Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pelayan restoran maut selepas bungkusan atas bonet kereta meletup

    Pelayan restoran maut selepas bungkusan atas bonet kereta meletup

    SEORANG lelaki maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup ketika dipegang di Pandan Indah, Kuala Lumpur, pukul 8.55 malam tadi.

    Difahamkan mangsa berusia 28 tahun itu terlihat sebuah bungkusan ditinggalkan di atas bonet kereta sebelum cuba mengambilnya.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata,
    bagaimanapun ketika mangsa memegang bungkusan berkenaan, berlaku letupan mengakibatkan kecederaan pada mangsa.

    “Apabila mangsa memegang bungkusan berkenaan, terus berlaku letupan dipercayai daripada bungkusan berkenaan.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Ampang.

    “Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam di Hospital Ampang,” jelasnya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani hari ini.

    Siasatan awal di tempat kejadian turut menemui beberapa kesan lekukan pada kenderaan mangsa dipercayai akibat letupan berkenaan.

    Mengulas sama ada di lokasi kejadian mempunyai rakaman kamera litar tertutup, beliau enggan mengulas lanjut dan siasatan masih dilakukan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

  • Pembantu pusat jagaan ditahan bunuh pesakit mental

    Pembantu pusat jagaan ditahan bunuh pesakit mental

    PEKERJA warga asing ditahan kerana disyaki membunuh seorang penghuni rumah jagaan psikiatri iaitu tempat suspek bekerja di Jalan Cempaka, Bukit Beruntung, Hulu Selangor, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang pekerja rumah jagaan berkenaan sekitar pukul 12.18 tengah hari Ahad.

    Jelasnya, mangsa merupakan lelaki warga tempatan merupakan seorang pesakit mental di pusat jagaan berkenaan ditemui tidak sedarkan diri dalam biliknya sekitar pukul 8.45 pagi.

    “Pengadu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja di pusat jagaan berkenaan telah menghubungi talian 999 seterusnya seorang pembantu perubatan telah mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Suffian berkata, mangsa ditemui dengan kesan lebam pada tubuhnya yang dipercayai berpunca daripada impak objek tumpul manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

    Katanya, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Hulu Selangor berjaya menahan suspek seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun dalam satu serbuan di lokasi kejadian.

    “Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan ujian urin terhadapnya adalah negatif.

    “Suspek yang bekerja sebagai pembantu di pusat jagaan berkenaan direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Majikan belasah pekerja hingga cedera didenda RM3,000

    Majikan belasah pekerja hingga cedera didenda RM3,000

    SEORANG majikan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan memukul pekerjanya hingga cedera menggunakan kerusi, kayu dan rotan kerana merakamkan gambar tempat kerja sebagai jurujual tambah nilai dalam talian, tahun lalu.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ng Chong Lam, 22, selepas menerima pengakuan dan mensabitkannya dengan pertuduhan, meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

    Jika gagal membayar denda, tertuduh diperintahkan dipenjara sembilan bulan, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, Chong Lam didakwa bersama-sama tiga orang yang sudah disabitkan didapati memukul pekerja lelaki, Chok Kar Jun, 24, hingga cedera menggunakan kerusi, kayu dan rotan di sebuah rumah di Jalan Seri Duyong pada 23 Mac 2021.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan.

    Mengikut fakta kes, antara lain menyatakan pengadu dan teman wanitanya datang dari Kuala Lumpur untuk mencari kerja di sebuah kedai di Plaza Sungai Udang dan bertemu dengan seorang lelaki dikenali ‘Boss’ atau Sam selepas berurusan di Facebook.

    Kedua-dua mereka diberi kerja sebagai penjual kad tambah nilai dalam talian di Jalan PSU 1 mengikut syif 8 pagi hingga 8 malam dan 8 malam hingga 8 pagi selama 10 hari dengan dikawal lelaki dikenali ‘Apy’.

    Pada 22 Mac 2021, kira-kira 10 malam, mereka dibawa oleh Sam dan Apy ke sebuah rumah di Jalan Duyung 11, untuk bekerja menjual kad tambah nilai judi dalam talian dan disebabkan enggan, pengadu ditampar beberapa kali oleh Apy dan telefon bimbit teman wanitanya dirampas.

    Pergerakan pengadu dan teman wanitanya dikawal oleh seorang lelaki lain berusia 50 tahun dan dikurung di dalam rumah terbabit.

    Keesokannya, Sam, Apy dan rakan mereka dikenali sebagai Ah Siang datang berjumpa pengadu sebelum memukulnya dengan kayu, rotan dan kerusi plastik hingga cedera di seluruh badan kerana didapati merakam gambar di kedai telefon bimbit.

    Keempat-empat suspek kemudian ditahan polis selepas pengadu membuat laporan pada 2 April 2021 di Rawang, Selangor.

    Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda ringan kerana hanya berpendapatan RM1,000, namun Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau sembilan bulan penjara jika gagal bayar.

  • Shila Amzah gembira dapat tunaikan janji 2022 untuk turunkan berat badan 14kg

    Shila Amzah gembira dapat tunaikan janji 2022 untuk turunkan berat badan 14kg

    PENYANYI Shila Amzah melahirkan rasa gembira apabila dapat menunaikan janjinya untuk menurunkan berat badan pada tahun ini.

    Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 32, berkata, meskipun berdepan dengan pelbagai halangan dan kesakitan, namun dia akhirnya berjaya menurunkan berat badan sehingga 14 kilogram.

    “Saya gembira kerana dapat tinggalkan tahun 2022 bersama-sama dengan 14 kilogram yang telah saya turunkan.

    “Saya berjanji pada diri saya untuk menjaga diri dengan lebih baik dan saya berjaya lakukan pada 2022.

    “Saya berjaya harungi semua kesakitan dan halangan. Alhamdulillah, untuk segala kemenangan,” katanya, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, penyanyi lagu Patah Seribu itu mendedahkan pernah ingin melakukan prosedur memasukan belon ke dalam perut demi mendapatkan bentuk badan yang kurus dengan cara pantas.

    Walau bagaimanapun, hasrat tersebut terbantut selepas dia mengambil kira kesan daripada prosedur tersebut yang mungkin akan menganggu peti suaranya.

  • Lima termasuk remaja didenda RM1,000 seorang kerana merusuh

    Lima termasuk remaja didenda RM1,000 seorang kerana merusuh

    MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman didenda RM5,000 terhadap lima rakan termasuk remaja perempuan atas kesalahan merusuh sehingga menyebabkan kecederaan seorang lelaki, 10 Disember lalu.

    Setiap tertuduh masing-masing didenda RM1,000 iaitu Nur Aishah Mohammad Najib, 21, Muhammad Asyraf Mohd Ali, 21, Hafizul Fazrin Abdul Hakim, 22, Ahmad Thahaa Jasni, 21, dan Muhammad Safuan Mohamed Taib, 25.

    Hukuman tersebut dijatuhkan selepas semua tertuduh membuat pengakuan bersalah itu sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan semua tertuduh, serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

    Beliau turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Semua tertuduh membayar denda berkenaan.

    Mengikut pertuduhan, semua tertuduh bersama-sama rakan sejenayah yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dalam melaksanakan tujuan bersama didapati kekerasan digunakan oleh seorang atau lebih daripada mereka hingga menyebabkan kecederaan terhadap pengadu berusia 17 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar, dekat sini, kira-kira jam 10 malam, pada 10 Disember lalu, lapor Berita Harian.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, pengadu berjumpa dengan semua tertuduh di lokasi kejadian sebelum dipukul secara beramai-ramai oleh semua tertuduh dan rakan sejenayah yang masih bebas kerana disyaki pengadu merogol kenalan tertuduh.

    Terdahulu, semua tertuduh diwakili peguam, Ishak Mohd Kari memohon dikenakan hukuman denda yang ringan mengambil kira semua mereka mengaku bersalah sejurus dibacakan pertuduhan.

    Peguam juga berhujah bahawa semua tertuduh mendapat pengajaran sepanjang tiga hari berada dalam reman dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan selain bekerja dengan pendapatan rendah.

    Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

  • Taktik sembunyi rokok dalam lantai kontena terbongkar

    Taktik sembunyi rokok dalam lantai kontena terbongkar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK menyeludup rokok ke Australia dianggarkan bernilai RM426,000 yang disembunyikan dalam lantai sebuah kontena terbongkar hasil pemeriksaan dilakukan di Pelabuhan Pasir Gudang pada 9 Disember lalu.

    Cubaan itu gagal dalam pemeriksaan pukul 11.35 pagi hasil maklumat Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

    Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, pemeriksaan rapi menemukan 428,000 batang rokok putih disembunyikan di ruang khas lantai kontena yang telah diubah suai bersama 20 palet tisu tandas, tisu dapur dan tisu basah.

    Jelas beliau, rokok putih yang diseludup akan disimpan sementara sebelum dieksport.

    “Pihak syarikat telah menempah awal satu unit kontena berukuran 12 meter daripada sebuah syarikat pengangkutan dan diletakkan di kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah.

    “Sementara bahagian lantai kontena tersebut telah diubah bagi meletakkan rokok putih yang diseludup. Bagi mengaburi kegiatan mereka, pihak syarikat telah membuat dua kali tempahan tisu daripada sebuah syarikat di Puchong, Selangor untuk dieksport ke Australia,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Iskandar Puteri, hari ini.

    Misbahudin berkata, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 35 tahun yang merupakan wakil syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

    Sementara itu, dalam kes berlainan, Misbahudin berkata, pihaknya berjaya menyita enam kontena berisi besi skrap bernilai RM380,000 yang disyaki cuba diseludup ke negara Asia Timur pukul 12.30 tengah hari, pada 5 Disember lalu.

    Katanya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai dibantu pihak berkuasa zon bebas Pelabuhan Klang menyita sejumlah dagangan besi skrap yang dipercayai tidak berkastam di Pelabuhan Klang.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran borang kastam dua mendapati dagangan diikrar sebagai bahan tembaga. Namun pemeriksaan rapi yang dijalankan mendapati kontena mengandungi besi skrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah,” katanya.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) akta yang sama kerana membuat pengikraran yang tidak benar dan terlibat dalam cubaan mengeksport barangan larangan bersyarat tanpa permit.

  • Kekang LGBTQ, halang peningkatan HIV di Malaysia-Armada

    Kekang LGBTQ, halang peningkatan HIV di Malaysia-Armada

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif membendung gejala budaya songsang lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) yang didakwa antara punca peningkatan kes jangkitan HIV di seluruh dunia termasuk Malaysia.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, gaya hidup tersebut turut menyumbang kepada peningkatan perceraian dalam kalangan rakyat.

    “Mengikut laporan ‘In Danger: UNAIDS Global AIDS Update 2022’ untuk 2022 menyatakan terdapat peningkatan ketara jangkitan HIV dan AIDS di 38 buah negara dari tahun 2015. Gaya hidup songsang dinyatakan sebagai penyumbang utama.

    “Ini disokong oleh data daripada pusat kawalan penyakit (CDC) Amerika Syarikat yang menyatakan 70 peratus daripada jangkitan baharu HIV di Amerika Syarikat pada tahun 2019 disumbang oleh pengamal gaya hidup songsang (gay).

    “Kami di pihak Armada percaya, sudah sampai masa untuk Malaysia mengambil langkah yang sama dan lebih proaktif dalam melindungi keluarga nukleus di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik hari ini.

    Pada masa yang sama, Wan Ahmad Fayhsal menambah, beliau menyambut baik keputusan Rusia memerangi LGBTQ dan usaha Indonesia mencegah hubungan luar nikah dalam kalangan rakyatnya.

    Jelasnya, kerajaan mesti tegas dalam membendung perkara sedemikian kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kerosakan moral tetapi juga kesihatan, lapor Sinar Harian.

  • Tular warga emas disepak muka, dibelasah sehingga berdarah selepas mencuri

    Tular warga emas disepak muka, dibelasah sehingga berdarah selepas mencuri

    SEORANG lelaki warga emas dibelasah sehingga berdarah muka dalam kejadian di Semporna, semalam dan kejadian itu tular dalam media sosial.

    Video berdurasi satu minit 36 saat itu memaparkan seorang individu bersama sekumpulan lelaki menarik baju warga emas itu di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya sambil disaksikan oleh orang awam.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya belum menerima laporan polis dan masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

    “Setakat ini tiada individu tampil atau sebarang laporan diterima berhubung kejadian itu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Berdasarkan video tular itu, difahamkan mangsa didakwa mencuri beberapa barangan termasuk syampu dari pasar raya berkenaan namun disedari kakitangan di situ.

    Bagaimanapun, tindakan seorang individu yang mencederakan lelaki terbabit dengan menyepak muka sehingga berdarah mengundang pelbagai reaksi.

  • Pelakon ditahan pandu melulu sehingga kekasih tercampak keluar dari kenderaan

    Pelakon ditahan pandu melulu sehingga kekasih tercampak keluar dari kenderaan

    GARA-gara perselisihan faham,  seorang pelakon lelaki ditahan selepas memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya sehingga mengakibatkan kekasihnya tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur, pukul 5.30 petang kelmarin.

    Kejadian itu selepas dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain yang melalui lebuh raya sama.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek dengan tiba-tiba menukar lorong secara melulu.

    “Kenderaan dipandu pelakon tersebut kemudiannya hilang kawalan dan melanggar bahagian sisi kiri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova.

    “Susulan pelanggaran tersebut mengakibatkan kekasih suspek yang merupakan wanita tempatan berumur 25 tahun tercampak keluar.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.

    Mengulas lanjut, kata Mohamad Farouk, siasatan juga mendapati berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa ketika kejadian.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”jelasnya lapor Satu Berita.

  • Watie diperintah bayar lebih RM2,000 sebulan lunas hutang RM796,000 kepada Hana Elite

    Watie diperintah bayar lebih RM2,000 sebulan lunas hutang RM796,000 kepada Hana Elite

    DUA bekas anggota kumpulan Elite, Hana dan Watie hari ini setuju untuk menyelesaikan secara baik pertikaian saman penghutang penghakiman membabitkan kedua-dua belah pihak yang sudah berlarutan sejak lapan tahun lalu.

    Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan memfailkan saman penghutang penghakiman itu pada 18 Mei 2017 susulan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada 10 Mac 2015 dalam kes saman induk yang memerintahkan Watie membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83.

    Ganti rugi itu dituntut Hana kerana mendakwa Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali gagal menjelaskan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli kereta Toyota Wish.

    Melalui persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak hari ini, Watie yang kini aktif berlakon drama bersetuju membuat pembayaran ansuran lebih RM2,000 sebulan sehingga penyelesaian penuh hutang berjumlah RM796,000 termasuk faedah kepada Hana.

    Peguam Mohd. Fikri Abd. Rahman yang mewakili Hana ketika ditemui pemberita berkata Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin merekodkan penghakiman persetujuan seperti dipersetujui kedua belah pihak dalam kamar hakim hari ini.

    Menurut peguam itu, pembayaran yang dipersetujui itu adalah seperti yang diperintahkan mahkamah sama pada 25 Oktober 2017, tetapi Watie selaku penghutang penghakiman beberapa kali tertangguh membuat pembayaran, berkemungkinan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

    “Saya meminta supaya kes ini tidak dipanjangkan sebab Watie sudah bersetuju membuat pembayaran dan anak guam saya (pemiutang penghakiman) bersetuju menerima jumlah yang dicadangkan oleh penghutang penghakiman.

    “Hana juga kehilangan kerja dan mungkin disebabkan itu, beliau agak beremosi terapi perkara ini akhirnya dapat diselesaikan secara baik dengan terma dipersetujui, …saya minta supaya kes ini tidak dipanjangkan kerana anak guam saya setuju menerima jumlah yang dicadangkan Watie.

    “Masing-masing memerlukan sumber kewangan dan Hana mengharapkan kepada kes ini untuk Watie membayar (hutang), namun bayaran itu tertangguh. Alhamdulillah, kita dapat selesaikan secara baik dan peguam juga berbincang mencari jalan terbaik,” katanya, lapor Berita Harian.

    Menerusi prosiding itu, Watie diwakili peguam Aqila Zulaiqha Zulkifli. Kedua-dua mereka tidak hadir di mahkamah.

    Dalam saman penghutang penghakimannya itu, Hana turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap jika Watie gagal hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan kegagalannya membayar hutang itu.

    Dalam pernyataan tuntutannya melalui saman induk, Hana berkata, beliau membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 untuk membeli kenderaan terbabit pada September 2005 untuk Watie kerana Watie tidak layak membuat pinjaman.

    Menurut Hana, selepas memiliki kenderaan itu, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk tidak membuat bayaran ansuran sejak September 2010 kepada pihak bank yang menyebabkan beliau (Hana) diisytiharkan muflis pada 1 April 2013.