IBU pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di ibu negara kembali menjadi tumpuan apabila Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung malam ini, pascapembentukan Kabinet,

Di sebalik barisan ahli MKT yang hadir, Datin Seri Rosmah Mansor turut kelihatan sekali gus menimbulkan persoalan kepada petugas media yang sudah ‘berkampung’ di lobi bangunan.

Lapor Astro Awani, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu tiba kira-kira pukul 8 malam, diiringi seorang pengiring wanita sebelum terus menaiki lif.

Rosmah juga meminta pihak media yang terkejut dengan kehadirannya agar tidak mengambil gambarnya.

Kehadiran beliau dipercayai bagi bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempengerusikan mesyuarat MKT malam ini.

Selain Rosmah, pemimpin tertinggi parti yang dilihat hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dan beberapa ahli MKT lain.

Antara ahli MKT lain yang hadir ialah Datuk Seri Ahmad Said yang juga merupakan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Ab Raof Yusoh (Pengerusi UMNO Melaka), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Razali Ibrahim.

Selain itu, turut kelihatan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Ahmad Puad Zarkashi dan Datuk Dira Abu Zahar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here