Author: Wartawan WartaRakyat

  • Keputusan Presiden, MKT lemahkan kebangkitan UMNO

    Keputusan Presiden, MKT lemahkan kebangkitan UMNO

    KEPUTUSAN Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat dan menggantung pemimpin serta ahli parti itu hanya akan melemahkan parti itu dalam usaha untuk kembali bangkit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tahun ini.

    Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO, Syed Mohd. Syed Nasir berkata, sepatutnya Presiden parti perlu bijak membezakan antara dendam politik dan perjuangan mengimbangi kuasa agar Pakatan Harapan (PH) tidak memusnahkan mereka dalam diam.

    Aktivis Pemuda UMNO itu berkata, tindakan dan keputusan malam tadi akan dibalas oleh rakyat dalam PRN nanti.

    “Setiap tindakan atau strategi parti pasti akan ada kesannya. Timbal balik dan impak yang UMNO bakal terima adalah pertaruhan Presidennya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mesyuarat MKT UMNO pada malam tadi memutuskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti.

    Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

    Syed Mohd turut mendakwa, keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO tidak ubah seperti menghancurkan parti itu sendiri.

    “Ini masa depan parti yang dibuat sesuka hati oleh orang-orang yang membodek, mengangkat dan menjulang Presiden ke langit sehinggakan tidak sedar dengan kehancuran yang berlaku di bawah

    “Rakyat dah tolak kita, dengarlah suara kami di bawah ini,” ujarnya lapor Sinar Harian.

  • ‘Pembersihan’ UMNO hanya hasilkan lebih banyak ‘kotoran’- Annuar

    ‘Pembersihan’ UMNO hanya hasilkan lebih banyak ‘kotoran’- Annuar

    BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, ‘pembersihan total’ yang dilakukan UMNO hanya akan menghasilkan lebih banyak ‘kotoran’ kerana punca sebenarnya masih berpaut di dalam parti itu.

    Beliau berkata, rakyat telah memberi isyarat menolak UMNO pada pilihan raya umum (PRU) lalu namun parti itu masih bersikap dalam penafian.

    Annuar yang dipecat keahlian daripada UMNO pada 8 Disember lalu mendakwa, mereka lebih gemar menyalahkan rakyat dan pengundi dan semua orang lain, kecuali diri mereka sendiri.

    “Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, menunggang parti berasaskan naratif palsu yg mereka reka sendiri. Biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka,” katanya dalam Facebook miliknya.

    Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dan bekas Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat.

    Katanya, mereka dipecat daripada UMNO atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu PRU15.

    Turut dikenakan tindakan adalah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.

    Sementara itu, bekas Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini menyertai Perikatan Nasional (PN) menggelar UMNO sebagai parti yang ‘tidak siuman’ dan sedang ghairah memecat ahlinya.

    “Sabar yang kena pecat, kami akan beri pembelaan. Hidup PN,” kata Shahidan ringkas, lapor FMT.

    Turut memberi respons terhadap pergolakan itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Datuk Seri Faizal Azumu yang menyatakan, “Wahai saudara, sayap anda tidak lagi terikat. Kini anda boleh terbang lebih tinggi. Semoga Allah berkati perjuangan suci.”

  • Bincang dulu jika pemimpin dipecat UMNO mahu sertai PKR-Rafizi

    Bincang dulu jika pemimpin dipecat UMNO mahu sertai PKR-Rafizi

    SEKIRANYA mana-mana pemimpin UMNO yang dipecat malam tadi memohon untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), perkara tersebut akan dibincangkan kepimpinan PKR.

    Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perbincangan perlu dilakukan secara dalaman dan sepakat membuat keputusan.

    “Saya tidak boleh membuat keputusan bersendirian, tetapi hal tersebut perlu mendapat persetujuan secara kolektif.

    “Yang itu kita kena bincang dahulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya seorang.

    “Saya rasa kita kena tengok perkembangan satu demi satu,” katanya kepada pemberita selepas Program Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen, semalam.

    Semalam, UMNO memecat calon presiden parti itu, Khairy Jamaluddin dan ahli majlis tertingginya, Tan Sri Noh Omar yang meminta dilepaskan selepas dia digantung selama enam tahun.

    Beberapa pemimpin lain telah digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan penyandang timbalan ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan Suffian yang juga bekas ketua penerangan parti.

    Turut digantung tugas ialah bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tiram Maulizan Bujang.

    Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata pada masa ini, isu pemimpin yang dipecat dan digantung UMNO ini memohon menyertai PKR cuma sekadar spekulasi semata-mata.

    “Sekarang ini perkara itu tidak timbul. Kalau perkara ini timbul, barulah kita bincang tetapi belum lagi, maka setakat ini jadi spekulasi sahaja,” jelasnya, lapor Malaysiakini.

  • KJ dipecat kerana dakwa ‘UMNO dah sesat’ masa PRU15

    KJ dipecat kerana dakwa ‘UMNO dah sesat’ masa PRU15

    HASRAT Khairy Jamaluddin mahu ‘membersihkan’ UMNO menjadi punca bekas Ketua Pemuda UMNO itu dipecar daripada parti.

    Menurut sumber, pemecatan tersebut bukan kerana Khairy membantah jawatan Presiden UMNO tidak dibuka untuk dipertandingkan, sebaliknya kerana ucapannya semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Secara khusus, beliau memberi ucapan tentang menjadi reformis dalam UMNO yang telah ‘sesat’.

    Sumber yang rapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, ucapan terbabit disifatkan sebagai serangan terbuka terhadap UMNO dan melanggar disiplin parti.

    “Tak betul dakwaan yang (pemecatan) ini sebab isu tak setuju usul tiada pertandingan,” kata sumber itu sambil menjelaskan orang lain yang membantah usul tersebut tidak menerima nasib sama, lapor Malaysiakini.

    Sumber itu mendakwa lembaga disiplin UMNO membincangkan perkara berkenaan selama sebulan sebelum membuat cadangan kepada majlis tertinggi dan tidak bermesyuarat selepas perhimpunan agung.

    Semasa berkempen untuk kerusi Sungai Buloh November lalu, Khairy berkata, UMNO telah sesat dan perlu diperbetulkan semula sambil menjarakkan dirinya daripada Zahid.

    “Janganlah berselindung lagi. Orang Melayu sentiasa ada (perasaan) sentimental terhadap UMNO. Cuma UMNO ini dah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan dan perlu diperbetul semula.

    “Saya nak menang PRU15 untuk memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri. Selepas itu kita bersihkan semula UMNO serta bawa balik keyakinan rakyat.

    “Saya ini reformis dalam UMNO dan tak boleh kunci mulut saya. Sebab itulah dihantar ke Sungai Buloh.

    “Kalau tiada sesiapa berani ketengahkan, sampai bila-bilalah tak akan berubah,” kata Khairy pada ketika itu.

    Walaupun tewas di Sungai Buloh, Khairy berikrar menunaikan ikrarnya untuk membersihkan parti dengan menyasarkan jawatan presiden parti.

    Bagaimanapun, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini meluluskan usul perbalahan untuk tidak membenarkan pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden.

    Menantu kepada bekas Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu juga mendakwa terdapat ‘perwakilan hantu’ yang menyusup dalam PAU 2022 untuk membantu memenangkan usul berkenaan.

    Menerusi Twitter selepas dipecat, Khairy berkata dia ‘tidak tunduk, tidak bengkak dan tidak putus asa’ walaupun telah dipecat oleh parti kesayangan yang selama ini diletakkan kesetiaannya.

    Sementara Khairy dihukum kerana didakwa mengkritik parti, sumber itu berkata, Tan Sri Noh Omar pula digantung enam tahun kerana mensabotaj calon parti itu di Tanjong Karang.

    Bagaimanapun, Noh meminta dipecat dan bukannya digantung kerja malam tadi dan hajatnya itu dimakbulkan.

    Bekas Pengerusi UMNO Selangor itu telah digugurkan sebagai calon Tanjong Karang selepas enam penggal berkhidmat dan digantikan oleh Habibah Mohd. Yusof.

    UMNO kemudian kehilangan kubu kuat Selangor buat pertama kali, dengan Perikatan Nasional merampas kerusi itu.

    Begitu juga, bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif digantung tugas kerana didakwa cuba mensabotaj penggantinya di kerusi itu.

    Sumber itu juga berkata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein digantung tugas kerana didakwa cuba mendapatkan ahli parlimen UMNO menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas pilihan raya.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang digantung tugas kerana didakwa membantu Hishamuddin dalam mengumpul akuan berkanun (SD), kata sumber itu.

    Bagi bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, sumber itu berkata dia juga telah digantung tugas kerana mendakwa UMNO telah tersesat.

    Pemecatan dan penggantungan itu dikritik sebagai langkah Zahid untuk membersihkan pesaingnya di dalam UMNO.

  • Kerajaan Perpaduan perlu segera tunai janji PRU15 – Rais Yatim

    Kerajaan Perpaduan perlu segera tunai janji PRU15 – Rais Yatim

    KERAJAAN Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan masa walaupun pernah menabur pelbagai janji ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Namun kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, Kerajaan Perpaduan tidak boleh melengahkan dan perlu menyegerakan janji termasuk melaksanakan agenda reformasi agar usaha itu tidak dibiarkan begitu sahaja.

    “Masa tempoh berkempen mereka sudah selesai. Sejujurnya kita harus menyatakan berilah mereka ruang dahulu.

    “Berilah mereka masa sedikit oleh kerana baru lagi masuk pejabat dan lebih sedikit dua bulan,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Selain itu, Rais berkata, pengasingan kuasa Parlimen dan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen merupakan antara agenda pembaharuan perlu disegerakan oleh kerajaan baharu.

    “Setiap Perdana Menteri mempunyai moto dan wawasan tertentu tetapi hasrat itu mestilah diterjemahkan dalam bentuk realiti,” katanya.

    Justeru katanya, segala transformasi bukan sahaja sesuatu yang terapung di udara, tetapi biarlah menjadi satu lambang yang diterjemahkan kepada masyarakat.

    Rais turut melihat segala intipati transformasi pentadbiran seperti terkandung memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang sebelum ini wajar dijadikan garisan untuk melakukan reformasi dalam negara ini.

  • Hanya ‘batu nesan’ menanti BN,UMNO di Pulau Pinang

    Hanya ‘batu nesan’ menanti BN,UMNO di Pulau Pinang

    DENGAN pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi, situasi dilihat semakin genting dan cukup kritikal buat Barisan Nasional (BN) untuk terus kekal relevan dalam arus politik negara.

    Ketika ini, tidak ada satu pun keputusan atau tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan BN yang dilihat boleh menyelamatkan atau sekurang-kurangnya memberi nafas baharu kepada parti itu yang mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Tindakan memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini dinilai majoriti rakyat adalah pilihan terdesak untuk memastikan beberapa pemimpinnya terus menikmati kekuasaan selain menyelamatkan sebahagian lain daripada tindakan mahkamah.

    Ia kekal pilihan yang janggal dan sukar diterima majoriti rakyat ketika slogan No Anwar dan No DAP yang sering dilaungkan pemimpin BN khususnya UMNO masih terngiang-ngianh di telinga pengundi.

    Kemuncak tunduknya BN kepada PH apabila UMNO pada Perhimpunan Agung parti itu baru-baru ini meluluskan usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sekali gus mematikan proses demokrasi dalam parti tersebut.

    Keputusan itu mungkin boleh menyelamatkan hayat beberapa pemimpin UMNO untuk jangka masa pendek atau lebih tepat selagi Kerajaan Perpaduan yang dibina BN bersama PH di peringkat Pusat mampu bertahan.

    Namun, kesan sebenar yang sudah semestinya tidak memberi kelebihan kepada BN bakal disaksikan hanya dalam tempoh tidak berapa lama sahaja lagi iaitu pada PRN di enam buah negeri kelak.

    Tindak-tanduk yang diambil sesetengah pemimpin BN dan UMNO itu hanya mengesahkan lagi penolakan yang bakal diambil majoriti rakyat pada PRN kelak dan musuh politik BN dan UMNO nampaknya tidak perlu bekerja keras untuk melihat kejatuhan parti tersebut.

    Selain penolakan rakyat, BN dan UMNO juga tidak mampu untuk bertahan dalam kerjasama politik dengan PH pada PRN di enam buah negeri itu melihat kepada prestasi buruk parti tersebut pada PRU-15.

    Di Pulau Pinang misalnya, BN dan UMNO menyaksikan kekalahan paling teruk dalam sejarah pada PRU-15 apabila tidak ada satu kerusi Parlimen pun berjaya dimenangi parti itu.

    Malah, dua Parlimen yang sering disebut kubu kuat BN khususnya UMNO yang tidak pernah kalah dalam sejarah PRU iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor turut gagal dipertahankan calon UMNO yang tewas dengan majoriti besar kepada calon PN.

    Maka, dengan realiti penolakan rakyat yang sangat jelas itu, adakah BN berasakan PH Pulau Pinang bersedia memberikan kerusi-kerusi DUN kepada calon parti mereka pada PRN negeri tersebut kelak?

    Situasi BN dan UMNO yang seolah-olah tidak ada tempat pada PRN Pulau Pinang diperkuatkan lagi dengan kenyataan Pengarah Pilihan Raya DAP Pulau Pinang, Wong Hon Wai yang memberi bayangan seolah-olah BN dan UMNO ‘tiada tempat’ di negeri itu pada PRN kelak.

    Hon Wai seperti dipetik portal berita dilaporkan berkata, bukan sahaja masa mungkin tidak mencukupi untuk perbincangan lanjut berkenaan kerjasama PH dan BN pada PRN Pulau Pinang kelak, tetapi katanya, situasi mereka adalah unik dan berbeza daripada “Kerajaan Perpaduan” di peringkat Persekutuan atau di Perak dan Pahang.

    Ketika ini di Pulau Pinang, tanpa kerjasama dengan BN sekali pun, PH sudah menguasai majoriti 40 kerusi DUN di negeri itu yang mana mereka memenangi 37 kerusi DUN pada PRU-14.

    Namun, disebabkan perubahan politik semasa, PH kini hanya memiliki 33 kerusi DUN manakala BN (2) dan PN (5).

    Dengan kebimbangan gelombang PN akan berterusan pada PRN kelak khususnya di 13 kerusi DUN majoriti Melayu, PH Pulau Pinang tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan mana-mana kerusi kepada BN dan UMNO yang ditolak secara total oleh pengundi negeri itu pada PRU-15.

    Dalam erti kata lain, BN dan UMNO Pulau Pinang ketika ini hanya menunggu masa untuk dikuburkan selama-lamanya hanya kerana percaturan politik sesetengah pucuk kepimpinannya yang memilih untuk berkuasa buat sementara berbanding memastikan jangka hayat UMNO terus bertahan.

  • Ahmad Maslan sahkan KJ, Noh Omar diipecat!

    Ahmad Maslan sahkan KJ, Noh Omar diipecat!

    SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan malam ini mengumumkan pemecatan bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar daripada UMNO.

    Berikut kenyataan penuh beliau selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO:

    Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Januari 2023 (Jumaat) yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO telah membuat beberapa ketetapan ini:-

    Tarikh-tarikh untuk diadakan Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian untuk Tahun 2023 yang melibatkan pemilihan jawatan ialah seperti berikut:-

    Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Februari (Rabu) hingga 26 Februari 2023 (Ahad) iaitu selama 26 hari.

    Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu).

    Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023 (Sabtu).  

    Tan Sri Shahrir Ab Samad telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023 (JPU 2023) dan Datuk Mustapha Yaakub dilantik sebagai Setiausaha JPU 2023.

    Tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat adalah bermula pada 13 Februari 2023 dan ditutup pada 26 Februari 2023 jam 5.00 petang.  Kenyataan terperinci mengenai hal ini akan dimaklumkan kemudian.

    Ahli UMNO yang dipecat daripada Parti UMNO atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 ialah Tan Sri Noh Omar dan Saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

    Ahli UMNO yang digantung hak-haknya dalam parti selama 6 tahun ialah YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Saudara Shahril Sufian Hamdan. 

    Selain itu yang turut dipecat ialah 5 orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, 9 orang ahli UMNO Bahagian Putrajaya, 2 orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari negeri Pahang.  Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU-15.

    Dato Seri Mohamed Khaled Nordin diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang baharu.

  • KJ, Noh Omar dipecat! Hishammuddin, Shahril Hamdan digantung

    KJ, Noh Omar dipecat! Hishammuddin, Shahril Hamdan digantung

    DALAM apa yang disifatkan sebagai ‘pembersihan total’, UMNO malam ini memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor daripada parti itu.

    Selain itu, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan digantung enam tahun.

    Turut dikenakan tindakan penggantungan bagi tempoh yang sama ialah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol,  Datuk Seri Salim Shariff

    Pemecatan dan penggantungan kesemua pemimpin itu disahkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi melalui Facebook beliau.

  • Digantung 6 tahun, Noh tanya ‘’ini undang-undang rimba atau undang-undang hantu mana’’

    Digantung 6 tahun, Noh tanya ‘’ini undang-undang rimba atau undang-undang hantu mana’’

    ”Daripada digantung baik pecat sahaja”

    SEPERTI diduga UMNO malam ini menggantung keahlian bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar selama enam tahun.

    Bercakap kepada wartawan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Noh mempersoalkan tindakan itu yang diumumkan sendiri oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memandangkan beliau (Noh) telah diminta bertemu  Lembaga Disiplin UMNO pada Isnin ini.

    ‘’Zahid umumkan beberapa nama pemimpin yang dipecat dan digantung, tiba-tiba nama saya turut tersenarai antara yang digantung. Saya tanya Presiden undang-undang apakah ini  rimba atau undang-undang hantu mana ini sebab suka hati sahaja buat keputusan.

    ‘’Sedangkan saya sudah mendapat surat daripada Lembaga Disiplin UMNO untuk hadir pada Isnin ini, (oleh itu) bagaimana Presiden boleh buat keputusan saya disenarai antara yang digantung,’’ katanya.

    Noh berkata, beliau tertanya-tanya kerana Ahmad Zahid memaklumkan ia keputusan Lembaga Disiplin.

    ‘’Macam mana ia boleh keputusan Lembaga Disiplin sedangkan saya hanya akan jumpa Isnin ini. Zahid kata lepas ini pergi jumpa Lembaga Disiplin. Ini budak sekolahpun ketawa sebab Presiden tidak faham Perlembagaan. Macam inikah perangai UMNO tak ikut Perlembagaan  buat keputusan sesuka hati,’’ katanya.

    Noh turut memberitahu, beliau turut menegaskan kepada Ahmad Zahid bahawa tiada gunanya digantung enam tahun kerana beliau tidak dapat menyumbang apa-apa untuk parti.

    ‘’Untuk apa gantung saya 6 tahun, daripada gantung lebih baik pecat sahaja, Zahid kata ‘ok saya pecat Tan Sri Noh,’’ katanya.

    Ditanya adakah Zahid memberikan apa-apa alasan berhubung penggantungan itu, Noh berkata, ‘’ tiada alasan’’.

  • Pas Selangor terbuka terima Noh, ahli UMNO

    Pas Selangor terbuka terima Noh, ahli UMNO

    PAS Selangor terbuka menerima bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyertai parti itu.

    Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, meskipun tiada pelawaan secara rasmi daripada Pas setakat ini, namun beliau yakin Noh mampu membantu PN untuk menawan kembali negeri ini.

    “Konsep naratif politik Pas adalah penyatuan ummah dan kita bersedia untuk menerima pemimpin UMNO bersama-sama Pas dalam perjuangan ini,” katanya, lapor Sinar Harianhari ini.

    Roslan Shahir berkata, dua bekas pemimpin UMNO iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang bertanding di Parlimen mewakili Pas masing-masing menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

    “Pas bersedia buka pintu jika hal ini berlaku di Selangor, kita yakin dapat perkuat dan mantapkan parti untuk menumbangkan PH,” jelas beliau.

    Menurutnya, gelombang kemasukan ahli UMNO yang menyertai Pas semakin ketara sejak akhir-akhir ini.

    “Baru-baru ini seorang Naib Ketua UMNO Cawangan dan beberapa ahli lain di Sabak Bernam menyertai Pas dan kita telah meluluskan keahlian mereka.

    “Kami mengajak rakyat di negeri ini supaya bersama-sama berubah memilih Pas dan PN untuk mengambil alih kerajaan Selangor,” katanya.