Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dakwaan PN menang disebabkan main isu kaum, keagamaan sempit tak berasas

    Dakwaan PN menang disebabkan main isu kaum, keagamaan sempit tak berasas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAKWAAAN kononnya kemenangan Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi hati masyarakat Melayu dan Islam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan memainkan sentimen perkauman serta keagamaan sempit adalah satu tuduhan yang tidak berasas.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjuangan dibawa parti-parti yang mendokong PN termasuk Pas diyakini sama sekali tidak menyalahi undang-undang mahu pun Perlembagaan parti masing-masing yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ROS.

    “Pas ini Parti Islam Semalaysia maka kami sudah jelas bahawa kami memang memperjuangkan Islam seperti yang tertera dalam nama parti itu. Kami bukan permainkan isu agama sebaliknya memprjuangkannya, jadi di mana salah dan silapnya serta apa yang hendak dipersoalkan?

    “Begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meletakkan nama Pribumi dalam namanya. Tetapi bagi Parti Amanah Negara (Amanah), kami tak tahulah apa yang mereka perjuangkan.

    “Barisan Nasional (BN) pun sama, entah apa diperjuangkan mereka kerana nampaknya sebelum ini mereka maki Pakatan Harapan (PH) dan DAP tetapi pada akhirnya berkawan semula,” katanya dalam sidang akhbar sempenaMajlis Penutup Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kubang Pasu di Masjid Haji Ismail dekat Jitra, hari ini.

    Baru-baru ini Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mendakwa, kekalahan PH di Padang Serai adalah disebabkan rentetan gelombang yang ditiup dengan membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit sekali gus menakutkan masyarakat dan rakyat dalam berpolitik.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau beranggapan perjuangan BN dan PH ketika ini sudah pun hancur dengan hanya parti-parti yang mendokong PN saja dilihat masih terus kekal berada di atas garis perjuangan Perlembagaan masing-masing.

    “Tsunami Melayu dalam PRU-15 yang membawa sokongan besar kepada PN adalah disebabkan rasa hilang percaya rakyat terhadap parti-parti lain. Parti-parti lawan ini dilihat tidak melaksanakan apa yang mereka katakan.

    “Kami sebaliknya tetap dengan perjuangan parti dan menawarkan perkara paling diperlukan negara ini iaitu keprihatinan, bersih dan stabil. Kerana itulah orang menyokong PN,” katanya.

    Terdahulu ketika berucap dalam majlis tersebut, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk tidak melakukan sebarang rombakan terhadap kedudukan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Kedah.

    “Mereka yang memegang jawatan itu merupakan ahli macam-macam parti termasuk Pas, UMNO, Bersatu, Part Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan macam-macam lagi. Mereka ini dilantik sejak awal dulu terdiri daripada pemimpin tempatan yang diyakini dan dipercayai boleh memberi khidmat selain dihormati dalam komuniti masing-masing.

    “Saya dah nyatakan dalam Mesyuarat Exco minggu lalu yang kita takkan mengganggu sesiapa. Jadi jalankanlah tugas seperti biasa dan teruskan khidmat bakti anda seperti biasa tanpa segan silu walaupun parti anda tak sama dengan saya,” katanya.

    Tambahnya, beliau tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya ada dalam kalangan mereka yang memegang jawatan tersebut mahu berhenti disebabkan arahan daripada parti politik masing-masing.

    “Tetapi di pihak kerajaan negeri saya dah tegaskan agar mereka ini tidak diganggu. Teruskanlah berkhidmat hingga Pilihan Raya Negeri akan datang.

    “Walaupun politik berkocak akibat pertembungan parti, saya harap ‘enjin’ kerajaan negeri ini dapat terus berfungsi. Biarlah ‘gearnya’ dapat masuk dengan elok untuk kita terus berjalan dan membawa negeri ini ke depan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

  • PM silap keutamaan, bila nak tegur tauke telur, simen – Wan Saiful

    PM silap keutamaan, bila nak tegur tauke telur, simen – Wan Saiful

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mengamal sikap ‘pilih bulu’ dalam menegur tauke-tauke kaya yang memonopoli industri tertentu di negara ini.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN),  Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Perdana Menteri juga perlu meletakkan keutamaan yang betul dengan mengutamakan perkara mendesak yang menghimpit rakyat seperti kekurangan bekalan telur dan kenaikan harga simen.

    “Telur dan simen sepatutnya menjadi keutamaan Anwar Ibrahim. Tapi Anwar utamakan beras. Ya harga beras penting, tapi kenapa masih tak ada idea bagaimana nak selesaikan masalah harga telur dan simen yang lebih mendesak sekarang?

    “Tak adakah keinginan nak tegur tauke-tauke kaya ‘tertentu’ dalam industri berkaitan telur dan simen? Itu sepatutnya jadi keutamaan kerajaan.

    “Saya setuju jangan ada monopoli tetapi letaklah keutamaan yang betul dan jangan lindungi tauke-tauke kawan-kawan PH-DAP daripada ‘teguran’. Jangan pilih bulu,” katanya dalam hantaran dalam Facebooknya, hari ini.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menambah, sekarang rakyat resah, kecewa dan marah dengan masalah kekurangan bekalan serta lonjakan harga telur dan simen.

    Katanya, dua isu ini bukan baru bermula semalam.

    “Sepatutnya, siapa juga menjadi kerajaan selepas PRU-15, inilah keutamaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

    Menurutnya, rakyat kini berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur dan harga yang melambung. Selain harga makanan berasakan telur turut naik.

    “Contohnya laporan berita mengatakan harga roti canai telur naik dari RM2.50 ke RM3.20. Naik 70 sen.

    “Simen pula melonjak 30 peratus iaitu daripada RM17 bagi setiap beg 50 kilogram (kg), sekarang naik sehingga RM22.50. Jika simen naik harga, semua bahan binaan melibatkan simen akan turut naik. Padahal, simen adalah Barangan Kawalan Berjadual yang tak sepatutnya naik.

    “Semua ini berlaku disebabkan monopoli dan permainan licik tauke-tauke kaya yang menguasai industri makanan dan pembinaan dan yang jadi mangsa ialah rakyat dan kontraktor terutama kontraktor kecil,” katanya.

    Wan Saiful mengingatkan Anwar supaya tidak bertindak seperti pembangkang dan mula memberi keutamaan pada isu penting. 

    “Bila dah jadi kerajaan, kita perlu tahu apa keutamaan. Tidak boleh lagi bermentaliti pembangkang populis,” ujarnya.

  • Judi Piala Dunia: 412 bookie ditahan, lebih RM11.2 juta wang pertaruhan dirampas

    Judi Piala Dunia: 412 bookie ditahan, lebih RM11.2 juta wang pertaruhan dirampas

    SERAMAI 412 individu dipercayai bookie ditahan dan direman dalam OP Soga IX berkaitan perjudian dan pertaruhan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022.

    Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

    Jelasnya, kesemua suspek ditahan dalam 348 serbuan dilancarkan di seluruh negara bermula 19 November hingga 8 Disember.

    PDRM juga berjaya merampas wang tunai berjumlah RM417,613 mata wang asing iaitu HK$382,995 dan SG$500 Singapura.

    Sementara had kredit yang dirampas dalam perisian pula mencecah RM10.6 juta.

    Turut dirampas, 31 unit komputer, 469 telefon bimbit, 207 kad sim, 103 helai kertas catitan pertaruhan dan 23 keping jadual perlawanan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

    Kes disiasat dibawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Sebanyak 348 kertas siasatan telah dibuka, dimana 289 daripadanya masih dalam tindakan manakala 52 kertas siasatan telah berjaya dituduh.

    Tujuh lagi kertas siasatan telah disabitkan hukuman oleh mahkamah lapor Astro Awani.

  • SPRM tumpu siasatan terhadap RM92 bilion dana kerajaan sepanjang pandemik

    SPRM tumpu siasatan terhadap RM92 bilion dana kerajaan sepanjang pandemik

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menumpukan siasatan terhadap RM92.5 bilion daripada anggaran jumlah keseluruhan RM530 bilion yang diperuntukkan sejak Covid-19 melanda negara, berikutan dakwaan salah laku dalam pengurusannya oleh kerajaan sebelum ini.

    Dalam sebuah kenyataan, SPRM menjelaskan siasatan awal mendapati hanya jumlah itu sahaja yang melibatkan dana kerajaan sementara baki sebanyak RM437.5 bilion lagi bukan daripada kerajaan.

    “Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan. 

    “Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan,” lapor Malaysia Now.

  • Muhyiddin bertemu 31 Ahli Parlimen Bersatu

    Muhyiddin bertemu 31 Ahli Parlimen Bersatu

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa bertemu dengan 31 Ahli Parlimen Bersatu, bagi berkongsi pandangan untuk memperkukuhkan suara rakyat di Parlimen, tidak lama lagi.

    Hadir sama di majlis itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Ketua Penerangan Bersatu Malaysia yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika ditemui di majlis itu berkata semangat yang ditunjukkan oleh semua ahli Parlimen Bersatu sangat membara dan pelbagai input dapat dikongsi dalam memantapkan lagi gerak kerja di kawasan parlimen masing-masing.

    “Petang tadi semua Ahli Parlimen Bersatu mengadakan pertemuan dengan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti.

    “Saya gembira melihat semangat dan kesungguhan rakan-rakan Ahli Parlimen.

    “Keseluruhannya, Bersatu ada 31 Ahli Parlimen. Ini menjadikan Bersatu bukan saja lebih besar dari UMNO, tetapi lebih besar dari BN keseluruhannya.

    “Syukur Allah memberikan peluang kepada Bersatu untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Armada Bersatu yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pertemuan ini adalah pertama kali diadakan khususnya selepas kemenangan Datuk Azman Nasrudin di Padang Serai.

    “Pertama kali dapat berhimpun khususnya selepas kemenangan YB Cikgu Azman (Padang Serai) semalam.

    “Insha-Allah kami akan jadi pembangkang yang baik bersama rakan-rakan Perikatan Nasional,” katanya.

    Bagi Naib Ketua Srikandi Bersatu yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, Bersatu kekurangan wakil rakyat wanita sungguhpun bertanding di enam kerusi Parlimen.

    Katanya, lebih banyak ruang dan pendedahan buat pemimpin wanita wajar diberikan dalam Bersatu supaya akan datang mereka ini dapat sama berkhidmat.

    “Kita kekurangan Ahli Parlimen wanita. Nampak tu, hanya 1 Ahli Parlimen wanita dari 31 Ahli Parlimen Bersatu Malaysia. Tak cukup.

    “Ahli Parlimen wanita yang bertanding hari tu pun hanya 6 Parlimen. Tak ada rezeki yang lain.

    “Kita perlukan lebih banyak ruang dan pendedahan buat pemimpin wanita dalam Parti Bersatu supaya akan datang mereka ini dapat sama berkhidmat. Berdiri sama tinggi, bila duduk sama rendah. Saya percaya ramai yang berpotensi di luar sana.

    “Proses ini perlukan komitmen dari semua pihak. Bukan hanya dari satu pihak semata-mata. Sama-sama kita usaha capai matlamat itu,” katanya.

  • Anwar dijangka menghadap Agong, persembah senarai Timbalan Menteri hari ini

    Anwar dijangka menghadap Agong, persembah senarai Timbalan Menteri hari ini

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada petang ini bertujuan memaklumkan senarai timbalan menteri akan dilantik dalam Kerajaan Perpaduan.

    Sinar Harian memetik sumber menyatakan, perkembangan itu bakal melengkapkan pentadbiran kerajaan di bawah Ahli Parlimen Tambun itu selepas 28 anggota kabinet mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada 3 Disember lalu.

    Senarai Timbalan Menteri yang terpilih kebiasaannya diumumkan Perdana Menteri, sebelum mereka mengangkat jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

    Sumber rapat dengan perbincangan isu itu memaklumkan, jumlah timbalan menteri itu mungkin akan dihadkan kepada satu bagi setiap kementerian kecuali beberapa kementerian disatukan.

    Difahamkan, proses berkenaan akan mengambil kira hasrat Anwar yang mahukan saiz Kabinet lebih kecil berbanding kerajaan sebelum ini.

  • UMNO sah pemecatan Annuar, 2 pemimpin wanita

    UMNO sah pemecatan Annuar, 2 pemimpin wanita

    UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, antara tiga pemimpin akar umbi parti itu dipecat keahlian masing-masing dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata MKT UMNO mengambil tindakan itu mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya. 

    Beliau berkata, ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

    “Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

    “Pemecatan mereka berkuat kuasa serta merta dengan surat rasmi perlucutan keahlian akan dihantar hari ini,” katanya lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, di Pontian, hari ini. 

    Pagi tadi, media yang memetik sumber melaporkan Anwar, Shamsiah dan Fatimah antara tiga pemimpin UMNO yang dipecat keahliannya selepas diputuskan Mesyuarat MKT parti malam tadi. 

    Shamsiah dan Fatimah bulan lalu dilaporkan digantung sementara seluruh jawatannya selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sementara, Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

  • Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi

    Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi

    PENGASAS Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali gagal dalam permohonan untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan.

    Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati rakaman percakapan itu dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang, lapor Sinar Harian.

    Berita lanjut menyusul…

  • PN sudah muktamad calon Ketua Pembangkang

    PN sudah muktamad calon Ketua Pembangkang

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah memuktamadkan wakil gabungan itu yang akan memegang tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika mengesahkan keputusan itu, bagaimanapun enggan mendedahkan siapa yang bakal mengisi jawatan berkenaan buat masa ini.

    Beliau berkata, pengumuman berhubung siapa pemimpin sama ada dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas yang bakal memikul tugas sebagai Ketua Pembangkang akan diumumkan sebelum berlangsungnya sidang Dewan Rakyat, 19 Disember ini.

    “PN sudah membuat keputusan dan akan dimaklumkan kepada media sebelum persidangan Dewan Rakyat nanti,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

    Sementara itu, Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman, yang juga Ahli Parlimen Bachok, pula berkata, Tan Sri Abdul Hadi Awang antara pemimpin yang mencadangkan nama Ketua Pembangkang itu.

    “Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sudah membuat keputusan dan Abdul Hadi juga turut hadir dan beliau antara yang mencadangkan nama terbabit.

    “Kita cadang atas nama PN…kita tunggulah pengumuman nanti, menjelang 19 Disember ini,” katanya.

    Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, sebelum ini dipilih sebagai Ketua Pembangkang mewakili gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

    Semalam, beberapa penganalisis politik ‘memilih’ bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu sebagai calon yang sesuai untuk menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang kerana mempunyai pengalaman sebagai menteri dan disenangi banyak pihak.

    Tuan Ibrahim yang banyak pembabitannya dalam Muafakat Nasional (MN), dikatakan lebih lembut dan dilihat lebih efektif serta rasional dalam menjalankan tugasnya.

    Ini kerana berdasarkan situasi semasa, rakyat tidak mahukan Ketua Pembangkang yang retorik dan bersuara lantang semata-mata, sebaliknya yang boleh bertindak rasional dalam menjalankan peranan untuk semak dan imbang.

    Mengikut tradisi, Ketua Pembangkang dipilih berdasarkan parti yang diwakilinya, yang membentuk jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat.

    Untuk rekod, Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menang 49 kerusi, dengan menyapu bersih kerusi di Kelantan dan Terengganu.

    Pas bertanding menggunakan logonya sendiri di Kelantan dan Terengganu, manakala di negeri lain menggunakan logo PN.

    Bersatu pula mencatatkan kemenangan di 28 kerusi berbanding 73 kerusi yang dimenangi PN.

    Namun ada juga penganalisis politik berpendapat, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih layak menjadi Ketua Pembangkang kerana kapasitinya sebagai ketua parti gabungan iaitu Pengerusi PN walaupun partinya, Bersatu hanya menang 28 kerusi.

  • Kerajaan perlu sedia justifikasi dan langkah susulan hapus monopoli Bernas

    Kerajaan perlu sedia justifikasi dan langkah susulan hapus monopoli Bernas

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN perlu menyediakan justifikasi dan langkah susulan yang kukuh terhadap cadangan penghapusan monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam industri padi dan beras negara.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya berkata, kerajaan perlu menjelaskan sama ada penghapusan itu akan membuka ruang kepada syarikat swasta lain untuk mengimport beras daripada luar atau tidak kerana monopoli berkait dengan pengimportan beras ke dalam negara.

    Katanya, penjelasan juga perlu dibuat terhadap kesan dan impak kepada pengusaha beras tempatan yang terpaksa bersaing disebabkan harga beras import yang lebih murah.

    “Apakah ada ‘safety net’ terhadap perkara tersebut? Bagaimana kerajaan akan mengawal import beras sedangkan langkah sedia ada dilakukan bagi mengawal selia jumlah beras yang diimport memenuhi keperluan dan permintaan.

    “Kedua, pengistilahan ‘monopoli’ kepada Bernas sebenarnya diikat dengan obligasi sosial yang ketat, bahkan kerajaan mengawal sepenuhnya bidang kuasa Bernas ketika ini melalui ‘golden share’.

    “Ia berkait dengan pengawalseliaan terhadap stok penimbal yang disasarkan kepada 290,000 tan metrik kelak. Obligasi ini mengikat peranan monopoli import Bernas termasuk dalam klausa pembaharuan konsesi bagi 10 tahun akan datang sehingga 2031,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Justeru, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menimbulkan persoalan sama ada syarikat swasta lain turut diikat dengan obligasi yang sama seperti ditanggung Bernas.

    Tambah beliau, Pas Kedah berpandangan isu itu memerlukan penelitian yang lebih lanjut dan tidak sekadar semberono memandangkan pengumuman penghapusan monopoli terpisah daripada perbincangan lain yang mustahak.

    Oleh itu kata Ketua Dewan Ulama Pas itu, Pas Kedah mencadangkan lima perkara sebagai keutamaan kepada kerajaan dalam konteks keselamatan makanan termasuk mengupayakan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 (2021-2030) yang menumpukan kepada peningkatan produktiviti serta mobiliti sosial para pesawah.

    “Selain itu, kerajaan perlu sokong usaha kerajaan Kedah dengan dasar penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan penghasilan padi seterusnya menyokong sasaran tahap sara diri melebihi 80 peratus menjelang 2030 seperti digariskan DAN 2.0.

    “Kerajaan juga perlu memerangi kartel padi secara sistematik, telus dan berstrategik serta mengawal rantaian pengeluaran padi dengan lebih efektif. Perkara keempat adalah mencontohi model asas pelaksanaan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Asnaf yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK),” katanya.

    Kata Ahmad, strategi Smart SBB bukan sahaja berjaya memastikan peningkatan terhadap penghasilan padi bagi setiap hektar, bahkan turut berjaya memastikan mobiliti sosial para pesawah keluar daripada zon kemiskinan.

    Malah, kerajaan juga perlu memberikan tumpuan yang serius bagi meremajakan industri padi dan beras negara serta tumpuan terhadap penggunaan teknologi.

    “Pas Kedah berpandangan isu keselamatan makanan wajar ditangani secara komprehensif. Langkah yang diatur Kerajaan Persekutuan ketika ini lebih didorong oleh tindakan populis yang tiada justifikasi kukuh terhadapnya,” katanya.