Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dua beradik lemas ketika mandi pantai di waktu senja

    Dua beradik lemas ketika mandi pantai di waktu senja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA beradik maut akibat lemas ketika mandi-manda bersama seorang lagi rakan mereka di Pantai Cenang dekat Langkawi, senja semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dua beradik tersebut dikenali sebagai R. Yuvaaraj, 22, dan R. Ravishangkar, 26, difahamkan tiba di pantai tersebut bersama dua lagi rakan mereka iaitu M. Sivaprakash Naidu, 25 dan R. Jeyakumar, 24 kira-kira pukul 7 petang.

    Katanya, kesemua mereka yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang datang bercuti ke Langkawi sejak kelmarin dan sepatutnya pulang hari ini.

    “Setibanya di pantai, dua beradik itu bersama Sivaprakash turun ke laut untuk mandi manakala Jeyakumar pula tidak menyertai mereka untuk berbuat demikian. Semasa mandi, datang ombak besar yang tanpa disedari telah menarik ketiga-tiga mereka ke kawasan lebih dalam.

    “Keadaan itu menyebabkan kesemua mereka terkapai-kapai meminta tolong. Sivaprakash berjaya berenang ke tepi pantai dan diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di Menara APM berhanpiran manakala dua beradik tersebut terus hilang dari pandangan,” katanya.

    Tambahnya, pencarian dilakukan pihak berwajib kemudiannya berjaya menemukan mayat Yuvaaraj kira-kira pukul 9.35 malam.

    “Mayat abangnya pula ditemukan kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi,” katanya.

    Katanya, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk dibedah siasat.

    “Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Abu Hafiz letak jawatan Ketua Pemuda Pejuang

    Abu Hafiz letak jawatan Ketua Pemuda Pejuang

    KETUA Pemuda Pejuang, Abu Hafiz Salleh Hudin mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa, hari ini.

    Keputusan itu kata Abu Hafiz dibuat setelah mengambil kira pelbagai timbangan termasuk rasa tanggungjawab terhadap prestasi parti itu pada PRU15.

    “Semoga kepimpinan baru mampu mengemudi sayap pemuda Pejuang dengan lebih baik dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor Free Malayasia Today.

    Abu Hafiz turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan utama Pejuang khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi kepercayaan kepadanya menggalas amanah berkenaan selama ini.

    PRU-15 menyaksikan Pejuang tewas di kesemua 121 kerusi ditandingi termasuk pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, yang hilang deposit di Langkawi.

    Selain Mahathir, presiden Pejuang yang juga anaknya, Mukhriz, dan timbalan presidennya, Marzuki Yahya, masing-masing hilang deposit di Jerlun dan Sungai Petani.

    Pejuang membentuk Gerakan Tanah Air (GTA) bersama Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), NGO, ahli akademik serta profesional.

    Pada PRU15, calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra.

  • Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    TIGA maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jambatan Permaisuri Bainun, Sitiawan, malam tadi. 

    Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan berkata mangsa yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Saga.

    Beliau berkata dua lagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam kenderaan yang sama serta pemandu kenderaan SUV jenis Chevrolet mengalami kecederaan.

    “Kita terima panggilan kecemasan pada 11.13 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan jenis Chevrolet telah terbakar 80 peratus. 

    “Tiga orang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan tiada mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurutnya kesemua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi memberitahu Bernama, identiti kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian. – BERNAMA 

  • Tindakan Hajiji hanya mahu kekal kedudukan di Sabah

    Tindakan Hajiji hanya mahu kekal kedudukan di Sabah

    TINDAKAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya untuk mengekalkan kedudukannya di Sabah.

    Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan bekas Pengerusi Bersatu Sabah itu seperti tidak memikirkan prinsip perjuangan yang pernah dilaungkan sebelum ini.

    “Keputusan Hajiji itu juga seperti tidak mengenang kesungguhan dan pengorbanan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah membantu beliau memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hingga diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah.

    “Kekesalan dan kekecewaan ini lebih terasa apabila mengenangkan segala kudrat dan pengorbanan jentera Armada Bersatu dan Pemuda PN yang telah bertungkus lumus memenangkan PN pada PRN Sabah yang lalu.

    “Kami yakin masih ada sahabat-sahabat seperjuangan Armada di Sabah yang kekal setia bersama Bersatu.

    “Terima kasih diucapkan. Kita akan bina semula Bersatu di negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hari ini, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu mengumumkan kepimpinan Bersatu Sabah keluar daripada parti itu.

    Hajiji dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil pertimbangan keadaan landskap politik negara ketika ini.

    Sementara itu, Wan Ahmad Faysal turut membidas kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun yang cuba mengaitkan PN sebagai parti yang mempromosi politik ekstremis Islam semata-mata.

    ‘Sebagai seorang tokoh dan pemimpin beragama Islam, Masidi disaran merujuk semula Fasal 6 dalam Perlembagaan Bersatu dan Fasal 5 dalam Perlembagaan PN.

    “Jelas sekali tujuan Bersatu dan PN ditubuhkan, bukan untuk mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni,” ujarnya.

  • Bersatu Sabah belum ‘lumpuh’, Ronald Kiandee masih pemimpin parti

    Bersatu Sabah belum ‘lumpuh’, Ronald Kiandee masih pemimpin parti

    AHLI Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) di Sabah walaupun kepimpinan negeri itu bertindak keluar parti hari ini.

    Memetik laporan The Star, Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu memberitahu, tidak dijemput dan dimaklumkan mengenai perjumpaan yang mendorong kepada keputusan itu pada malam tadi.

    “Saya difahamkan terdapat perjumpaan pada malam Jumaat apabila keputusan (meninggalkan parti) dibuat. Saya tidak dimaklum dan dijemput.

    “Oleh itu saya masih lagi Ketua Bersatu Bahagian Beluran dan masih lagi bersama Bersatu Sabah,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Hari ini, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengumumkan beliau dan barisan kepimpinan Bersatu Sabah meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.

    Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.

    Selain itu, Hajiji berkata, keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

    Ronald menambah, tindakan kepimpinan dan Ketua Pimpinan Bersatu, Datuk Seri Hajiji Noor itu tidak ‘melumpuhkan’ parti tersebut di Sabah.

    Sebaliknya kata beliau Bersatu masih mampu mengekalkan sokongan akar umbi kerana tindakan pimpinan tidak mendapat restu daripada ahli.

    Dakwa beliau, beberapa ketua bahagian juga berbelah bahagi mengenai keputusan itu.

    “Mereka (pimpinan) boleh menyatakan sebab mengenai keputusan itu tetapi ahli parti mempunyai hak untuk membuat keputusan,” katanya sambil menyatakan akan memperkasa semula Bersatu di Sabah.

    Kemelut Bersatu Sabah dengan Ronald tercetus apabila beliau tidak dicalonkan sebagai calon GRS pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Beluran susulan kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional.

    Ekoran itu, kerusi Parlimen Beluran diberikan kepada calon BN, Benedict Asmat hingga memaksa Ronald bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

    Namun, Ronald berjaya menenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 1,594 undi.

  • Wanita dikurung, dipaksa lakukan seks

    Wanita dikurung, dipaksa lakukan seks

    SEORANG lelaki dan dua wanita warga Tanzania ditahan polis selepas dipercayai memperdagangkan rakan senegara mereka untuk tujuan eksploitasi seks.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa ke Malaysia selepas dijanjikan pekerjaan di sebuah pusat kecantikan.

    “Namun setibanya di Malaysia, mangsa dikurung dan dipaksa untuk memberikan perkhidmatan seks.

    “Tidak tahan dengan penyeksaan itu, pada Rabu lalu, mangsa bertindak melarikan diri dari sebuah kondominium di Ampang Ukay, Ampang Jaya, dan membuat laporan polis untuk mendapatkan dokumen perjalanan termasuk pasport yang masih dipegang suspek bagi membolehkan mangsa pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, bertindak atas laporan itu, polis melakukan serbuan pada pukul 12.45 tengah malam di sebuah apartmen di Jalan Tun Razak, Ampang Jaya semalam.

    Dalam serbuan itu katanya, polis menahan seorang lelaki Nigeria serta dua wanita Tanzania termasuk suspek utama, dan kesemua mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar.

    Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan telefon pintar suspek-suspek itu, polis menemui gambar dan pasport pengadu pada suspek utama.

    Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek yang berusia 28 hingga 37 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    Namun demikian katanya, hanya suspek lelaki yang memiliki pasport ketika ditahan manakala dua suspek wanita gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Ujian saringan awal dadah yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati dua suspek wanita positif dadah,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 15 Disember ini.

    Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda.

  • PH bakal hilang enam, tujuh kerusi DUN di Pulau Pinang

    PH bakal hilang enam, tujuh kerusi DUN di Pulau Pinang

    PAKATAN Harapan (PH) dijangka akan kehilangan enam atau tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang, berikutan gelombang luar biasa Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, corak pengundian kali ini amat berbeza, didorong pelbagai faktor yang mempengaruhi pengundi dalam menentukan pemimpin pilihan mereka.

    “Keputusan di peringkat Parlimen pada PRU15, terutamanya di Padang Serai, Rabu lalu, memberi satu gambaran sebenar pemimpin pilihan pengundi. Malah, di beberapa kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), majoriti kita merosot dan kemenangan tidak memihak kepada PH.

    “Perkara ini serius dan kita perlu mengkaji kelemahan, seterusnya mengatur strategi baharu untuk menawan hati pengundi,” katanya pada Program Khatan Perdana KADUN Jawi di Dewan Serba Guna Jawi, Nibong Tebal, hari ini lapor BH Online.

    Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata keadaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan penguasaan PH di Pulau Pinang, namun pengaruh gabungan itu tidak akan menjadi sekuat dahulu.

    Berikutan itu, katanya, PH akan bekerja keras mulai bulan bagi menghadapi PRN itu, yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

    “Kita perlu `all out’ (bekerja keras) dari segi pengaturan strategi, penganjuran program serta membuat lawatan mendekati masyarakat, di samping berjumpa dengan agensi bagi mencari penyelesaian kepada isu yang kita kumpul ketika kempen PRU lalu,” katanya.

    Ketika ini, beliau berkata, jentera PH sedang ‘berehat’, sambil membersihkan kawasan, menyediakan laporan serta menyerahkan semua penyata perbelanjaan.

  • Kes pecah amanah KRM: Polis tunggu dokumen bank

    Kes pecah amanah KRM: Polis tunggu dokumen bank

    POLIS sedang menunggu dokumen daripada pihak bank bagi membantu siasatan membabitkan dakwaan kes pecah amanah disyaki berlaku dalam pengendalian akaun bank Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata: “Dokumen tersebut dijangka diterima dalam masa terdekat.”

    “Kita akan meneliti dokumen serta cek dan transaksi dalam akaun tersebut bagi mengenal pasti jumlah kerugian yang sebenar,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Pada Rabu, media melaporkan seramai tiga individu telah dipanggil untuk membantu siasatan.

    Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah.

    Pada Isnin, media melaporkan kegiatan pecah amanah itu disyaki dilakukan oleh seorang kakitangan KRM yang setakat ini gagal dihubungi dan dikesan.

    KRM dalam satu kenyataan menyebut, kakitangan terbabit telah memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai salah seorang penandatangan cek.

    Individu terlibat kemudiannya didakwa telah memalsukan tandatangan untuk membuat pengeluaran wang tunai dari bank.

    KRM bagaimanapun masih menyiasat jumlah kerugian sebenar dan akan membantu polis membuat siasatan serta mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

  • Lantikan menteri, timbalan menteri berstatus senator luar biasa, kata Saifuddin

    Lantikan menteri, timbalan menteri berstatus senator luar biasa, kata Saifuddin

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berpendapat, jumlah luar biasa lantikan menteri dan timbalan menteri yang berstatus senator dalam Kabinet dilihat mencacatkan amalan demokrasi di Malaysia.

    Ahli Parlimen Indera Mahkota itu l turut mempersoalkan mengenai kredibiliti apabila calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) yang kalah tetapi dilantik untuk menganggotai Kabinet.

    Beliau mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja sebagai Ahli Dewan Rakyat.

    “Melantik senator adalah perkara lazim bagi membolehkan Perdana Menteri melantik golongan profesional dan penjawat awam iaitu mereka yang pakar dan bukan dalam kalangan ahli politik.

    “Tetapi jumlah ahli politik yang kalah dilantik senator agak luar biasa. Kalau begitu mungkin tidak perlu buat pilihan raya. Rakyat merungut dan mencacatkan amalan demokrasi.

    “Saya tidak kata orang kalah tidak boleh dilantik (senator) tapi lazimnya jawatan senator untuk golongan profesional dan pakar. Kalau ada yang kalah itu seorang dua sahaja, tapi kali ini ramai,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

    Seramai empat menteri dan dua timbalan menteri dilantik sebagai Senator Dewan Negara bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan pada penggal ini.

    Difahamkan sebelum ini, sekurang-kurangnya dua senator yang dilantik dalam barisan Kabinet terdiri daripada profesional dan pakar dalam sesuatu bidang.

    Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang berkata, PN sebagai pembangkang akan menubuhkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang bayangan sebagai usaha untuk memperkukuhkan proses semak dan imbang kepada barisan kepimpinan kerajaan Pahang yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Langkah itu diambil bagi membolehkan PN menjadi pembangkang yang konstruktif, profesional dan produktif baik di peringkat pusat mahupun negeri Pahang, katanya.

    “Kita tunggu Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) umum portfolio, kemudian kita akan umum barisan Exco bayangan kita.

    “Begitu juga di Dewan Rakyat, akan wujud kabinet bayangan bagi sebuah negara demokrasi supaya proses semak dan imbang berjalan dengan teratur dan sistematik serta ada persaingan yang sihat di antara pihak kerajaan dan pembangkang.

    “Selain itu, Dewan Rakyat juga perlu ada jawatankuasa pilihan khas yang diinstitusikan supaya peranannya lebih bermakna sebagaimana di sesetengah negara demokratik maju lain,” ujarnya.

  • Politik Dana judi: Pemuda Pas Kedah minta polis siasat Anwar

    Politik Dana judi: Pemuda Pas Kedah minta polis siasat Anwar

    PEMUDA Pas Kedah meminta siasatan dilakukaen terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung fitnah kononnya Perikatan Nasional (PN) menggunakan dana judi untuk membiayai kempen politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Pemuda Pas Kedah merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, dakwaan Anwar yang dibuat ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet adalah cubaan menimbulkan persepsi buruk terhadap blok politik itu.

    “Tuduhan PN menerima dana daripada perjudian berkenaan bukan sahaja tidak wajar, malah tidak berasas dan bersifat fitnah semata-mata.

    “Pas telah meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti dan sehingga ke hari ini tidak ada bukti diberikan beliau.

    “Jadi, saya membuat laporan polis supaya beliau disiasat mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap kami, ahli Parlimen PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar malam tadi.

    Nurul Amin berkata, sebagai calon bertanding pada pilihan raya itu menafikan sekeras-kerasnya bahawa dana yang diterima ni adalah dana daripada syarikat judi.

    “Jadi kami minta pihak berkuasa seperti polis untuk menyiasat Perdana Menteri kerana telah melakukan jenayah fitnah dan diharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan dengan membuka kertas siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Nurul Amin menyifatkan tuduhan dilemparkan tidak sepatutnya dilakukan seorang pemimpin yang bergelar Perdana Menteri dengan menyerang pihak lawan pada satu sidang akhbar untuk menimbulkan persepsi tidak berasas.