Author: Wartawan WartaRakyat

  • Mulakan di pedalaman bukan pejabat menteri, warga net selar Zaliha isu kemiskinan haid

    Mulakan di pedalaman bukan pejabat menteri, warga net selar Zaliha isu kemiskinan haid

    INISIATIF Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan tuala wanita percuma di pejabat menteri  mencetuskan polemik, menyebabkan pengguna media sosial menyelar tindakan itu sebagai tidak memahami objektif kemiskinan haid.

    Semalam, Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa mengumumkan inisiatif tersebut sebagai langkah pertama bagi menangani isu berkenaan.

    Bagaimanapun, rata-rata pengguna maya mengatakan Zaliha berbuat demikian sebagai ‘menghina’ kemiskinan haid kerana memberi bantuan tuala wanita kepada yang mampu daripada segi kewangan tambahan lagi golongan bekerja di kementerian kerajaan.

    “Dengar kata tandas wanita pejabat menteri kesihatan akan dapat bekalan tuala wanita percuma.

    “Tahniahlah ramai orang miskin di pejabat menteri rupanya,” tulis pengguna Ab Jalil Backer di Facebook. 

    “Kerja Putrajaya ni orang-orang susah sebenarnya,” tulis Arwish dalam Facebook Astro Awani.

    “Jangan marah. Mereka tak mampu.

    “Dah lama mereka tak dapat bonus. Korang apa tahu,” tulis Khatijah Mat Som di Twitter.

    Sementara itu seorang doktor perubatan dengan 49,000 pengikut di Facebook turut menegur tindakan Zaliha mengatakan pemberian tuala wanita kepada petugas pejabat menteri tidak perlu dihebahkan kepada umum.

    Kata Dr. Arisman, pengumuman itu bukannya yang dinanti-nantikan oleh masyarakat khusunya petugas kesihatan selepas pelantikan Zaliha sebagai menteri di KKM.

    “Tetapi alangkah bagusnya jika program pemberian tuala wanita percuma ini diberikan kepada kawasan-kawasan pedalaman dan kawasan-kawasan dengan jumlah miskin bandar yang tertinggi.

    “Mulakan dari situ dahulu,” tulisnya.

    Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila orang perempuan atau keluarga tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan.

    Sewaktu pandemik, kemiskinan haid terus melanda kelompok miskin bandar mengakibatkan isu itu menjadi semakin meruncing dan membimbangkan.

    Ketika itu, ramai pihak memohon bantuan produk sanitasi untuk golongan wanita di tempat tinggal masing-masing yang menjadi petanda golongan miskin bandar tidak memiliki benda asas untuk pengurusan dan kebersihan diri.

    Satu gerakan advokasi kemiskinan haid di Malaysia yang menggabungkan badan bukan kerajaan dan penyelidik dikenali Peduli Merah memberitahu usaha yang dijalankan oleh Zaliha sukar mencapai objektif membasmi kemiskinan itu.

    Ini kerana kumpulan yang menerima manfaat daripada inisiatif tersebut bukannya dari kumpulan sasaran dan memerlukan keutamaan.

    Jurucakap Peduli Merah, Nursyuhaidah A Razak berkata, KKM sepatutnya meletakkan tuala wanita percuma di klinik kesihatan, hospital di kawasan luar bandar dan pedalaman di mana data menunjukkan mereka yang paling memerlukan bantuan tersebut.

    “Selain itu, KKM perlu fokus akses rawatan kesihatan haid. Sediakan saringan kesihatan reproduktif untuk miskin bandar dan miskin tegar, bersama dengan kementerian pendidikan dan kemeterian wanita.

    “Pantau juga isu kemiskinan haid di sekolah dan pastikan setiap golongan dapat akses pendidikan haid yang tepat. Kaji bersama Kementerian Sumber Manusia berkenaan cuti haid.

    “KKM juga perlu ambil kira aspek kesihatan mental bagi individu yang mengalami kemiskinan haid kerana masih belum ada kajian yang berfokuskan kepada perkara ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Katanya lagi, Peduli Merah sudah menghantar 11 tuntutan Haid Setara melalui emel kepada KKM, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) minggu lalu.

    Antara tuntutan yang disenaraikan adalah menubuhkan jawatankuasa Haid Setara, pelaksanaan bantuan secara telus tanpa diskriminasi dan memperkenalkan cuti haid untuk pekerja wanita.

    Sementara itu, kata Nursyuhaidah, terdapat satu lagi masalah kritikal dalam kemiskinan haid yang wajar diberikan penyelesaian segera oleh KKM bersama kementerian-kementerian yang berkaitan.

    Ini melibatkan kebersihan dan produk sanitasi di pusat-pusat tahanan yang menamatkan buruh asing.

    Katanya, terdapat laporan yang menyatakan kebanyakan buruh wanita Indonesia yang ditahan dalam pusat tahanan di Malaysia tidak mendapat akses air yang bersih dan rawatan kesihatan asas.

    “Malah, tiada tuala wanita pun disediakan. 

    “Ini kumpulan sasaran yang diremehkan dan tak diambil berat oleh kementerian.

    “Jadi kali ini sesuai dgn agenda reformasi KPWKM , KKM dan KDN boleh kerja dan berikan migran hak yang selayaknya dan bermaruah.”

  • Sekularisme tiada tempat dalam politik Melayu-Islam, kata Wan Fayhsal

    Sekularisme tiada tempat dalam politik Melayu-Islam, kata Wan Fayhsal

    AGAMA tidak boleh dipisahkan daripada politik dalam masyarakat Melayu-Islam, kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Beliau menegaskan, hal ini kerana agama adalah sebahagian daripada falsafah politik masyarakat Melayu-Islam.

    “Dalam al-Quran dan sabda Nabi, terdapat banyak rujukan mengenainya. Jadi (kita) tidak boleh sekular dalam pendekatan semasa berkempen,” katanya dalam temu bual dengan BFM.

    Beliau ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) akan mengurangkan retorik perkauman dan agama apabila berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Ditanya mengapa Bersatu berdiam diri mengenai kenyataan berbaur perkauman dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini, Wan Fayhsal berkata komen Hadi sudah ditangani secara dalaman.

    “Kami ada membincangkannya dalam mesyuarat. Kami betulkan mereka (Pas).

    “Sebagai komponen PN, Bersatu cuba sehabis baik untuk menjadi moderator supaya paling tidak, orang ramai tahu kami mendukung negara yang berbilang kaum,” katanya.

    Pada Ogos, kenyataan Hadi bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera menjadi punca rasuah mengundang kritikan.

    Catatannya dalam Facebook turut memfokuskan kepada golongan tersebut sebagai majoriti yang terlibat dalam rasuah.

    Susulan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki mempertahankan kenyataan Hadi dengan memetik tinjauan sebuah universiti tempatan yang tidak dinamakan yang mendapati 88% daripada 449 orang yang disabitkan kesalahan memberi rasuah antara 2010 dan 2014 terdiri daripada orang bukan Melayu.

    Katanya, daripada jumlah peratusan itu, 57.46% berbangsa Cina, 30.51% berbangsa India dan 12.03% orang Melayu.

    Wan Fayhsal berkata, walaupun kenyataan Hadi berdasarkan kajian akademik, beliau tidak bersetuju dengan generalisasi itu.

    Persampelan kajian itu mungkin bermasalah, katanya yang juga Ahli Parlimen Macang.

    “Tetapi (kenyataan) Hadi ada tujuannya, dari segi membangkitkan isu mengenai, sebagai contoh, kegiatan haram di negara kita,” katanya, lapro SatuBerita.

  • Wanita melecur tong gas memasak meletup

    Wanita melecur tong gas memasak meletup

    SEORANG wanita melecur hampir seluruh badan selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sena Permai, Pokok Sena, Pulau Pinang, pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa dikatakan mahu menggoreng ikan sebelum tong gas memasak meletup sehingga memusnahkan rumah teres dua tingkat yang didiami bersama adik dan adik iparnya.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohamad Hazam Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 8.13 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Sebaik tiba di lokasi kejadian katanya, pihaknya mendapati mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa keluar oleh orang awam.

    “Mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, anggota bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja pemantauan dan kawalan supaya tiada letupan susulan berlaku.

    Jelasnya, letupan terbabit turut mengakibatkan sebuah kereta dan motosikal yang diletakkan di ruang hadapan rumah mengalami kerosakan.

    “Setakat ini, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • [VIDEO]Buaya besar naik atas jalan kampung, halang kenderaan

    [VIDEO]Buaya besar naik atas jalan kampung, halang kenderaan

    GELAGAT seekor buaya besar naik ke atas jalan Kampung Seri Damai di Kuantan, Pahang yang dinaiki air hingga mengganggu kenderaan penduduk menggunakan laluan itu berjaya dirakam semalam.

    Video kejadian berdurasi 29 saat itu mula tular hari ini selepas dimuatnaik di media sosial oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan di akaun Facebook beliau.

    Menurut Rafiq, kejadian itu berlaku Isnin lalu di laluan jalan Air Hitam berhampiran Jalan Kuantan-Pekan.

    Katanya, video buaya itu diperoleh daripada salah seorang penduduk yang terserempak dengan reptilia berkenaan pada pukul 9 malam.

    Difahamkan, buaya bersaiz besar itu berasal dari Sungai Belat berhampiran namun ia tidak mengganggu penduduk.

    Jelas beliau, kejadian buaya berada di atas jalan sering berlaku apabila hujan lebat melimpahi jalan kerana di situ memang kawasan habitat buaya.

    Namun ini adalah kali pertama kejadian itu dapat rakam dan tular.

    Video itu setakat ini telah mendapat lebih 3,000 tontonan

    Rafiq menambah, bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini, penduduk boleh menggunakan laluan alternatif di Simpang Sri Damai bersebelahan Taman Mas.

    Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak bermain air di kawasan tersebut.

  • Mohd. Yadzil Ketua Pembangkang DUN Melaka

    Mohd. Yadzil Ketua Pembangkang DUN Melaka

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub secara rasmi dipilih sebagai Ketua Pembangkang mewakili blok Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

    Beliau menggantikan ADUN Bukit Katil yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari selepas gabungan itu secara rasmi mengesahkan menyertai Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.

    “Memandangkan pada saat ini telah disahkan oleh Pengerusi PH sendiri bahawa mereka berada dalam blok kerajaan, jadi secara automatik saya bersama seorang lagi ADUN PN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof merupakan dua sahaja wakil pembangkang yang tinggal dan kedudukan di dewan juga telah berubah.

    “Sebagai Pengerusi PN saya akan jadi Ketua Pembangkang dan sepertimana di kerajaan Pusat, kita akan kekal sebagai pembangkang yang lebih aktif supaya dapat memainkan peranan penting sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan negeri,” katanya.
    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Dewan Persidangan DUN, di sini, hari ini.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri November tahun lalu, DUN Melaka menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mendominasi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala blok PH lima kerusi dan PN, dua kerusi.

    Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU-15) baru-baru ini, bagaimanapun, menyaksikan gabungan antara BN dan PH sekali gus kedudukan kerusi di DUN Melaka berubah pada persidangan kali ini.

    Dalam pada itu Mohd. Yadzil yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, tidak dinafikan akan timbul pelbagai cabaran memandangkan hanya dua wakil pembangkang di DUN Melaka ketika ini.

    Bagaimanapun, beliau memberi jaminan untuk meletakkan soal rakyat sebagai keutamaan selain mengamalkan satu politik matang.

    “Setakat ini saya tidak ada masalah dengan semua wakil rakyat kerana kita semua sudah lama kenal dan macam mana sekalipun kami akan mengamalkan satu politik matang dan memperjuangkan hal rakyat dengan harapan kerajaan negeri dapat menjalankan apa yang telah diamanahkan,” tambahnya, lapor Astro Awani.

  • Miliki kesungguhan, enigma terdiri punca Hamzah diangkat Ketua Pembangkang

    Miliki kesungguhan, enigma terdiri punca Hamzah diangkat Ketua Pembangkang

    PERIKATAN Nasional (PN) disifatkan sebagai berani bila melantik Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Hamzah dilantik kerana kesungguhan dan pengalaman luasnya dalam kerajaan.

    Katanya lagi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mempunyai kualiti sama, namun Ahli Parlimen Larut itu memiliki enigma tersendiri.

    Beliau berkata demikian seperti dilapor FMT selepas ditemu bual BFM, hari ini.

    Sementara itu, Wan Fayhsal telah membuat laporan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu dana PN datang dari syarikat perjudian.

    “PN sentiasa telus mengenai siapa penderma sebaik sahaja rang undang-undang pembiayaan politik berkuat kuasa,” katanya.

    Minggu lalu, Anwar membayangkan bahawa dana PN untuk kempen pilihan raya sebahagiannya datang daripada syarikat perjudian.

    Susulan itu, Pas memberikan respons dengan menggesa Anwar memberikan bukti terhadap dakwaannya.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jika Anwar gagal menunjukkan sebarang bukti untuk menyokong tuduhannya, PN akan mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang.

  • Penganggur miliki dadah dipenjara lima tahun, 10 sebatan

    Penganggur miliki dadah dipenjara lima tahun, 10 sebatan

    SEORANG penganggur yang pernah menerima hukuman atas beberapa kesalahan berkaitan dadah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini.

    Tertuduh, Rosli Mohamad Jaafar, 41, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Norma Ismail, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, pada 20 Julai lalu pukul 8 pagi di tangki air Felda Lui Muda didapati dalam milikannya dadah berbahaya yang mengandungi 11.2 gram Heroin dan Monoacetylmorphines.

    Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Jangan ambil masa lama tangguh takwim sekolah

    Jangan ambil masa lama tangguh takwim sekolah

    PENANGGUHAN cadangan sesi baharu persekolahan yang disaran kembali ke bulan Januari diharap tidak mengambil masa lama.

    Meskipun ia memerlukan kajian bagi meminimumkan impak kepada pihak-pihak berkaitan namun ia bukanlah membabitkan isu yang besar.

    Sebaliknya fokus Kementerian Pendidikan (KPM) seharusnya tertumpu kepada silibus pembelajaran.

    KPM sebelum ini menyebut mengambil maklum cadangan untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada Januari. Namun ia cadangan itu ditangguhkan dengan mengambil kira kebajikan guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara.

    Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, secara desakan untuk mengembalikan sesi persekolahan pada bulan Januari dianggap wajar.

    “Hal ini kata Anuar disebabkan kita sudah mengamalkan sistem persekolahan bermula Januari dalam tempoh yang lama.

    “Apatah lagi sejak dahulu sekolah bercuti hujung tahun disebabkan dalam tempoh itu umumnya di sesetengah negeri dilanda tengkujuh dan banjir. Justeru ia sudah menjadi kelaziman sebahagian masyarakat.

    “Jadi pada saya, lebih baik dimulakan pada bulan Januari kerana itu yang dipinta ibu bapa dan guru.

    “Walaupun ia tidak membabitkan isu yang terlalu besar, tetapi dalam konteks ini ia lebih bertujuan untuk memudahkan dan menyelaraskan perancangan bukan sahaja ibu bapa malah pihak guru sendiri,” katanya ketika dihubungi BH.

    Justeru kata Anuar, silibus pelajaran dan sesi peperiksaan sebaik-baiknya dihabiskan pada tahun yang sama.

    Namun, adalah tidak adil buat murid Tingkatan Empat dan Lima jika keputusan memulakan sesi persekolahan pada Januari dilakukan secara tiba-tiba.

    Tegas Anuar dalam hal ini, penyelesaian isu berkenaan bukan mudah. Hal ini disebabkan jika sesi persekolahan dikembalikan seperti asal ia akan membuatkan tempoh pembelajaran ‘ketinggalan’ tiga bulan dan dikhuatiri berlaku keciciran dalam kalangan murid melainkan cuti sekolah dipendekkan.

    “Namun langkah ke arah itu boleh dilaksanakan secara berperingkat atas persetujuan bersama.

    “Ia tidak semestinya membabitkan semua murid, jadi pada masa yang sama memberi ruang kepada ibu-bapa untuk lebih bersedia pada masa depan,” katanya.

    Anuar melihat perubahan kembali sesi persekolahan itu tidak menjadi masalah jika hanya membabitkan murid-murid tahap pertama di sekolah rendah. Namun terpulanglah kepada pertimbangan KPM dalam memutuskan langkah penyelesaian terbaik.

    Tegasnya, apa yang paling utama ketika ini adalah KPM harus menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula silibus khususnya untuk murid Tahun Satu, Dua dan Tiga yang dilihat tidak bersesuaian dengan mereka.

    “Seboleh mungkin kita mengharapkan jawatankuasa semakan silibus itu ditubuhkan secepatnya supaya pengesyoran bersesuaian dapat dilakukan dengan kadar segera.

    “Ia penting supaya tidak mengganggu penjadualan pembelajaran anak-anak kita pada masa depan.

    “Ini disebabkan pandemik sebelum ini menjejaskan pembelajaran mereka. Jadi, murid ini harus dipulihkan terlebih dahulu terutamanya membabitkan kemahiran menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira jadi silibus yang dirangka seharusnya tidak menghilangkan motivasi mereka untuk belajar,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Malaysia Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hassan berkata, memang diakui usaha untuk mengembalikan sesi persekolahan seperti sebelum ini memerlukan masa untuk diselaraskan.

    “Langkah ini harus dilaksanakan secara berperingkat dan tidak perlu tergesa-gesa. Selain memerlukan maklum balas serta sesi libat urus menyeluruh dalam kalangan pelbagai pihak membabitkan persatuan-persatuan guru dan ibu bapa.

    “Ibu bapa dan pihak sekolah juga seharusnya mempunyai hubungan dan kerjasama yang erat supaya apa-apa maklumat berkaitan pembukaan sekolah dapat diterima dan dirancang dengan baik supaya sesi persekolahan berjalan lancar,” katanya.

    Sementara itu bagi seorang bapa, Mohamad Rozi Zaini, 41, memahami perubahan membabitkan takwim sekolah tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

    Namun yang lebih penting adalah peranan aktif ibu bapa dalam menyokong rutin pembelajaran anak-anak.

    “Tempoh cuti hujung anak-anak boleh gunakan untuk mengulangkaji pelajaran. Jadi saya terbuka dalam hal ini. Jika sesi persekolahan bermula Mac, kita sudah ada pengalaman sebelum ini dan bukannya anak-anak langsung tidak terus bersekolah,” katanya.

    Bagi seorang ibu, Farha Saat, 39, berkata, keluarganya agak terkesan apabila yuran sekolah tadika dan tambang van sekolah tetap perlu dibayar penuh sebulan biarpun sesi persekolahan hanya berlangsung selama sembilan hari pada Disember ini.

    Ibu kepada tiga cahaya mata berusia enam tahun hingga 12 tahun sangat berharap pihak KPM dapat mempertimbangkan isu-isu sedemikian dalam penyusunan takwim sekolah pada tahun-tahun berikutnya.

    “Saya sendiri perlu membayar RM200 yuran van untuk dua anak yang bersekolah rendah dan sejujurnya memang rasa membebankan walaupun kami faham pengusaha van sekolah juga mempunyai komitmen sara hidup termasuk bayaran ansuran pinjaman kenderaan mereka.

    “Jadi kalau sesi persekolahan kembali seperti dahulu sekurang-kurangnya kami tidak perlu lagi menanggung kos sebegitu sebaliknya fokus melakukan persediaan persekolahan sesi baharu,” katanya.

    Sebelum ini susulan penularan Covid-19, sesi persekolahan baharu bagi tahun ini dianjak ke Mac dan dikekalkan bagi takwim 2023.

    KPM menyebut pelbagai faktor diambil kira dalam penyediaan takwim persekolahan termasuk kebarangkalian banjir di negeri-negeri Pantai Timur pada hujung tahun susulan musim Monsun Timur Laut.

    Anjakan takwim persekolahan itu menyaksikan murid kembali ke sekolah dan berada di kelas yang sama selepas bercuti selama tiga minggu bermula 10 Disember lalu dan hanya akan naik darjah atau tingkatan pada Mac 2023.

  • Wanita didakwa ubah wang haram RM12,000 menerusi penjualan bayi

    Wanita didakwa ubah wang haram RM12,000 menerusi penjualan bayi

    SEORANG wanita warga emas yang juga bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram menerusi aktiviti penjualan seorang bayi perempuan sebanyak RM12,000 tahun lalu.

    Tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut pertuduhan, Jamaliah telah menerima wang tunai berjumlah RM12,000 yang merupakan hasil aktiviti haram di lobi sebuah hotel di Jalan Penang kira-kira pukul 7 malam, 15 Disember 2021.

    Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021.

    Kesalahan tersebut memperuntukan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa telah mengiklankan di laman sosial Facebook dalam ‘’Group Pencarian Anak Angkat’ kepada pasangan-pasangan yang ingin mencari anak angkat.

    Pada 15 Disember 2021, tertuduh didakwa menjual bayi tersebut dengan harga RM12,000 kepada pasangan suami isteri dari Terengganu yang berminat mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong manakala tertuduh diwakili peguam, MD. Yusuf MD. Idrdsrhd

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap 1 haribulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 13 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Slogan menentang rasuah, perompak, lanun hanya penuh kepura-puraan – Abdul Hadi

    Slogan menentang rasuah, perompak, lanun hanya penuh kepura-puraan – Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan parti DAP telah mendedahkan wajah yang sebenar kepada umat Islam.

    Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Abdul Hadi berkata DAP telah mengeluarkan kenyataan kemarahan terhadap kejayaan Pas yang diberikan nama gelombang hijau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

    “Sehinggakan, berlakunya gerakan bagi menghalang penubuhan kerajaan oleh Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh Pas dengan cara yang terang lagi bersuluh, walaupun melalui tangan-tangan ghaib yang tersembunyi.

    “Mereka mengoyakkan topeng yang melindungi wajahnya yang sebenar, supaya lebih meyakinkan kita kepada perjuangan Islam dan mengenali siapakah kawan dan lawan.

    “Ditelanjangkan dirinya sendiri, betapa slogan menentang rasuah, perompak, lanun dan segala salah laku hanya penuh kepura-puraan sahaja,” katanya dalam perkongsian tersebut memetik laporan Astro AWANI.

    Hal ini jelas beliau berlaku apabila semua pihak yang dikutuk tersebut diajak untuk bergabung bersama dan diajak sesiapa sahaja, dalam kerajaan yang dibentuk bagi mencukupkan jumlahnya dengan cara begitu rupa tanpa rasa malu.

    Ikuti kenyataan penuh di Facebook Abdul Hadi Awang.