Author: Wartawan WartaRakyat

  • Landasan kereta api Hatyai-Padang Besar dibom

    Landasan kereta api Hatyai-Padang Besar dibom

    PERKHIDMATAN kereta api State Railway of Thailand (SRT) dari Hatyai ke Padang Besar, Malaysia tergendala selepas landasan dibom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngek, di Sadao, Thailand, pukul 2 petang tadi.

    Sumber berkata, kejadian berlaku ketika sebuah kereta api kargo dari Haytai ke Padang Besar tergelincir selepas landasan yang dilalui dipercayai diletakkan bom berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngae.

    Letupan menyebabkan gerabak kereta api berkenaan terbabas dan melumpuhkan perkhidmatan kereta api dari sektor berkenaan ke Padang Besar.

    Stesen Kereta Api Khlong Ngae, Sadao terletak 23.3 kilometer dari Stesen Kereta Api Padang Besar, Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand, lapor Harian Metro

    Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian berkenaan dan setakat ini perkhidmatan kereta api SRT masih dihentikan buat sementara waktu.

    Sementara itu Bangkok Post melaporkan pihak berkuasa akan menyiasat kejadian tersebut sama ada landasan tersebut di bom atau kejadian kemalangan.

    Sumber memaklumkan landasan itu perlu ditutup beberapa hari bagi membolehkan kerja-kerja membaiki dilakukan.

    Kereta api berkenaan mempunyai 20 gerabak dengan 11 daripadanya tergelincir daripada landasan dan rosak teruk.

    Empat pekerja iaitu termasuk dua pemandu dan seorang juruteknik tidak mengalami sebarang kecederaan.

  • Tidak sertai Kabinet, MIC kini seperti pembangkang

    Tidak sertai Kabinet, MIC kini seperti pembangkang

    PRESIDEN MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mendakwa, parti itu ada membuat permohonan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN) supaya mempertimbangkan wakilnya dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

    Vigneswaran ketika mendedahkan perkara itu berkata, mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada menyatakan untuk membuat pertimbangan mengenai hal itu.

    Bagaimanapun katanya, sebaliknya pula berlaku apabila tidak ada seorang pun wakil MIC yang tersenarai untuk dilantik sebagai menteri.

    “Tak adalah, kita tak minta pun (jawatan menteri). Ini terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri.

    “Cuma sebelum ini apabila kita bincang dalam BN, memanglah mereka ada cakap nak pertimbangkan.

    “Tetapi apabila senarai (menteri) keluar (diumumkan) bermakna kita tidak dapat. Kita tiada masalah sebab kita pun tak tuntut,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Meskipun tidak diperuntukkan sebarang jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, Vigneswaran berkata, MIC akur dengan ketetapan itu.

    Menganggap partinya kini adalah pembangkang susulan keputusan buruk yang dilakar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila MIC hanya menang satu daripada 10 kerusi ditandingi, beliau akui tidak kisah sekali pun untuk jawatan timbalan menteri.

    “Tak adalah…Kita tak minta pun (jawatan dalam Kabinet) dan kita pun tidak tuntut. Ini terpulang pada budi bicara perdana menteri.

    “Walaupun kita ada berbincang dengan Barisan Nasional (BN), memanglah mereka ada cakap nak buat pertimbangan, tetapi apabila senarai keluar (diumumkan) bermakna tidak dapat.

    “Kita sudah buat ketetapan ini (tak tuntut) kerana kita sudah buat keputusan untuk patuh nasihat Yang di-Pertuan Agong. Jadi kita tak payahlah minta apa-apa (jawatan). Tak ada masalah pun,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap agar menteri yang dilantik terutama dalam kalangan kaum India memberi tumpuan dan bekerja keras untuk golongan itu.

    “Tidak kira menteri kaum India itu daripada parti apa sekali pun, kita meletakkan harapan tinggi supaya nasib dan kebajikan kaum India di negara ini, sentiasa terbela serta diberi tumpuan sewajarnya.

    “Kita ini pembangkang. Jadi rakyat sudah tentukan kita pembangkang. Kalau kita tak dapat (jawatan) kita tak ada masalah. Tetapi saya percaya menteri berkenaan asalkan dia boleh selesaikan masalah kalau wujud isu berkaitan kaum India, sudah cukup.

    “Cuma jangan beri alasan tidak munasabah bahawa (kebajikan kaum India) bukan dalam kementerian beliau,” katanya.

  • Bayi perempuan masih bertali pusat ditinggalkan dalam kotak

    Bayi perempuan masih bertali pusat ditinggalkan dalam kotak

    SEORANG bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan, ditemukan dalam sebuah kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di hadapan simpang masuk kebun di Jemaluang, di Mersing, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata bayi itu yang masih bertali pusat, diletakkan dalam sebuah kotak dengan hanya beralaskan kain langsir, ditemukan kira-kira jam 8.40 pagi.

    “Polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan menemukan seorang bayi yang masih hidup dan cukup sifat di tepi simpang masuk kebun berkenaan.

    “Bayi itu kemudiannya diselamatkan dan dirawat di Klinik Kesihatan Jemaluang, bagaimanapun identitinya masih belum dapat dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Bayi itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

    Cyril turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

  • Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar rapuh, kata Hadi Awang

    Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar rapuh, kata Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebuah kerajaan yang rapuh atas faktor tidak cukup jumlah majoriti.

    Menurutnya, antara jemaah yang dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan itu juga terdiri kalangan mereka yang disebut oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri sebagai perompak dan penyamun.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerajaan yang ditubuhkan itu adalah sebuah kerajaan yang rapuh atas faktor tidak cukup jumlah majoriti.

    “Tambahan pula terdapat jemaah menteri yang dilantik merupakan kalangan yang disebut oleh pemimpin PH sendiri sebagai perompak dan penyamun.

    “Orang sebegini yang dilantik menjadi menteri. Ini yang berlaku. Kita sabar sekejap. Ini ujian yang Allah SWT berikan kepada kita,” katanya menerusi hantaran di Twitter dan Facebook, hari ini.

    Petang tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selesai mengangkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri I, manakala Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik Timbalan Perdana Menteri II.

    Kerajaan Perpaduan mempunyai 28 menteri adalah kabinet lebih kecil berbanding 31 jemaah menteri dalam kerajaan sebelum ini.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi menggesa semua mengambil contoh perjuangan Baginda Nabi Muhammad SAW dalam usaha menegakkan syariat Islam di Malaysia.

    “Rasulullah SAW sendiri pernah diuji apabila turun ayat bahawa Nabi SAW akan memasuki Makkah. Namun apabila Nabi SAW ingin memasuki Makkah dalam peristiwa Hudaibiyah, disekat jalannya.

    “Selepas beberapa tahun barulah Nabi SAW berjaya memasuki Makkah dan membebaskannya daripada kekuasaan musyrikin Makkah.

    “Marilah kita mengambil contoh daripada perjuangan baginda Nabi SAW ini dalam usaha kita menegakkan syariat Islam di Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Lelaki guna nama masjid kutip derma sudah ditahan

    Lelaki guna nama masjid kutip derma sudah ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang menggunakan nama masjid untuk mengutip derma bagi memberi sumbangan dan makanan kepada anak yatim.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 29 tahun ditahan pukul 4.48 petang semalamdi kediamannya di kawasan perumahan Kemumin, Pengkalan Chepa.

    “Suspe merupakan seorang penganggur. Siasatan awal juga mendapati suspek terbabit dalam kes menggunakan modus operandi sama di Pasir Puteh pada Mei lalu.

    “Hasil semakan mendapati suspek juga adalah individu dikehendaki selain mempunyai rekod lampau berhubung kes rogol di Bachok.

    “Kami yakin selepas siasatan dibuat, ramai lagi yang akan tampil untuk membuat laporan berhubung kes penipuan secara dalam talian yang semakin berleluasa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, Kuala Krai, hari ini.

    Beliau berkata, permohonan reman suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang peniaga yang dihubungi oleh suspek yang mengaku sebagai penghulu memberitahu ingin mengadakan majlis untuk memberi makan anak yatim dan meminta sedikit sumbangan kewangan.

    Mangsa tidak bertanya lanjut berikutan sering dihubungi pemimpin setempat untuk tujuan yang sama sudah membuat transaksi RM500 kepada suspek.

    Suspek kemudian memaklumkan tidak cukup dan meminta RM2,300 lagi daripada mangsa.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, statistik jenayah komersial di Kelantan pada tahun ini meningkat sebanyak 30 kes atau 3.4 peratus berbanding tahun lalu dalam tempoh Januari hingga November.

    “Pada tahun lalu sebanyak 874 kes dilaporkan berbanding tahun ini sebanyak 904 kes dengan anggaran kerugian masing-masing RM16,072,480.65 pada tahun lalu dan RM24,897,882.21 pada tahun ini.

    “Antara jenis yang dilaporkan termasuklah Macau Scam, tipu pelaburan dalam talian, tipu kerja sambilan dalam talian, pinjaman tidak wujud, dan sebagainya,” katanya, lapor Harian Metro.

  • PN ikrar jadi pembangkang telus, perjuang nasib rakyat

    PN ikrar jadi pembangkang telus, perjuang nasib rakyat

    PERIKATAN Nasional (PN) berikrar untuk menjadi pembangkang yang lebih telus dan sentiasa memperjuangkan nasib rakyat.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, walaupun berada di pihak pembangkang, mereka tetap akan bertanggungjawab membantu membentuk negara ini dengan lebih baik.

    “Jadi kepada semua pengundi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu janganlah berasa kecewa, sentiasalah mengamalkan sikap bersabar.

    “Dalam kempen kita yang lalu, kita selalu mengatakan bahawa kita akan sentiasa menentukan masa depan kita secara jujur dan ikhlas dan apa juga yang berlaku dihadapan kita ini belum ada garis penamatnya lagi,” katanya, lapor SatuBerita.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Parlimen Larut di Dewan Terbuka Tapak Bazar Ramadan Selama di Larut hari ini.

  • Remaja 15 tahun ditahan kes rogol gadis bawah umur

    Remaja 15 tahun ditahan kes rogol gadis bawah umur

    POLIS menahan seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun kerana merogol gadis bawah umur dalam kejadian di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kuala Krai.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, remaja tersebut merupakan antara individu terbaharu yang ditahan selepas pihak polis mereman sembilan suspek berusia antara 13 hingga 21 tahun pada Jumaat.

    “Penahanan suspek terbaharu itu akan membantu siasatan berhubung kes tersebut. Pihak kami akan menjalankan kolaborasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengatasi masalah ini.

    “Hasil pemerhatian dan siasatan yang dijalankan mendapati kes ini berpunca daripada masalah keruntuhan keluarga yang melibatkan penceraian antara ibu dan bapa,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai hari ini.

    Menurut beliau, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membantu golongan remaja bawah umur berkait dengan jenayah rogol, lapor Sinar Harian.

    Media semalam melaporkan seramai sembilan lelaki termasuk remaja direman bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan gadis bawah umur dalam kejadian di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB).

    Kesemua suspek berusia antara 13 hingga 21 tahun itu direman antara lima hingga tujuh hari bermula semalam.

    Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, menurut keterangan mangsa sekitar pukul 9 malam pada 25 Oktober lalu, dia telah keluar dari rumahnya di Wakaf Bharu (Tumpat) dan tinggal bersama teman lelakinya di Jalan PCB.

    Menurut beliau, semasa tinggal bersama teman lelakinya mangsa telah melakukan hubungan seks bersama rakan suspek lain di kawasan tepi pantai, Jalan PCB.

  • Hamzah sedia beri tip kepada Saifuddin

    Hamzah sedia beri tip kepada Saifuddin

    BEKAS Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sedia berkongsi panduan kepada peneraju baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi membantu memahami peranan dan fungsi kementerian itu.

    “Perkara ini dilakukan adalah untuk kepentingan negara selain mengenali Saifuddin sebagai sahabat.

    “Saifuddin ini sahabat saya, saya kenal ketika zaman Pemuda UMNO, bukan baharu kenal beliau.

    “Apa pun yang kita lakukan adalah untuk kepentingan negara. Kalau sesuatu untuk negara, saya boleh berikan perkara-perkara yang saya rasa baik untuk beliau terus perjuangkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Parlimen Larut di Tapak Bazar Ramadan di Selama di Larut, hari ini.

    Hamzah mengulas laporan media mengenai hasrat Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu untuk mendapatkan tip atau panduan daripadanya.

    Saifuddin Nasution menghormati Hamzah selaku bekas Menteri Dalam Negeri selain mempunyai hubungan baik dengannya sejak puluhan tahun lalu.

    Malah ketika dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 2018, beliau juga banyak belajar daripada Hamzah yang menerajui kementerian itu pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

  • Hamzah dakwa Kabinet kerajaan baharu ‘kalut’

    Hamzah dakwa Kabinet kerajaan baharu ‘kalut’

    PERIKATAN Nasional (PN) menyifatkan Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kalut.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Kabinet yang dibentuk itu dilihat tidak selari dengan kempen parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    “Ramai yang hubungi sama ada daripada BN mahupun PN merasakan bahawa kabinet yang ditubuhkan itu kalut, tidak menentu kerana sesuatu yang dahulunya difikirkan lain dibuat lain.

    “Ini membuktikan bahawa dalam pilihan raya segala apa yang diluahkan hanyalah mencari undi sahaja, tiada keikhlasan atau perasaan untuk membuktikan sesuatu yang dikatakan itu boleh ditunaikan.

    “Ada ramai lagi yang sebelum ini dikatakan akan dilantik kerana memberikan kemenangan, yang menang mengalahkan orang dan akhirnya bergabung, yang kalah pula dilantik, kesian. Sebab itu saya kata ini adalah kabinet kalut,” katanya.

    Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Majlis Kesyukuran Parlimen Larut di Tapak Bazar Ramadan di Selama di Larut, hari ini.

    Katanya, masih ramai Ahli Parlimen dalam Pakatan Harapan (PH) yang layak dilantik bagi menganggotai kabinet itu.

    “Saya kesian rakan-rakan kita yang baik dalam parti tersebut tidak dilantik. Ini membuktikan bahawa hanya mereka yang kalut sahaja yang dilantik dan telah pun diumumkan.

    “Bila sesuatu yang kalut, tambah lagi goyang, ianya akan dilihat rakyat sebagai kerajaan yang tidak stabil. Kita lihatlah, sesuatu ikatan yang longgar dan kita buat dengan kalut, kita goyang-goyang sedikit sudah terungkai,” katanya.

    Ahli Parlimen Larut itu berkata, PN menjadi kumpulan yang akan menentang segala kemungkaran dalam pentadbiran kerajaan baharu itu.

    “Kerana kepakaran-kepakaran yang ada dalam kalangan Ahli Parlimen kita ini boleh memberikan pandangan, hujah-hujah yang bernas serta bertanggungjawab mengikut kementerian. Jadi tidak perlu dikatakan Kabinet bayangan.

    “Kita akan menjadi pembangkang sentiasa melihat segala kemungkaran, kita perjuangkan demi rakyat supaya rakyat memahami bahawa kita bertanggungjawab menentukan negara ini benar-benar dibawa ke arah lebih baik di masa hadapan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lantikan Zahid membingungkan, Anwar pegang kewangan cetus kegusaran

    Lantikan Zahid membingungkan, Anwar pegang kewangan cetus kegusaran

    BADAN pemikir, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menzahirkan kegusaran terhadap barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

    Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr. Tricia Yeoh berkata, pengumuman itu amat dinantikan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa namun IDEAS menyifatkan keputusan Anwar melantik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri di sebalik pertuduhan sedang dihadapinya di mahkamah amat membingungkan.

    “IDEAS juga menggesa pengasingan peranan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana tiada pengawasan terhadap portfolio paling penting dalam Kabinet.

    “Walaupun mencapai kestabilan, pelantikan Zahid Hamidi sebagai TPM yang memegang portfolio strategik memberi isyarat salah daripada kerajaan yang berikrar untuk mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.

    “Walaupun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan melalui semua proses rayuan sudah memadai untuk mengekalkan kerusi di Parlimen, ahli-ahli Kabinet yang dilantik perlu mempunyai standard yang lebih tinggi.

    “Hal ini penting untuk memastikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tricia berkata, langkah Anwar melantik diri sendiri sebagai Menteri Kewangan juga tidak selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik yang sebelum ini diisytiharkan beliau sebagai agenda teras Kerajaan Perpaduan.

    Jelasnya, komitmen untuk mengasingkan portfolio juga telah dibuat dengan jelas dalam manifesto pilihan raya PH sebelum ini.

    “Skandal rasuah 1MDB, sebahagiannya dipermudahkan dengan membenarkan seorang individu memegang dua jawatan penting Kabinet ini secara serentak.

    “Tiga pentadbiran (Perdana Menteri) sebelum ini telah cuba mengubah tradisi ini dengan melaksanakan pengasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Walaupun secara politik sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam kerajaan perpaduan, peranan perlu diasingkan untuk proses semak dan imbang,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, IDEAS mencadangkan Perdana Menteri harus komited untuk mencari seorang Menteri Kewangan yang sesuai; seseorang yang boleh melaksanakan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.

    Katanya, Menteri Kewangan juga perlu mengawasi pembaharuan fiskal seperti melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal yang tergendala sejak sekian lama.

    “Perdana Menteri menunaikan sebahagian daripada janjinya ketika sidang media pada 24 November lalu untuk mewujudkan Kabinet yang lebih kecil.

    “Kami juga melihat perwakilan wanita, belia dan wilayah yang lebih baik dalam barisan Kabinet ini. Hal ini dicerminkan menerusi lima jawatan menteri dengan lima ahli politik wanita, empat ahli politik belia, dan enam wakil Borneo termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

    “Bagaimanapun, kami amat berharap Perdana Menteri tidak mengikut langkah pentadbiran sebelum ini yang melantik timbalan menteri dan duta khas bertaraf menteri, untuk memuaskan hati pelbagai pihak dan menjadikan saiz Kabinet terlalu besar,” katanya.

    Beliau berkata, pada masa sama, IDEAS mengucapkan tahniah kepada semua menteri yang telah diberi tanggungjawab dan peluang untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat kerana sudah tiba masanya untuk melaksanakan manifesto pilihan raya yang dijanjikan oleh gabungan mereka kepada pengundi.

    Katanya, walaupun setiap gabungan menekankan aspek dasar yang berbeza dalam manifesto masing-masing, kebanyakannya berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk meringankan beban rakyat dan mempercepat pembaharuan institusi.

    IDEAS berharap pembaharuan institusi utama yang disebut oleh BN dan PH ketika tempoh berkempen seperti janji untuk menggubal Undang-undang Pendanaan Politik dan pengasingan kuasa antara peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan dilaksanakan dengan pantas.

    Sehubungan itu, pihaknya berharap akan dapat menjalin hubungan rapat dengan Menteri Undang-undang yang baru dilantik serta berharap akan melaksanakan pembaharuan ini secara agresif dalam masa terdekat.

    “Selain itu, kami juga berharap untuk meneruskan hubungan dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan berkenaan isu-isu yang diperjuangkan oleh IDEAS mengenai pembaharuan perolehan awam, belanjawan, ekonomi, perdagangan, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

    Pada masa sama, IDEAS menggesa Perikatan Nasional (PN) untuk memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berkesan dan adil kepada kerajaan sedia ada.

    Katanya, mereka harus melaksanakan rancangan membentuk Kabinet Bayangan tidak lama lagi untuk terlibat secara konstruktif dalam pembuatan dasar.

    “Menerusi pembentukan Kabinet Bayangan dan memberikan kritikan yang membina terhadap dasar-dasar kerajaan, PN akan berjasa besar kepada negara bukan sahaja melalui menyediakan mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan, tetapi juga dengan mengalihkan naratif awam semasa daripada propaganda politik yang memecahbelahkan.

    “IDEAS menggesa semua pihak yang melobi pelantikan politik ke dalam kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun persekutuan (FSB) untuk meneruskan semangat pengorbanan dan kemurahan hati dalam memastikan kerajaan perpaduan yang stabil.

    “Kejayaan kerajaan ini bergantung kepada tanggungjawab kolektif setiap ahli Parlimen daripada parti-parti utama yang telah membentuk kerajaan kerana negara memerlukan kestabilan politik dan juga komitmen terhadap prinsip.

    “Oleh itu, sebarang pelantikan di bawah pentadbiran ini pada masa hadapan seharusnya dapat menangani kedua-dua keperluan secara sama rata dengan mengambil kira semua alternatif yang tersedia,” katanya.