PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu bersedia bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada tahun ini.

“Ketika ini rundingan sudah pun dimulakan terutamanya di peringkat negeri dan dijangka selesai dalam masa terdekat,” ujarnya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mala kata Ahli Parlimen Pagoh itu, jentera kesemua parti juga dilihat telah bersedia dan hanya menunggu tarikh PRN diadakan.

“Kita bersedia (untuk PRN) ini bila-bila masa…saya pun dah bincang dengan Tan Sri Abdul Hadi (Presiden Pas) tentang soal itu yang berkemungkinan akan saya putuskan dalam mesyuarat kita minggu depan.

“Kita nak mulakan rundingan kerusi di negeri-negeri terbabit dan ikut pengalaman dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, memang tak ada masalah langsung.

“Kita bincang dalam masa beberapa hari dan harap semua perkara dapat diselesaikan kerana kita ada semangat muhibah dan kerjasama,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai persiapan bagi mengharungi enam PRN kelak.

Sementara itu, mengulas mengenai tarikh dijangka PRN berkenaan diadakan, pihaknya masih belum mendapat gambaran perkara berkenaan.

“Soal nak tentukan tarikh, saya fikir sebahagian negeri kita dipimpin oleh Pas, jadi kita akan dapatkan gambaran bila tarikh yang sesuai kerana jentera (pilihan raya) kami dah bekerja dengan baik masa PRU.

“Mereka sudah bersedia untuk menghadapi PRN, cuma nak kena perkukuhkan balik,” katanya, lapor Sinar Harian.

Untuk rekod, sebanyak enam negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan mengadakan PRN tahun ini berikutan masih belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing walaupun Kerajaan Perpaduan sudah pun dibentuk selepas PRU15 lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here