Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TAKTIK menyeludup rokok ke Australia dianggarkan bernilai RM426,000 yang disembunyikan dalam lantai sebuah kontena terbongkar hasil pemeriksaan dilakukan di Pelabuhan Pasir Gudang pada 9 Disember lalu.

Cubaan itu gagal dalam pemeriksaan pukul 11.35 pagi hasil maklumat Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, pemeriksaan rapi menemukan 428,000 batang rokok putih disembunyikan di ruang khas lantai kontena yang telah diubah suai bersama 20 palet tisu tandas, tisu dapur dan tisu basah.

Jelas beliau, rokok putih yang diseludup akan disimpan sementara sebelum dieksport.

“Pihak syarikat telah menempah awal satu unit kontena berukuran 12 meter daripada sebuah syarikat pengangkutan dan diletakkan di kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah.

“Sementara bahagian lantai kontena tersebut telah diubah bagi meletakkan rokok putih yang diseludup. Bagi mengaburi kegiatan mereka, pihak syarikat telah membuat dua kali tempahan tisu daripada sebuah syarikat di Puchong, Selangor untuk dieksport ke Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Iskandar Puteri, hari ini.

Misbahudin berkata, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 35 tahun yang merupakan wakil syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Misbahudin berkata, pihaknya berjaya menyita enam kontena berisi besi skrap bernilai RM380,000 yang disyaki cuba diseludup ke negara Asia Timur pukul 12.30 tengah hari, pada 5 Disember lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai dibantu pihak berkuasa zon bebas Pelabuhan Klang menyita sejumlah dagangan besi skrap yang dipercayai tidak berkastam di Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran borang kastam dua mendapati dagangan diikrar sebagai bahan tembaga. Namun pemeriksaan rapi yang dijalankan mendapati kontena mengandungi besi skrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) akta yang sama kerana membuat pengikraran yang tidak benar dan terlibat dalam cubaan mengeksport barangan larangan bersyarat tanpa permit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here