PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mengamal sikap ‘pilih bulu’ dalam menegur tauke-tauke kaya yang memonopoli industri tertentu di negara ini.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN),  Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Perdana Menteri juga perlu meletakkan keutamaan yang betul dengan mengutamakan perkara mendesak yang menghimpit rakyat seperti kekurangan bekalan telur dan kenaikan harga simen.

“Telur dan simen sepatutnya menjadi keutamaan Anwar Ibrahim. Tapi Anwar utamakan beras. Ya harga beras penting, tapi kenapa masih tak ada idea bagaimana nak selesaikan masalah harga telur dan simen yang lebih mendesak sekarang?

“Tak adakah keinginan nak tegur tauke-tauke kaya ‘tertentu’ dalam industri berkaitan telur dan simen? Itu sepatutnya jadi keutamaan kerajaan.

“Saya setuju jangan ada monopoli tetapi letaklah keutamaan yang betul dan jangan lindungi tauke-tauke kawan-kawan PH-DAP daripada ‘teguran’. Jangan pilih bulu,” katanya dalam hantaran dalam Facebooknya, hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menambah, sekarang rakyat resah, kecewa dan marah dengan masalah kekurangan bekalan serta lonjakan harga telur dan simen.

Katanya, dua isu ini bukan baru bermula semalam.

“Sepatutnya, siapa juga menjadi kerajaan selepas PRU-15, inilah keutamaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, rakyat kini berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur dan harga yang melambung. Selain harga makanan berasakan telur turut naik.

“Contohnya laporan berita mengatakan harga roti canai telur naik dari RM2.50 ke RM3.20. Naik 70 sen.

“Simen pula melonjak 30 peratus iaitu daripada RM17 bagi setiap beg 50 kilogram (kg), sekarang naik sehingga RM22.50. Jika simen naik harga, semua bahan binaan melibatkan simen akan turut naik. Padahal, simen adalah Barangan Kawalan Berjadual yang tak sepatutnya naik.

“Semua ini berlaku disebabkan monopoli dan permainan licik tauke-tauke kaya yang menguasai industri makanan dan pembinaan dan yang jadi mangsa ialah rakyat dan kontraktor terutama kontraktor kecil,” katanya.

Wan Saiful mengingatkan Anwar supaya tidak bertindak seperti pembangkang dan mula memberi keutamaan pada isu penting. 

“Bila dah jadi kerajaan, kita perlu tahu apa keutamaan. Tidak boleh lagi bermentaliti pembangkang populis,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here