Author: Wartawan WartaRakyat

  • 4 ahli Parlimen Sabah sudah hantar jawapan kepada Speaker, kata Hajiji

    4 ahli Parlimen Sabah sudah hantar jawapan kepada Speaker, kata Hajiji

    PENGERUSI Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan empat ahli Parlimennya telah menghantar jawapan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung isu dakwaan kekosongan empat kerusi Parlimen oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Ketua Menteri Sabah itu berkata, bagaimanapun terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membuat keputusan mengenainya.

    “Mereka (Bersatu) sudah menghantar petisyen dan pihak kita yang empat orang ahli Parlimen itu juga telah menghantar jawapan atau petisyen kepada Speaker.

    “Banyak spekulasi di luar ini, macam-macam tetapi kita di dalam, kita tahu rentetan, keadaan yang berlaku.

    “Tetapi saya yakin Speaker akan buat keputusan yang terbaik kerana mereka sebenarnya sudah memenuhi (syarat) bahawa mereka tidak terlibat dalam Akta Anti Lompat Parti ini,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi rumah penduduk yang terjejas akibat dipukul ombak besar di Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu, hari ini.

    Beliau mengulas perkembangan mengenai tindakan Bersatu yang menghantar notis berkaitan kekosongan empat kerusi Parlimen baru-baru ini.

    Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan parti baharu yang akan disertai bekas ahli Bersatu, Hajiji yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Kamu tunggu saja dalam masa terdekat ini, kita akan umumkan nanti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mediapada Ahad lalu melaporkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee memaklumkan bahawa Bersatu telah menghantar notis kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) kepada Speaker Dewan Rakyat.

    Notis itu bagi memastikan bekas empat ahli Parlimen Sabah Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo GRS mengosongkan kerusi mereka.

  • Kerajaan Perpaduan runtuh apabila PH, BN bertembung dalam PRN

    Kerajaan Perpaduan runtuh apabila PH, BN bertembung dalam PRN

    PENGANALIS meramalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan runtuh sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertembung, pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tahun ini.

    Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, keutamaan paling penting Anwar ketika ini demi memastikan PH dan BN bekerjasama di peringkat Pusat dan negeri.

    Jelasnya, ini termasuk pilihan raya kerajaan tempatan sekiranya pemilihan berkenaan dihidupkan kembali.

    “Jika mereka bertembung, ia memaparkan perpaduan ditunjukkan di peringkat pusat lemah.

    “Cukup penting (bagi gabungan itu bekerjasama pada PRN) untuk menyakinkan rakyat PH dan BN benar-benar serius mengekalkan perpaduan di peringkat pusat bagi tempoh empat ke lima tahun lagi,” katanya memetik laporan FMT.

    Sementara itu,Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata, sasaran utama bagi PH dan BN menuju PRN untuk tidak bertembung sama sekali, sekali gus mengurangkan kelebihan kepada Perikatan Nasional susulan daripada perpecahan undi.

    Beliau yakin perpaduan dalam kerajaan Pusat bukan kebimbangan sebenar.

    “Kebimbangan besar adalah tumpas kepada PN kerana berlaku pertindihan kerusi,” katanya.

    Beliau berkata, sama ada BN mahupun PH mempunyai sebarang insentif untuk bergerak solo pada PRN mengambil kira ‘usaha terangkum pun belum tentu dapat menewaskan PN’.

    Anwar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH sebelum Tahun Baharu Cina bagi membincangkan persiapan bagi PRN di Pulau Pinang.

    Antara agenda mesyuarat itu dijangka membincangkan kerjasama dalam kerajaan menjelang PRN dan agihan kerusi dalam kalangan parti.

    Enam negeri akan mengadakan PRN tahun ini membabitkan negeri diterajui PH seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan negeri diperintah Pas, di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Sebelum ini, PH Selangor dan Negeri Sembilan ada menyatakan keterbukaan bekerjasama dengan BN, pada PRN.

    Terdahulu, PH dan Pas enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan PRU15, yang diadakan pada 19 November.

    Semua enam negeri mesti mengadakan PRN menjelang September.

  • Tiada keperluan pertimbang buka semula premis perjudian di Kedah

    Tiada keperluan pertimbang buka semula premis perjudian di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN untuk menutup premis perjudian di Kedah adalah muktamad dan tidak sama sekali akan dipertimbangkan semula seperti diharapkan DAP.

    Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, tiada keperluan untuk pertimbangan tersebut dilakukan ketika kegiatan perjudian tampak banyak mendatangkan keburukan kepada masyarakat.

    Beliau dalam pada itu turut mencabar Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong membuktikan kata-katanya kononnya langkah tersebut wajar dipertimbangkan semula bertujuan mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.

    “Selama ini judi tak pernah jadi alat membentuk keharmonian kaum. Jadi, suruh beliau buktikan bagaimana perkara itu boleh berlaku.

    “Takkan ada pertimbangan semula oleh kerajaan negeri dalam hal ini,” katanya kepada Warta Rakyat di Alor Setar, hari ini.

    Swee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman semalam menzahirkan harapan agar Muhammad Sanusi dapat menarik balik arahan dan mengeluarkan lesen kepada pengusaha judi berlesen bagi memastikan keharmonian kaum.

    Menurut Swee Leong, tindakan untuk menghentikan lesen judi tidak boleh diterima kerana akan menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, kerosakan yang berlaku akibat kegiatan perjudian bukan hanya melibatkan kaum-kaum tertentu saja.

    “Ini bukan isu satu kaum sebaliknya judi merosakkan semua kaum.

    “Keharmonian kaum tidak akan terbentuk melalui perjudian sebaliknya ia boleh dibina menerusi integrasi di sekolah, kegiatan sukan, silang seni antara budaya, bahasa pertuturan yang sama dan lain-lain lagi kegiatan berfaedah,” katanya.

  • Wisma Jakel terbakar lagi

    Wisma Jakel terbakar lagi

    SELEPAS dua hari Wisma Jakel di Seksyen 7, Shah Alam terbakar, insiden sama sekali lagi berlaku dan kali ini melibatkan stor langsir terbakar tengah malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada 12.40 tengah malam.

    “Susulan itu sepasukan pegawai, anggota serta aset Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam; BBP Puchong; BBP Kota Anggerik;BBP Damansara; BBP Sungai Pinang; BBP Petaling Jaya dan BBP Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian.

    “Pasukan bomba tiba di lokasi pada 12.52 tengah malam dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada 1.45 pagi.

    “Api kemudian berjaya dipadamkan keseluruhannya pada 3.07 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dilakukan.

    “Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi 1 Januari lalu dan bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada 7.08 pagi sebelum kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira 10 jam kemudian.

    JBPM Selangor kemudian menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi menjalankan kerja-kerja forensik untuk mengenal pasti punca insiden, semalam.

    Difahamkan, laporan siasatan penuh mengenai punca kebakaran akan diperolehi dalam tempoh sebulan.

  • Covid-19: Dua varian utama di China dikesan di Malaysia

    Covid-19: Dua varian utama di China dikesan di Malaysia

    DUA varian COVID-19 utama dalam penularan penyakit itu di China iaitu BA.5.2 dan BF.7 telah dikesan di Malaysia.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua varian berkenaan dikesan dalam 80 peratus kes COVID-19 di China.

    “Di Malaysia setakat 31 Disember lalu, sebanyak 4,148 kes positif melibatkan BA.5.2 manakala tiga lagi kes adalah BF.7.

    “Begitupun, kedua-dua varian berkenaan, tergolong sebagai sublineage Omicron BA.5 dan belum tergolong sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

    “Walau bagaimanapun, kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China.

    “Tetapi belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.1,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini.

    BF.7, singkatan untuk BA.5.2.1.7, berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan di dunia pada Julai 2022.

    Sementara itu, Dr. Noor Hisham memberitahu, varian XBB dikesan mendominasi penularan Covid-19 di negara ini sepanjang Disember lalu.

    Kata beliau, subvarian Omicron itu, merangkumi 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang menjalani penjujukan genom.

    Jelas beliau, varian XBB juga masih merupakan varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak Oktober lalu.

    “Ia diikuti dengan varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan varian BQ.1 (10.8 peratus).

    “Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian LUM WHO,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dr. Noor Hisham menambah, data daripada negara-negara lain yang mengalami penularan XBB seperti Singapura dan India menunjukkan peningkatan bilangan kes jangkitan semula.

    Peningkatan tersebut, khususnya kata beliau berlaku dalam kalangan penduduk yang dijangkiti semasa gelombang Delta atau dijangkiti oleh varian membimbangkan (VOC) Omicron sekurang-kurang enam bulan lalu.

    Kejadian jangkitan semula, kata Dr Noor Hisham lagi disebabkan ‘immune escape’ yang lebih tinggi oleh XBB.

    “Ini mungkin disebabkan oleh tahap antibodi yang sudah mula berkurangan dan menyebabkan jangkitan semula tidak dapat dielakkan,” katanya.

  • Remaja 16 tahun dakwa dirogol polis

    Remaja 16 tahun dakwa dirogol polis

    SEORANG remaja perempuan mendakwa menjadi mangsa rogol pegawai berpangkat inspektor ketika berada di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dekat Alor Setar, pukul 6 petang, Rabu minggu lalu.

    Gadis berusia 16 tahun itu membuat laporan polis selepas pada Sabtu lalu dan dia mendakwa dirogol inspektor itu ketika berada dalam bilik pejabat pegawai terbabit di IPD berkenaan.

    Sumber mendakwa, mangsa pada mulanya dipanggil inspektor berusia 30-an itu ke IPD untuk membantu siasatan berhubung satu kes rogol membabitkan remaja terbabit yang dikatakan dilakukan bapa tiri terhadap dirinya.

    “Ketika berada dalam bilik, inspektor berkenaan yang juga pegawai penyiasat kes membabitkan remaja perempuan itu memberitahu dia mahu membuat pemeriksaan pada kemaluan mangsa.

    “Mangsa ketika itu sedang duduk di kerusi dan pegawai berkenaan kemudian memintanya supaya mengangkang untuk memudahkan pemeriksaan dilakukan terhadapnya,” katanya lapor Harian Metro.

    Menurut sumber berkenaan lagi, pegawai polis itu kemudian memegang kemaluan mangsa dan diminta supaya baring atas katil yang ada dalam bilik berkenaan dalam keadaan bogel.

    Menurutnya, pada masa sama pegawai berkenaan gagal mengawal nafsu dan merogol remaja terbabit.

    “Pegawai polis berkenaan memberi alasan alat yang digunakan untuk membuat pemeriksaan ke atas mangsa gagal berfungsi dengan baik.

    “Walaupun takut namun mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu membiarkan tubuhnya dinoda inspektor berkenaan,” katanya.

    Menurutnya, mangsa mendakwa yang kejadian itu berlaku hampir 30 minit dan selepas itu dia diminta pegawai polis terbabit memakai kembali pakaiannya selain turut diberitahu yang kes berkenaan belum selesai serta diarahkan kembali untuk siasatan.

    “Susulan daripada itu, mangsa yang sudah tidak bersekolah tampil membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit selepas tiga hari ia berlaku dan dia juga dipanggil ke IPD untuk memberi keterangan.

    “Remaja perempuan itu juga sudah dibawa menjalani pemeriksaan di hospital dan sepasukan polis unit forensik yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian turut menemui beberapa kesan dipercayai air mani pada cadar serta sarung bantal,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan laporan dan penahanan pegawai berkenaan namun enggan mengulas lanjut keana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

  • Lelaki maut selepas terjun kolam dekat Batu Arang

    Lelaki maut selepas terjun kolam dekat Batu Arang

    SEORANG lelaki maut selepas terjun ke dalam sebuah kolam di Tasik Puteri Centre Park, Batu Arang, pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anggota polis pada pukul 10.26 pagi tadi.

    Beliau berkata, maklumat awal daripada polis menyatakan mangsa yang dikenali sebagai C. Aravind Raj, 25, telah terjun ke dalam kolam dipercayai mabuk kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    “Sepasukan lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Mangsa ditemui pada pukul 1.33 petang dan mayat kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

  • 158 ketul ganja dijumpai di Sungai Yan

    158 ketul ganja dijumpai di Sungai Yan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEBANYAK 158 ketulan ganja mampat ditemukan orang awam dalam keadaan berselerak di Sungai Yan berdekatan Kampung Tengah Makau, Yan kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, maklumat diperolehi daripada seorang lelaki yang menjumpai dadah di tebing serta terapung di sungai terbabit.

    Katanya, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

    “Pemeriksaan yang dilakukan menemukan 80 ketulan mampat dan sebaik diperiksa terdapat daun-daun kering yang dibaluti plastik lutsinar dan berwarna perak di tepi tebing Sungai Yan.

    “Siasatan lanjut menemui sejumlah 78 lagi ganja yang dibalut dengan plastik lutsinar berwarna emas di dalam sungai berdekatan pintu air kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan pertama,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

    Shahnaz Akhtar berkata, kesemua 158 ketulan ganja itu kemudiannya di bawa ke IPD Yan untuk siasatan lanjut.

    Menurutnya, polis sedang menyiasat bagaimana ganja itu boleh berada di situ dan mengesan individu yang mungkin meninggalkan ganja terbabit.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Covid-19: Malaysia perlu ambil tindakan pencegahan lebih ketat-Armada

    Covid-19: Malaysia perlu ambil tindakan pencegahan lebih ketat-Armada

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan mengambil tindakan pencegahan lebih ketat dengan menghalang kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu sehinggalah kes harian Covid-19 di negara berkenaan menurun.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, langkah itu selari dengan gesaan dibuat Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis supaya kerajaan mengambil pengajaran daripada gelombang pertama dan kedua Covid-19 yang meranapkan industri pelancongan negara.

    “Kerajaan Malaysia wajib mengambil pengajaran daripada kesilapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 yang lambat menyekat kemasukan pelancong dari negara berisiko.

    “Kesilapan kerajaan pada ketika itu mengakibatkan kematian ribuan rakyat dan kemusnahan ekonomi yang sampai sekarang masih belum pulih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    China kini dilapor bergelut dengan kehadiran subvarian Omicron, BF.7 yang dipercayai menyebabkan lonjakan jangkitan Covid-19 di negara itu.

    Ia sekali gus mendorong banyak negara, termasuk Malaysia untuk memeriksa suhu badan pelancong yang memasuki pintu sempadan masing-masing.

    Wan Ahmad Fayhsal yang merupakan Ahli Parlimen Machang menambah, pihaknya mahu kepentingan rakyat diutamakan berbanding hal-hal lain dalam soal ancaman Covid-19 yang terbaru ini.

    “Tindakan tangkas dan tegas perlu segera diambil bagi mengelak penularan yang berlaku di luar jangka seperti mana yang telah berlaku pada 2020 lalu khususnya melibatkan pergerakan keluar masuk manusia di semua pintu masuk sempadan negara,” ujarnya lapor Sinar Harian.

  • Abai aspek kebersihan, gerai roti canai popular di Georgetown diarah tutup 14 hari

    Abai aspek kebersihan, gerai roti canai popular di Georgetown diarah tutup 14 hari

    SEBUAH gerai roti canai popular di Jalan Transfer, Georgetown, Pulau Pinang diarah tutup selama dua minggu bermula hari ini kerana gagal mematuhi aspek kebersihan.

    Pengerusi Jawatankuasa Agro-Tech dan Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, gerai itu diarahkan tutup susulan tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Menurut beliau, notis penutupan selama 14 hari itu dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut yang memeriksa premis berkenaan kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    ”Arahan penutupan ini dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, pemilik gerai juga perlu melakukan kerja-kerja pembersihan dan gerai ini turut dikenakan kompaun RM500,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Gerai yang menjadi tumpuan pelancong yang sanggup beratur panjang setiap pagi itu sebelum ini tular di dalam media sosial selepas dikatakan mengabaikan kebersihan ketika menyediakan roti canai untuk para pelanggan.

    Menerusi video yang dimuat naik ke aplikasi Tik Tok, seorang pelanggan mempersoalkan kebersihan di gerai itu selepas mendakwa telur-telur yang digunakan di gerai itu telah pecah.