Author: Wartawan WartaRakyat

  • Cabul kanak-kanak, lelaki etnik Rohingya dicekup polis

    Cabul kanak-kanak, lelaki etnik Rohingya dicekup polis

    POLIS menahan seorang lelaki etnik Rohingya selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang juga jirannya, di Semabok, Melaka, 28 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 35 tahun yang juga buruh binaan ditahan sepasukan polis selepas menerima laporan yang dibuat bapa mangsa.

    Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 8.30 malam, pada 26 Disember dan mangsa berusia 12 tahun hanya menceritakan kejadian itu kepada bapanya pada keesokan pagi.

    “Mangsa mendakwa ketika sedang bermain bola di hadapan rumah, dia ditarik oleh suspek dan mencabulnya beberapa kali, tetapi kejadian tidak disedari oleh adik lelakinya yang turut berada di lokasi kejadian.

    “Menurut bapa mangsa, anak keduanya itu pada awalnya takut menceritakan kejadian itu kepadanya,” katanya ketika dihubungi.

    Christopher memberitahu, siasatan dijalankan mendapati suspek turut mengeluarkan kata-kata lucah kepada adik mangsa mengenai fizikal tubuh kakaknya itu.

    “Malah mangsa turut mendakwa, sebelum kejadian suspek pernah menegur dia dan adiknya yang ketika itu ingin ke rumah nenek mereka yang tinggal tidak jauh dari situ,” katanya.

    Sementara itu, Christopher berkata, suspek kini direman sehingga 9 Januari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

    “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Maritim Malaysia tahan PATI, pekerja bawah umur kendali bot nelayan

    Maritim Malaysia tahan PATI, pekerja bawah umur kendali bot nelayan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan di perairan negeri itu semalam kerana melakukan kesalahan menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah serta menggajikan pekerja di bawah umur.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda dan bot Maritim Malaysia memeriksa dua buah bot nelayan kelas A dan C ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi serta Op Tanjung, pukul 9.43 pagi dan 5 petang semalam.

    Katanya, penahanan pertama melibatkan sebuah bot nelayan kelas C yang berpangkalan di Bagan Panchor, Perak di kedudukan 31.4 kilometer barat daya Pulau Kendi.

    Jelas beliau, bot itu dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur 35 hingga 40 tahun yang mana tiga daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.

    “Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, penahanan kedua melibatkan bot nelayan kelas A berpangkalan di Sungai Udang di kedudukan 5.1 kilometer barat Batu Kawan yang dikendalikan tiga kru warga tempatan berumur antara 12 hingga 16 tahun dipercayai dalam perjalanan menuju ke sangkar ikan berdekatan.

    Maritim memeriksa dua buah bot nelayan kelas A dan C ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi serta Op Tanjung petang semalam.

    Kata beliau, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tidak mengusahakan sendiri dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (pekerjaan) 1966 menggajikan pekerja di bawah umur.

    Tambahnya, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut dan muatan makanan ikan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban serta Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Jelas Abd. Razak, pihaknya mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka.

    “Di samping itu, kita juga memandang serius tindakan pengusaha atau majikan yang menggajikan atau mengeksploitasi pekerja di bawah umur dan sesekali tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada,” katanya.

    Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • Pembantu penguat kuasa veterinar mengaku tidak bersalah terima rasuah

    Pembantu penguat kuasa veterinar mengaku tidak bersalah terima rasuah

    SEORANG Pembantu Penguat kuasa Veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM35,000, tahun lepas.

    Abol As Mohd. Jamil, 43, yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dazuki Ali.

    Dia didakwa meminta rasuah RM35,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan bagi menurunkan seksyen pertuduhan kepada hukuman yang lebih ringan bagi satu kes di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus antara pukul 12.30 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 27 Julai 2022.

    Bagi pertuduhan kedua, Abol As dituduh menerima rasuah RM35,000 daripada lelaki sama untuk tujuan sama di alamat sama pada 3 Ogos 2022.

    Abol As didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan Abol As diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada SPRM dan perlu melapor diri ke pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh dan Nur Athikah Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.

    Mahkamah menetapkan 7 Feb untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Menteri digesa jelaskan situasi sebenar Covid-19 di Malaysia

    Menteri digesa jelaskan situasi sebenar Covid-19 di Malaysia

    MENTERI Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa digesa supaya tampil memberi penjelasan menyeluruh mengenai situasi sebenar potensi ancaman penularan Covid-19 di Malaysia bagi mengelakkan persepsi yang tidak benar.

    Menurut Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin, langkah itu perlu bagi mengurangkan kebimbangan berikutan beberapa negara lain telah mengambil langkah awal mengekang berlakunya penularan wabak berkenaan.

    “Tindakan negara China mengutuk dan mengancam tindak balas terhadap negara-negara yang mengenakan syarat ujian baharu Covid-19 terhadap warganegaranya susulan lonjakan kes harus diberi perhatian serius oleh kerajaan Malaysia.

    “Kita mesti menyatakan langkah yang tegas, berani dan mengambil sikap proaktif berhubung potensi ancaman penularan wabak ini dari negara China mutakhir ini. Kebanyakan rakyat menzahirkan kebimbangan malah beberapa negara telah mengambil tindakan lebih awal dari Malaysia.

    “Tambahan lagi, maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak terperinci berbanding realiti di China yang digambarkan semakin serius,” katanya dalam kenyataan hari ini lapor BeritaBersatu.

    Situasi wabak membawa maut itu di China menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan selepas bertahun-tahun mengenakan sekatan ketat menerusi dasar sifar Covid-19 dan ia dilonggarkan secara tiba-tiba bulan lalu.

    Disember tahun lalu, Beijing mengumumkan pengembara ‘inbound’ tidak perlu lagi dikuarantin, menyebabkan ramai warganya merancang perjalanan ke luar negara.

    Dilaporkan, beberapa negara luar termasuk Jepun akan mewajibkan ujian saringan Covid-19 bagi ketibaan pelancong dari tanah besar China mulai Jumaat lalu.

  • Tukang paip tidak mengaku cuba bunuh ahli perniagaan wanita

    Tukang paip tidak mengaku cuba bunuh ahli perniagaan wanita

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang ahli perniagaan hingga parah dan tidak sedarkan diri pada 24 Disember lalu.

    Bagaimanapun tertuduh, Chan Ping Khoon, 32, yang bekerja sebagai tukang paip mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 38 tahun di sebuah syarikat pembekal penapis air di daerah Timur Laut, Georgetown pukul 7.22 malam, 24 Disember tahun lalu.

    Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika ia menyebabkan cedera hendaklah pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan disebabkan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh ke atas mangsa.

    Bagaimanapun, Ping Khoon yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan memandangkan mempunyai banyak tanggungan termasuk isteri dan ibu bapa yang uzur.

    Mahkamah kemudian menetapkan tiada jaminan dibenarkan dan mengarahkan tertuduh melantik peguam selain menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Akhbar sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan tidak sedarkan diri dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas parah pada bahagian muka dan mata akibat dipukul dalam kejadian samun pada 30 Disember lalu.

    Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku ketika mangsa berada seorang diri di kedai penapis air di Jelutong dekat Georgetown, sebelum didatangi suspek lelaki terbabit.

    Difahamkan, suspek bertindak memukul mangsa menggunakan objek tumpul pada bahagian muka menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

  • Jangan tekan kerajaan untuk longgarkan sempadan negara

    Jangan tekan kerajaan untuk longgarkan sempadan negara

    PERSATUAN Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dinasihatkan tidak menekan kerajaan untuk melonggarkan sempadan negara dengan kehadiran pelancong China ke Malaysia.

    Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata MATTA sepatutnya bertenang dan meneliti semula kenyataan lama mereka pada tahun 2020 yang menggesa kerajaan pada waktu itu mengenakan perintah berkurung dengan mengisytiharkan perang terhadap Covid-19.

    “Kerajaan perlu bertegas untuk hentikan dahulu kemasukan pelancong dan rakyat China ke Malaysia buat sementara waktu sehingga protokol keselamatan yang lebih jelas dan tahap kesiapsiagaan pemantauan penularan wabak Covid -19 kembali beroperasi 120%!

    “We have let our guard down for months and now we need to ensure our borders are really safe and secure against any intrusions of Covid-19 – especially from China – the origin of BF.7 Covid-19 variant.

    “Ya kita maklum sudah dikesan varian terbaru dari China itu dalam negara kita tapi belum tular (viral) sehingga tahap yang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan.

    Pada 16 Mac 2020, MATTA menggesa kerajaan mengisytiharkan perang terhadap Covid-19 dengan mengenakan perintah berkurung.

    Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, daripada meneruskan “pertempuran yang berlarutan secara beransur-ansur”, kerajaan sepatutnya melaksanakan perintah berkurung.

    “Perang habis-habisan memerlukan seluruh negara dikurung, dan inilah yang telah dilakukan oleh banyak negara Eropah dan lebih banyak negara dijangka mengikutinya.

    “Wabak global Covid-19 telah mencapai skala di mana negara perlu mengambil langkah berani dan drastik,” katanya lapor Berita Bersatu.

    Terbaru, pada Isnin, MATTA menyifatkan gesaan sesetengah pihak supaya kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari China sebagai tidak rasional.

    MATTA juga meminta semua pihak berhenti dalam memberikan spekulasi berlebihan berhubung berita tentang republik tersebut membenarkan rakyatnya melancong ke luar negara.

    “Kerajaan sejak awal 2022 telah mempunyai persediaan rapi dalam menghadapi kemasukan luar pelancong yang berisiko membawa Covid-19,” kata Tan dalam kenyataan kelmarin.

    Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata pengalaman lalu mengajar agar sesuatu perkara tidak boleh diambil ringan dan mudah.

    Ini kerana, katanya, kerajaan perlu bertegas sebelum isu ini menjadi parah.

    “Pengalaman lalu mengajar kita jangan ambil mudah ringan dan mudah. Better safe than sorry!

    “Ketegasan perlu daripada kerajaan ketika ini sebelum nasi menjadi bubur!

    “Kita doakan sebarang perkara tidak diingini tidak berlaku!” katanya.

  • Segera aktifkan mesyuarat MKN hadapi penularan varian baharu COVID-19-Hamzah

    Segera aktifkan mesyuarat MKN hadapi penularan varian baharu COVID-19-Hamzah

    KERAJAAN wajar bertindak segera dengan mengaktifkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan varian baharu COVID-19, terutamanya di negara China.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan juga harus segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi memastikan kepentingan negara terjamin, terutamanya bagi menjaga nyawa rakyat.

    Katanya, ini berikutan ada yang mencadangkan agar Malaysia menutup sempadan atau menghalang kemasukan pengembara dari negara China di pintu-pintu masuk negara.

    “SOP tersebut mestilah bersifat mencegah (preventive) agar penularan varian tersebut dapat dibendung dengan berkesan.

    “Ianya haruslah adil kepada semua pihak bagi memelihara kelangsungan kehidupan rakyat, terutama mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan perniagaan.

    “SOP tersebut juga mestilah mempunyai perincian yang mampu memantau serta menjejaki pengembara yang berada dalam negara dan mengambil kira keupayaan sistem kesihatan awam (national health care system),” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.

    Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.

  • Abang maut ditikam kerana halang adik pulang ke Pakistan

    Abang maut ditikam kerana halang adik pulang ke Pakistan

    GARA-gara menghalang adik yang mahu pulang semula ke Pakistan, seorang abang maut ditikam dalam kejadian di Taman Desa Meranti, Kuala Muda pada Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang juga warganegara Pakistan dikenali sebagai Mukhtiar, 39, dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan adiknya yang mahu pulang ke negara asal.

    Menurutnya, pergaduhan tercetus apabila mangsa dikatakan menyembunyikan tiket penerbangan dengan tujuan menghalang adiknya pulang berjumpa ahli keluarga.

    “Kejadian pada jam lebih kurang 9.57 malam itu tercetus apabila suspek yang berang bertindak luar kawalan dengan memukul dan menikam abangnya.

    “Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditikam di paha selain kesan lebam pada badan.

    “Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.37 malam,” katanya lapor Sinar Harian.

    Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat.

    Zaidy berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan direman selama tujuh hari sehingga 6 Januari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Suspek kes letupan Pandan Indah diberkas

    Suspek kes letupan Pandan Indah diberkas

    POLIS memberkas sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dalam kejadian letupan di Pandan Indah, Ampang Jaya, Khamis lalu.

    Sumber berkata, kedua-dua suspek diberkas di sebuah rumah di Kedah, tengah malam tadi.

    Sejurus ditahan, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

    Pada masa ini, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang bagi mendapatkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

    Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam Jumaat lalu, seorang tukang masak maut akibat letupan bungkusan diletak di atas keretanya di depan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya.

    Mangsa berusia 28 tahun dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan diletakkan di atas keretanya, selepas dimaklumkan rakan sekerja, lapor Berita Harian.

  • Bekas pemilik rumah pengebumian dihukum penjara 20 tahun jual anggota badan

    Bekas pemilik rumah pengebumian dihukum penjara 20 tahun jual anggota badan

    BEKAS pemilik rumah pengebumian di Colorado, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun pada Selasa selepas didapati bersalah menjual anggota badan si mati.

    Megan Hess, 46 tahun, mengaku bersalah pada Julai tahun lepas atas tuduhan menipu ahli keluarga si mati dengan memotong 560 mayat dan menjual anggota badan tanpa kebenaran.

    Menurut dokumen mahkamah, wanita itu mengendalikan rumah pengebumian Sunset Mesa serta satu lagi syarikat yang membekalkan anggota badan, Donor Services, di bangunan yang sama di Montrose, Colorado.

    Hukuman penjara 20 tahun itu adalah yang paling maksimum di bawah undang-undang Colorado.

    Ibu Hess, Shirley Koch, 69 tahun, juga mengaku bersalah menipu keluarga si mati dan dihukum penjara selama 15 tahun.

    Mahkamah diberitahu, tugas utama Koch adalah untuk memotong anggota badan mayat.

    “Hess dan Koch menggunakan rumah pengebumian mereka untuk mencuri mayat dan anggota badan menggunakan borang penderma yang dipalsukan,” kata Pendakwa Raya Tim Neff.

    Hakim mahkamah mengarahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara serta-merta.

    Di AS, menjual organ manusia seperti jantung, buah pinggang dan serat tisu adalah salah di sisi undang-undang – ia hanya boleh didermakan.

    Namun menjual anggota badan seperti kepala, tangan dan tulang belakang – yang dilakukan Hess – untuk kegunaan kajian atau pendidikan tidak dilaraskan di bawah undang-undang persekutuan.

    Di rumah pengebumiannya, Hess menerima bayaran sebanyak AS$1,000 untuk perkhidmatan pembakaran mayat, namun tidak melakukannya.

    Siasatan polis mendapati Hess menipu lebih 200 keluarga dan memberikan mereka abu daripada pelbagai anggota badan mayat lain yang tidak dapat dijual lapor Astro Awani.