Author: Wartawan WartaRakyat

  • Shahrir Samad dilepas, dibebaskan kes penggubahan wang haram RM1 juta

    Shahrir Samad dilepas, dibebaskan kes penggubahan wang haram RM1 juta

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan veteran Umno Shahrir Samad daripada tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1 juta.

    Hakim Jamil Hussin mengeluarkan perintah melepas dan membebaskan Shahrir selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memberitahu mahkamah pihaknya tidak mahu meneruskan kes itu.

    Shahrir dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) kerana didakwa menerima RM1 juta daripada Najib Razak pada 2013 dan tidak mengisytiharkan jumlahnya kepada LHDN.

    Dana itu didakwa datang daripada 1MDB, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Seramai 22 saksi memberi keterangan semasa perbicaraan.

    Terdahulu, Rasyidah meminta mahkamah membenarkan Shahrir dilepas tanpa dibebaskan.

    “Kami menggunakan hak kami bawah Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah memandangkan kami tidak berniat untuk meneruskan (kes ini).

    “Kami harap mahkamah akan mengeluarkan perintah dilepas tanpa dibebaskan terhadap tertuduh (Shahrir),” katanya.

    Bagaimanapun, peguam Shahrir, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Dzulkilfi Ahmad, menggesa mahkamah memberikan pembebasan penuh.

    Jamil kemudian bertanya kepada Rasyidah mengapa pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes itu.

    “Arahan (yang kami terima) adalah untuk tidak meneruskan (kes),” katanya.

    Peguam bersama Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros berkata, dalam keadaan itu, mahkamah patut menamatkan kes ini untuk Shahrir dengan membebaskannya.

  • Nenek, cucu melecur dalam kebakaran

    Nenek, cucu melecur dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nenek dan cucunya melecur dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Gembira, Johor Bahru hari ini.

    Dalam kejadian itu, wanita warga emas berusia 70 Tahun dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun melecur manakala seorang wanita dewasa berusia 30-an cedera.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 5 pagi.

    Beliau berkata, seramai 19 anggota dari BBP Larkin dan BBP Tebrau dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 1.4 x 6.5 meter telah terbakar 60 peratus. Terdapat tiga mangsa yang cedera dan melecur semasa kejadian berlaku.

    “Seorang daripada mangsa berkenaan melecur kulit dan seorang lagi cedera di muka akibat serpihan kaca,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini menggunakan ambulans dan EMRS J2-20
    Kempas.

    Jelasnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi menyelamat mangsa selesai pada pukul 6.35 pagi.

  • Covid-19: WHO pertikai data dikeluar China berhubung kes kematian

    Covid-19: WHO pertikai data dikeluar China berhubung kes kematian

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mempertikai data yang dikeluarkan China berhubung kes kematian akibat Covid-19 yang didakwa statistik rasminya tidak menunjukkan kesan sebenar wabak berkenaan.

    Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata, pihaknya percaya bahawa statistik semasa yang diterbitkan China kurang menggambarkan kesan sebenar wabak dari sudut kemasukan ke hospital, ICU dan jumlah kes kematian.

    Kenyataan Ryan itu menyusul selepas China mengumumkan bahawa situasi Covid-19 di negara tembok besar itu terkawal dan ia berjaya mengawalnya.

    Sebelum ini China bertindak memansuhkan kawalan dan sekatan bulan lalu, lapor Astro Awani.

    Pakar kesihatan antarabangsa meramalkan sekurang-kurangnya sejuta kematian di China tahun lalu namun China hanya melaporkan hanya sekitar lima kematian sehari.

    Bagaimanapun, pandangan pakar antarabangsa itu ditolak China dan mendakwa ia cubaan bermotif politik untuk mencemarkan pencapaiannya dalam memerangi virus.

    China dilapor turut mengkritik keputusan beberapa negara yang mengenakan SOP ketat termasuk ujian Covid-19 terhadap pengembara dari negara itu.

  • Tidak perlu pertikai tindakan bawa Ketua Cawangan pergi bercuti

    Tidak perlu pertikai tindakan bawa Ketua Cawangan pergi bercuti

    KETUA Penerangan Pemuda UMNO Tenggara, Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman berkata, tindakan Datuk Seri Dr. Adham Baba membawa ketua-ketua cawangan menghadiri retreat di Surabaya, tidak perlu dipertikaikan.

    Katanya, adalah sesuatu yang menghairankan dan lucu apabila Datuk Lokman Noor Adam mempertikaikan tindakan berkenaan.

    “Adakah tidak boleh seorang ketua bahagian (KB) membawa ketua-ketua cawangan beliau pergi bercuti?

    “Kalau ya pun ada berita tidak jelas, pasti Datuk Lokman boleh menelefon Datuk Seri Adham untuk bertanya berkenaan perkara ini, bukannya menuduh secara terbuka.

    “Ketua cawangan ini ibarat mata dan telinga ketua bahagian di setiap cawangan. Beliau menjadi tempat rujukan masyarakat setempat, tempat mengadu dan segala permasalahan akan dibawa kepada ketua bahagian dan juga wakil rakyat untuk diselesaikan.

    “Khidmat mereka ini adalah secara sukarelawan dan bukannya mendapat gaji tetap setiap bulan,” jelas Hasrul menerusi perkongsiannya dalam Facebook hari ini.

    Sebelum ini, Lokman mendakwa Adham cuba mempengaruhi pemimpin cawangan di bawah bahagian Tenggaranya untuk mengundi Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Presiden UMNO yang baharu.

    Lokman mengutarakan perkara itu dalam satu video di YouTube yang memberitahu Dr. Adham menyebut sedemikian dalam ucapannya ketika membawa rombongan ketua-ketua cawangannya di Surabaya, Indonesia baru-baru ini.

    Tambahnya, pertikaian Lokman terhadap penglibatan setiausaha politik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam retreat berkenaan juga amat dangkal kerana Datuk Abdul Halim juga merupakan ketua cawagan dalam bahagian Tenggara.

    “Yang paling menjelikkan adalah ada pihak yang melagakan siap menghantar gambar-gambar ketika retreat dengan membawa naratif songsang dan mengelirukan.

    “Orang yang berjalan seperti gunting sangat bahaya kerana apabila mereka berjalan mereka memutuskan. Jangan kita sesekali lupa akan sejarah. Robohnya Kota Melaka bukan kerana pertahanan yang tidak kuat, namun kerana wujudnya gunting dalam lipatan yang mengkhianat pasukan,” katanya, lapor Astro Awani.

  • “Mudarat lebih besar menanti jika tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO”

    “Mudarat lebih besar menanti jika tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO”

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ALASAN kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan demi kestabilan parti hanya akan digunakan oleh golongan tidak tahu malu yang hanya gilakan kuasa serta kemaruk jawatan dan kepentingan.

    Menurut Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail, ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas kian hampir, semakin banyak pandangan yang menyokong dan menyanggah agar kedua-dua jawatan tersebut dipertandingkan.

    Katanya, mereka yang tidak mahu pemilihan untuk dua jawatan tersebut mempunyai pelbagai alasan kononnya walak kepada pemimpin dan setia kepada Presiden.

    “Paling mual, nak pastikan kestabilan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Alasan itu juga turut digunakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) konon untuk memastikan parti kuat dan menang.

    “Menang apanya? Kalah teruk lagi adalah. Paling teruk dalam sejarah, 26 kerusi saja berbanding 54 kerusi dalam PRU-14.

    “Paling tidak sebelum PRU-15, UMNO kuasai kerajaan dan menjadi Perdana Menteri. Pergi desak PRU-15 diadakan atas alasan kestabilan, sudahnya lagi porak-peranda,” katanya dalam satu status dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

    Yusof turut mempersoalkan adakah UMNO masih mahu menyekat demokrasi dengan alasan ‘kestabilan’ selepas semua itu berlaku?

    “Hanya yang gila kuasa dan kemaruk jawatan serta kepentingan saja tak tahu malu guna alasan konon suci macam ini. Jutaan lagi ahli UMNO tahu sangat agenda masing-masing.

    “Kalau betul dua jawatan ini tidak dipertandingkan, tunggulah UMNO akan ditimpa mudarat lebih besar. Bukan ahli UMNO saja hilang kepercayaan tetapi rakyat juga akan berpaling muka dari UMNO.

    “Mana lagi kita sanggup tengok? UMNO kekal dihormati ahlinya sediri walaupun segelintir akan menyalak kerana hilang kuasa atau UMNO dikuburkan rakyat buat selama-lamanya?” soalnya.

  • Budak terperangkap dalam cerucuk konkrit sejak Sabtu meninggal dunia

    Budak terperangkap dalam cerucuk konkrit sejak Sabtu meninggal dunia

    PIHAK berkuasa Vietnam hari ini mengesahkan budak lelaki yang terjatuh ke dalam cerucuk konkrit terbuka sempit di sebuah tapak pembinaan di wilayah selatan negara itu sejak Sabtu lalu meninggal dunia.

    Berita itu diumumkan setelah pasukan penyelamat menghabiskan masa hampir 100 jam untuk membebaskan Ly Hao Nam, 10, dari tiang sokongan sepanjang 35 meter yang didorong ke dalam tanah.

    Akhbar dalam talian VnExpress memetik seorang pegawai kerajaan tempatan sebagai berkata, usaha mereka tidak berjaya mengesan sekali gus menyelamatkan mangsa.

    “Pihak berkuasa telah menentukan bahawa mangsa telah meninggal dunia dan sedang berusaha mendapatkan mayatnya untuk pengebumian,” kata timbalan pengerusi wilayah selatan Dong Thap, Doan Tan Buu, dipetik sebagai berkata, lapor agensi berita Reuters.

    Sementara itu, Nam didengari menangis meminta tolong sejurus selepas dia terjatuh ke dalam cerucuk konkrit berongga, yang mempunyai diameter 25 sentimeter Sabtu lalu di tapak pembinaan jambatan di wilayah delta Mekong.

    Ketika kejadian dia mencari besi buruk bersama rakan-rakannya.

    Terdahulu pada Rabu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh telah menggesa penyelamat dan pihak berkuasa tempatan untuk menggerakkan semua peralatan dan pasukan yang diperlukan, kata kerajaan.

  • PN terbuka jalin kerjasama dengan BN – Hamzah

    PN terbuka jalin kerjasama dengan BN – Hamzah

    PINTU sentiasa terbuka buat Perikatan Nasional (PN) menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan politik termasuk Barisan Nasional (BN) pada masa depan.

    Perkara itu diakui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti dilaporkan BH Online di sebalik timbul desas-desus berhubung ‘Langkah London’ yang dikatakan direncana beberapa ahli politik.

    Bagaimanapun, Hamzah enggan merujuk cadangan kerjasama tersebut sebagai Muafakat Nasional (MN).

    Beliau menegaskan, pintu kerjasama itu hanya boleh ‘dibuka’ sekiranya semua pemimpin bersetuju dengan matlamat yang sama.

    Ketika ditanya kemungkinan PN boleh kembali menjadi kerajaan menerusi kerjasama baharu, Hamzah hanya menjawab: “Pintu sentiasa terbuka.”

    “Kerjasama ini perlu menjadi satu dasar yang dipersetujui semua pemimpin parti, BERSATU, PAS dan UMNO. Jika semua percaya dengan satu matlamat yang sama, maka tiada masalah untuk mewujudkan kerjasama ini.

    “Jika ada satu pihak kata ‘tidak’, maka ia tak akan berlaku. Namun jika kita percaya antara satu sama lain, kita boleh mencapai matlamat kita,” katanya memaklumkan asas kerjasama itu kekal untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

    Ditanya mengenai masa depan UMNO yang pernah dianggotainya sebelum keluar parti itu pada Disember 2018, Hamzah yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilihat keberatan untuk mengulas mengenainya.

    Selepas diasak dengan soalan serupa, beliau memaklumkan, UMNO memerlukan pembaharuan besar-besaran atau berisiko ditolak sepenuhnya oleh rakyat.

    “UMNO perlukan kerjasama baharu untuk parti itu membuat pembaharuan,” katanya.

    Mengenai pilihan raya negeri (PRN) yang perlu dilaksanakan menjelang pertengahan tahun ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu meluahkan keyakinan PN mampu merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

    Jelas beliau, peluang gabungan itu untuk merampas Negeri Sembilan pula dilihat seimbang.

    Pada masa sama, Hamzah turut menjangkakan PN akan terus dapat menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Namun begitu, beliau merasakan peluang sukar untuk gabungan itu merampas Pulau Pinang dengan kekuatan DAP di negeri berkenaan.

  • Jurulatih tampar pemain mohon maaf secara terbuka

    Jurulatih tampar pemain mohon maaf secara terbuka

    JURULATIH bola tampar kontroversi yang menampar dua pemain remaja pasukannya hingga tular di media sosial baru-baru ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.

    Saiful Hadee Amar, 44, mengakui kesal dengan apa yang telah berlaku kerana niatnya ketika itu adalah untuk menaikkan semangat dan memberi motivasi kepada pemain yang telah berjaya melayakkan diri mereka menyertai kejohanan bola tampar bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor.

    Katanya yang juga seorang pendidik, dia bersedia dan reda dengan sebarang tindakan dan keputusan yang bakal dikenakan atas keterlanjuran perbuatannya dan berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada dirinya.

    “Tidak berniat saya untuk mengambil tindakan (menampar) sehingga mendatangkan kecederaan, tindakan saya adalah untuk menaikkan lagi semangat mereka, memotivasikan mereka.

    “Saya memohon maaf pada semua pemain terlibat terutama sekali dua pemain yang terlibat, ibu bapa pemain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, di Krubong hari ini, lapor Sinar Harian.

    Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam dan Pengarah MSN Melaka, Asri Ninggal.

    Media sebelum ini melaporkan video tular kejadian yang memaparkan seorang jurulatih bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka sewaktu Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun yang diadakan 16 Disember lalu.

    Insiden itu telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta mantannya, Datuk Seri Faizal Azumu, yang menyelar tindakan berkenaan,

    Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan butiran lanjut isu yang tular ini kerana membabitkan pelajar bawah umur.

  • Bekas pegawai syarikat minyak dan gas didakwa rasuah, AMLA

    Bekas pegawai syarikat minyak dan gas didakwa rasuah, AMLA

    SEORANG bekas pegawai syarikat minyak dan gas didakwa di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, atas 37 pertuduhan rasuah melibatkan wang RM6.1 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) hampir RM940,000, tujuh tahun lalu.

    Mohd. Amal M. Razalan, 36, megnaku tidak bersalah selepas 37 pertuduhan kes rasuah dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-21, Mohd. Amal didakwa melakukan kesalahan itu dalam 21 transaksi berbeza daripada seorang pengarah syarikat, sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat lain bagi mendapatkan kontrak ‘Provision Of Civil & Structural Maintenance Services’.

    Bagi tiga pertuduhan lain, dia dituduh atas kes sama melalui tiga transaksi daripada seorang pengurus projek, bagi menyemak dan mempersetujui dokumen ‘Job Completion Ticket’ (JCT).

    Baki 13 pertuduhan lagi, dia didakwa menerima rasuah daripada pengurus projek sama melalui cek ke akaun sebuah syarikat atas persubahatan pengarah syarikat sama, iaitu mempersetujui JCT bagi kontrak sama untuk Operasi Sarawak.

    Kesemua kesalahan dilakukan di Maybank Berhad, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini, antara 21 Disember 2016 hingga 1 Ogos 2019, lapor Sinar Harian.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta itu.

    Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, disenarai hitam daripada keluar negara serta melapor diri ke pejabat SPRM Putrajaya, sebulan sekali.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Februari depan.

    Bagi enam pertuduhan AMLA di hadapan Hakim Azura Alwi, tertuduh tidak mengaku bersalah iaitu lima menerima dan satu menggunakan wang berjumlah RM939,334.10, bermula enam tahun lalu.

    Bagi lima pertuduhan AMLA, dia didakwa menerima RM798,985.49 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui empat akaun bank milik seorang lelaki yang juga pengarah syarikat berusia 35 tahun, daripada dua akaun Maybank Berhad milik dua syarikat.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Berhad Petronas Twin Tower, Jalan Ampang dan Dataran Maybank di sini serta Public Bank Berhad cawangan Mont Kiara dan Jalan Genting Kelang, di sini antara 13 Julai 2017 hingga 15 Mac 2022.

    Bagi satu lagi pertuduhan AMLA, dia didakwa telah menggunakan wang berjumlah RM140,348.61 melalui dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya, daripada akaun Maybank Berhad milik sebuah syarikat di CIMB Bank Berhad Jalan Pantai Baru, di Kuala Lumpur pada 22 Mac 2021 dan 18 Mac 2022.

    Keenam-enam pertuduhan itu dibuat mengikut subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan kes itu disebut semula pada tarikh sama.

    Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzammil Merican.

  • ‘Transporter’ sumbat 11 PATI dalam Wira dicekup

    ‘Transporter’ sumbat 11 PATI dalam Wira dicekup

    SEORANG lelaki yang menjadi “transporter” berputih mata setelah ditahan polis belum sempat dia menerima habuan selepas cubaannya menyeludup 11 orang pendatang tanpa izin (PATI) digagalkan.

    Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi ini, sepasukan anggota polis dari Unit Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Kubang Pasu menahan kereta Proton Wira dipinjam suspek di Kilometer 33 Lebuhraya Utara Selatan, Jitra.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, suspek berusia 44 tahun itu menetap di Butterworth dan memaklumkan dia menerima upah RM500 untuk melakukan jenayah tersebut.

    Katanya, hasil siasatan polis suspek memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) ingin membawa kesemua PATI warga Myanmar itu ke Pulau Pinang.

    “Suspek berasal dari Myanmar bekerja sebagai buruh binaan mengaku meminjam kereta itu daripada seorang lelaki di Butterworth.

    “Dia memaklumkan upah akan diterima sebaik semua PATI itu selamat tiba ke destinasi yang dijanjikan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

    Rodzi berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua PATI itu masuk ke negara ini pada 7 petang Isnin melalui laluan tikus di Bukit Kayu Hitam.

    Katanya semua mereka terdiri daripada dua wanita berusia 19 dan 29 tahun dan sembilan lelaki berusia antara 25 hingga 37 tahun.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    Menerusi tangkapan itu polis merampas sebuah kereta Proton Wira, dan telefon bimbit untuk siasatan.