Author: Wartawan WartaRakyat

  • Armada kecam tindakan ahli politik Sweden bakar al-Quran

    Armada kecam tindakan ahli politik Sweden bakar al-Quran

    ARMADA Bersatu Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab ahli politik Sweden, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Qur’an, kelmarin yang jelas menzahirkan sifat Islamofobia.

    Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan itu hanya mengeruhkan lagi keadaan hubungan antara agama dan masyarakat Islam di Eropah, khususnya di Sweden serta membangkitkan sentimen perkauman dan anti-Islam yang dahsyat khusus ke atas kaum migran beragama Islam.

    “Kerajaan Sweden perlu mengecam dan mengambil tindakan tegas ke atas Rasmus Paludan dan konco-konconya sebelum keadaan menjadi lebih parah.

    “Hak kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghinjak maruah dan kesucian agama lain,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor BeritaBersatu

    Kelmarin, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

    Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

  • Kanak-kanak mati lemas di kolam air panas

    Kanak-kanak mati lemas di kolam air panas

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan lemas dalam salah sebuah kolam air panas di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Ulu Legong di Baling kira-kira pukul 8 malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada Hospital Daerah Baling yang memaklumkan seorang kanak-kanak meninggal dunia.

    Katanya, berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku selepas kanak-kanak terbabit berada di kawasan tersebut bersama ahli keluarganya bagi tujuan riadah.

    “Pada awalnya, mangsa mandi di ruangan kolam kanak-kanak, namun kemudian dia hilang daripada pandangan dan warisnya gagal mencari di sekitar kolam berkenaan.

    “Kira-kira 15 minit kemudian, kanak-kanak tersebut dijumpai oleh pengunjung yang sedang mandi di salah satu ruangan kolam dewasa.

    “Kanak-kanak tersebut dibawa keluar dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bantuan awal pernafasan (CPR) diberikan dan waris menghubungi hospital sebelum ambulan membawanya ke unit kecemasan,” katanya.

    Shamsudin berkata, pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital pada pukul 11.20 malam dan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu mana-mana individu yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak yang mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    “Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

    “Oleh itu, saya menasihati masyarakat khususnya ibu bapa yang berkunjung ke Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak berulang kejadian tidak diingini pada masa akan datang.

  • Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor meninggal dunia

    Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor meninggal dunia

    BEKAS Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman meninggal dunia pada usia 65 tahun pagi ini.

    Perkara itu dikongsikan menerusi kemas kini di Facebook Pas Selangor hari ini.

    Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru itu dilaporkan meninggal dunia pukul 5 pagi di Hospital Banting.

    Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor, Nushi Mahfodz menerusi kenyataan di Facebook Pas Selangor, mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham.

    “Pemergian beliau amat dirasai oleh kita semua kerana jasa dan pengorbanan beliau kepada rakyat di negeri Selangor sepanjang perkhidmatannya.

    “Semoga keluarga beliau bersabar dan tabah menghadapi kehilangan ini dan didoakan rohnya bersama para pejuang dan solihin di akhirat kelak,” menurut kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

    Allahyarham menjadi ADUN Meru dari 2008 hingga 2018 sementara Pesuruhjaya Pas disandang beliau pada 2011 hingga 2013.

    Sebelum menyertai politik, beliau merupakan seorang doktor perubatan dan mempunyai sebuah klinik swasta di Pekan Meru.

    Beliau meninggalkan isteri, Afidah Anum dan lima anak. –

  • Isteri Tun Daim meninggal dunia

    Isteri Tun Daim meninggal dunia

    ISTERI kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Mahani Idris dilaporkan meninggal dunia, malam tadi.

    Memetik laporan Astro Awani, berita pemergian Toh Puan Mahani itu disampaikan sumber rapat dengan keluarga Allahyarham.

    Namun begitu, punca pemergian Allahyarham tidak dikenal pasti.

    “Dengan berat hati ingin memaklumkan kepada semua bahawa Mami (Toh Puan Mahani Idris) telah kembali dengan aman kepada Yang Maha Esa,” menurut sumber rapat itu.

    Difahamkan jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi ini.

    Jenazah Allahyarham kemudiannya akan disembahyangkan di Surau Hidayat, Seri Kembangan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

    Allahyarham meninggalkan lima orang anak.

  • Lima maut termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan

    Lima maut termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI lima maut termasuk dua kanak-kanak manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 5.08 petang itu melibatkan kereta Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream.

    Mereka yang terkorban Masrina Kahdar, 21; Muhammad Zharfah Noramin, 16; Muhammad Adil Abdul Kadir, 23, dan Muhammad Syakir Noramin serta Mohammad Ashraf Radiq Abdullah masing-masing berusia 11 tahun.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati Perodua Myvi dari arah Kluang menghala ke Kahang manakala Honda Stream dari arah bertentangan.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan dan melanggar Honda Stream sebelum Honda Stream berkenaan terbalik dan jatuh ke kawasan lapang di bahu jalan.

    Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dihantar ke Hospital Kluang untuk rawatan lanjut

    “Akibat kemalangan tersebut, lima mangsa yang menaiki Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Semua mangsa yang beralamat di Arau, Perlis; Hulu Langat, Selangor; Kuala Lumpur dan Layang Layang di sini cedera di bahagian tengkuk

    dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, mangsa yang cedera ialah Mohd. Sharizan Syafandi, 24; Siti Nurzannah Kahdar, 25; Nur Annalesha Rania Mohammad Arifin, 6;
    Zulkeflly Zakariah, 54; Kamariah Yusof, 47 dan Ariana Nur Batrisyah Zulkeflly, 13.

    “Mereka yang beralamat di Muar, Batu Pahat, Selangor dan Kuala Lumpur mengalami kecederaan antaranya cedera di muka, pinggul, tangan dan

    luka. Semua masih menerima rawatan di Zon Kuning dan Merah di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di sini.

    “Siti Nurzannah dan Masrina serta Muhammad Zharfan dan Muhammad Syakir merupakan adik beradik manakala Zulkeflly dan Kamariah adalah pasangan suami isteri manakala Ariana Nur Batrisyah adalah anak mereka,” katanya.

    Keadaan Honda Stream yang remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan Perodua Myvi

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Shamsul Amri Mohd. Shahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 4.40 petang.

    Susulan itu katanya, sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

    Pihak bomba katanya, mengeluarkan seorang mangsa dalam Honda Stream menggunakan peralatan khas sebelum dihantar ke Hospital Kluang menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

    Katanya, mangsa lain yang terlibat dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba sampai di lokasi dan operasi tamat pukul 6.27 petang.

  • Pendaki turun gunung dikhuatiri lemas dihanyutkan arus Sungai Tanum

    Pendaki turun gunung dikhuatiri lemas dihanyutkan arus Sungai Tanum

    SEORANG pendaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika melintasi Sungai Tanum, Lipis, hari ini.

    Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama sembilan yang lain melintas sungai itu dalam perjalanan turun dari Gunung Tahan.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pukuk 3.45 petang.

    “Empat anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis bersama 10 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Moscar) serta lima anggota polis melakukan pendakian Gunung Tahan untuk ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

    “Berdasarkan maklumat, mangsa bersama rakan pendaki lain melakukan pendakian melalui pintu masuk di Merapoh, Lipis pada Jumaat lalu dan dijangka turun pada Selasa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, ekoran keadaan cuaca hujan lebat, kumpulan pendaki itu mengambil keputusan berpatah balik dan turun melalui laluan Kuala Juram.

  • Rumah musnah terbakar ketika sambutan Tahun Baharu Cina

    Rumah musnah terbakar ketika sambutan Tahun Baharu Cina

    DUA keluarga yang merayakan sambutan Tahun Baru Cina terkejut dan sedih apabila rumah berkembar dua tingkat yang didiami mereka di Jalan Yun Chai Lok, Sibu musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan dibantu BBP Sibu Sentral bergerak ke lokasi kejadian selepas menerima makluman berhubung kebakaran pada pukul 8.18 pagi

    “Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah yang pertama dan sudah merebak ke rumah yang kedua.

    “Selepas bertungkus-lumus memadam kebakaran, api berjaya dikawal dalam masa satu jam setengah iaitu pada jam 9.36 pagi yang kemudiannya diteruskan dengan proses penyejukan bagi mengelakkan berlakunya kebakaran berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, operasi memadam kebakaran agak sukar kerana salah sebuah rumah dipenuhi dengan lapisan beg plastik di bahagian garaj kediaman yang menyukarkan api dipadam.

    Menurutnya, selepas menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’, maka operasi memadam kebakaran ditamatkan pada pukul 3.56 petang.

    Turut musnah dalam kebakaran ialah kereta yang diletakkan pada tempat parkir kenderaan.

    Namun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa kerana kesemua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri.

    “Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya lapor Harian Metro.

  • Zahid perlu cermin diri dahulu sebelum serang Hadi, kata Fadhli

    Zahid perlu cermin diri dahulu sebelum serang Hadi, kata Fadhli

    KETUA Dewan Pemuda Pas Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencermin diri sendiri sebelum menyerang Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan isu rasuah.

    “Sebelum Datuk Seri Presiden menyerang Presiden kami dalam isu rasuah, saya sarankan Datuk Seri membeli cermin.

    “Atau gunakan cermin yang ada di kediaman rasmi,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu hari ini merujuk kepada kediaman Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

    Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO itu berhubung isu sedekah dan rasuah yang disuarakan Abdul Hadi semalam.

    Semalam, Abdul Hadi menjelaskan bahawa mengikut undang-undang pilihan raya sedia ada calon atau wakilnya tidak boleh memberi wang atas apa alasan pun, kepada orang ramai ketika kempen.

    “Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri, tetapi orang awam mahu beri sedekah terpulang kepada dia,” katanya mengulas tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen mencabar kemenangan Pas di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, atas dakwaan wujud rasuah.

    Susulan itu, menurut Agenda Daily, Zahid mengkritik Abdul Hadi yang mempertahan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

    “Kalau dia buat (dianggap) sedekah. Kalau kita bagi (dianggap) rasuah,” kata Zahid.

    Kenyataan Ahmad Fadhli terhadap Zahid itu dipercayai merujuk kepada puluhan pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, yang sedang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang kini diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Zahid, 69, mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Pada 23 Januari lalu, Hakim Sequerah memerintahkan Zahid membela diri terhadap semua tuduhan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Menurut kenyataan Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang yang juga seorang peguam, Hassan Karim “TPM1 (Zahid) sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.”

  • Ismail Sabri harap rakyat bersuara isu pengeluaran KWSP

    Ismail Sabri harap rakyat bersuara isu pengeluaran KWSP

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas pihak yang sebelum ini mendesak pentadbirannya untuk membenarkan pengeluaran kali keempat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pada tahun lalu.

    Bercakap kepada pemberita pada majlis Tahun Baru Cina MCA di Kuala Lumpur hari ini, Ismail berkata, suara mereka tidak lagi kedengaran pada masa ini, semasa orang ramai sekali lagi menggesa perkara sama.

    “Kerajaan perlu ambil tindakan segera terhadap aduan rakyat. Semalam selepas saya bersenam, seorang makcik datang mengadu, minta kalau boleh mereka (dibenarkan) keluarkan (simpanan dalam) KWSP.

    “Dulu ketika saya (mentadbir negara), ramai yang bising bila kita buat kajian sama ada boleh keluarkan (atau) tidak. Akhirnya kita benarkan.

    “Ramai yang bising dulu. Saya harap rakyat bersuara (lagi) kali ini. Mana-mana yang kuat bersuara waktu saya jadi Perdana Menteri dulu, silakan bersuara lagi,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Ismail dipercayai merujuk beberapa ahli politik yang dahulu mendesak kerajaan pimpinannya supaya membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan mereka.

    Antara ahli politik tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

    Pada minggu lalu, Anwar berkata, kerajaan perlu menimbang nasib dan masa depan pencarum sebelum membenarkan pengeluaran khas sekali lagi.

    Anwar berkata, lebih baik kerajaan mencari jalan lain bagi membantu rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19, memandangkan kebanyakan pencarum memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil.

    Itu selepas sekumpulan pencarum meminta Anwar mempertimbangkan satu lagi skim pengeluaran awal KWSP sehingga RM30,000.

    Sementara itu, ditanya jika dia menjangkakan keadaan dalam BN akan lebih tenang tahun ini, Ismail berkata, gabungan itu sentiasa dalam keadaan tenang.

    “Sudah tentu kami tenang sekarang. Memang kita pun tenang sekarang, tak ada masalah. BN ada masalahkah?” katanya.

  • Seorang remaja lemas, seorang lagi hilang di Tanjung Balau

    Seorang remaja lemas, seorang lagi hilang di Tanjung Balau

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja lelaki mati lemas manakala seorang lagi rakannya masih hilang semasa mandi di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi hari ini.

    Mohamad Imran Mohd. Nazir, 17, ditemukan mati lemas manakala Hani Suefyan Hanizam, 16, masih hilang.

    Sehingga petang ini operasi mencari dan menyelamat Hani Suefyan yang masih hilang diteruskan melibatkan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

    Mangsa pertama yang merupakan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan orang awam di pantai berkenaan

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Penolong Penguasa Bomba Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.26 petang.

    “Seramai enam anggota dari BBO Punggai; lapan anggota BBP Penawar; enam anggota BBP Sebana Cove; tiga anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Penawar dan enam anggota PPDA BBP Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.

    Sehingga kini operasi mencari mangsa kedua yang merupakan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun masih diteruskan

    “Mangsa pertama berjaya ditemukan pengunjung pantai dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, operasi diteruskan untuk mencari mangsa kedua menerusi kaedah ‘surface searching’ dalam radius 500 meter dari lokasi lemas.