Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sany tak layak jelaskan isu peruntukan MP pembangkang – Shahidan

    Sany tak layak jelaskan isu peruntukan MP pembangkang – Shahidan

    AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan tidak layak memberi penjelasan berhubung isu peruntukan kerajaan yang didakwa tidak diterima oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

    Tegas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim, penjelasan sebaiknya perlu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau juga mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah memperoleh peruntukan, sebaliknya tidak bagi Ahli Parlimen pembangkang.

    “Saya mendapat maklumat bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat peruntukan. Tetapi hingga ke hari ini, tiada peruntukan diterima oleh pembangkang terutamanya negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    “Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan dari YAB Perdana Menteri. Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Beliau turut meminta supaya peruntukan yang diagihkan kepada Ahli Parlimen kerajaan turut diterima Ahli Parlimen pembangkang, seiring dengan janji manifesto pilihan raya mereka.

    “Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya lapor BH.

    Mohd Sany semalam mempersoalkan dakwaan Shahidan berkaitan isu peruntukan itu, dengan mendakwa Ahli Parlimen Arau itu cuba ‘memancing’ dan menekan Kerajaan Perpaduan supaya mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil Kerajaan menerusi Belanjawan 2023.

    Beliau juga menyifatkan tuduhan Shahidan itu bersifat melulu dan berniat jahat, sambil mengucapkan ‘selamat memancing’ dan selamat mencuba kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu.

  • 2,016 saman, 146 kenderaan disita dalam Op Ambang Tahun Baharu 2023

    2,016 saman, 146 kenderaan disita dalam Op Ambang Tahun Baharu 2023

    SEBANYAK 2,016 saman dan 146 buah kenderaan disita polis Pulau Pinang sepanjang Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan bermula 30 Disember lalu hingga kelmarin.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi sama, seramai tujuh individu turut atas pelbagai kesalahan antaranya memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kesalahan dadah.

    Jelas beliau, Op Ambang Tahun Baharu 2023 itu melibatkan seramai 1,294 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang yang memfokuskan kepada pencegahan jenayah dan samseng jalanan secara bersepadu dengan kerjasama beberapa agensi lain.

    “Operasi ini turut dijalankan bersama agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi sekatan jalan raya bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

    “Operasi ini juga bertujuan memastikan Tahun Baharu 2023 tidak dikotori dengan kegiatan samseng jalanan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Sementara itu, tambah beliau, polis Pulau Pinang turut menjalankan operasi pencegahan jenayah di beberapa kawasan tumpuan orang awam dan pengunjung yang mana sejumlah 61 premis pusat hiburan dan sebanyak 5,340 kenderaan telah diperiksa.

    “Seramai 6,427 individu juga telah diperiksa dan dijalankan saringan air kencing yang mana seramai 71 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1971, Akta Racun, Akta Dadah Berbahaya, Akta Pertubuhan dan sebagainya,” katanya.

    Tambahnya, polis Pulau Pinang akan terus menjalankan operasi-operasi sedemikian bagi memastikan keadaan di negeri itu kekal aman.

  • SMS berbentuk propaganda bukti kerajaan terdesak – Faiz Na’aman

    SMS berbentuk propaganda bukti kerajaan terdesak – Faiz Na’aman

    SISTEM pesanan ringkas ataupun SMS (Short Message Service) berbentuk propaganda bertujuan mempengaruhi pendapat orang ramai menimbulkan perasaan sangsi terhadap keabsahan kerajaan perpaduan.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Faiz Na’aman berkata, kerajaan sekarang masih berkempen setelah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menjustifikasi kewujudan mereka melalui SMS dari kerajaan.

    “Ini contoh salah guna kemudahan telekomunikasi kerajaan untuk berpolitik secara halus.

    “Propaganda begini bagaikan mekanisme kerajaan komunis atau diktator yang mahu cuci otak rakyat supaya paksa terima naratif pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Faiz turut menyoal tindakan menghantar mesej tersebut seolah-olah kerajaan sedia ada tidak yakin dengan kebolehan sendiri dalam mentadbir negara.

    “Apakah kerajaan ‘luar tabie’ hari ini takut dan tidak yakin dengan penerimaan orang awam serta rakyat Malaysia terhadap mereka hingga perlu hantar SMS sebegini?

    “Sepatutnya SMS rasmi dari kerajaan digunakan untuk menyampaikan perkara-perkara yang penting untuk orang awam atau hal kecemasan atau sebarang perkhidmatan untuk rakyat,” jelasnya, laor SatuBerita.

    (SMS berbentuk propaganda)
  • DAP buat kenyataan songsang isu judi

    DAP buat kenyataan songsang isu judi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERMINTAAN DAP Kedah yang mahu kerajaan negeri itu mengkaji semula keputusan menutup premis judi diibaratkan selerti kenyataan songsang.

    Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, gesaan itu bertentangan dengan etika masyarakat serta penekanan semua agama yang melarang perjudian.

    Katanya, alasan kononnya pertimbangan tersebut wajar dibuat demi keharmonian kaum juga tidak dapat diterima.

    Nurul Amin yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Kelantan dan Terengganu sudah lama mengharamkan judi dan tindakan tersebut terbukti tidak menimbulkan ketegangan kaum.

    “Di kedua-dua negeri itu tidak pula timbul isu yang mengakibatkan ketegangan atau merosakkan keharmonian kaum.

    “Sebaliknya aktiviti perjudian yang lebih merosakkan masyarakat serta institusi keluarga apabila mengheret pelaku melakukan apa sahaja untuk berjudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    DAP Kedah berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menarik balik arahan dan mengeluarkan lesen kepada pengusaha judi berlesen seperti biasa bagi memastikan keharmonian kaum.

    Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan Setiausahnya, Teh Swee Leong berkata, tindakan untuk menghentikan lesen judi tidak boleh diterima kerana akan menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat.

    Tambah Nurul Amin, kenyataan mereka sangat naif dan bertentangan dengan kehendak masyarakat di negeri ini yang mahukan sebuah negeri selamat, harmoni dan aman.

    “Usaha kerajaan Kedah menghentikan lesen premis perjudian perlu disokong semua pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    “Selain itu kenyataan beliau turut menimbulkan persoalan adakah DAP merupakan sebuah parti yang memberi sokongan kepada aktiviti perjudian dalam negara ini,” katanya.

  • Isu Menara KL: Annuar akan ambil tindakan undang-undang

    Isu Menara KL: Annuar akan ambil tindakan undang-undang

    BEKAS Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa memfitnahnya berhubung isu penjualan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

    “Kenyataan individu berkenaan menerusi beberapa hantaran menerusi media sosial mereka, sudah menjejaskan imej dan reputasi serta memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak termasuk saya sendiri,” katanya.

    Tegas beliau, perkara itu selepas dirujuk serta meneliti secara mendalam bersama peguamnya.

    “Saya tiada pilihan melainkan mengarahkan peguam mengambil tindakan menurut jalur undang-undang terhadap tiga individu iaitu Adrian Lim Chee En, K. Pragalath Kumar dan Mohd. Razlan Rafii.

    “Ada juga yang membuat ‘posting’ (hantaran) tanpa mengemukakan identiti sebenar mereka dan pihak saya akan cuba untuk mengenal pasti mereka.

    “Saya serahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan yang sesuai dan bertepatan dengan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau berkata, sejak tercetus polimik berhubung Menara KL yang kononnya dijual senyap-senyap oleh anak syarikat Telekom Malaysia (TM), Menara KL Sdn Bhd (MKLSB), sudah tersiar pelbagai kenyataan yang mengelirukan.

    “Setiap perkara berbangkit, terutama yang membabitkan kepentingan rakyat dan negara perlulah disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib.

    “Semua pihak perlu memberikan kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular dalam media sosial, baru-baru ini

    Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan beberapa hari ini lalu memaklumkan sudah memanggil tiga saksi, bagi membantu siasatan isu pemindahan hak milik pengurusan Menara KL.

    SPRM juga mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak berkaitan untuk diteliti, dengan siasatan bertumpu sama ada terdapat elemen rasuah dalam penjualan saham anak syarikat TM itu kepada Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu, berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL.

  • Musk manusia pertama dalam sejarah rugi RM880 bilion

    Musk manusia pertama dalam sejarah rugi RM880 bilion

    PENGASAS Tesla dan pemilik Twitter, Elon Musk, 51, menjadi manusia pertama dalam sejarah kerugian AS$200 bilion (RM880 bilion) daripada nilai kekayaan, demikian menurut Indeks Bilionair Bloomberg.

    Bilionair tersebut kerugian besar selepas beliau pada 2021 menjadi manusia kedua yang mengumpul kekayaan melebihi AS$200 bilion, selepas pengasas Amazon, Jeff Bezos.

    Musk, yang nilai bersihnya mencapai kemuncak pada November 2021 sebanyak AS$340 bilion (RM1.5 trilion), menyaksikan kekayaannya menjunam kepada AS$137 bilion (RM603 bilion) apabila saham Tesla merosot 65 peratus sejak setahun lalu.

    Ia prestasi terburuk pengeluar kereta elektrik itu setakat ini.

    Penurunan itu termasuk kemerosotan 11 peratus lagi pada Selasa lalu selepas Wall Street Journal melaporkan bahawa lonjakan kes Covid-19 memaksa Tesla menghentikan sementara pengeluaran di Shanghai.

    Dalam satu memo yang dihantar kepada kakitangan Rabu lalu, bilionair itu mengucapkan terima kasih di atas ‘usaha luar biasa’ mereka sepanjang tahun, namun tidak terlalu menyentuh mengenai prestasi buruk saham syarikat itu.

    “Jangan terlalu terganggu dengan kegilaan pasaran saham,” kata Musk dalam satu memo yang dilihat oleh CNBC.

    “Apabila kita mempamerkan prestasi cemerlang berterusan, pasaran akan mengiktirafnya,” lapor Berita Harian.

    Musk kehilangan takhta sebagai manusia terkaya di dunia awal bulan lalu, apabila gelaran itu diserahkan kepada Bernard Arnault, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LVMH.

  • Tidak perlu wujud penderaan mental, fizikal dalam aktiviti sukan

    Tidak perlu wujud penderaan mental, fizikal dalam aktiviti sukan

    AKTIVITI sukan tidak seharusnya ‘disulami’ dengan tindakan keterlaluan seperti penderaan mental dan kekerasan fizikal yang akhirnya mendatangkan kesan toksik kepada atlet yang menyertainya.

    Peringatan itu disuarakan Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin yang berpendapat tindakan mendisiplinkan secara keterlaluan apatah lagi melibatkan kekerasan fizikal, terutama terhadap kanak-kanak adalah sangat tidak wajar.

    Tegasnya, tindakan disiplin sebegitu yang pada mulanya mungkin dilihat bersifat mengajar berubah kepada satu tindakan toksik yang memudaratkan.

    “Sebagai seorang yang aktif bersukan dan telah menyertai pelbagai jenis pertandingan termasuk bola tampar, saya berasakan tindakan yang keterlaluan itu tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

    “Sebaliknya tindakan itu boleh membunuh minat seseorang terhadap sesuatu aktiviti sukan. Tindakan tersebut juga semestinya menjatuhkan semangat dan air muka mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beliau juga menggesa Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan mengambil serius berhubung isu tersebut.

    “Satu garis panduan khas kejurulatihan perlu dikeluarkan segera agar menjadi rujukan kepada semua penggiat sukan terutama di peringkat sekolah.

    “Ibu bapa, penjaga perlu diberi keyakinan bahawa penglibatan anak-anak mereka di dalam sukan di peringkat apa pun tidak memudaratkan sebaliknya memberi kebaikan dalam pembentukan sahsiah mereka,” ujarnya.

    Astro AWANI pada Isnin melaporkan keputusan menggantung atau menamatkan perkhidmatan jurulatih pasukan bola tampar Melaka B-14 (Wanita) yang bertindak menampar pemainnya baru-baru ini, hanya akan diketahui pada Rabu.

    Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam berkata, ia memandangkan isu berkenaan telah diselesaikan lebih awal sebelum video berhubung insiden berkenaan tular di media dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

    Beliau berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) juga belum membuat apa-apa keputusan meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah menggantung penglibatan jurulatih lelaki yang juga seorang guru itu daripada melibatkan diri di dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan.

  • Bekas ADUN Sedili dibebaskan daripada tuduhan cabul

    Bekas ADUN Sedili dibebaskan daripada tuduhan cabul

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Majistret Muar hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita pada Januari tahun lalu.

    Majistret, Analia Kamaruddin membuat keputusan tersebut terhadap Rasman, 54, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh.

    Menurut Analia, keputusan itu dibuat setelah menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pihak pendakwaan secara maksima sepanjang perbicaraan.

    “Oleh yang demikian, tertuduh dilepaskan serta dibebaskan dan wang jaminan dikembalikan semula,” katanya ringkas dalam prosiding berkenaan.

    Prosiding dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd. Yunos manakala Rasman diwakili peguam bela Muhammad Mohd. Nasir, Muhammad Izzad Syafiq Ismail dan Mohamad Alias Rasman.

    Terdahulu, Rasman yang hadir dengan memakai kemeja putih dan kot biru menzahirkan kesyukuran serta perasaan lega atas keputusan adil mahkamah.

    “Syukur yang tidak terhingga terhadap keputusan ini yang dapat menegakkan kebenaran bagi diri saya.

    “Saya menganggap kes ini sebagai suatu siri ujian terhadap saya dan keluarga, namun akan terus komited dalam berbakti kepada rakyat,” ujar Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi itu.

    Sebelum ini empat saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan yang telah bermula sejak Januari tahun lalu.

    Rasman sebelum ini menghadapi pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan.

    Kesalahan itu dilakukan pada 13 Januari 2022 dalam sebuah kereta mewah jenis Toyota Vellfire kira-kira pukul 5 petang di daerah ini.

    Justeru, beliau telah didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada dua seksaan itu.

  • Anwar perlu mohon maaf kepada PN

    Anwar perlu mohon maaf kepada PN

    PERIKATAN Nasional (PN) Wilayah Persekutuan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung kenyataannya sebelum ini yang mengaitkan PN dengan syarikat perjudian.

    Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, ini kerana dakwaan Anwar yang mengatakan PN bersekongkol dengan premis perjudian demi mendapatkan tajaan adalah tidak benar.

    “Beliau (Anwar) perlu memohon maaf kerana terbukti apa yang dikatakan tidak benar kerana PN tidak pernah terbabit meminta tajaan syarikat perjudian untuk membiayai parti.

    “Tindakan Perdana Menteri mendakwa dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi sebelum ini adalah satu pembohongan.

    “PN mendesak supaya Perdana Menteri dapat membuat permohonan maaf secara terbuka kerana ia melibatkan maruah dan reputasi PN yang wujud hasil gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri Kedah menamatkan sepenuhnya semua operasi premis perjudian dan loteri berkuat kuasa 1 Januari 2023.

    Mahathir berkata, sekarang terbukti PN yang membawa imej Islam dalam pentadbirannya tidak mustahil untuk menghentikan lesen pusat perjudian dan loteri malah boleh dilakukan di peringkat nasional.

    Jelas Mahathir, perancangan untuk menutup premis perjudian secara berperingkat antara agenda Pas dan Bersatu, malah perancangan itu sebenarnya sudah dibuat lama.

    “Perkara ini telah disepakati antara Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannnya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Islam akan menjadi corak pemerintahannya,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Anwar menerusi kenyataannya sebelum ini membayangkan sebahagian dana pilihan raya untuk parti Melayu dan parti Islam datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

    Kata Anwar, Kementerian Kewangan juga mendapati ‘pelanggaran’ dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender yang dikatakan berlaku semasa era kerajaan PN.

    Semalam Warta Rakyat melaporkan semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya pada 1 Januari 2023, susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

    Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.

  • PUTRA lapor polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka isu rasuah

    PUTRA lapor polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka isu rasuah

    PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Melaka membuat laporan polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

    Ketua Wanita PUTRA, Laila Norinda Maon, berkata Putra Melaka tidak menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sekiranya berlaku rasuah dalam pemberian konsesi di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

    Laporan itu dibuat selepas beliau melihat klip video berdurasi 5 minit 19 saat di Facebook (FB) kelmarin yang jelas mengaitkan Ab. Rauf dengan isu penyelewengan itu.

    “Kandungan video berkenaan mendakwa duit dari MARRIS pusat yang sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil membangunkan perniagaan mereka tetapi dilencongkan ke Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

    “Tindakan itu kononnya atas arahan Pengerusi Jawatankuasa Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri (Ab. Rauf) tanpa sebarang perbincangan dengan pihak lain.

    “Saya tidak menuduh atau menyalahkan beliau atau mana-mana pihak, sebaliknya mahu pihak berwajib menjalankan siasatan sama ada dakwaan itu benar atau salah,” katanya hari ini, lapor BH Online.

    Laila yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) berkata, dakwaan dalam kandungan video terbabit mesti dipandang serius oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Sebagai anak jati Melaka dan mewakili PUTRA Melaka, kami membantah sekeras-kerasnya pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mahupun mempunyai agenda atas kepentingan sendiri dan menggunakan harta kerajaan untuk diri mereka.

    “Saya sudah membuat laporan polis semalam dan menyerahkan kepada pihak berwajib menjalankan siasatan,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu petang semalam di Balai Polis Ayer Keroh dan siasatan lanjut masih dijalankan.