Author: Wartawan WartaRakyat

  • 9 lelaki ditahan ketika berjudi, wang pertaruhan hampir RM20,000 dirampas

    9 lelaki ditahan ketika berjudi, wang pertaruhan hampir RM20,000 dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    WANG pertaruhan hampir RM20,000 merupakan antara barangan dirampas dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Pusat Komersial Saujana, Sungai Petani, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, seramai sembilan individu ditahan dalam serbuan tersebut ketika masing-masing sedang rancak bertaruh kira-kira pukul 2.45 pagi.

    Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 47 tahun.

    “Serbuan itu diketuai oleh pegawai yang turut digelar sebagai pakar judi PDRM bersama anggota D7 IPK Kedah. Selain wang tunai berjumlah hampir RM20,000, beberapa peralatan perjudian antaranya dua meja, sembilan kerusi, 52 daun pakau turut dirampas.

    “Kegiatan perjudian ini dipercayai telah berlangsung selama dua hari. Kesemua yang ditahan serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

  • Presiden UMNO bersifat kuku besi, UMNO kini amat tenat

    Presiden UMNO bersifat kuku besi, UMNO kini amat tenat

    PEMECATAN dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti akan memberi kesan buruk kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, ini berikutan individu yang dikenakan tindakan itu bernilai tinggi dalam UMNO.

    “Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersifat kuku besi, sebab orang yang bernilai dalam UMNO dikeluarkan demi untuk selamatkan peribadi beliau,” katanya.

    Malah katanya, mereka ditolak keluar tanpa alasan yang kukuh dan ini sudah tentu akan memberi kesan pada PRN nanti.

    “Ini sudah pasti Perikatan Nasional (PN) akan menguasai tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ini tidak mustahil dengan keadaan UMNO sekarang, Negeri Sembilan dan Selangor juga akan jatuh kepada PN.

    “UMNO sekarang dalam keadaan amat tenat, sepatutnya perkara ini dibincangkan supaya jadi elok sebab kita nampak Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan mempunyai aura tersendiri untuk menarik pengundi muda bersama UMNO.

    “Keputusan ini amat menyedihkan. Kita tak tahu apa yang Presiden UMNO nak sebenarnya. Saya sebagai orang yang digantung sebelum ini pun (berpendapat) sistem menggantung keahlian seseorang itu adalah amat zalim,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    September tahun lalu, Mohd. Yusof mengesahkan beliau digantung keahlian parti selama enam tahun. Bagaimanapun beliau berkata, hukuman penggantungan itu ditangguhkan sementara memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, setiap salah laku ahli UMNO perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO dan perlu ada pengadu sebelum lembaga berkenaan bersidang.

    “Contohnya bekas pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar… beliau sepatutnya dipanggil Lembaga Disiplin pada Isnin ini… tapi semalam beliau dipecat. Ini tidak adil untuk beliau.

    “Selain itu, apa kesalahan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sehingga beliau digantung keahlian selama enam tahun. Beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang merosakkan parti,” ujarnya.

    Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memecat keahlian Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT, Tan Sri Noh Omar.

    Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung enam tahun.

    Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian pula digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

  • ‘Kejahatan mereka tidak hilangkan kebaikan kita’ – Hishammuddin

    ‘Kejahatan mereka tidak hilangkan kebaikan kita’ – Hishammuddin

    “Their evil must not make us lose our good” (Kejahatan mereka tidak mampu hilangkan kebaikan kita).

    Demikian tulis bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kemas kini di laman Instagramnya hari ini.

    Kenyataan ringkas, tetapi penuh tersirat itu dipercayai susulan tindakan UMNO memecat dan menggantung beberapa ahli UMNO, termasuk Ahli Parlimen Sembrong itu yang digantung selama enam tahun selepas didakwa melanggar disiplin parti.

    Menerusi kemas kini berkenaan, beliau turut memuat naik gambar memaparkan beliau sedang menenteramkan seorang individu, dipercayai penyokong UMNO, yang dilihat menangis.

    Beliau merupakan cucu kepada Perdana Menteri ketiga dan pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Seri Onn Jaafar.

    Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang dipecat daripada UMNO juga meninggalkan komen pada hantaran yang dimuat naik oleh Hishammuddin.

    Khairy berkata, apa yang berlaku kepada mereka bukan penamat kepada perjuangan selama ini.

    “Siapa sangka selama bertahun-tahun yang lalu, ini (pemecatan dan penggantungan) akan menjadi sebahagian daripada perjalanan kita bersama.

    “Tetapi, seperti yang saya katakan, itu bukan penamat. Ia jauh daripada penghujung,” tulis bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

    Semakan Astro Awani di ruangan komen juga mendapati rata-rata pengguna media sosial menyatakan sokongan penuh kepada Hishammuddin dan berharap beliau terus kuat.

    Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) lalu, Hishammuddin antara 10 nama yang didedahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘pengkhianat’.

    Begitupun, bekas Menteri Pertahanan itu menolak sekeras-kerasnya tuduhan dilabel sebagai pengkhianat kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ini kerana, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata mereka sudahpun mengikut ketetapan parti dengan menarik semula semula sokongan masing-masing, selain berpendirian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat awal adalah bercanggah dengan pendirian parti.

  • Dasar manifesto apa kerajaan sekarang nak laksanakan, PH atau BN? – Muhyiddin

    Dasar manifesto apa kerajaan sekarang nak laksanakan, PH atau BN? – Muhyiddin

    KERAJAAN tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup yang meresahkan rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata rakyat semakin resah melihat kegagalan kerajaan campuran sehingga hari ini tidak dapat mencari jalan untuk menyelesaikan isu ekonomi rakyat sehingga isu sekecil-kecil bekalan telur pun tidak dapat ditangani dengan berkesan.

    “Ya,saya hanya menekankan ucapan saya tadi ialah keresahan rakyat jelata tentang langkah-langkah yang kerajaan campuran buat sekarang ini belum lagi dilihat berkesan untuk mengurangkan bebanan hidup kos sara hidup.

    “Kenaikan harga barang, inflasi dan pemulihan ekonomi yang kalau mereka sedar dan faham itu adalah satu daripada perkara utama.

    “Tapi apa yang saya jelaskan tadi tak nampak langsung kesan-kesan apa hingga masalah-masalah sekecil-kecil soal telur tidak dapat diselesaikan… saya hanya suarakan suara rakyat,” katanya semasa sidang media hari ini.

    Terdahulu, Muhyiddin menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh, Muar.

    Muhyiddin menggesa kerajaan supaya bertindak lebih pantas dan pembangkang akan sentiasa memainkan peranan dalam memberikan kritikan membina bagi memastikan isu kebajikan rakyat terbela.

    “Jadi saya fikir mereka harus bertindak lebih pantas ya. Kami sebagai pembangkang yang bertanggungjawab kita hanya mengkritik secara membina,” ujarnya lagi.

    Setakat hari ini, Muhyiddin tidak melihat dasar dan polisi untuk menangani kemiskinan yang jelas daripada kerajaan campuran, malah isu ekonomi Bumiputera juga tidak nampak hala tujunya lagi.

    “Saya tak pernah dengar pun ada kenyataan kerajaan campuran bagaimana nak menangani masalah kemiskinan dan sebahagian besar itu melibatkan kaum Melayu, bumiputera. 

    “Malahan tidak ada disebutkan soal usaha untuk membantu meningkat ekonomi Bumiputera. 

    “Ya, walaupun tak ada satu polisi jelas tapi itu harus diberikan perhatian dan nampak tidak ada apa-apa dibuat,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Muhyiddin juga mempersoalkan manifesto mana satu yang akan dijadikan teras kepada kerajaan campuran ini, adakah manifesto Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

    “UMNO dah jadi sebahagian daripada mereka, apa dasar yang kerajaan ada pada hari ini laksanakan itu adakah bersandarkan kepada manifesto PH ataupun manifesto PH-BN. 

    “Kita pun tak jelas sekarang ini tak ada ada kenyataan daripada Perdana Menteri atau macam mana nak melaksanakan janji-janji dalam manifesto,” soal Muhyiddin lagi lapor Agenda daily.

    Terdahulu, pengguna mengkritik kerajaan campuran susulan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mendakwa harga bahan mentah sudah turun tetapi harga makanan di kedai runcit dan restoran tidak pula turun.

  • KPDN ambil tindakan peniaga jual minyak masak kepada pelanggan terpilih

    KPDN ambil tindakan peniaga jual minyak masak kepada pelanggan terpilih

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DEK kerana mengamalkan penjualan terpilih bagi minyak masak peket satu kilogram (kg), seorang peniaga di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah terpaksa berdepan tindakan tegas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melakukan pemeriksaan di kedainya, hari ini.

    Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu setelah seorang pelanggan memuat naik kandungan di Tik Tok menyatakan kekesalannya mengenai sikap peniaga itu kelmarin.

    “Susulan itu, seorang pegawai KPDN yang berpakaian preman hadir ke kedai tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi dan menyamar sebagai pelanggan bagi membeli minyak masak peket. Peniaga tersebut bagaimanapun memaklumkan bekalan tersebut tiada di kedainya.

    “Pemeriksaan dijalankan selepas itu mendapati terdapat 120 peket minyak masak subsidi satu kilogram diletakkan di bahagian belakang premis.

    “Minyak masak itu disyaki disimpan dan tidak dijual kepada sebarangan pelanggan sebaliknya hanya untuk dibekalkan kepada pelanggan tetap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pemeriksaan dijalankan selepas itu mendapati terdapat 120 peket minyak masak subsidi satu kilogram diletakkan di bahagian belakang premis.

    Seorang wanita dalam video dimuat naik di laman Tik Toknya kelmarin meminta KPDN membuat siasatan terhadap perkara tersebut kerana mendakwa ditengking apabila dia bertanyakan mengenai minyak masak subsidi sekilogram.

    Menurut wanita berkenaan, peniaga itu mendakwa tiada minyak masak di kedainya sedangkan terdapat banyak minyak masak dikeluarkan dari lori besar ke pasar raya mini tersebut.

    Mengulas lanjut Affendi berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Jika sabit kesalahan, mana-mana individu perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua,” katanya.

  • ‘PN sedia hadapi PRN bila-bila masa’ – Muhyiddin

    ‘PN sedia hadapi PRN bila-bila masa’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu bersedia bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada tahun ini.

    “Ketika ini rundingan sudah pun dimulakan terutamanya di peringkat negeri dan dijangka selesai dalam masa terdekat,” ujarnya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Mala kata Ahli Parlimen Pagoh itu, jentera kesemua parti juga dilihat telah bersedia dan hanya menunggu tarikh PRN diadakan.

    “Kita bersedia (untuk PRN) ini bila-bila masa…saya pun dah bincang dengan Tan Sri Abdul Hadi (Presiden Pas) tentang soal itu yang berkemungkinan akan saya putuskan dalam mesyuarat kita minggu depan.

    “Kita nak mulakan rundingan kerusi di negeri-negeri terbabit dan ikut pengalaman dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, memang tak ada masalah langsung.

    “Kita bincang dalam masa beberapa hari dan harap semua perkara dapat diselesaikan kerana kita ada semangat muhibah dan kerjasama,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai persiapan bagi mengharungi enam PRN kelak.

    Sementara itu, mengulas mengenai tarikh dijangka PRN berkenaan diadakan, pihaknya masih belum mendapat gambaran perkara berkenaan.

    “Soal nak tentukan tarikh, saya fikir sebahagian negeri kita dipimpin oleh Pas, jadi kita akan dapatkan gambaran bila tarikh yang sesuai kerana jentera (pilihan raya) kami dah bekerja dengan baik masa PRU.

    “Mereka sudah bersedia untuk menghadapi PRN, cuma nak kena perkukuhkan balik,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Untuk rekod, sebanyak enam negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan mengadakan PRN tahun ini berikutan masih belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing walaupun Kerajaan Perpaduan sudah pun dibentuk selepas PRU15 lalu.

  • Khairy boleh kemuka permohonan sertai Bersatu, kata Muhyiddin

    Khairy boleh kemuka permohonan sertai Bersatu, kata Muhyiddin

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar boleh mengemukakan permohonan sekiranya berhasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah dipecat daripada UMNO semalam.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan daripada bekas Ahli Parlimen Rembau itu bagaimanapun akan dipertimbangkan oleh pihak parti sebelum membuat keputusan.

    “KJ (Khairy Jamaluddin) adalah orang bijak, dia pandai, banyak orang suka, tapi tidak mengapa semua ini saya kenal… terserah pada mereka (pihak parti) kalau mereka rasa sesuai kerana seorang seperti KJ ini, bukan saya hendak memuji pun.

    “Dia bersama saya dalam kerajaan dulu… saya lantik dia walaupun parti tidak menamakan dia. Dulu jadi Menteri MOSTI (Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi), lepas itu Menteri Kesihatan. Jadi kita kenal dia bijak orangnya… berkelulusan tinggi dan politik pun boleh tahan matang.

    “Jadi kalau KJ kata dia berhasrat untuk bersama menyertai Bersatu, dia boleh buat permohonan.Kita akan pertimbangkan secara yang baik-baik,” katanya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Terdahulu Muhyiddin menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh di Muar hari ini.

    Selain Khairy, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar turut dipecat daripada UMNO hasil keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

    Pemecatan berkenaan dibuat berikutan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan digantung keahlian masing-masing.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak dapat mengulas banyak mengenai pemecatan nama-nama besar UMNO.

    “Saya minta maaf… saya patut tak boleh campur urusan parti orang lain tapi kerana saya bekas Timbalan Presiden dan saya pernah berada dalam parti itu, saya fikir orang seperti saya atau pun yang lain tentu mereka agak rasa kecewa dan dukacita,” katanya.

  • Tindakan UMNO gantung, pecat ahli tidak demokratik, kata Muhyiddin

    Tindakan UMNO gantung, pecat ahli tidak demokratik, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan UMNO memecat serta menggantung ahlinya termasuk beberapa nama besar daripada parti itu semalam dilihat sebagai satu tindakan yang tidak berdemokrasi.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tindakan pecat dan gantung keahlian ahli terutamanya melibatkan individu dengan nama-nama besar sebenarnya perlu dilakukan mengikut prosedur.

    “Apa sudah jadi dengan UMNO? Macam tiada demokrasi, buat keputusan pecat macam itu sahaja.

    “Dia (UMNO) ada perlembagaan, setahu saya dan saya dahulu Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan UMNO… ikutkan kalau seseorang pemimpin atau sesiapa nak dipecat ada prosedur…hantar surat tunjuk sebab, kemudian ada ruang untuk dirayu dan dipertimbangkan.

    “Tetapi yang ini dengarnya macam semalam bincang, semalam buat keputusan. Saya tak tahulah mungkin kuasa Presiden agaknya lebih besar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh, Muar, hari ini.

    Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berpendapat tindakan sedemikian menggambarkan masa depan UMNO yang sudah tersasar.

    Malah katanya, pimpinan tertinggi UMNO juga dilihat telah melampaui batas sehingga membuat keputusan (pecat, gantung ahli) tanpa mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

    “Saya fikir masa depan UMNO dengan Melayu sudah tiada lagi. Mintak maaflah, Presiden dah bertindak luar batas dengan membawa UMNO ke satu hala tujuan yang bukan difikirkan awal-awal di situ, jauh tersimpangnya.

    “Oleh itu, jangan harap pada UMNO lagi kerana UMNO dah tak boleh diharapkan.

    “Kalau saya nak fikir dari sudut PN dan Bersatu, kami bersorak…tapi hakikatnya kami tak bersorak dan kita akan terus berusaha untuk memberitahu pada orang Melayu bahawa Bersatu, Pas dan PN khususnya akan jadi parti yang diperjuangkan,” ujarnya.

  • Pucuk pimpinan UMNO kini tidak patuh undang-undang – Noh

    Pucuk pimpinan UMNO kini tidak patuh undang-undang – Noh

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan UMNO di bawah pucuk pimpinan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti, tidak patuh kepada undang-undang.

    Menurut beliau, UMNO pada hari ini juga tidak mengikuti Perlembagaan dan bertindak sesuka hati selagi mana mereka mendapat kepentingan diri masing-masing.

    “Lebih menyedihkan ramai lagi pemimpin lain seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tokoh muda seperti Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan juga Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, merupakan seorang pemimpin yang dikenali.

    “Ramai lagi pemimpin-pemimpin yang dilihat berani bersuara tetapi telah pun diambil tindakan kerana Presiden tidak mahu saya dan mereka yang diambil tindakan ini memberikan pandangan untuk masa depan UMNO,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Instagramnya hari ini.

    Dalam pada itu, Noh juga mempertikaikan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam menggantung keahliannya selama enam tahun sebelum parti itu mengeluarkan kenyataan secara sah bahawa beliau telah pun dipecat.

    Menurutnya, keputusan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana beliau telah pun mendapat surat tunjuk sebab dan akan dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO pada 30 Januari ini.

    “Jadi oleh kerana saya tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin atau Presiden UMNO, yang boleh menguburkan UMNO, maka daripada saya digantung, lebih baik saya terus dipecat,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Pecat, gantung pemimpin, UMNO berdepan tugas besar urus persepsi-MB Johor

    Pecat, gantung pemimpin, UMNO berdepan tugas besar urus persepsi-MB Johor

    UMNO bakal berdepan tanggungjawab besar mengurus persepsi akar umbi parti dan rakyat kesan daripada keputusan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpinnya.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi secara peribadi berpandangan, ramai ‘terkejut’ dan ‘sedih’ dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam tadi.

    “Sudah tentu kena urus peringkat ahli parti dan peringkat rakyat secara umum. Saya rasa ini satu tanggungjawab yang besar untuk pucuk pimpinan melihat pada persepsi dan apa yang berlaku di bawah.

    “Di peringkat negeri Johor, saya ingin menekankan fokus membangunkan negeri Johor dengan semangat perpaduan Bangsa Johor. Kita nak jadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030,” lapor Astro Awani.

    Pada 20 November, Onn antara pemimpin awal menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan sebagai tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) yang mencatat prestasi terburuk, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Malam tadi, MKT bertindak memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Selain itu, MKT juga menggantung keahlian bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif, dan pemipin UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

    MKT juga bertindak memecat lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang serta 26 ahli UMNO dari Pahang.

    Antara kesalahan mereka adalah menjadi calon Bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan membantu parti lawan ketika PRU15.