Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tak perlu jemput pemimpin UMNO dipecat sertai DAP-Anthony Loke

    Tak perlu jemput pemimpin UMNO dipecat sertai DAP-Anthony Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP, Loke Siew Fook menegaskan, pemimpin yang dipecat UMNO tidak akan dijemput menyertai DAP kerana tidak perlu untuk bertindak secara ‘terburu-buru’.

    “Tidak perlu untuk membuat sebarang jemputan terbuka kepada mereka kerana ia terpulang kepada individu terbabit untuk menentukan langkah seterusnya dalam kerjaya politik mereka.

    “Saya pasti mereka tahu apa keputusan yang terbaik,” katanya kepada wartawan di sebuah majlis sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur, hari ini.

    Jika ada yang ingin membuat permohonan katanya, setiap pihak akan mempertimbangkannya.

    “Kami tidak mahu mendahului apa-apa,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar adalah dua pemimpin yang dipecat UMNO malam tadi kerana melanggar disiplin parti semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Khairy dan Noh sebelum ini menggesa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden parti berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

    Turut dikenakan tindakan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif dan Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.

  • Salim tidak tahu apa ‘dosanya’ digantung UMNO enam tahun

    Salim tidak tahu apa ‘dosanya’ digantung UMNO enam tahun

    BEKAS Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif tidak mengetahui ‘dosa’ yang telah dilakukannya terhadap UMNO sehingga digantung keahlian selama enam tahun.

    “Saya tak tahu dosa apa yang saya buat. Setelah saya berkorban sekian lama… 35 tahun (di dalam UMNO). Seolah-olah (saya buat) dosa yang sangat besar digantung selama enam tahun,” katanya memetik laporan FMT.

    Penggantungan itu katanya, tidak dimaklumkan terlebih dahulu dan sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang surat daripada parti.

    “Tiada orang hubungi saya atau apa-apa (beri surat) sampailah malam tadi saya dapat mesej, kawan-kawan hantar (nama) saya tersenarai. Saya terperanjat, apa salah saya,” akui bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol itu.

    Salim antara penyandang yang tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau digantikan dengan timbalannya, Shamshulkahar Deli yang menang dengan majoriti 5,857 undi dalam pertandingan empat penjuru.

    Mengulas lanjut, Salim berkata walaupun tidak dicalonkan semula, beliau membantu jentera bahagiannya sehingga menang dengan majoriti besar ketika kubu kuat UMNO yang lain jatuh kepada pihak lawan.

    “Masa kempen, saya kempen sampai menang. Tiada boikot malah pujuk orang (ahli) yang merajuk tetapi bila menang balasan saya kena gantung rupanya,” katanya.

    Salim akan menunggu penjelasan terperinci daripada parti berhubung penggantungan itu, sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.

    “Saya sedang tunggu surat daripada parti. Kalau dia panggil beri keterangan, pembelaan tak mengapalah tetapi ini tak ada apa. Tiba-tiba jatuh hukum,” katanya.

    Salim antara empat individu yang digantung keahlian selama enam tahun.

    Selain itu, turut digantung adalah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; dan Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

    Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi turut memutuskan bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat.

  • Pihak dituduh sabotaj tidak diberi ruang bela diri

    Pihak dituduh sabotaj tidak diberi ruang bela diri

    BEKAS Exco Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak mendakwa parti itu dijadikan ‘kuda tunggangan’ dan ‘perisai’ demi kelangsungan politik peribadi.

    Katanya, anggota parti terus ditakut-takutkan dengan tindakan pemecatan dan penggantungan atas alasan sabotaj parti.

    “Dek kerana terlalu banyak kes peribadi, parti dijadikan kuda tunggangan dan perisai untuk survival politik diri sendiri.

    “Ahli yang lantang bersuara menongkah arus ditakut-takutkan dengan terma proses ‘pembersihan’, ‘pemecatan’ dan ‘penggantungan’ dengan alasan ‘mensabotaj parti’,” katanya dalam Facebook miliknya.

    Justeru, katanya, proses pemecatan dan penggantungan tidak lagi dihormati.

    “Pihak yang dituduh ‘mensabotaj’ tidak pun diberi ruang bela diri.

    “Kini ahli-ahli UMNO boleh menilai sendiri. Kepada Allah kita berserah,” ujarnya lapor Astro Awani.

    Mesyuarat MKT UMNO semalam memutuskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti.

    Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

  • PN sedia terima ahli UMNO yang digantung, dipecat

    PN sedia terima ahli UMNO yang digantung, dipecat

    PERIKATAN Nasional (PN) sedia menerima sesiapa sahaja ahli UMNO, yang digantung dan dipecat parti itu.

    Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar percaya semua yang terbabit itu ketika ini masih berkira-kira untuk mengatur langkah selanjutnya.

    “Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang permohonan daripada sesiapa. Saya percaya mereka masih berkira-kira langkah seterusnya…perkara baru sahaja berlaku malam tadi.

    “Kita tunggulah daripada mereka sendiri, bagaimana langkah seterusnya,” katanya.

    Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam, memutuskan memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Khairy dan Noh, yang juga bekas Pengerusi UMNO Selangor, dipecat parti kerana pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Selain itu, Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden Pas berkata, pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapat 10 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Insya-Allah kita boleh berbincang. Pas akan bincang secara adik-beradik dengan Bersatu, kerusi mana, di mana, munasabah atau tidak, kita kena duduk dan bincang.

    “Setakat ini, masih belum ditetapkan tarikh untuk perbincangan itu. Insya-Allah dalam waktu terdekat,” katanya lapor BH.

    Terdahulu, Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan D’Gate Sura Mall/Jeti oleh Artha Global dan Majlis Perbandaran Dungun, di Dungun, hari ini.

    Projek pembinaan 72 unit lot komersial itu yang bernilai lebih RM20 juta dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

    Turut hadir ke majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr. Alias Razak serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Azizul Ab. Hadi.

    Projek pembinaan 72 unit lot komersial itu yang bernilai lebih RM20 juta dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

  • ‘Saya tidak tunduk, tidak patah semangat, tidak kecewa’ – Khairy

    ‘Saya tidak tunduk, tidak patah semangat, tidak kecewa’ – Khairy

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada parti malam tadi menegaskan tidak sesekali akan tunduk, patah semangat dan tidak kecewa dengan keputusan itu.

    “Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. Unbowed (tak tunduk), unbent (patah semangat), unbroken (tak kecewa),” katanya di Twitter, lapor SatuBerita.

    Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn malam initadi memutuskan untuk memecat Khairy dan bekas Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan berkata mereka dipecat daripada UMNO atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .

  • Dituduh curi lebih setengah juta ringgit duit suami, barang kemas ibu mentua

    Dituduh curi lebih setengah juta ringgit duit suami, barang kemas ibu mentua

    POLIS menahan seorang wanita disyaki mencuri wang tunai dan barangan kemas milik suami dan mentuanya, dianggarkan bernilai lebih setengah juta ringgit di rumah mereka di Taman Permatang Pasir Perdana, Alai, di Melaka.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata wanita berusia 37 tahun itu ditahan pada Rabu lalu, susulan laporan dibuat suaminya yang menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang berlesen.

    “Berdasarkan laporan, pengadu berusia 35 tahun itu mendakwa menyedari kehilangan wang tunai dan barangan kemas miliknya dan ibu selepas dia pulang dari Kuala Lumpur ke rumah di Alai pada 4 Januari lalu.

    “Ketika memeriksa dua peti besi miliknya sekitar jam 6.30 petang di tingkat dua dan tiga, pengadu terkejut mendapati wang tunai hasil perniagaan harian berjumlah kira-kira RM520,000 lesap. Pengadu mendakwa dalam dua peti besi itu juga ada wang tunai tidak diketahui jumlah dan barang kemas ibunya.

    “Disebabkan tiada kesan kerosakan pada kedua-dua peti besi, lelaki itu mengesyaki wang tunai dan barang kemas dicuri isterinya sendiri sebelum membuat laporan di Balai Polis Kandang, pada pukul 11.42 malam hari sama,” katanya ketika dihubungi.

    Christopher berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menjalankan siasatan sebelum menahan suspek pada 25 Januari.

    Katanya, wanita itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Chengal 4, Taman Merdeka, Batu Berendam, pukul malam yang kemudian direman selama dua hari bermula Khamis lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

    “Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek bagi membantu siasatan. Hasil siasatan awal, suspek mendakwa ada memulangkan wang tunai RM280,000 kepada iparnya dan dia turut membuat laporan di Balai Polis Kandang menafikan terbabit dalam kes yang disiasat.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya lapor BH.

  • Bunuh: Lapan termasuk empat pegawai kanan polis Sabah ditahan reman

    Bunuh: Lapan termasuk empat pegawai kanan polis Sabah ditahan reman

    LAPAN pegawai polis termasuk empat pegawai kanan ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, semua pegawai polis terbabit ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

    Susulan itu katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan Pasukan Siasatan Khas dari Bukit Aman bagi menjalankan siasatan mengenai kes ini.

    Jelasnya, kes berkenaan masih di peringkat siasatan dan sidang media lanjut akan dibuat setelah siasatan dilengkapkan.

    “Justeru, PDRM tidak membuat kenyataan terperinci mengenai kes ini kerana ia masih terlalu awal dan dibimbangi boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau juga menasihatkan pihak media agar tidak membuat sebarang spekulasi dengan mengaitkan kes ini sebagai isu keselamatan kerana kes ini lebih bersifat peribadi.

    Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penahanan enam pegawai polis di Sabah.

    Penahanan tersebut dipercayai berhubung kes bunuh seorang lelaki di Tawau, lapor Utusan Malaysia.

  • Digantung tanpa dipanggil, diberi peluang bela diri, kata Maulizan

    Digantung tanpa dipanggil, diberi peluang bela diri, kata Maulizan

    KETUA UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mendedahkan, beliau tidak dipanggil lembaga displin atau diberi peluang membela diri berhubung tindakan penggantungan selama enam tahun yang dikenakan parti ke atasnya.

    Katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, beliau reda dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.

    Beliau reda walaupun mengakui sangat sayang parti tersebut yang banyak jasanya kepada agama, bangsa dan negara.

    “Selama 42 tahun saya menjadi ahli dan saya bermula daripada peringkat cawangan dan bergiat dalam aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan.

    “Mungkin silap saya kerana kadang kala tidak sehaluan dengan Presiden. Tak apalah, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya menerusi muat naik dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau turut mendoakan agar UMNO pulih semula dengan pemimpin dan kepimpinan yang diterima bukan sahaja ahli parti tetapi pengundi serta rakyat.

    Maulizan yang juga bekas Exco kerajaan Johor berdoa semoga UMNO dapat kembalikan semula roh perjuangan berlandaskan asas penubuhan parti iaitu untuk menjaga agama, membela bangsa seperti termaktub dalam perlembagaan dan memajukan negara berbilang kaum.

    “Saya mohon maaf kepada semua yang mengenali saya baik dalam parti atau pun di luar sekiranya sepanjang khidmat saya sebagai pemimpin kerdil ini terdapat sebarang kesalahan dan kesilapan yang tak disengajakan mahupun kekurangan yang ada pada diri saya,” ujarnya.

    Selain Maulizan, turut digantung selama enam tahun ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif.

    Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

  • Tuduhan, fitnah terhadap Pas sengaja dicipta musuh menjelang PRN

    Tuduhan, fitnah terhadap Pas sengaja dicipta musuh menjelang PRN

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEGALA tuduhan dan fitnah terhadap Pas kebelakangan ini sengaja dicipta musuh bagi untuk memberi imej buruk kepada parti itu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang kehadiran Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu sengaja dibuat bagi menampakkan Pas serta PN bukanlah sebuah parti yang bersih di mata pengundi.

    Justeru katanya, timbul pelbagai dakwaan oleh pihak musuh kononnya parti itu menerima dana tidak sepatutnya termasuk daripada syarikat judi dan tauke-tauke besar untuk dibelanjakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

    “Bukan setakat berbelanja mewah, malah Pas dikatakn menyogok pengundi hingga jumlah undi diperolehi parti ini tinggi. Kita pun tak tahu dari mana angka mereka dapat tetapi yang pasti, semua itu hanyalah fitnah dilempar terhadap Pas.

    “PRN dah dekat, jadi untuk pastikan PRN ini Pas dan PN tidak lagi dilihat sebagai parti bersih, maka mereka cipta pelbagai tuduhan termasuk Pas menerima dana-dana tidak sepatutnya sewaktu hadapi PRU-15,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam Dana PRN Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah, malam tadi.

    Terdahulu Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kedah, Musoddak Ahmad dalam ucapannya memaklumkan, hampir RM500,000 berjaya dikutip menerusi majlis tersebut, termasuk daripada pihak-pihak yang telah menyatakan komitmen namun tidak dapat hadir ke majlis itu.

    Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, musuh-musuh politik ketika ini sedaya upaya mencari apakah perkara yang boleh melemahkan kekuatan Pas dan PN.

    Keadaan itu katanya disebabkan pengundi pada PRU lalu telah membuat penilaian terhadap parti-parti politik bertanding.

    “Kalau sebut Pakatan Harapan (PH), mereka dah tahu latar belakangnya dan kalau sebut Barisan Nasional (BN), lagilah orang kenal. Kedua-dua gabungan itu memiliki pelbagai beban hingga akhirnya rakyat melihat hanya Pas dan PN saja yang bersih serta berintegriti selain mampu memberi tawaran-tawaran hebat juga prihatin,” katanya.

    Dalam pada itu katanya, beliau mengharapkan supaya majlis tersebut dihebahkan termasuk di media-media sosial sebagai salah satu cara untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang berlegar terhadap PAS terutamanya berkaitan dana diterima.

    “Malam ini kita buat secara terbuka sedangkan sebelum ini, sudah berapa banyak kutipan dana dibuat secara sembunyi-sembunyi? Hakikatnya di rumah-rumah terdapat tabung buluh, tin, pelbagai jenis bekas disediakan semata-mata untuk menyumbang kepada parti serta jemaah dan terbukti, sumbangan itulah menyebabkan PAS boleh berbelanja sewaktu PRU lalu.

    “Saya anjurkan untuk kita hebahkan majlis malam ini. Biar kita sebut malam ini ada yang mewakafkan tanah, ada sumbangan daripada Yayasan Amal Kedah, wakil rakyat dan Dewan Pemuda untuk memberi galakkan kepada seluruh penyokong agar turut serta memberi sumbangan,” katanya.

  • Muqharabbin letak jawatan Exco Pemuda UMNO

    Muqharabbin letak jawatan Exco Pemuda UMNO

    DATUK Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin melepaskan jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai berkuat kuasa serta-merta.

    “Surat secara rasmi mengenai perkara itu akan diserahkan kepada pimpinan UMNO pada minggu ini,” katanya.

    “Tiada guna saya sebagai anak muda terus berada dalam parti UMNO kerana parti ini dipimpin individu tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau mendakwa UMNO kini sudah mati dengan demokrasi dan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kini adalah para pemimpin yang paling penakut dalam sejarah parti berkenaan.

    “Tiada guna orang muda seperti saya dan lain-lain berjuang untuk perjuangan nenek moyang bangsa agama kami, tetapi dipimpin oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya, memetik laporan Utusan Malaysia.

    Muhamad Muqharabbin dalam masa yang sama turut mengucapkan teruma kasih kepada sahabat UMNO kerana bersamanya dalam perjuangan parti itu sejak 2018.

    “Kita tetap bersahabat selamanya dan menjaga ukhuwah sesama kita. Selamat maju jaya buat semua sahabat Ketua Ketua Pemuda UMNO seluruh negara,” katanya lagi.