang bermaruah daripada mengemis kuasa bersama dengan PH.

    “Itu baru perjuangan, kalau hari ini maki PH, biarlah kita ni berpegang kepada sesuatu prinsip dan nilai.

    “Jangan kita terlalu mudah demi untuk jadi Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, demi untuk jadi exco, maka kita boleh jual maruah kita dengan semurah dan semudah itu. Kita ada ada prinsip dan kita ada nilai,” katanya lagi.

    Menurut Zahid semalam, prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah hanya untuk berdepan PRU-15, dan bukannya selepas pilihan raya umum itu.

    “Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” katanya menerusi hantaran di laman facebook miliknya.

    Tambah Zahid lagi, apa yang berlaku dalam arena politik negara hari ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.

  • Penuntut universiti didakwa rogol dua remaja bawah umur

    Penuntut universiti didakwa rogol dua remaja bawah umur

    PENUNTUT institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas lima pertuduhan merogol dua remaja perempuan bawah umur, dari Mac hingga Jun lalu.

    Tertuduh yang kini berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

    Mengikut pertuduhan satu hingga tiga, tertuduh telah melakukan kesalahan merogol seorang remaja berusia 16 tahun, lapor Harian Metro.

    Kesalahan dilakukan dari Mei hingga Jun lalu di tiga lokasi berbeza di kawasan sebuah sekolah menengah, dekat Sikamat, di Seremban.

    Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh telah melakukan perbuatan merogol remaja perempuan berusia 15 tahun.

    Kesalahan dilakukan pada Mac dan Mei lalu di dua lokasi berbeza di sekolah sama.

    Justeru, bagi semua pertuduhan, tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.

    Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

    Tertuduh tidak diwakili peguam, namun ibunya yang akan membayar wang ikat jamin tampil membuat rayuan kepada mahkamah sebelum Surita membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi semua pertuduhan.

    Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat, sebulan sekali.

    Sebutan semula kes pada 4 Januari 2023.

  • Tuntutan Dong Zong berisiko, petanda buruk pendidikan negara – Rais

    Tuntutan Dong Zong berisiko, petanda buruk pendidikan negara – Rais

    GESAAN berterusan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) diiktiraf kerajaan, adalah berisiko dan menjadi petanda buruk kepada masa depan pendidikan negara.

    Menurut Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, tuntutan itu perlu diteliti secara mendalam oleh kerajaan, kerana UEC dilihat boleh menyebabkan pertembungan terhadap sistem peperiksaan sedia ada yang diamalkan dalam pendidikan negara.

    Jelas beliau, Dong Zong tidak wajar menghidupkan semula gesaan itu pada ketika pembentukan Kabinet belum dimuktamadkan lagi.

    “Saya dapati tuntutan itu berbentuk menggertak sedang kerajaan baharu sahaja dibentuk. Ia mencerminkan pendirian ‘opportunist’ mereka, isu pengiktirafan ini menyentuh berhubung kestabilan pendidikan negara dan perlu diteliti lebih mendalam.

    “Namun saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah biasa dengan ‘gelagat’ ini. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan kelak perlu mengambil kira untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjawab segala tuntutan ini.

    “Ini kerana kerajaan tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu bersedia mempertahankan hak pendidikan nasional yang mengandungi sifat asas dan tidak boleh diketepikan dengan adanya pensijilan baharu,” katanya kepada Berita Harian.

    Semalam, Dong Zong memohon pengiktirafan UEC dibincang secara rasional, ketika sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuatnya ketika pentadbiran kerajaan PH sebelum ini supaya UEC diiktiraf.

    Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan itu.

    Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji dasar UEC pada Oktober 2018 dan berjanji untuk mengiktiraf sijil pendidikan berkenaan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Pada masa sama, Rais berkata, pihaknya mahu isu berhubung pengiktirafan ini menemui titik noktah kerana ia tidak boleh menyebabkan berlakunya situasi duri dalam daging apabila gesaan mengenainya sering dibangkitkan.

    Beliau berkata, negara tidak memerlukan terlalu banyak peperiksaan kerana yakin ada intipati tertentu dalam UEC itu boleh diserapkan dalam sistem pendidikan nasional.

    Katanya, dalam masa sama kerajaan juga perlu meningkatkan standard pendidikan awam di negara ini, bagi memastikan lebih ramai kaum bukan Melayu berminat memasuki sekolah kebangsaan.

    “Kenapa perlu dibuat dua peperiksaan di negara ini, sedangkan saya yakin ada perkara dalam UEC yang boleh diserapkan sahaja dalam sistem pendidikan.

    “Saya suka menggesa supaya pendidikan di sekolah kebangsaan perlu dibuat pembetulan di semua peringkat supaya pelajar Cina, misalnya berminat untuk belajar di sekolah kebangsaan.

    “Kita tidak mahu menerima pensijilan, mereka namun saya tidak nampak adanya peningkatan standard bagi capaian pendidikan di sekolah kebangsaan, sebaliknya ramai pula pelajar Melayu yang beralih ke sekolah jenis kebangsaan.

    “Saya rasa ini satu dilema yang perlu diatasi oleh menteri pendidikan baharu nanti apabila selesainya pembentukan Kabinet kelak,” katanya.

  • Pindah 20 kambing tanpa kebenaran, lelaki didenda RM5,000

    Pindah 20 kambing tanpa kebenaran, lelaki didenda RM5,000

    SEORANG penternak kambing didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas kesalahan memindahkan 20 ekor kambing jantan tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri bulan lalu.

    Tertuduh, S. Davamaran, 42, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 20 ekor kambing jantan hidup tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi bahu jalan berhadapan sebuah kilang besi di Jalan Ara Kuda, Mengkuang Titi, Bukit Mertajam kira-kira pukul 6.30 petang, 21 Oktober lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.

    Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Selain denda, mahkamah turut memerintahkan wang cagaran untuk 20 ekor kambing bernilai RM6,000 dilucut hak kepada jabatan manakala lori yang digunakan untuk mengangkut haiwan dipulangkan semula sejurus prosiding selesai. 

    Difahamkan, tertuduh kemudian membayar denda tersebut. 

  • ‘Zahid kurang popular namun penting bagi survival Anwar sebagai PM’

    ‘Zahid kurang popular namun penting bagi survival Anwar sebagai PM’

    PERDANA menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berdepan gesaan untuk tidak melantik ahli parlimen yang mempunyai pertuduhan rasuah di mahkamah ke dalam kabinetnya.

    Gesaan itu khususnya berhubung perbicaraan rasuah di mahkamah dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dikatakan menjadi antara mereka yang mungkin dilantik Anwar untuk menjadi salah seorang timbalannya.

    Namun adakah Anwar mampu mengetepikan Zahid selepas apa yang dilakukan oleh pengerusi BN itu untuk mengemudi UMNO ke arah menyokong pembentukan kerajaan bersama PH?

    Sumber dalam UMNO yang dipetik Malaysiakini berkata, walaupun Zahid nampaknya bukan pilihan popular bagi rancangan Anwar untuk membentuk pentadbiran yang bersih dan bebas daripada pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah, melantik ahli parlimen Bagan Datuk itu sebagai timbalan perdana menteri adalah penting untuk memastikan Anwar terus memegang jawatan eksekutif tertinggi.

    “Kelangsungan kerajaan ini bergantung kepada Zahid. Jika Zahid tidak menjadi TPM, kemungkinan besar dia akan kalah dalam pemilihan parti akan datang.

    “Jika ini berlaku, maka ahli parlimen BN mungkin akan memberikan sokongan mereka kepada (Pengerusi PN Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) dan bukannya Anwar. GPS dan GRS kemudian akan mengikutinya, dan menyebabkan pentadbiran Anwar tumbang,” kata sumber itu.

    Orang dalam UMNO itu, yang rapat dengan Zahid, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak diberi kuasa untuk membuat kenyataan kepada media.

    Zahid, yang juga pengerusi BN, berdepan tekanan untuk berundur sebagai presiden UMNO dan daripada jawatan pengerusi BN selepas kekalahan memalukan gabungan itu dalam pilihan raya umum (PRU) minggu lepas.

    Malah ramai yang membuat spekulasi bahawa keputusan itu, yang merupakan prestasi terburuk bagi BN setakat ini, akan menamatkan karier politik Zahid menjelang pemilihan parti yang perlu diadakan selewat-lewatnya Mei tahun depan.

    Bagaimanapun, Zahid adalah tokoh penting dalam mengemudi UMNO yang mempunyai 27 kerusi parlimen untuk menyokong kerajaan yang dibentuk bersama PH.

    ‘Peraturan biasa tak terpakai’

    Penganalisis politik yang bercakap kepada Malaysiakini bersetuju bahawa Anwar dan Zahid mungkin memerlukan satu sama lain untuk hala tuju politik masing-masing.

    James Chin dari Universiti Tasmania berkata peraturan etika biasa tidak boleh digunakan untuk pemilihan menteri pentadbiran baru dan menyorot bahawa Anwar tidak mempunyai banyak pilihan dalam situasi ketika ini.

    “Orang ramai tidak boleh lupa ini bukan gabungan biasa, (ini adalah) kerajaan gabungan pasca pilihan raya yang disatukan pada saat-saat akhir selepas pilihan raya.

    “Jadi peraturan biasa tidak terpakai. Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia, adalah mustahil untuk menerapkan situasi 100 peratus betul dan salah. Malaysia adalah masyarakat yang sangat kompleks terutamanya dalam hal politik,” katanya.

    Menurut Chin, perdana menteri perlu menggunakan kriteria politik dalam memutuskan pelantikan kabinet termasuk menghormati calon pilihan Umno dan BN.

    “Dalam teori sudah tentu Anwar mempunyai budi bicara penuh, tetapi dalam kes ini, secara praktikalnya dia tidak mempunyai budi bicara sepenuhnya. Persoalannya siapa UMNO sanggup tolak.

    “Ini adalah pilihan yang sangat sukar untuk Anwar. Ia sebenarnya bukan terpulang kepada Anwar, terpulang kepada BN dan Umno untuk memilih siapa yang mereka mahu menjadi timbalan perdana menteri,” katanya.

    Chin juga menggesa pertubuhan masyarakat sivil yang telah mendesak Anwar untuk tidak melantik ahli parlimen yang terlibat dalam kes mahkamah, dengan mengatakan bahawa tidak semuanya harus dilihat secara hitam dan putih.

    Chin menegaskan bahawa kabinet sebelum ini juga melihat pemimpin yang mempunyai kes mahkamah tertunggak terus berkhidmat sebagai menteri.

    “Semuanya mesti dilihat secara keseluruhan, bukan semuanya dalam hitam putih.

    “Jika anda menggunakan peraturan etika biasa, maka anda mencipta ‘lubang besar’ kerana semua yang dilakukan oleh ahli politik di negara ini, jika anda menggunakan peraturan etika itu, kebanyakannya tidak akan lulus,” katanya.

    Sementara itu, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata perdana menteri mempunyai keutamaan untuk menghalang PAS daripada berkuasa.

    Memandangkan Zahid masih menguasai Umno pada ketika ini, tambahnya, Anwar perlu bersabar dengan presiden Umno itu.

    Oh membayangkan bahawa Anwar malah mungkin perlu sehingga “menangani” masalah undang-undang Zahid.

    “Keutamaan politik yang utama dan luar biasa pada masa kini ialah menghalang PAS daripada berkuasa dan dengan itu memperbesar agenda teokratiknya.

    “Apa-apa sahaja yang boleh menyumbang ke arah itu mesti dilakukan, termasuk menangani masalah undang-undang Zahid secara halus jika perlu.

    “Ia adalah perkara yang wujud untuk negara ini seperti yang kita tahu,” katanya kepada Malaysiakini.

  • Warga Indonesia miliki kad pengenalan orang lain dipenjara, didenda

    Warga Indonesia miliki kad pengenalan orang lain dipenjara, didenda

    SEORANG lelaki Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Tawau hari ini, selepas didakwa memiliki kad pengenalan yang bukan kepunyaannya sejak sembilan tahun lalu.

    Tertuduh Arbain Jajji, 50, yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori itu didakwa tanpa sebab yang munasabah memiliki dokumen pengenalan diri bukan kepunyaannya iaitu milik seorang individu lelaki berusia 42 tahun.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd. Naser Nadzeri dalam hujahnya memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius.

    Jelasnya, tertuduh memiliki kad pengenalan terbabit sejak 2013 lagi sekali gus menafikan hak-hak yang sepatutnya diperolehi pemilik sebenar yang merupakan warganegara Malaysia yang sah di sisi undang-undang.

    “Kesalahan tertuduh memberi implikasi negatif kepada pemilik sebenar sehingga terpaksa menjalani kehidupan yang sukar,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Bagaimanapun, peguam Mark Rosaidey Mohd. Amin yang mewakili tertuduh merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan dengan mengambil kira pengakuan bersalah anak guamnya yang menjimatkan kos dan masa mahkamah.

    “Tertuduh juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah serta memberikan kerjasama penuh dalam kes ini selain menjadi penanggung utama keluarga yang mempunyai tiga orang anak,” katanya.

    Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan bermula tarikh ditangkap iaitu pada 27 November lalu selain tertuduh akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang sebaik selesai menjalani hukuman.

    Tertuduh juga diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda.

  • PH tak ada potensi di Tioman, bukan saingan PN – Mohd Amar

    PH tak ada potensi di Tioman, bukan saingan PN – Mohd Amar

    KEPUTUSAN Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman tidak menjejaskan Perikatan Nasional (PN).

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ia bukan saingan PN berdasarkan potensi pada pilihan raya lalu.

    Menurut beliau, gabungan berkenaan juga tidak menjadi masalah kepada parti itu untuk menang di Langkawi.

    “PH tidak ada potensi, hanya nasi tambah, mereka tidak yakin boleh menang sebab itu tarik diri, jika kalah pun malu,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Amar memberitahu Pas juga boleh memenangi pilihan raya itu jika terdapat persaingan tiga penjuru.

    Beliau turut berpendapat, berdasarkan pilihan raya di Tioman, PH dan BN mungkin menggunakan kaedah sama (BN akan bertanding) selepas ini.

    “BN cuma mahu kerusi sebab itu mereka putuskan hubungan dengan Maufakat Nasional,” katanya.

    PH semalam memutuskan untuk menarik diri dan memberi laluan kepada calon BN bertanding di DUN Tioman.

    Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hatta Ramli berkata, langkah itu diambil sebagai menunjukkan kesepakatan kerajaan Pahang dan Putrajaya.

  • 2 pemimpin DAP diperintah bayar RM350,000 fitnah bekas timbalan menteri

    2 pemimpin DAP diperintah bayar RM350,000 fitnah bekas timbalan menteri

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin yang baharu dipilih, baru-baru ini, membayar ganti rugi RM350,000 kerana memfitnah bekas timbalan menteri, Chew Mei Fun, berhubung dakwaan meluluskan penjualan tanah pada nilai rendah kepada MCA.

    Lapor Free Malaysia Today, Hakim Roslan Abu Bakar berkata, Chew juga bekas naib presiden MCA, telah membuktikan kesnya terhadap dua pemimpin DAP itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.

    Chew telah menyaman Pua berhubung artikel diterbitkan dalam Malay Mail dan Nanyang Siang Pau serta di FMT, pada September 2017.

    Yeo juga disaman berhubung video yang diterbitkan di Facebook dan Nanyang Sian Pau, pada bulan sama.

    Pua dan Yeo mendakwa Chew, yang menganggotai jawatankuasa tanah daerah, telah meluluskan penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor di bawah harga pasaran.

    Dalam keputusannya, Roslan berkata, kedua-dua penerbitan itu memfitnah Chew dan pembelaan justifikasi, komen adil dan keistimewaan Reynolds yang dibangkitkan oleh kedua-duanya telah gagal.

    Pua dan Yeo diperintahkan membayar Chew masing-masing RM200,000 dan RM150,000, sebagai ganti rugi.

    Chew, yang diwakili Rueben Mathiavaranam, turut dianugerahkan RM50,000 sebagai kos yang perlu dibayar oleh defendan.

    Pua dan Yeo diwakili Syahredzan Johan.

    Chew, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, memfailkan saman itu, pada Mac 2018.

    Beliau dilantik sebagai senator antara 2014 dan 2017.

    Ketika kenyataan menyinggung itu dibuat, Pua merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, manakala Yeo ADUN Damansara Utama.

    Mereka mendakwa, Chew menyalahgunakan kuasanya dan meletakkan dirinya dalam kedudukan konflik berkepentingan.

    Bagaimanapun, Chew berkata, beliau tidak menganggotai jawatankuasa tanah kerana perkara melibatkan tanah adalah di luar bidang kuasanya.

    Beliau juga berkata, Yeo mendakwa tanah berkenaan digunakan oleh penduduk setinggan bagi penanaman buah naga pada masa ia dijual kepada MCA.