Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tanah runtuh Batang Kali: 15 mayat sudah dituntut waris

    Tanah runtuh Batang Kali: 15 mayat sudah dituntut waris

    WARIS kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong telah menuntut mayat mangsa untuk proses pengebumian.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, sebanyak 15 mayat telah dituntut oleh waris masing-masing, semalam.

    Katanya, kesemua mayat diserahkan kepada waris selepas proses pengecaman dan bedah siasat selesai di Hospital Sungai Buloh (HSB).

    “Mayat terdiri daripada dua lelaki dewasa, lapan wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

    “Pada masa ini, masih ada baki sembilan lagi mayat yang masih berada di hospital untuk tujuan bedah siasat dan menunggu proses tuntutan oleh waris.

    “Kita memohon kepada waris atau keluarga atau rakan kepada mangsa yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini untuk pergi ke HSB bagi membuat pengecaman dan mengenal pasti identiti mayat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

    Suffian menambah, masih ada di antara mayat mangsa belum dapat dikenal pasti identitinya dan waris yang ada kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan polis.

    Katanya, waris juga boleh datang terus ke HSB kerana pihak polis menugaskan satu pasukan khas untuk menguruskan dokumentasi termasuk penyerahan mayat.

    Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan masih hilang.

    Mengulas mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR), beliau berkata, operasi SAR semalam dihentikan pada jam 9 malam tadi susulan hujan lebat sebelum disambung semula pada jam 8 pagi tadi.

    “Operasi SAR dihentikan jam 9 malam tadi kerana jika diteruskan, ia boleh membahayakan nyawa petugas penyelamat sebelum disambung semula awal pagi tadi.

    “Sebanyak lima komponen pasukan penyelamat kini berada di lokasi membabitkan 112 anggota dan tiga anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Mayat ke-16 selesai dibedah siasat

    Tanah runtuh Batang Kali: Mayat ke-16 selesai dibedah siasat

    PIHAK hospital selesai membedah siasat mayat ke-16 korban tragedi tanah runtuh Batang Kali di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh (HSB).

    Berita Harian melaporkan, mayat mangsa dipercayai orang dewasa dibawa keluar menaiki kenderaan Pusat Peringatan Nirvana, dipercayai untuk upacara keagamaan selanjutnya.

    Bagaimanapun, pihak media tidak dapat memastikan identiti mangsa yang mayatnya dibawa keluar sekitar pukul 10.25 pagi tadi.

    Sementara itu, sekitar pukul 10.30 pagi, sebuah lagi van dimiliki pusat krematorium sama memasuki kawasan Jabatan Forensik.

    Difahamkan setakat ini, terdapat lapan lagi mayat masih dalam proses bedah siasat dan menunggu dituntut waris.

    Keseluruhan 24 mangsa yang meninggal dunia akibat tragedi tanah runtuh awal pagi Jumaat lalu, dihantar ke Jabatan Forensik HSB, setakat semalam.

    Petugas media yang menunggu di pekarangan jabatan berkenaan tidak dimaklumkan oleh pihak HSB sebarang maklumat terkini membabitkan mayat mangsa yang dibawa ke hospital terbabit.

  • Tanah runtuh: Identiti 9 mayat belum dikenal pasti

    Tanah runtuh: Identiti 9 mayat belum dikenal pasti

    IDENTITI sembilan mayat mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali masih belum dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau boleh membantu mengenal pasti mayat berkenaan untuk tampil ke Hospital Sungai Buloh.

    Pihak berkuasa telah menyerahkan 15 mayat kepada waris mangsa selepas berjaya mengenal pasti identiti mereka.

    Insiden tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat itu setakat ini telah meragut 24 nyawa.

    Seramai 61 orang terselamat dalam kejadian yang berlaku di tiga tapak perkhemahan pada jam 2 pagi itu.

    Operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari sembilan lagi mangsa yang belum ditemui lapor FMT.

  • Bersatu sudah gantikan UMNO di mata orang Melayu -Wan Saiful

    Bersatu sudah gantikan UMNO di mata orang Melayu -Wan Saiful

    JUMLAH 31 kerusi yang dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini memperlihatkan bahawa parti itu kini lebih besar daripada BN yang hanya memperoleh 30 kerusi.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan, partinya mempunyai hak untuk bercakap tentang agenda bumiputera, integriti, kerajaan bersih dan kemajuan orang Melayu-Islam berbanding UMNO yang didakwa telah hilang legitimasi.

    Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid bersama Wan Saiful mengupas beberapa isu berhubung pasca PRU-15.

    SINAR AHAD: Tahniah Datuk di atas kemenangan di Tasek Gelugor sekali gus mengekalkan kerusi yang sebelum ini disandang Datuk Shabudin Yahaya. Bilangan pengundi juga di luar jangkaan dengan mencecah 83.83 peratus berbanding PRU14. Bagaimana Datuk melihat kemenangan luar biasa ini? Apakah faktor utama?

    WAN SAIFUL: Saya rasa ada kesedaran terutama sekali dalam kalangan pengundi-pengundi baru. Sebenarnya sebelum pilihan raya, antara perkara yang amat saya bimbang ialah sekiranya pengundi-pengundi baru tidak keluar mengundi. Ini kita lihat berlaku di Melaka dan Johor.

    Peratusan keluar mengundi adalah rendah dan saya rasa strategi yang digunakan oleh UMNO dan BN sebelum ini untuk bubarkan Parlimen pada musim tengkujuh ialah untuk mengusahakan supaya peratusan keluar mengundi rendah.

    Tetapi alhamdulillah kesedaran rakyat kita lihat agak tinggi dan mereka balik mengundi.

    Ini merupakan satu perkara yang baik dan menyumbang kepada kemenangan saya di Tasek Gelugor. Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini.

    SH: PRU-15 menyaksikan gelombang sokongan luar biasa terhadap Perikatan Nasional (PN). Golongan mana yang paling ramai undi PN dan adakah benar menyokong PN disebabkan mahu menunjukkan protes menolak BN dan Pakatan Harapan (PH)?

    Kalau guna pengalaman saya di Tasek Gelugor, apa yang berlaku ialah tidak menjangka bilangan majoriti yang kita dapat setinggi itu, lebih 12,000.

    Sebelum ini, Datuk Shabudin menang dengan 81 undi sahaja. Ini menunjukkan berlaku peningkatan bilangan pengundi dan dalam masa sama orang yang mengundi parti lain sebelum ini juga mengundi PN.

    Saya rasa gelombang yang ada itu ialah gelombang yang mahukan pembaharuan. Kita tidak boleh nafikan keinginan rakyat ialah kepada sebuah kerajaan bersih, tidak ada kes-kes rasuah dan ini dizahirkan dalam undi mereka.

    Sebab itu bagi saya, pandangan yang mengatakan bahawa kita menyaksikan gelombang hijau dan gelombang politik Islam adalah pandangan yang dicipta oleh pihak musuh PN untuk menakutkan rakyat seolah-olah PN ini ada satu kelompok sahaja menyokongnya.

    Tidak logik kalau kita nak kata bahawa hanya orang Islam sahaja menyokong PN. Di Tasek Gelugor sendiri, pengundi Cina dan India mengundi PN.

    Jadi, kalau nak kata ini gelombang Islam atau gelombang Melayu, bagaimana kita nak rasionalkan sokongan yang kita dapat daripada pengundi bukan Melayu dan bukan Islam.

    Bagi saya, ini adalah satu gelombang masyarakat yang mahukan integriti, pembaharuan, kerajaan yang bersih dan menolak amalan salah guna kuasa.

    SH: PN kini menjadi pembangkang walaupun menang di utara dan pantai timur pada PRU-15. Bagaimana Datuk melihat masa depan PN? Mampukah PN menguasai enam negeri yang bakal mengadakan PRN pada 2023 iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan?

    Saya rasa Kedah, Kelantan dan Terengganu kita ada potensi untuk menang dengan jumlah yang amat ‘sihat’ di sana, insya-ALLAH. Begitu juga di Pulau Pinang, kita ada kerusi-kerusi contohnya di Tasek Gelugor saya sudah umumkan kita ada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Matlamat saya ialah untuk memastikan ketiga-tiga DUN tersebut dapat dipindahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN. Ini boleh kita buat di Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Kepala Batas dan mengekalkan kerusi-kerusi lain yang dimiliki oleh ADUN-ADUN daripada PN di Pulau Pinang.

    Begitu juga di negeri-negeri lain yang perlu mengadakan pilihan raya ini. Saya rasa potensi ada dan peluang untuk kita menang amat cerah. Tetapi ada prasyarat.

    Pertama sekali kita mesti berjaya tangkis tohmahan daripada musuh politik yang mengatakan PN ini hanya membawa suara orang Melayu-Islam sahaja.

    Sebenarnya yang kita bawa ialah suara pengundi dan suara rakyat mahukan pembaharuan, kerajaan bersih dan stabil.

    Ini bukan isu bangsa dan agama, tetapi isu mahukan kerajaan yang berintegriti. Kita mesti boleh menangkis tohmahan dan usaha mencipta persepsi yang mereka lakukan sekarang.

    Di waktu yang sama, kita juga boleh lebarkan capaian ke kawasan-kawasan bandar dan juga dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

    Itu kita kena terima hakikat sebab bila ditakutkan pengundi bukan Melayu, maka ada yang terpengaruh. Jadi kita kena pastikan bahawa boleh mencapai ke dalam rangkaian mereka.

    SH: Kawasan bandar merupakan kubu kuat PH. Bagaimana PN mahu tembusi kawasan-kawasan bandar ini?

    Tak dapat tidak, kita kena pastikan parti kita dapat bertapak dengan sihat di semua kawasan, baik bandar atau luar bandar. Di kawasan bandar, kita ada cabaran yang mana corak pemikiran pengundi di kawasan ini mungkin agak berbeza.

    Kita perlu lebih banyak interaksi melibatkan mereka dalam memberikan pandangan dan mengenai hala tuju parti.

    Kalau kita dapat memperkukuhkan pergerakan dan keberadaan parti di sesuatu tempat, saya rasa kita ada peluang cerah.

    SH: Apa komen Datuk mengenai dakwaan mengatakan PN masih terkebelakang menjadi pembangkang yang sering meniup sentimen agama dan perkauman dengan tersebarnya beberapa video tular di media sosial kebelakangan ini?

    Ini adalah satu usaha terdesak daripada pihak PH dan BN yang mana mereka tidak ada isu nak dimainkan. Nak tuduh PN rasuah, kita tak rasuah. Rasuah di pihak mereka.

    Nak tuduh kita salah guna kuasa, tidak ada. Salah guna kuasa di pihak mereka. Jadi, mereka menggunakan isu agama dan perkauman untuk mencacatkan imej PN di mata rakyat.

    Mencipta persepsi ini memang kawan-kawan dalam PH pandai. Yang mana apa yang mereka lakukan ialah menggunakan isu agama dan bangsa, mengatakan kita yang patut berhenti guna isu agama dan bangsa.

    Sedangkan di sebelah kita mengatakan mereka dipenuhi oleh individu-individu yang ada kes mahkamah.

    Kita tidak menggunakan isu agama dan bangsa. Mereka yang menggunakan isu agama dan bangsa dengan mengatakan kita ini mewakili suara orang-orang Melayu-Islam sahaja.

    Kalau sebelah PH dan BN betul-betul nak bergerak ke depan, cadangan saya PH dan BN tolong berhenti menggunakan retorik agama dan bangsa.

    Mari kita bercakap mengenai polisi, dasar, ideologi dan hala tuju negara. Tetapi dia tidak dapat (melakukannya) disebabkan dalam kalangan mereka tidak ada persefahaman.

    SH: Kemenangan PN di Padang Serai dengan majoriti 16,000 undi dikatakan adalah petunjuk penolakan rakyat terhadap kerajaan PH dan BN. Tetapi dari segi pandangan Datuk, apa sebenarnya faktor utama kemenangan PN di sana?

    Di Tioman kita kalah tipis dan Padang Serai kita menang besar. Ini menunjukkan rakyat tidak tertipu dengan PH dan BN.

    Mereka sedar, bila bergabung maka gabungan itu adalah gabungan yang buruk untuk negara.

    Sedangkan yang ditawarkan oleh PN ialah perkara yang lebih baik untuk negara dan maju ke depan.

    SH: Isu panas tentang bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya bertindak meninggalkan parti. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan mereka sebagai pengkhianat parti dan rakyat Sabah. Bagaimana pula pandangan Datuk? Apa kedudukan Bersatu Sabah sekarang?

    Parti Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi disebabkan ia sebuah parti dan organisasi. Bila ada yang keluar meninggalkan parti, maka akan ada penggantinya.

    Macam kita kerja dekat mana-mana syarikat. Contohnya di Sinar Harian. Apabila ada editor keluar, ada editor baru masuk. Ada wartawan keluar, ada wartawan baru masuk.

    Daripada setinggi-tinggi jawatan, sehinggalah serendah-rendah jawatan ada keluar dan ada yang masuk. Bagi saya, ini bukan satu masalah.

    Ya, kita sedih apabila kawan-kawan meninggalkan parti. Tetapi parti tetap kekal dengan agenda perjuangannya. Bersatu di Sabah akan disusun semula dengan kepimpinan baharu.

    Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah dilantik Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah menggantikan Hajiji. Bagi saya, Bersatu di Sabah akan menjadi lebih baik selepas ini dipimpin oleh mereka yang benar-benar percaya dengan agenda kita bawa.

    SH: Apakah tindakan mereka ini menyebabkan lebih ramai lagi ahli yang akan mengikuti jejak langkah keluar Bersatu di Sabah?

    Kita kena tunggu dan lihat. Memanglah ada kesan, sesiapa yang keluar parti ada kesan. Contoh hari ini kita terpaksa bincang mengenai suasana di Sabah. Jadi, kesan itu ada.

    Tetapi kita kena tunggu dahulu, tengok apa yang akan berlaku selepas ini. Parti telah memberikan amanah kepada Datuk Seri Dr Ronald dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk sama-sama berbincang dan menubuhkan struktur yang baru menggantikan mereka yang keluar parti di Sabah.

    SH: Kiranya Bersatu tidak akan terkubur di Sabah?

    Sejarahnya begini. Yang keluar daripada Bersatu dan buat parti baharu, dia kalah dan hilang deposit. Yang kekal dalam Bersatu hari ini alhamdulillah dapat bantuan daripada ALLAH untuk menang di banyak kerusi.

    Bersatu sebuah parti yang berkembang, sebab agenda kita jelas dan keinginan kita untuk membantu rakyat. Orang sudah mula bercakap Hajiji untuk mengekalkan kedudukannya sanggup membelakangkan parti yang mengangkatnya ke kedudukan itu.

    Malahan hari ini sudah mula dipersoalkan adakah ahli-ahli Parlimen yang menang di Sabah itu terpaksa mengosongkan kerusi mereka disebabkan Akta Lompat Parti.

    Dia kata bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi GRS itu asalnya daripada gabungan yang melibatkan Bersatu. Jika tidak ada Bersatu, tidak ada GRS.

    Sama macam orang UMNO, bertanding tiket BN. Tetapi kalau keluar daripada UMNO, masuk MCA contohnya, lompat parti juga.

    Ini adalah elemen perundangan yang perlu dibincangkan dan kita akan tengok daripada segi undang-undang mereka ini terpaksa kosongkan kerusi itu atau tidak.

    SH: Pada pandangan Datuk, adakah kerusi itu kosong?

    Saya rasa kita kena lalui proses itu dahulu. Saya pun tidak pasti sebenarnya bagaimana nak trigger penguatkuasaan Akta Lompat Parti ini disebabkan prosesnya tidak jelas. Adakah ini proses mahkamah atau proses Dewan Rakyat. Kita nak hantar laporan kepada siapa? Buat aduan ke mahkamah atau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Ini adalah persoalan-persoalan yang belum jelas. Di pihak parti, memang kita sedang bincangkan dan serahkan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal dan Datuk Seri Dr Ronald untuk menyelesaikannya.

    SH: Apa sebenarnya tindakan daripada Bersatu melalui penyerahan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal dan Datuk Seri Dr Ronald?

    Perkara ini baru sangat berlaku, jadi saya rasa kena beri sedikit masa untuk pasukan yang dipimpin oleh dua pemimpin tertinggi ini menyelesaikan dan melantik individu baharu untuk menggantikan mereka yang meninggalkan parti.

    Kita kena ingat, yang betul-betul isytihar (keluar) baru beberapa orang.

    Katakanlah ADUN yang isytihar untuk keluar itu ialah ketua bahagian. Maka timbalan, naib, setiausaha bahagian, ketua penerangan dan ahli jawatankuasanya ada.

    Kalau seseorang keluar, ada ramai lagi dalam barisan kepimpinan. Ini semua kita perlu jumpa, berbincang dan melantik individu baharu menggantikan tempat ketua tersebut.

    SH: Jika diikutkan mereka yang bertanding dalam PRU15 menggunakan logo GRS, manakala Datuk Seri Dr Ronald menggunakan logo PN. Adakah itu akan menyebabkan mereka kekal sebagai ahli Parlimen?

    Itu yang kita belum jelas. Contohnya ahli Parlimen UMNO di Sabah tiba-tiba masuk Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Dua-dua dalam BN.

    Kosong atau tidak kerusi itu? Itu yang perlu dijawab di peringkat perundangan. Kita sedang buat kajian terhadap perkara ini dan sudah pasti, bagi kita menganggap kerusi itu patut dikosongkan. Ini disebabkan kewujudan GRS adalah hasil adanya Bersatu.

    Kalau Bersatu tidak ada, GRS tidak ada. Dia ahli mana sebenarnya? Adakah betul GRS itu ada daftar keahlian individu? Wujud ke kategori ahli terus dalam GRS? Ini semua perlu dikaji.

    Sekiranya tidak wujud keahlian daftar terus dalam GRS, sebagai individu maka mereka ini tidak ada parti.

    SH: Bagaimana Datuk melihat Bersatu selepas memperoleh kemenangan 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu pada PRU15? Adakah Bersatu sudah berjaya ‘membunuh’ UMNO?

    Jumlah itu adalah kerusi PN. Bersatu sendiri sekarang ada 31 kerusi Parlimen. Ini membuatkan kita lebih besar daripada BN yang ada 30. UMNO ketinggalan, kurang daripada itu.

    Parti yang ada hak untuk bercakap tentang agenda bumiputera, dipercayai oleh rakyat bagi membawa agenda integriti, kerajaan bersih, kemajuan bumiputera orang Melayu-Islam adalah Bersatu.

    UMNO telah hilang legitimasi. Ditambah lagi bersekongkol dengan PH, dengan DAP sebuah parti yang kita tahu amat berbeza daripada apa yang dipegang oleh UMNO dan BN.

    Saya tak tahu mana orang UMNO nak letak muka, terutama di sebelah Pulau Pinang. Bagi saya kalau sekiranya ada lagi mereka yang bersemangat untuk mempertahankan agenda bumiputera, integriti, politik baru untuk orang Melayu, maka sebenarnya tempat untuk mereka dalam Bersatu, bukan dalam UMNO lagi.

    Hakikatnya saya nak ulang sekali lagi, Bersatu hari ini adalah lebih besar daripada UMNO dan lebih besar daripada BN secara keseluruhan.

    SH: Kiranya Bersatu sudah menggantikan UMNO?

    Saya rasa kita telah menggantikan UMNO pada hari ini di mata orang Melayu.

    SH: Dalam wawancara dengan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman baru-baru ini, beliau ada menyatakan ahli parlimen PN akan dibahagikan dalam bentuk kluster atau pengkhususan agar dapat memberi fokus kepada setiap isu rakyat di sidang Parlimen. Bagaimana pandangan Datuk tentang pembentukan kluster ini?

    Kita akan bentuk kabinet bayangan yang mana dalam sesebuah kementerian akan dilantik beberapa orang. Inilah klusternya untuk fokus kepada kementerian itu. Ini menunjukkan kita serius menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa.

    Betul, apa yang disebut oleh Ahli Parlimen Bachok itu dan kita dalam proses. Kita ambil satu langkah ke hadapan yang mana mula-mula kita lantik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Dalam pertemuan dengan Datuk Seri Hamzah beberapa hari lepas, saya ada tanya mengenai hal ini dan beliau menjelaskan akan menghantar surat untuk meminta ahli-ahli Parlimen kita menyatakan minat mereka di mana.

    Kemudian, proses pembentukan kabinet bayangan itu akan dibuat. Proses kita pun lain yang mana nak membentuk kabinet bayangan cara kita demokratik.

    Kita tidak tergesa-gesa, tidak berebut-rebut jawatan tetapi kita menjalankan proses yang demokratik. Yang mana kita lantik Ketua Pembangkang dan kemudian akan membentuk barisan kabinet bayangan.

    SH: Ramai orang menganggap pelantikan Datuk Seri Hamzah sebagai Ketua Pembangkang ini menunjukkan beliau calon Perdana Menteri untuk pilihan raya akan datang. Komen Datuk?

    Kita ada Ketua Ahli Parlimen, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Ketua, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Mereka kekal sebagai ketua. Tetapi apa yang kita buat ialah bezakan sedikit antara peranan untuk memperkasakan parti dan peranan untuk memperkasakan fungsi ahli Parlimen dalam kalangan PN.

    Datuk Seri Hamzah akan fokus dari segi peranan kita sebagai pembangkang yang berwibawa (manakala) pembinaan parti akan terus dijalankan oleh dua Presiden termasuklah Presiden Parti Gerakan Rakyat malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    SH: Kerajaan Perpaduan telah lengkap dengan dua Timbalan Perdana Menteri, 25 menteri dan 27 timbalan menteri. Sedikit pandangan Datuk tentang pemilihan yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apakah Datuk melihat kerajaan ini mampu bertahan?

    Yang pertama sekali dari segi terminologi dalam sains politik, ini bukan Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan tidak ada pembangkang. Apa yang ada adalah kerajaan biasa, sama seperti yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

    Tetapi dari segi propaganda, tak mengapa Anwar untuk menggunakan nama Kerajaan Perpaduan.

    Sebab saya nak tanya juga berpadu atas apa? Adakah perpaduan ini atas dasar melindungi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kes mahkamah?

    Adakah perpaduan ini untuk menyelamatkan golongan rasuah dan kleptokrat? Adakah perpaduan ini atas dasar untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri semata-mata yang tidak tahu agendanya.

    Saya rasa kerajaan ini tidak boleh bertahan lama. Sebab agendanya terlalu berbeza. Saya tanya soalan senang contohnya. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim baru dilepaskan dan dibebaskan. Selepas ini, kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kita akan tahu.

    Cuba bayangkan jika beliau masuk penjara, apa akan terjadi kepada kerajaan? Jika tidak masuk penjara, apa akan terjadi kepada kerajaan? Ini adalah persoalan-persoalan yang perlu ditanya dan difikirkan oleh rakyat.

    Beliau adalah individu yang hampir-hampir ditendang keluar oleh UMNO sendiri. Tetapi Anwar beri talian hayat untuk kekal sebagai Presiden UMNO.

    Orang UMNO suka ke apa yang dibuat oleh Anwar ini? Apa kerjasama antara mereka berdua sehingga Anwar tolong Presiden UMNO kekal dalam keadaan orang UMNO pun tidak suka kepada Ahmad Zahid.

    Tengok contoh di Sarawak. DAP ada, PKR ada dan Amanah pun bertapak di Sarawak. Agak-agak Anwar akan beri muka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS)?

    Pasti DAP, PKR, Amanah akan menggunakan peluang dalam kerajaan ini untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di Sarawak.

    Apa maksudnya? Dia akan mencabar kekuasan yang ada oleh GPS terutamanya parti yang dipimpin oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg sekarang. Juga di Sabah, GRS dia kata sokong (Kerajaan Perpaduan).

    Di Sabah ada PKR, ada DAP, ada Amanah, ada Warisan dan ada UMNO.

    SH: Berapa lama tempoh tidak bertahan ini yang Datuk lihat?

    Saya rasa dalam enam bulan pertama ini tempoh yang kritikal bagi Anwar dan kita lihatlah apa yang akan berlaku dalam tempoh enam bulan ini.

  • Majlis Tertinggi BN tidak pernah bincang syarat MoU Kerajaan Perpaduan – MIC

    Majlis Tertinggi BN tidak pernah bincang syarat MoU Kerajaan Perpaduan – MIC

    MIC mendakwa syarat-syarat yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan tidak pernah dibincangkan mahupun dipersetujui Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN).

    Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran dalam pandangan peribadinya berkata, selepas mesyuarat terakhir pada 22 November lalu, Majlis Tertinggi BN tidak pernah memanggil sebarang mesyuarat untuk membuat keputusan berkenaan secara bersama.

    “Di bawah Perlembagaan BN, Pengerusi BN tidak boleh dan tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan Ahli-Ahli Parlimen BN tanpa berunding dengan parti komponen dalam gabungan itu.

    “Ini juga terpakai kepada Akuan Berkanun (SD), yang kononnya ditandatangani oleh Ahli-Ahli Parlimen BN sebelum Pilihan Raya Umum, SD tidak pernah disahkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi BN.

    “Saya juga percaya bahawa tidak semua Ahli Parlimen BN telah menandatangani SD.

    “Saya membangkitkan isu SD di sini, sekiranya terdapat hujah balas bahawa Pengerusi BN telah diberikan kuasa tanpa had di bawah SD tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari in i.

    Dalam dokumen perjanjian Kerajaan Perpaduan yang dimeterai antara lima gabungan politik, kelmarin antara syaratnya ialah mengikat mana-mana Ahli Parlimen yang gagal, enggan dan cuai untuk mengekalkan keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian di Parlimen perlu mengosongkan kerusi mereka serta-merta.

    Dokumen itu antara lain menjelaskan, setiap parti gabungan hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan keabsahan Kerajaan Persekutuan.

    Turut digariskan ialah setiap parti hendaklah bertanggungjawab menguruskan secara dalaman bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian.

    Dalam pada itu, Rajasekaran yang juga pengamal undang-undang mendakwa, sehingga hari ini, beliau tidak percaya mana-mana parti komponen diberikan salinan SD yang telah mereka laksanakan sebelum ini.

    Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana Pengerusi BN melaksanakan MoU tanpa mendapat kelulusan Majlis Tertinggi.

    Selain itu, beliau juga percaya parti komponen mahupun ahli Majlis Tertinggi BN tidak diberi salinan MoU untuk disemak dan memberi pendapat mereka tentang syarat perjanjian.

    “Jelas sekali, MoU itu tidak boleh dan tidak boleh mengikat mana-mana Ahli Parlimen sekiranya Majlis Tertinggi BN tidak mengesahkan perjanjian tersebut.

    “Ia juga tidak sesuai dengan tugas mana-mana Ahli Parlimen untuk mengikat diri mereka dengan kerajaan ini tanpa terlebih dahulu mengambil kira kepentingan terbaik pengundi mereka,” katanya.

    Beliau turut mempersoalkan bagaimana jika dasar kerajaan tidak selaras dengan objektif dan prinsip setiap parti komponen dalam BN.

    Soal beliau, bagaimana pula sekiranya setiap Ahli Parlimen tidak memutuskan apa-apa dasar dan undang-undang tertentu berdasarkan kesedaran dan kepentingan terbaik mereka untuk pengundi mereka.

    “Nampaknya tidak kira betapa teruknya dasar kerajaan atau betapa tidak popular atau tidak adilnya kerajaan, Ahli Parlimen perlu menyokong kerajaan kerana takut kehilangan kerusi mereka.

    “Saya percaya ini bukan objektif undang-undang anti lompat parti yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

  • Tak perlu adakan PRK di Gurun

    Tak perlu adakan PRK di Gurun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PILIHAN Raya Kecil (PRK) tidak perlu diadakan di Gurun kerana tempoh pengosongan jawatan oleh Datuk Johari Abdul sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di situ, sudah terlalu hampir dengan pengakhiran penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini.

    Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat berkata, bersandarkan perundangan sedia ada, PRK hanya perlu dijalankan sekiranya pengosongan jawatan tersebut dibuat dalam tempoh dua tahun sebelum berakhir penggal.

    “Tetapi kini tempohnya sudah sangat singkat iaitu hanya kira-kira tujuh bulan saja lagi sebelum penggal berakhir.

    “Bermakna tak perlu lagi ada PRK. Kerusi DUN tersebut akan dibiarkan kosong dalam sidang DUN akan datang,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

    Johari yang juga Ketua Pembangkang DUN Kedah pagi ini mengumumkan untuk mengosongkan kerusi tersebut tanpa menyatakan sebab beliau berbuat demikian.

    Namun peletakan jawatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kenyataannya sebelum ini bahawa dirinya menjadi pilihan PH bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Mengulas lanjut Juhari berkata, kalangan ADUN pembangkang perlu bermesyuarat bagi menentukan individu yang akan menggantikan Johari selaku ketua pembangkang.

    “Itu terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan siapa yang layak dan perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada saya secara rasmi,” katanya.

  • Johari Abdul lepas jawatan ADUN Gurun

    Johari Abdul lepas jawatan ADUN Gurun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusi tersebut yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Menurutnya, keputusan itu dimaklumkan sudah pun dimaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat pada 13 Disember lalu.

    “Melalui surat itu, saya memaklumkan bahawa saya mengosongkan kerusi DUN Gurun berkuat kuasa serta-merta.

    “Saya inngin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam DUN Kedah,” katanya.

    Perkara itu dimaklumkan menerusi satu klip video berdurasi 2 minit enam saat yang dihantar Johari kepada Warta Rakyat, awal pagi tadi.

    Mengulas lanjut Johari berkata, beliau berterima kasih kepada seluruh rakyat Gurun dan pengundi di DUN tersebut.

    “Insya Allah kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik ini akan berkekalan dalam memakmurkan serta membangunkan Kedah,” katanya.

    Sebelum ini Johari pernah mengesahkan bahawa dirinya menjadi pilihan PH untuk diangkat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Namun tidak dapat dipastikan sama ada peletakan jawatan tersebut mempunyai kaitan dengan perkara berkenaan.

  • Kes perbicaraan Ebit Lew bersambung 20 hingga 22 Disember ini

    Kes perbicaraan Ebit Lew bersambung 20 hingga 22 Disember ini

    KES perbicaraan gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew akan bersambung di Mahkamah Majistret Tenom bermula 20 sehingga 22 Disember ini.

    Prosiding berkenaan adalah bagi meneruskan perbicaraan yang ditangguhkan sebelum ini selepas berlangsung selama empat hari pada 27 hingga 30 September lalu.

    Pihak pendakwaan setakat ini sudah menampilkan tiga saksi, termasuklah pendakwah bebas, Firdaus Wong pada hari ketiga dan keempat prosiding terbabit berlangsung.

    Terdahulu, Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

    Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37 dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dakwaan terhadap Ebit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021 lapor BH Online.

    Majistret Nur Asyraf Zolhani sebelum ini mengenakan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan terhadap Ebit yang tidak mengaku salah atas 11 pertuduhan berkenaan.

  • Tiga lelaki ditahan selepas 80km dikejar MPV polis 

    Tiga lelaki ditahan selepas 80km dikejar MPV polis 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEDEGILAN tiga lelaki untuk memberhentikan kenderaan dinaiki untuk diperiksa menyebabkan mereka dikejar sejauh kira-kira 80 kilometer oleh polis, sebelum terbabas di selekoh lampu isyarat Kampung Haji Wahab, Jalan Kuala Ketil dekat Sungai Petani, Kedah, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu bermula kira-kira pukul 3.30 pagi apabila sepasukan anggota polis yang melakukan tugas rondaan di Taman Perwira, Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang terserempak dengan kereta Honda Civic berwarna hijau dinaiki tiga lelaki.

    Katanya, pemandu kereta tersebut tiba-tiba memecut ketika dihampir untuk diperiksa dengan mereka kemudiannya langsung tidak mengendahkan arahan berhenti oleh pihak polis.

    “Kereta tersebut memecut menghala ke Pekan Sungai Petani dengan beberapa kereta peronda polis (MPV) telah mengejar kenderaan tersebut. Akhirnya kereta suspek terbabas di selekoh lampu isyarat Kampung Haji Wahab, Jalan Kuala Ketil.

    “Ketiga-tiga suspek masih cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sewaktu mereka cuba ditahan. Namun pada akhirnya kesemua merek berjaya diberkas,” katanya.

    Zaidy menambah, pemeriksaan dijalankan terhadap kereta dinaiki suspek menemukan sekotak rokok yang terdapat dua peket plastik lutsinar di dalamnya disyaki dadah jenis syabu seberat 3.33 gram di tempat duduk bahagian belakang sebelah kanan.

    Selain itu katanya, dua bilah parang turut ditemukan di bawah tempat duduk bahagian pemandu.

    “Ketiga-tiga suspek berusia 26, 39 dan 33 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, peniaga dan mekanik ditangkap untuk siasatan selanjutnya.

    “Semakan mendapati ketiga-tiga mereka memiliki rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah. Ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

  • Tumpu usaha SAR dulu, selepas itu siasatan – KPN

    Tumpu usaha SAR dulu, selepas itu siasatan – KPN

    SIASATAN terhadap pengurus yang mengendalikan tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Hulu Selangor akan dilakukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di lokasi itu selesai.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tumpuan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini ialah usaha mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa yang masih hilang dalam insiden berkenaan.

    “Bagi peringkat awal, pihak polis akan mengambil keterangan daripada pengurus terbabit.

    “Sepatutnya, dia tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, hari ini. Namun, dia memohon maaf kerana belum hadir disebabkan IPD terletak jauh dari lokasi dia berada, dan akan tiba dalam masa terdekat.

    “Siasatan kes ini juga akan dilaksanakan selepas segala maklumat diperoleh,” katanya yang melawat lokasi kejadian hari ini, lapor Berita Harian.

    Acryl Sani sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, untuk mengetuai siasatan berkaitan kejadian itu.

    Katnaya, siasatan akan dipantau oleh KJSJ Selangor dengan mengikut segala peruntukan undang-undang yang bersesuaian.

    Beliau turut mengarahkan pihak polis terutama Ketua Polis Daerah Hulu Selangor selaku Komander Operasi SAR itu supaya sentiasa mengemas kini setiap perkembangan di lokasi kejadian kepada pihak media.