Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘UMNO ibarat rumah sedang terbakar namun ahli dihalang padam api’- Annuar

    ‘UMNO ibarat rumah sedang terbakar namun ahli dihalang padam api’- Annuar

    UMNO kini diibaratkan sebuah rumah pusaka, yang sedang terbakar hingga menyebabkan ramai penghuninya lari, tetapi mereka yang berusaha memadam kebakaran itu, ditarik keluar daripada api yang sedang memusnahkan itu.

    Demikian gambaran boleh difahami daripada perkongsian Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, selepas dilaporkan dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

    Annuar dalam perkongsian di Facebook pagi ini, memberi isyarat terhadap kekecewaan itu sambil berkongsi gambar membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

    “Malam Jumaat, saya bermimpi. Rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada ‘main switch’ (suis utama) dah ‘short circuit’ (alami litar pintas) atau wayarnya terputus. Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.

    “Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar. Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar.

    “Walaupun saya amat sayang rumah itu,saya hanya mampu berdoa,” katanya memohon supaya ‘rumah’ yang terbakar itu diselamatkan, lapor BH Online.

    Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid khususnya berkaitan usaha jajaran baru yang dibentuk oleh antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

    Dalam mesyuarat malam tadi, selain Annuar, dua lagi pemimpin akar umbi yang dikenakan tindakan sama adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

    Shamsiah dan Fatimah bulan lalu digantung sementara seluruh jawatan mereka atas dakwaan terbabit secara langsung atau tidak langsung, menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Shamsiah adalah isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim, yang memenangi Parlimen Arau dalam PRU15 atas tiket Perikatan Nasional (PN), selepas dia digugurkan oleh BN daripada mempertahankan kerusi terbabit.

    Fatimah pula adalah isteri kepada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang turut bertanding atas tiket PN dalam PRU15.

    Terdahulu, hal pemecatan itu dimaklumkan Ahli MKT, Datuk Mohd. Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn di sini, selepas mesyuarat selesai.

    Sehingga kini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan pemecatan yang diambil oleh MKT malam tadi.

  • Abdul Azeez bebas 9 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

    Abdul Azeez bebas 9 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

    BEKAS Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

    Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membebaskan Abdul Azeez selaku pemohon selepas membenarkan notis usul difailkan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

    “Memandangkan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, permohonan notis usul itu dibenarkan. Pemohon kini dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu,” kata Azhar memetik laporan Astro Awani.

    Pada 23 Sept lepas, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan (DNAA) Abdul Azeez daripada kesemua pertuduhan itu selepas pendakwaan memohon agar beliau DNAA mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan representasi yang dikemukakan Abdul Azeez telah dipertimbangkan oleh pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.

    Terdahulu, Amer Hamzah memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 26 Okt lepas yang menyatakan bahawa siasatan oleh agensi itu telah selesai dan kesemua aset yang dirampas telah dipulangkan kepada Abdul Azeez.

    Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim pula berkata, pihaknya tidak membantah terhadap notis usul, yang difailkan pada 1 Dis lepas, agar pemohon dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tersebut.

    Abdul Azeez, 55, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah. Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 September 2010 dan 10 April 2018.

    Abdul Azeez dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

    Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Pada 5 September lalu, Abdul Azeez gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md. Said, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menolak rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan sembilan pertuduhan selepas memutuskan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau tidak cacat dan memerintahkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen diteruskan.

    Bagaimanapun panel tersebut membenarkan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu bagi membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram.

    Perbicaraan kes itu bermula 19 Ogos 2020 dengan tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

  • Bung, Zizie gagal semak keputusan perintahkan mereka bela diri

    Bung, Zizie gagal semak keputusan perintahkan mereka bela diri

    AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah.

    Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How terhadap permohonan semakan yang difailkan pasangan itu.

    Azhar berkata, beliau membenarkan bantahan awal pendakwaan selepas meneliti hujahan yang dikemukakan kedua-dua belah pihak, lapor BH Online.

    Dalam prosiding hari ini, peguam M. Athimulan hadir bagi pihak Bung Moktar dan Datuk K. Kumaraendran untuk Zizie Izette.

    Pada prosiding 17 Oktober lalu, Chin How memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya mengemukakan bantahan terhadap permohonan pasangan idengan alasan semakan berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

    Menurut Chin How, kaedah pemfailan notis usul yang dibuat adalah salah dan bertentangan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Acara Jenayah.

    Pada 2 September lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Bung Moktar, 64, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah diperintah membela diri atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Beliau juga perlu membela diri atas tuduhan ketiga iaitu menerima suapan wang tunai RM335,500 atas sebab sama.

    Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.

  • Jangan benar ‘parti tertentu’ gambarkan Najib dibicara secara tidak adil

    Jangan benar ‘parti tertentu’ gambarkan Najib dibicara secara tidak adil

    MAJLIS Peguam memberi amaran terhadap sebarang usaha yang boleh menjejaskan proses kehakiman berikutan beberapa petanda yang menunjukkan pemimpin UMNO terus mendesak supaya perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman 12 tahun penjara dibuka semula.

    Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn berkata, bekas Perdana Menteri itu sudah diberi semua ruang untuk membela diri melalui sistem perundangan.

    “Kita tidak boleh biarkan keputusan muktamad badan kehakiman yang dibuat di Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022, dipersoal secara berterusan hanya untuk memenuhi agenda parti politik tertentu,” katanya lapor MalaysiaNow.

    Beliau diminta menjawab gesaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi supaya desakan dibuat terhadap kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memulakan pendakwaan terhadap hakim Datuk Nazlan Ghazali, bekas hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahan Najib dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun, di mana keputusan itu dikekalkan oleh kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

    Najib mula menjalani hukumannya pada Ogos lalu, selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

    Peguam bekas Perdana Menteri itu kemudiannya menuduh hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan kerana beliau pernah terlibat dengan Maybank. 

    Bagaimanapun, hujah itu ditolak oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim mendengar rayuan terakhir Najib.

    Cheah berkata, Majlis Peguam masih mengekalkan pandangannya sebelum ini bahawa ahli politik harus mengelak daripada mengulas perbicaraan tersebut, mengatakan ia boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang selain boleh dianggap menyerang badan kehakiman, selepas beberapa pemimpin tertinggi UMNO termasuk Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang mengkritik Keputusan Mahkamah Persekutuan kerana tidak membenarkan Najib mengemukakan bukti tambahan.

    “Kami mengambil pandangan bahawa ini adalah sebahagian daripada percubaan terakhir bagi menghentikan rayuan.

    “Badan kehakiman sudah membuat keputusan muktamad dan kita harus menghormati keputusan itu. Sebarang cubaan parti politik untuk terus bersuara mengenainya dan mengubah naratif bahawa bekas PM itu tidak diberi perbicaraan yang adil, harus dihentikan segera,” katanya.

    Awal hari ini, Puad berkata UMNO perlu terus mendesak supaya ‘perbicaraan adil’ disegerakan untuk Najib, selain menggesa hakim Nazlan didakwa.

    Beliau turut mendesak suruhanjaya siasatan diraja dibuat bagi menyiasat bekas peguam negara Tommy Thomas dan bekas gabenor Bank Negara, Tan Seri Zeti Akhtar Aziz.

    Puad membayangkan desakan yang dibangkitkan beliau itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT UMNO  pertama malam ini selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

    Gesaan Puad itu dibuat beberapa jam selepas anak perempuan Najib, Nooryana mendakwa bahawa bapanya mungkin akan dibebaskan tidak lama lagi.

    Merujuk kepada semakan kehakiman yang akan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan bulan depan, Nooryana meluahkan keyakinan bapanya akan dibebaskan.

    “Kami masih mempunyai satu peluang terakhir. Kami tak hiraukan parut dan luka, kami akan bangkit semula.

    “‘All hands on deck’ untuk memastikan DSN akan mendapat keadilan kali ini. Jika DSN menang pada bulan Januari, dia akan bebas untuk kembali kepada kami, insya Allah,” tambahnya.

  • UMNO pecat tiga pemimpin bahagian

    UMNO pecat tiga pemimpin bahagian

    MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan untuk memecat dua ketua wanita bahagian dan seorang ketua bahagian UMNO.

    Ahli MKT, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi yang mendedahkan hasil mesyuarat itu berkata, ketiga-tiga mereka dikenakan tindakan disiplin itu kerana mencela parti termasuk Presiden UMNO.

    FMT melaporkan, Puad turut memaklumkan Zahid kali ini agak tegas dalam isu melibatkan disiplin membabitkan ahli parti.

    “Presiden parti agak tegas dalam isu disiplin dan beliau tidak akan kompromi kepada mereka yang suka burukkan parti termasuk bocorkan hasil mesyuarat MKT,” katanya ketika ditemui pemberita menghadiri mesyuarat berkenaan di Menara Dato’ Onn.

    Sebelum ini empat ahli UMNO yang bertindak bertanding mewakili parti lawan dan menjadi calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) digugurkan keahlian daripada parti.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, empat ahli berkenaan ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau) dan Datuk Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran) yang bertanding untuk Perikatan Nasional (PN).

    Keahlian Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi selain Azhar Ahmad bagi DUN Kuala Perlis turut digugurkan.

    Dalam perkembangan sama, Puad memaklumkan mesyuarat MKT turut membincangkan isu dakwaan penyelewengan perbelanjaan hampir RM600 bilion oleh kerajaan PN di mana UMNO menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat keputusan.

    “Ada bincang, tapi akan serah kepada Perdana Menteri untuk lakukan siasatan, tapi UMNO yakin perlu dilakukan siasatan, kita tak mahu mereka yang kata mereka bersih, sebenarnya ada benda lain yang dibuat tapi rakyat tak tahu, jadi perlunya siasatan,” katanya.

    Sementara itu dalam perkembangan lain Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan mesyuarat MKT malam ini tidak dihadiri dua Naib Presiden, Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    “Dia (Ismail ) mohon maaf tidak dapat hadir mesyuarat MKT. Dia ada majlis lain,” katanya.

    Media turut dimaklumkan UMNO tidak akan membuat sebarang sidang media atau kenyataan media hasil mesyuarat malam ini.

  • Rosmah dirakam di ibu pejabat UMNO sebelum mesyuarat MKT

    Rosmah dirakam di ibu pejabat UMNO sebelum mesyuarat MKT

    IBU pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di ibu negara kembali menjadi tumpuan apabila Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung malam ini, pascapembentukan Kabinet,

    Di sebalik barisan ahli MKT yang hadir, Datin Seri Rosmah Mansor turut kelihatan sekali gus menimbulkan persoalan kepada petugas media yang sudah ‘berkampung’ di lobi bangunan.

    Lapor Astro Awani, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu tiba kira-kira pukul 8 malam, diiringi seorang pengiring wanita sebelum terus menaiki lif.

    Rosmah juga meminta pihak media yang terkejut dengan kehadirannya agar tidak mengambil gambarnya.

    Kehadiran beliau dipercayai bagi bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempengerusikan mesyuarat MKT malam ini.

    Selain Rosmah, pemimpin tertinggi parti yang dilihat hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dan beberapa ahli MKT lain.

    Antara ahli MKT lain yang hadir ialah Datuk Seri Ahmad Said yang juga merupakan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Ab Raof Yusoh (Pengerusi UMNO Melaka), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Razali Ibrahim.

    Selain itu, turut kelihatan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Ahmad Puad Zarkashi dan Datuk Dira Abu Zahar

  • Penduduk gempar dua ekor buaya air masin masuk kampung

    Penduduk gempar dua ekor buaya air masin masuk kampung

    PENDUDUK perkampungan Surat Thani, Selatan Thailand digemparkan dengan kehadiran dua ekor buaya air masin sepanjang empat dan hampir dua meter malam tadi.

    Memetik laporan The Thaiger, kedua-dua ekor reptilia itu ditemui di dalam parit yang hanya terletak kira-kira 100 meter sahaja dari kawasan kampung.

    Menurut Ketua Kampung, Samnuan Thongsri, beliau telah meminta penduduk kampung mengawasi kedudukan buaya sementara menunggu pasukan penangkap buaya tiba ke lokasi.

    Jurucakap Jabatan Perikanan Thailand, Pilaiporn Thongmak berkata, beliau menganggarkan berat buaya sepanjang empat meter itu melebihi 150 kilogram.

    “Sementara seekor buaya kecil itu mungkin tersesat ketika cuba memasuki Terusan Kanthuli, yang sepatutnya membawa ia ke laut,” katanya.

    Difahamkan, para penangkap buaya mengambil langkah berhati-hati ketika menangkap reptilia itu kerana diketahui ia lebih agresif daripada buaya air tawar.

    “Kedua-dua diikat dan buaya lebih besar itu ditutup mata bagi memastikan ia kekal tenang”.

    Jelasnya, kedua-dua buaya itu dibawa ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Perikanan Surat Thani di daerah Phun Phin untuk dijaga.

    Katanya, buaya tersebut berkemungkinan datang daripada kawasan ladang yang mengalami banjir di tempat berdekatan.

    “Ini satu-satunya penjelasan yang realistik bagi buaya air masin yang ditemui dalam jarak 10 kilometer dari pantai,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Larang parti tabur ‘umpan’ ketika kempen, Tuan Ibrahim minta SPR tegas

    Larang parti tabur ‘umpan’ ketika kempen, Tuan Ibrahim minta SPR tegas

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu tegas melarang parti politik memberi “hadiah” ketika kempen, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang merujuk janji ditabur Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya DUN Tioman.

    Tegas ketua pembangkang DUN Pahang itu, ia jelas satu salah guna kuasa yang dilakukan pihak yang bertanding walaupun ia dari kerajaan negeri.

    “SPR perlu tegas melarang pemberian pelbagai ‘hadiah’ dalam musim kempen sebagai rasuah politik, seperti pemberian geran tanah, projek segera dan apa jua bentuk pemberian kepada pengundi.

    “Ia jelas salah guna kuasa yang dilakukan oleh pemerintah,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Tuan Ibrahim merujuk kepada beberapa pengumuman kerajaan Pahang yang diketuai Wan Rosdy Wan Ismail daripada BN kepada penduduk DUN Tioman sekiranya gabungan itu menang.

    Antaranya menaik taraf jeti kargo di Kampung Tekek, Pulau Tioman bernilai RM8 juta; membina masjid baharu di Felda Selendang, Kuala Rompin (RM3 juta), membina stadium mini baharu di Kampung Kolam, Kuala Rompin (RM15 juta); dan membaik pulih jeti Kampung Juara, Kampung Salang dan Kampung Genting, Pulau Tioman (RM22.6 juta).

    Pada pilihan raya DUN Tioman, calon BN Datuk Seri Johari Hussain mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan dengan majoriti 573 undi.

    Seksyen 7 hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengingatkan semua parti politik dan calon pilihan raya supaya mematuhi peraturan khusus berkaitan salah laku dan aktiviti rasuah.

    Mengikut peruntukan undang-undang itu, segala bentuk rasuah dinyatakan adalah berkaitan aktiviti penyamaran; jamuan; pengaruh tidak wajar dan penyogokan yang mana ia mungkin boleh berlaku sama ada sebelum, semasa atau selepas tempoh pilihan raya diadakan.

    Jika berlaku aktiviti dan salah laku rasuah, pesalah boleh dikenakan tindakan atau hukuman penjara serta denda, sekali gus boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon yang mana pilihan raya kecil perlu diadakan.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan ADUN Cheka membidas badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih yang sebelum ini lantang mengkritik salah laku parti politik sepanjang berkempen yang hanya menutup mulut walaupun kesalahan itu dikesan berlaku di DUN Tioman.

    “NGO Bersih yang konon berjuang sistem pilihan raya adil, jangan tutup mulut bila dilakukan oleh parti mereka dan hanya bising bila PN melakukannya,” katanya.

  • JAS Pulau Pinang arah kontena bahan buangan elektrik, elektronik dihantar pulang ke AS

    JAS Pulau Pinang arah kontena bahan buangan elektrik, elektronik dihantar pulang ke AS

    SEBUAH kontena yang mengandungi bahan buangan elektrik dan elektronik yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat (AS) dipercayai cuba dilupuskan secara haram di negara ini diarah dihantar pulang ke negara asal.

    Tindakan itu diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas kontena terbabit disita selepas membuat pengisytiharan tidak benar yang mana bahan buangan itu diikrar sebagai aloi aluminium.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kontena itu disita sewaktu pemeriksaan pihaknya di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC), Pulau Pinang hari ini dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pegawai pelabuhan bertugas.

    Jelas beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kontena seluas 40 kaki (12 meter persegi) itu menjumpai sebanyak 38 pelet di dalamnya yang dimuatkan dengan buangan sekerap merangkumi papan litar tercetak (printed circuit board); ‘internal hard disk drive’; unit pemprosesan komputer (CPU) dan lain-lain komponen elektronik.

    Ujar beliau, kesemua bahan itu dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    Kontena disita sewaktu pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC), Pulau Pinang hari ini dengan kerjasama JKDM dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pegawai pelabuhan bertugas.

    “Susulan itu, JAS Pulau Pinang mengeluarkan satu notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal.

    “Sekiranya pengimport gagal berbuat demikian, tindakan mahkamah mengikut Seksyen 34B melibatkan denda maksima RM500,000 dan mandatori penjara maksimum lima tahun boleh dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu kata beliau, pengimport yang beralamat di Klang, Selangor itu turut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 dan 37 bagi kesalahan gagal mematuhi notis sekiranya mengingkari arahan yang dikeluarkan.

    Semua bahan ini dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    Jelasnya, pensampelan bahan bukti turut dibuat untuk siasatan lanjut.

    Tegasnya, pemprosesan secara haram boleh memberikan implikasi negatif kepada alam sekitar dan kesihatan terutama apabila majoriti bahan terbabit mungkin dihantar ke premis-premis tidak berlesen untuk pemprosesan secara haram atau lebih buruk jika dilupus secara dibakar atau ditanam.

    Selain itu katanya, pemprosesan secara haram tanpa alat kawalan boleh menyebabkan pelepasan bahan kimia berbahaya termasuk logam berat yang mencemar tanah, air dan udara.

    “Sisa elektrik dan elektronik yang dihasilkan di Malaysia perlu dihantar dan diproses hanya di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja,” katanya.

  • Juruteknik dipenjara 6 bulan ugut sebar gambar bogel bekas teman wanita

    Juruteknik dipenjara 6 bulan ugut sebar gambar bogel bekas teman wanita

    SEORANG juruteknik dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan untuk menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya, Januari lalu.

    Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu terhadap Wan Azuan W Ismail, 29, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang wanita berusia 22 tahun melalui panggilan telefon di Kuala Ibai, pada 7.48 pagi, 25 Januari lalu menurut laporan Astro Awani.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 15 Oktober lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.