Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pati minyak wangi punca 472 kawasan Lembah KLang tiada bekalan air

    Pati minyak wangi punca 472 kawasan Lembah KLang tiada bekalan air

    HENTI tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi, pagi tadi adalah berpunca daripada pati minyak wangi sehingga menjejaskan bekalan air ke 472 kawasan di empat daerah di Selangor serta Putrajaya.

    Perkara itu dimaklumkan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    Menurutnya, insiden pencemaran bau sungai itu disebabkan kemalangan jalan raya melibatkan lori kontena yang membawa pati minyak wangi tersebut sehingga bahan berkenaan mengalir masuk ke sebatang sungai yang berhubung dengan Sungai Semenyih.

    “Henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran bau sungai disebabkan kemalangan jalan raya melibatkan lori kontena dengan muatan 20 tan membawa pati minyak di Lebuhraya Elite berdekatan Serenia, Negeri Sembilan.

    “Pati minyak wangi telah mengalir masuk ke Sungai Limau Manis dan seterusnya dialirkan ke Sungai Semenyih, Selangor,” katanya.

    LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas sementara pada pukul 2 pagi tadi, mengakibatkan 472 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat di Selangor, selain Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi tadi.

    Di Petaling, gangguan bekalan membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).

    Antara kawasan terjejas di Petaling adalah Bandar Baru Sri Petaling, Bandar Bukit Puchong dan Bukit Jalil, manakala Hulu Langat termasuk Bangi, Rinching Hilir serta Beranang.

    Gangguan di Sepang pula meliputi Cyberjaya, Jenderam Hilir, Salak Tinggi, Taman Tasik Puchong, Taman Suria Tropika, Taman Desa Sentosa, Taman Indah KLIA, Taman Meranti Jaya dan Symphony Hills.

    Kawasan terjejas di Kuala Langat termasuk Kampung Olak Lempit, Taman Seri Dagang serta Bandar Rimbayu, manakala Putrajaya meliputi sekitar Presint 1 hingga 20, termasuk Taman Botani dan Dataran Putra.

  • Banjir: Skuad Prihatin Armada Bersatu gotong royong bersih rumah penduduk

    Banjir: Skuad Prihatin Armada Bersatu gotong royong bersih rumah penduduk

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) Machang yang dianggotai Jabatan Amal Pemuda Pas Machang dan Skuad Prihatin Armada Bersatu Machang bergotong royong membersihkan rumah seorang balu yang mempunyai anak OKU.

    Menurut Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, banjir lumpur baru-baru ini memberi kesan kepada rumah teres di Sri Aman, Pulai Chondong.

    “Moga lebih ramai sukarelawan anak muda membantu keluarga yang terkesan.

    “Hubungi Jabatan Amal Malaysia Machang MC11,” katanya, lapor BeritaBersatu.

    Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu merayu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan peruntukan kecemasan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran – JPS Machang untuk membaiki “gertok” (jambatan) di Kampung Tok Kaya, di Machang.

    Jelasnya, beliau difahamkan peruntukan JPS Machang telah habis dan hanya boleh diperolehi tahun hadapan.

    “Seperti yang Anwar telah janjikan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, biarpun tiada lagi rundingan terus tetapi untuk hal kecemasan seperti banjir, kelulusan khas dan serta merta boleh dibuat.

    “Jambatan ini sangat penting kerana ia adalah satu-satunya jalan keluar-masuk untuk penduduk Kg. Tok Kaya.

    “Kami khuatir dalam berdepan dengan gelombang kedua dan ketiga kalau ada warga emas yang sakit, para ibu yang sarat mengandung akan berdepan kesukaran yang amat untuk keluar daripada Kg. Tok Kaya.

    “Bantu kami YAB Perdana Menteri ke-10! Demi rakyat yang susah dan dalam darurat!” katanya.

  • Semak semula harga pakej langganan internet

    Semak semula harga pakej langganan internet

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) perlu melakukan semakan semula terhadap harga pakej langganan internet yang ditawarkan oleh semua syarikat telekomunikasi agar berbaloi dengan harga yang dibayar.

    Menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais, langkah itu perlu bagi memastikan pelanggan membayar dengan harga yang sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan.

    “Kemudahan internet sudah menjadi keperluan seisi rumah dan bukan ditakrifkan lagi sebagai kehendak tetapi keperluan.

    “Negara sudah mencapai era di mana semua perkara dilakukan menerusi kemudahan internet dari segi pendidikan anak-anak kita, pengajaran guru malah bidang pekerjaan juga memerlukan internet sebagai medium utama pelaksanaannya, “ katanya dalam satu kenyataan, semalam, lapor BeritaBersatu.

    Mahathir berkata, ketika ini harga pakej internet yang ditawarkan agak mahal dan tidak berbaloi dengan servis yang diberikan.

    “Kena ada penyelarasan semula harga dan pakej internet, ada syarikat telekomunikasi yang tawar 30 megabait sesaat (Mbps) dengan harga agak mahal tapi ada yang bagi lebih daripada 30 mbps harga murah, jadi apa bezanya mahal dan murah ini sedangkan perkhidmatan yang diberikan sama,” katanya.

    Menurutnya, keadaan itu jauh berbeza dengan negara jiran apabila mereka menawarkan internet liputan 5G yang jauh lebih rendah berbanding negara ini.

    “Kita liputan 4G pun masih tersangkut-sangkut, sudahlah mahal, 5G pula masih belum menyeluruh jadi Menteri KKD, Fahmi Fadzil kena lihat semua demi kemudahan untuk rakyat,” kata Mahathir.

    Mengulas lanjut mengenai Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga lebih murah iaitu RM5 sebulan yang akan berada di pasaran Februari tahun depan, beliau berkata, ia adalah perkembangan yang baik.

    “Cuma kena pastikan tiada lagi cas-cas tersembunyi yang selama ini membebani pengguna kerana banyak yang tertipu dan akhirnya mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar membayar bil yang tidak sepatutnya setiap bulan,” katanya.

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Rabu mengumumkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga lebih murah iaitu RM5.

    Beliau berkata, pelaksanaan pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

    Katanya, golongan yang disasarkan ialah belia berumur hingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran pasukan beruniform.

    Difahamkan pengguna bakal menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada hanya RM5 sebulan.

  • ‘Beruntunglah PN ada MB haprak tapi mentadbir dengan baik’ – Ahmad Samsuri

    ‘Beruntunglah PN ada MB haprak tapi mentadbir dengan baik’ – Ahmad Samsuri

    “KALAU beginilah keadaan seorang Menteri Besar (MB) yang lemah atau haprak sangat, beruntunglah Perikatan Nasional (PN) dan Pas mempunyai MB yang haprak tetapi boleh mentadbir negeri begitu baik.”

    Demikian kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terhadap kecaman ‘tentera siber’ yang menghentam beliau sebagai ‘Menteri Besar yang haprak, lemah dan tidak guna’.

    Ia ekoran ketiadaannya yang difahamkan ke luar negara antara 11 Disember hingga semalam pada ketika Terengganu dilanda bencana banjir.

    Pada masa sama, Ahmad Samsuri juga mengakui berasa ‘teruja’ dengan dakwaan daripada ‘tentera siber’ tersebut.

    Beliau yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Terengganu ekoran ketiadaannya itu turut mengatakan jika Terengganu mempunyai MB atau Perdana Menteri yang tidak ‘haprak’ tentu keadaan jauh lebih baik.

    “Apatah lagi kalau negeri Terengganu ini mempunyai MB atau Perdana Menteri yang tidak haprak, tentulah jauh lebih baik.…haprak pun begini baik, kalau tak haprak itu saya rasa tersangat baik.

    “Jadi tak ada sebab kenapa rakyat tidak boleh buat pemilihan untuk beri keyakinan kepada PN dan Pas,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Sidang media itu diadakan selepas menghadiri taklimat mengenai perkembangan banjir di Pejabat Daerah Kemaman, pagi tadi.

    Rakaman sidang media itu turut dimuat naik ke akaun Facebook beliau, hari ini.

    Ahmad Samsuri sebelum ini menjadi mangsa kritikan netizen selepas dikatakan mengambil keputusan bercuti bersama keluarga di New Zealand pada ketika bencana banjir memburuk di negeri tersebut.

    Rakyat Terengganu juga tertanya-tanya kelibat Ahmad Samsuri yang kali terakhir dilihat berada di negeri itu pada 11 Disember lalu.

    Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir.

    Kata beliau, bantuan khas kepada KIR yang berdaftar sebagai mangsa banjir itu disalurkan bagi meringankan bebanan mereka.

    Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Terengganu juga akan menyalurkan RM10,000 kepada ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia disebabkan bencana banjir.

    “Bantuan lain termasuk membaiki kerosakan kediaman, membina rumah rosak dan lain-lain kerosakan infrastruktur akan dilaksanakan kerajaan selepas mendapat maklumat penuh dan penilaian kemusnahan,” katanya.

  • [VIDEO]Tikus jamu selera ayam goreng kedai makan, KKM minta maklumat

    [VIDEO]Tikus jamu selera ayam goreng kedai makan, KKM minta maklumat

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meminta maklumat orang ramai yang berhubung video tular menunjukkan seekor tikus sedang ‘menikmati’ ayam goreng di sebuah kedai makan.

    Ini susulan video berdurasi 17 saat itu dimuat naik seorang pengguna Twitter dengan nama @zoeyhanafiah, merakamkan kejadian memualkan seekor tikus berada dalam bekas kaca yang mengandungi ayam goreng.

    “Depan mata sendiri, tak kan makan lagi di kedai mamak, janji,” ciapnya.

    Pemilik video itu bagaimanapun tidak menyertakan maklumat lokasi di mana video itu diambil, namun berdasarkan ciapannya, ia didakwa berlaku di sebuah restoran mamak.

    “Mohon bantu kami berikan maklumat. Kami akan ambil tindakan selanjutnya dengan kadar SEGERA,” kata KKM dalam ulang kicau ciapan pengguna berkenaan.

    Di ruangan komen, netizen turut berkongsi pengalaman berhadapan dengan situasi hampir sama di beberapa lokasi lain, dan meminta agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan tegas.

    Setakat ini, video itu sudah menerima lebih satu juta tontonan dengan lebih 7,000 ulang kicau dan lebih 9,000 tanda suka.

  • ‘’Saya mohon jutaan maaf kepada mangsa dan rakyat’’ – MB Terengganu

    ‘’Saya mohon jutaan maaf kepada mangsa dan rakyat’’ – MB Terengganu

    MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf tidak dapat bersama rakyat yang kesusahan berhadapan banjir selama empat hari mulai Ahad lalu.

    Beliau mengakui tidak ada sebarang alasan untuk tidak bersama-sama mereka dalam tempoh yang kritikal itu.

    “Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa kesal saya tak terhingga saya kerana tak dapat bersama mangsa-mangsa banjir di lapangan terutama untuk tempoh 18 hingga 21 haribulan,” katanya pada sidang media yang dibuat melalui Facebook (FB) hari ini,lapor Berita Harian.

    Naib presiden PAS itu juga mengakui apa saja alasan yang diberikan, ia tidak dapat memperbetulkan keadaan serta ketiadaannya di negeri terbabit sebelum ini.

    “Saya faham walaupun penjelasan yang diberikan tidak bermakna apa apa kepada rakyat terutama mangsa banjir. Walaupun saya berada di luar negara, (saya) sentiasa meneliti suasana yang berlaku setiap masa,” katanya.

    Samsuri berkata, beliau teruskan perjalanan ke luar negara selepas mendapati berlaku penurunan mangsa banjir selepas bersama rakyat pada fasa pertama Monsun Timur Laut (MTL) pada Jumaat dan Sabtu lalu (9 dan 10 Disember).

    “Saya mengambil kesempatan untuk memohon jutaan kemaafan kepada mangsa dan seluruh rakyat di atas apa juga yang berlaku,” katanya.

    Terdahulu, Ahmad Samsuri melawat dan menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, Chukai, Kemaman.

    Yang turut hadir dan mengiringi Ahmad Samsuri adalah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat serta Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

  • 2 remaja antara 3 ditahan curi, ceroboh rumah kerabat diraja Johor

    2 remaja antara 3 ditahan curi, ceroboh rumah kerabat diraja Johor

    DUA remaja antara tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian mencuri dan menceroboh kediaman milik kerabat diraja Johor, di Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru ACP Raub Selamat berkata ketiga-tiga mereka yang berusia 16, 19 dan 47 tahun itu ditahan pada 11.40 pagi di lokasi kejadian susulan laporan mengenainya dibuat pada 10 pagi.

    Bagaimanapun, beliau berkata dua individu berjaya melarikan diri dan polis sedang berusaha mengesan mereka.

    “Polis turut merampas dua kereta, satu unit mesin gergaji, empat helai sarung tangan kain, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, satu kunci kereta dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM150.

    “Hasil semakan dan saringan air kencing terhadap ketiga-tiga individu itu mendapati mereka tiada rekod jenayah selain negatif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya. – BERNAMA

  • Juhar dilantik semula TYT Sabah buat penggal keempat

    Juhar dilantik semula TYT Sabah buat penggal keempat

    TUN Juhar Mahiruddin hari ini menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

    Lantikan penggal keempat bagi Juhar sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah itu adalah dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024, sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun sejak pelantikan pada 1 Januari 2011.

    Istiadat pengurniaan berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Istiadat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

    Juhar, 69, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 pada 1 Januari 2011 bagi menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember 2018 meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah yang sebelum itu dihadkan kepada dua penggal.

    Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England, Juhar pernah menyandang jawatan selaku Speaker DUN Sabah pada 2002 hingga 2010 dan juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 1990 hingga 1999. – BERNAMA

  • Kerosakan produk: Sos pasta carbonara Prego ditarik balik – KKM

    Kerosakan produk: Sos pasta carbonara Prego ditarik balik – KKM

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan produk sos pasta berkrim carbonara cendawan jenama Prego keluaran Malaysia ditarik balik daripada pasaran akibat kerosakan pada produk.

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Campbell Cheong Chan (M) Sdn Bhd mengenal pasti punca kerosakan itu akibat kesilapan semasa pemprosesan.

    “KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan turut menerima notifikasi daripada syarikat itu yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia.

    “Dalam hal ini, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang memantau proses penarikan balik produk berkenaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Semalam, produk sos pasta carbonara cendawan jenama Prego yang diimport ke Singapura dilaporkan ditarik balik daripada pasaran disebabkan kerosakan produk.

    Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam kenyataan berkata, The Arnott’s Group mengumumkan kerosakan sos itu.

    Produk sos pasta keluaran Malaysia menunjukkan beberapa tanda kerosakan, termasuk bau tidak menyenangkan, warna luar biasa, struktur berair dan lapisan cecair terpisah.

    Mengulas lanjut, Hisham berkata, produk terjejas yang bernombor lot 2022081716 itu dikeluarkan pada 17 Ogos lalu dari 10.18 malam hingga 11.20 malam dan bertarikh luput 17 Ogos 2023.

    Beliau menasihatkan peniaga menghentikan penjualan serta-merta dan pengguna yang membelinya tidak makan produk itu.

    “Bagi yang telah mengambilnya, mereka dinasihatkan berjumpa pegawai perubatan sekiranya tidak sihat atau mengalami gejala keracunan makanan.

    “Orang ramai disaran mengamalkan lihat, hidu dan rasa bagi mencegah kejadian keracunan makanan.”

    Katanya, KKM sentiasa peka dan prihatin atas perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

    Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu itu, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat dan melayari http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.

  • Tipu tiket penerbangan: Pekerja ladang dipenjara 3 tahun, 3 sebatan

    Tipu tiket penerbangan: Pekerja ladang dipenjara 3 tahun, 3 sebatan

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur, hari ini, menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan ke atas seorang pekerja ladang kerana memperdayakan agensi pelancongan untuk menyerahkan tiket penerbangan membabitkan kerugian RM26,588.

    Tertuduh T Haans Raaj, 22, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibaca jurubahasa di tiga mahkamah berasingan.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu tiga syarikat pelancongan iaitu Across Travel & Tours Sdn Bhd, Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd dan Sedunia Travel Sdn Bhd untuk menyerahkan tiket penerbangan dengan cara membuat pembayaran melalui transaksi tidak wujud.

    Perbuatan itu mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang masing-masing berjumlah RM4,960; RM15,397 dan RM6,231 kepada tertuduh membabitkan nilai keseluruhan RM26,588.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 Jun sehingga 16 Disember lalu di tiga lokasi berasingan di sekitar Kuala Lumpur.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat atau boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Lapor Harian Metro, tertuduh bagaimanapun merayu hukuman minimum diberikan kerana hanya bekerja di ladang di Pahang, dengan pendapatan RM1,500 dan perlu menanggung keluarga kandung serta keluarga angkat.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, B Sareeka dan Nur Hafiezah Mohamed Fauzi.

    Selepas mendengar rayuan tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan, Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Wong Chai Sia dan Aina Azahra Tun Ariffin masing-masing menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bermula dari tarikh tangkap serta satu sebatan untuk setiap pertuduhan itu.