Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pengundi Padang Serai, Tioman dinasihat mengundi ikut masa dicadangkan

    Pengundi Padang Serai, Tioman dinasihat mengundi ikut masa dicadangkan

    MENJELANG hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

    Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata seramai 132,955 orang pengundi bakal mengundi di Parlimen Padang Serai manakala 28,108 orang di DUN Tioman dan semua pengundi dinasihatkan supaya mengundi mengikut waktu yang telah diwartakan serta tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

    “Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Ikmalrudin menasihatkan pengundi supaya membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. 

    Sebanyak 46 Pusat Mengundi dan 230 Tempat Mengundi (Saluran) akan dibuka untuk pengundian di Parlimen Padang Serai, manakala 17 Pusat Mengundi melibatkan 52 saluran mengundi dibuka bagi proses pengundian di DUN Tioman.

    SPR juga menyarankan pengundi yang hadir mengundi esok supaya memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi manakala pengundi yang positif COVID-19 berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

    Ikmalrudin berkata majikan juga diingatkan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Beliau juga mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini dan sebarang bentuk aktiviti kempen termasuk aktiviti merayu undi perlu dihentikan selepas tempoh itu.

    “Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya dan menambah bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan.

    SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam, katanya. – BERNAMA

  • Alang-alang hapuskan terus judi, ada berani? – Pas

    Alang-alang hapuskan terus judi, ada berani? – Pas

    PAS mencadangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menghapuskan aktiviti judi yang wujud di negara ini.

    Ketua Penerangannya Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ini sebagai mengambil teladan daripada usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengharamkan aktiviti itu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    “Tahniah PM kerana telah menurunkan cabutan judi.

    “Alang-alang, saya nak cadang kepada kerajaan untuk hapuskan terus judi macam yang dilaksanakan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ada berani,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

    Pada masa sama, Khairil Nizam membidas, sikap penyokong Pakatan Harapan (PH) yang terus menfitnah Pas kononnya menyokong aktiviti judi.

    Beliau menegaskan, parti itu sebelum ini antara yang lantang membantah langkah kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi.

    Malah, katanya lagi, kutipan cukai menunjukkan penurunan mendadak sepanjang PN memerintah apabila banyak pusat judi berjaya ditutup di bawah negeri-negeri Pas memerintah.

    “Sekarang PM tambah pula sentimen minta orang membayangkan PN menggunakan dana judi untuk bantu kempen PRU.

    “Buat apa bayang-bayang. Kalau ada bukti, kemukakanlah. Kasihan, sudah jadi kerajaan pun masih ada mentaliti pembangkang.

    “Semoga Allah beri hidayah kepada pemfitnah untuk kembali ke jalan yang benar,” katanya lagi, lapor Utusan TV.

  • Calon PN diberi dana tapi bukan daripada syarikat judi – Hamzah

    Calon PN diberi dana tapi bukan daripada syarikat judi – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengakui bahawa calon yang mewakili gabungan itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diberikan dana untuk tujuan kempen, namun menafikan ia datang dari syarikat perjudian.

    Beliau berkata, gabungan itu hanya memberikan RM50,000 kepada setiap calon yang bertanding di bawah tiket PN pada PRU15.

    “Mereka bimbang dengan apa yang berlaku ketika pilihan raya baru-baru ini, oleh itu Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendakwa untuk kempen, PN menerima jutaan ringgit dana daripada ‘tauke’ judi.

    “Ya, benar kami berikan dana. Saya Setiausaha Agung PN dan ada ramai calon di depan saya…kami hanya memberikan RM50,000 untuk setiap calon.

    “Jika saya ada duit daripada kaki judi, saya rasa (PN) bukan sahaja menang 73 kerusi, (malah) 30 (kerusi) BN juga kita sapu habis.

    “Namun kerana kami tidak mempunyai wang mencukupi, sebab itulah kita tak dapat menang banyak,” katanya dalam satu ceramah ketika berkempen untuk PRU-15 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di sini, malam tadi.

    Semalam, Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya membayangkan dana kempen pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

    Pada sidang media sama, Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan keputusan kerajaan sebelum ini yang meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun berkuat kuasa 1 Januari depan.

    Sementara itu, Hamzah mengingatkan Anwar bahawa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik membarisi senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan kini, adalah Menteri Kewangan ketika Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri.

    Beliau berkata, keputusan berkaitan cabutan khas syarikat perjudian diputuskan Menteri Kewangan dan Tengku Zafrul harus menjawabnya.

    “Beliau (Anwar) berkata ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini terdapat 22 cabutan khas. Siapa Menteri Kewangan? (Jawapannya) Tengku Zafrul (dan) anda kena tanya Tengku Zafrul.

    “Hari ini (semalam) ketika mesyuarat Kabinet diadakan beliau (Anwar) mengumumkan 22 cabutan khas dikurangkan kepada lapan, jadi apa maksudnya?

    “Ini hanya menunjukkan Menteri Kewangan ada kuasa dan dalam perkara berkenaan perjudian hanya Menteri Kewangan berkuasa dan anda perlu tanya Tengku Zafrul,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Ketua setiausaha perbendaharaan dicutikan?

    Ketua setiausaha perbendaharaan dicutikan?

    KETUA Setiausaha Perbendaharaan Negara, Asri Hamidin dikatakan sedang bercuti bermula hari ini serentak dengan waktu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaporkan diri bertugas sebagai menteri kewangan.

    Menurut sumber, Asri juga tidak kelihatan dalam sambutan Anwar mengimbas kad perakam waktu (clock in) buat kali pertama pada pagi ini di Kementerian Kewangan, Putrajaya.

    “KSP tak sambut (Anwar). Beliau dicutikan. Masa mesyuarat pertama Kementerian Kewangan, Anwar dah kata KSP akan ditukar,” kata sumber terdekat di Putrajaya kepada MalaysiaNow.

    Asri dilantik pada 2020 tidak lama selepas Tengku Zafrul Aziz mula menerajui Kementerian Kewangan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

  • Bekas ketua balai polis didenda RM6,500 selepas mengaku terima suapan

    Bekas ketua balai polis didenda RM6,500 selepas mengaku terima suapan

    BEKAS ketua balai polis didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan dari pusat hiburan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, selepas membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Elesabet turut memerintah tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam, iaitu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sub-inspektor, telah mendapatkan untuknya sesuatu benda berharga iaitu wang tunai RM6,000 tanpa balasan daripada Hang Kah Joon, yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi dengannya.

    Perbuatan itu dilakukan pada pukul 5 hingga 6.15 petang di pejabatnya di dalam Balai Polis Tengkera, pada 11 Ogos 2020.

    Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum tanpa penjara kerana tertuduh begitu menyesali perbuatannya yang turut dipulau keluarga selain akan bersara tidak lama lagi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah bagaimanapun meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam.

    Mahkamah juga bersetuju pertuduhan lain digugurkan atau diambil kira sebagai Take Into Consideration (TIC) selepas dipohon pihak pendakwaan susulan pengakuan tertuduh.

  • Rundingan terus bagi projek perlu disegerakan, Anwar tahu proses ini-Tuan Ibrahim

    Rundingan terus bagi projek perlu disegerakan, Anwar tahu proses ini-Tuan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan terus bagi projek tebatan banjir yang perlu disegerakan bukanlah satu bentuk kesalahan perolehan.

    Jelasnya, banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan kerugian lebih banyak.

    Menurut beliau, perkara itu diketahui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

    “Sebagai Menteri Kewangan, saya yakin beliau mengetahui bahawa selain Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), semua proses kawal selia prosedur kewangan mestilah diteliti secara ketat mengikut tatacara, prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

    “Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak sepatutnya mengganggap semua projek melalui tender rundingan terus sebagai tidak teratur dan wujud pihak yang mencari kesempatan.

    “Beliau tahu banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan kerugian lebih banyak.

    “Ia mestilah terpaksa dilakukan melalui kaedah runding terus atau tander terpilih khususnya yang melibatkan bencana seperti banjir, empangan pecah, tanah runtuh dan lain.

    “Namun, sekali lagi saya tegaskan ia mesti mematuhi prosedur kewangan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hari ini Anwar mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

    Beliau berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

    Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pegawai kementerian berkenaan sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

    Ujar Anwar lagi, itu membabitkan jumlah peruntukan yang bukan kecil dan keputusan meluluskannya secara rundingan terus itu dibuat dengan alasan kononnya untuk menyelesaikan masalah tebatan banjir.

  • [VIDEO] ‘Masa luar biasa ujian sebenar tentukan kita berprinsip atau tidak’ – Wan Saiful

    [VIDEO] ‘Masa luar biasa ujian sebenar tentukan kita berprinsip atau tidak’ – Wan Saiful

    KENYATAAN Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bahawa pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan adalah ekoran negara sedang berdepan ‘masa luar biasa’ memperlihatkan perjuangan Pakatan Harapan (PH) adalah penipuan demi nafsu dan tiada prinsip.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebaliknya ‘waktu yang luar biasa’ merupakan ujian yang sebenar dalam menentukan sesebuah parti itu berprinsip atau tidak.

    “Rupa-rupanya Presiden dan Timbalan Presiden serupa sahaja. Demi jawatan dan kedudukan, sanggup menjual diri dan menggadai perjuangan.

    “Konon-kononnya ini masa yang luar biasa dan membolehkan prinsip dilupakan. Sebenarnya ujian yang menentukan kita berprinsip atau tidak ialah ujian pada waktu yang luar biasa. Nyata sekali perjuangan PH adalah penipuan demi nafsu dan tiada prinsip,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

    Tambah Wan Saiful, Rafizi seolah-olah hilang ingatan apabila pendirian prinsipnya dikatakan berubah-ubah sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Rafizi pernah berkata dia akan jadi orang pertama menolak sebarang rundingan dengan UMNO. Selepas PRU15, dia menjadi salah seorang yang berunding dengan UMNO.

    “Rafizi pernah berkata dia menentang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan. Bila Anwar ambil jawatan Menteri Kewangan, Rafizi terus amnesia,” ujarnya.

    Dalam pada itu katanya, Rafizi dan pemimpin muda dalam PKR bukan lagi masa depan politik negara apabila menyifatkan mereka ‘sanggup menjilat apa sahaja demi jawatan’.

    “Rafizi dan pemimpin muda dalam PKR bukan lagi harapan masa depan politik negara. Mereka hanya harapan Anwar Ibrahim sahaja. Sanggup menjilat apa sahaja demi jawatan,” katanya lagi, lapor SatuBerita.

  • Agen hartanah rugi RM7.7 juta ditipu ‘pegawai Kementerian Kesihatan’

    Agen hartanah rugi RM7.7 juta ditipu ‘pegawai Kementerian Kesihatan’

    SEORANG agen hartanah berputih mata selepas kerugian sebanyak RM7,739,356 diperdaya sindiket Macau Scam, sejak 18 Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang wanita berusia 66 pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

    Beliau berkata, mangsa telah menerima panggilan dari seorang lelaki bangsa tidak pasti yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan mendakwa daripada Bahagian Khidmat Pelanggan Cawangan Putrajaya.

    “Berdasarkan siasatan awal, suspek telah menghubungi mangsa dan menyatakan terdapat 52 dos Vaksin Sinovac telah dimohon atas nama pengadu secara tidak sah dan satu tindakan siasatan sedang dijalankan oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, panggilan kemudian disambungkan kepada ‘Polis Di Raja Malaysia’ memaklumkan bahawa waran tangkap atas nama mangsa kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

    Malah, mangsa dinasihatkan supaya membuka tujuh akaun bank tempatan yang baru serta menyerahkan kesemua maklumat tujuh akaun bank tersebut kepada suspek.

    “Suspek telah mengarahkan mangsa membuat transaksi pemindahan wang simpanan peribadi sebanyak RM7,739,356 ke dalam tujuh akaun tersebut,” katanya, lapor Utusan TV.

    Tambahnya, selepas transaksi pemindahan berjaya dilakukan, mangsa membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia dan dimaklumkan terdapat transaksi pengeluaran terhadap wang tersebut.

    “Mangsa tidak puas hati dan rasa tertipu kerana transaksi pengeluaran dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenarannya,” ujarnya.

    Sehubungan itu, kes kini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Kalau betul ada duit judi, kerusi BN pun PN sapu – Hamzah

    Kalau betul ada duit judi, kerusi BN pun PN sapu – Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) pada Isnin mengakui mereka ada memberikan wang kepada calon yang dipilih untuk bertanding mewakili gabungan terbabit dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, namun ia bukanlah sumbangan syarikat judi.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mereka menerima wang daripada syarikat judi menunjukkan ketakutan kerajaan.

    “Mereka takut dengan peristiwa yang telah menempuhi (dialami) dalam pilihan raya baru-baru ini, maka Anwar keluarkan (kenyataan) seolah-olah mengatakan bahawa dalam kempen kita (PN) jutaan ringgit dikeluarkan PN dan duit datang daripada tauke judi.

    “[…] ya betul kita bagi duit. Saya nak maklumkan, betul, saya ini Setiausaha Agung PN, ini banyak calon yang ada di hadapan saya.

    “Kita bagi RM50,000 saja, seorang calon RM50,000.

    “Kalaulah saya ada duit daripada tauke judi ni, saya ingat bukan hanya menang 73 (kerusi) hak (yang) BN 30 (kerusi) hak (yang) ada itu pun kita sapu habis,” katanya ketika berucap dalam ceramah sempena PRK Tioman di bandar Rompin, Rompin, malam tadi.

    Semalam, Anwar dalam sidang media di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

    “Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

    “Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya.

    Hamzah turut menjelaskan hal berkaitan jumlah cabutan khas judi ketika era pemerintahan Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Katanya, kuasa untuk menentukan dan meluluskan jumlah cabutan adalah di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan dan tidak perlu melalui Kabinet.

    “Dia (Anwar) dok kata dalam kerajaan itu (ada) 22 kali cabutan judi, siapa menteri kewangan? Tengku (Datuk Seri) Zafrul Tengku Aziz… Kau tanyalah yang berhormat Tengku Zafrul.

    “Kabinet mesti tahu? Kepala hotak engkau! Hari ini (semalam) ada mesyuarat Kabinet? Tak ada pun tetapi dia (Anwar) umumkan 22 (cabutan khas judi) turun jadi lapan, maknanya apa? Maknanya hanya Menteri Kewangan berkuasa,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

    Anwar dalam sidang media semalam turut menegur pentadbiran PN yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kerana menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali setahun.

    Langkah itu dibuat pada akhir 2020.

    Kata Anwar, selaku Menteri Kewangan, dia telah memutuskan bilangan cabutan khas judi akan kembali dikurangkan kepada lapan kali setahun bermula tahun depan.

    Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut di Perak turut berkata, kerajaan diterajui Anwar ketika ini hanya menyebarkan propaganda tertentu untuk mengalihkan tumpuan kepada isu asas yang lebih penting.

    “Apa saja dibangkitkan mereka adalah propaganda, nak lari daripada isu asal.

    “Isunya apa? Isunya dunia kata engkau adalah pemimpin ho…… (tidak dihabiskan), kemudian dunia kata kau mengambil Timbalan Perdana Menteri yang turun naik turun naik (mahkamah).

    “Ini menunjukkan kerajaan ini kerajaan yang kalut, kerajaan luar tabii,” katanya.

  • UMNOSISWA tuntut pengasingan portfolio Perdana Menteri, Menteri Kewangan

    UMNOSISWA tuntut pengasingan portfolio Perdana Menteri, Menteri Kewangan

    MAHASISWA UMNO Malaysia (UMNOSISWA) menuntut agar pengasingan portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Presiden UMNOSISWA, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata, langkah itu adalah selaras dengan janji Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk melakukan reformasi institusi sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Menurut Wan Muhammad Zuhir, keputusan untuk Anwar memegang portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak sejajar dengan prinsip tadbir urus baik seperti yang dilaungkan Ahli Parlimen Tambun itu sebelum ini.

    “UMNOSISWA menuntut agar pengasingan peranan portfolio penting ini, menerusi individu yang sama dapat dibereskan dengan segera.

    “Rakyat perlukan semak imbang yang luwes dan berkesan agar akhirnya istilah ‘good governance’ itu tidak semurahnya dilacurkan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Wan Muhammad Zuhir berkata, pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan dilihat bertentangan dengan pentadbiran sebelum ini.

    Jelas beliau, kerajaan terdahulu berani untuk mengubah tradisi tersebut dengan melaksanakan keterasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    Jelas beliau, walaupun secara politiknya sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perpaduan, namun itu perlu diasingkan terutamanya bagi memastikan proses semak dan imbang berlaku secara efektif.

    “Sementelahan, Anwar sebelum ini dengan tegas mengisytiharkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan ia sebagai agenda utama kepada Kerajaan Perpaduan.

    “Komitmen untuk mengasingkan portfolio tersebut juga telah dibuat dengan jelas jika di amati dalam manifesto pilihan raya PH sebelum ini,” katanya, lapor Utusan TV.