Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pekerja maut, syarikat besi dan keluli didenda RM25,000

    Pekerja maut, syarikat besi dan keluli didenda RM25,000

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman denda RM25,000 terhadap sebuah syarikat besi dan keluli atas kecuaian menyebabkan kematian pekerja pada 8 Februari tahun lalu.

    Hakim Maimoonah Aid menjatuhkan hukuman itu selepas wakil kepada syarikat terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan, lapro Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu didapati gagal untuk mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja membaik pulih lantai kabin operator ‘coke wet quenching machine’ di tempat tinggi sehingga mengakibatkan kemalangan maut kepada pekerjanya

    Kejadian itu berlaku di kawasan coke wet quenching, coking plant di syarikat terbabit, pukul 2.20 petang pada 8 Februari 2022.

    Syarikat terbabit didapati bersalah mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum bawah Seksyen 19 akta yang sama.

    Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang dikendalikan Nik Muhammad Nazif Tuan Sinuzula manakala siasatan terhadap kes dijalankan oleh pegawai penyiasat JKKP Pahang, Mohd Zamadi Mat Lodin.

    Sehubungan itu, JKKP berharap kes sedemikian dapat memberi pengajaran kepada majikan dan pekerja untuk patuh kepada undang-undang demi memelihara kepentingan awam dan keselamatan pekerja.

  • Fitnah artis terima bayaran PN, pengguna Twitter mohon maaf

    Fitnah artis terima bayaran PN, pengguna Twitter mohon maaf

    SEORANG pengguna Twitter meminta maaf kepada pasangan pelakon dan usahawan, Aeril Zafril dan Wawa Zainal yang menuduh mereka berdua mendapat bayaran daripada Perikatan Nasional (PN) bagi mempromosikan parti tersebut di TikTok, semalam.

    Pengguna Twitter, Azrulfitri Azimi mengakui selama ini dia telah bersangka buruk terhadap Aeril dan Wawa serta terkhilaf kerana tidak memeriksa tuduhan yang dilakukannya itu.

    “Sememangnya, selama ini saya telah bersangka buruk yang Encik Aeril dan isteri telah mendapat bayaran, dan banyak ura-ura di media sosial juga menyatakan ramai pempengaruh telah mendapat bayaran daripada PN untuk tujuan promosi.

    “Sesungguhnya, khilaf itu di pihak saya kerana tidak memeriksa betul-betul,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Twitter miliknya @azrulazimi pada Khamis.

    “Permohonan maaf terbuka kepada @aerilzafrel dan isteri Yang benar, Azrulfitri Azimi 2 Feb 2023,” ciapnya

    Aeril sebelum itu menerusi ciapannya menafikan fitnah yang dibuat bahawa pihaknya menerima bayaran daripada PN.

    “Fitnah ini… banyak kali dah aku jawab, tapi kali ni terpaksa lafazkan..demi Allah satu sen pun aku tak ambil,” ciapnya sambil meminta Azrulfitri memohon maaf dan memadam ciapan yang dibuat.

    Azrulfitri turut memaklumkan bahawa dia telah memadam ciapan yang dibuat pada Rabu.

    “Sekali lagi, saya mohon maaf atas keterlanjuran kata-kata dan kekhilafan saya. Saya harap saudara Aeril dan isteri sudi sudi memaafkan saya.

    “Saya doakan saudara Aeril dan isteri bahagia selalu, sentiasa dilimpahkan rezeki dan berada di bawah lindungannya,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • Pemuda didenda RM4,000, mengaku salah curi basikal lajak

    Pemuda didenda RM4,000, mengaku salah curi basikal lajak

    SEORANG lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri basikal lajak, bulan lalu.

    Majistret Sharda Sheinha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hafiz Ros, 23.

    Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hafiz didapati mencuri basikal lajak berwarna hitam dengan rim sukan putih bernilai RM500 milik Siti Azimah Tajudin, 33, (pengadu) di sebuah rumah di Jalan SB 3, Taman Seri Bertam, Tanjung Minyak, pada 26 Januari lalu, kira-kira 2 pagi.

    Justeru dia melakukan kesalahan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Fakta kes menunjukkan pengadu yang juga peniaga kosmetik mendapati pagar rumahnya terbuka tetapi tiada kesan pecah masuk ketika pulang ke rumah, namun basikal lajak milik anaknya hilang.

    Pemeriksaan terhadap sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bertopi kemudiannya dicamkan sebagai tertuduh yang mencuri basikal lajak itu, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.

    Sepasukan polis Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kemudiannya menangkap tertuduh di Pengkalan Perigi, Tanjong Kling, di Melaka, pada 29 Januari lalu.

    Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan, namun pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan.

    Sementara itu, dalam prosiding berasingan seorang remaja 14 tahun turut mengaku bersalah dengan curang menerima atau menyimpan basikal lajak itu di sebuah rumah di Taman Bertam Impian, Tanjung Minyak, di sini, pada 29 Januari lalu, pukul 12.20 tengah malam.

    Dia dituduh melakukan kesalahan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan boleh didenda.

    Mahkamah bagaimanapun menangguhkan 9 Mac depan untuk fakta dan hukuman bagi mendapatkan laporan akhlak juvana terbabit.

  • Penumpang gesa menteri pengangkutan ambil tindakan tegas terhadap AirAsia

    Penumpang gesa menteri pengangkutan ambil tindakan tegas terhadap AirAsia

    LEBIH ramai penumpang AirAsia tampil untuk berkongsi pengalaman terbaru mereka dengan syarikat penerbangan tambang murah itu, walaupun terdapat beberapa siri jaminan dan kenyataan daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke bagi menamatkan masalah kelewatan dan pembatalan yang kerap terhadap penerbangan itu. 

    Seorang penumpang dari Kuching, Sarawak, memberitahu dia terpaksa membayar tambahan RM1,399 hanya untuk membawa keluarganya pulang dari Kuala Lumpur. 

    Angelina Sinyang tiba di hab syarikat penerbangan tambang murah di KLIA2 pada kira-kira 2.30 petang untuk penerbangan pukul 3.55 petang pada 29 Januari. Setibanya di lokasi, dia hanya berjaya mendaftar masuk satu bagasi menggunakan kiosk layan diri.

    Ini menyebabkan dia terpaksa pergi ke kaunter pendaftaran masuk untuk berjumpa dengan kakitangan AirAsia, namun dia terkejut apabila mendapati kaunter itu sudah tutup dan dimaklumkan dia sudah terlambat.

    “Petugas AirAsia memberitahu bahawa saya tidak boleh lagi daftar masuk bagasi kerana mereka sudah membuat panggilan terakhir sebanyak dua kali,” katanya.

    Ujarnya, disebabkan pihak lapangan terbang sudah membuat panggilan terakhir, maka tiada petugas yang akan membawa bagasi selebihnya ke pesawat.

    Justeru, Angelina dinasihatkan supaya membeli tiket penerbangan baharu sekiranya ingin pulang ke Kuching dan diminta mengambil semula bagasi yang sudah didaftar masuk bahagian tuntutan bagasi.

    “Tetapi bila tiba ke kaunter bagasi, saya dapat tahu penerbangan asal ditunda ke 4.30,” luahnya kebingungan.

    “Ini bermakna saya ada banyak masa lagi untuk daftar masuk semua bagasi sebelum ke terminal.”

    Menceritakan lagi, Angelina berkata, dia kemudian berjaya membeli empat tiket penerbangan yang berlepas pada pukul 9.55 malam yang mana dia terpaksa membayar RM1,399, tambahan daripada lebih RM2,000 untuk tiket penerbangan asal yang dibelinya sebelum ini.

    Bagaimanapun, Angelina menerima satu lagi berita buruk apabila dimaklumkan penerbangannya ditangguhkan kepada pukul 11.30 malam sebelum diumumkan tangguh lagi kepada pukul 12.05 tengah malam.

    “Kami akhirnya tiba ke Kuching pada pukul 2 pagi. Anak saya terpaksa ponteng sekolah pada keesokan hari kerana kepenatan,” tambah Angelina.

    AirAsia mendahului aduan penumpang dari Januari hingga Jun tahun lalu, menurut data yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia atau Mavcom tahun ini. 

    Sebanyak 527 aduan (42.1%) dibuat terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu, diikuti 40.7% terhadap Malaysia Airlines. Sementara itu, Batik Air yang dahulunya dikenali sebagai Malindo Air menerima 99 aduan atau 7.9%. 

    Akhir tahun lalu, Loke mendapat kritikan apabila beliau hanya menegur Batik Air kerana kelewatan penerbangan walaupun masalah serupa yang lebih kerap berlaku di AirAsia. 

    “Sebagai menteri, beliau harus berlaku adil kepada semua pihak. Mengapa memilih Batik Air? Mengapa tidak disebut mengenai kelewatan dan pembatalan AirAsia atau isu bayaran balik? Ini berat sebelah,” kata pakar penerbangan tempatan Germal Singh Khera, yang juga seorang bekas pengarah Mavcom, lapor MalaysiaNow.

    Ulat dalam makanan 

    Bagi penumpang Jagruti Upadhaya, pengalaman menaiki AirAsia pasti tidak akan dilupakan.

    Ketika itu, dia dan keluarganya dalam penerbangan pulang dari Bali ke Kuala Lumpur pada Disember tahun lepas. Mereka memesan empat hidangan vegetarian untuk dimakan di dalam pesawat.

    “Ulat itu hanya dijumpai dalam bekas makanan anak saya.

    “Jadi kami semua tidak makan makanan yang diberi dan meminta pramugari mengambil semula makanan tersebut,” katanya.

    Jagruti berkata, kesabarannya sudah sampai ke hadnya apabila aduan yang difailkan menerusi AVA (chatbot AirAsia) seperti tidak dilayan kerana dia menunggu sehingga 25 Januari untuk mendapatkan maklum balas.

    “Selepas saya muat naik kenyataan di media sosial berserta gambar ulat itu, barulah AirAsia hubungi suami saya dan tawaran bayaran kredit RM100.

    “Kami bukan mahu duit, mereka patut minta maaf dengan ikhlas. Mujur tiada ahli keluarga jatuh sakit,” kata Jagruti yang sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap syarikat penerbangan itu.

    Bagi Christian Echica, warga Filipina yang bekerja di Malaysia, dia sudah menghantar lebih 10 emel sejak November tahun lalu kepada AirAsia untuk mendesak syarikat penerbangan itu memulangkan duitnya selepas penerbangannya pulang ke Cebu pada Krismas dibatalkan.

    Ini menyebabkan Echica terpaksa pulang menggunakan syarikat penerbangan lain dan terpaksa membayar tambahan RM1,718 untuk beli tiket penerbangan baru dengan Philippines Air.

    Pada masa sama, disebabkan Echica meragui AirAsia akan mengembalikan wangnya seperti yang dijanjikan dalam emel yang diterimanya, dia hanya berharap Loke dan Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

    “Jika mereka berada di tempat kami sebagai rakyat biasa, sudah tentu mereka inginkan keadilan.

    “Saya berharap pihak berkuasa akan lebih sensitif dengan isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya seperti menghubungi penumpang yang terjejas dan bertanyakan perkembangan kes ini,” katanya.

  • Terdesak nak undi orang Melayu sehingga terpaksa calarkan imej Bersatu – KJ

    Terdesak nak undi orang Melayu sehingga terpaksa calarkan imej Bersatu – KJ

    KERAJAAN campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dilihat terdesak untuk mendapatkan undi orang Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sehingga terpaksa mengambil tindakan untuk mencalarkan imej Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Bekas Ketua Pemuda UMNO yang dipecat, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, realitinya kerajaan campuran tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu, malah rakan sekutunya yang baharu pula diterajui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat ditolak majoriti.

    “UMNO sekarang ini tidak membawa nilai tambah kepada PH, liabiliti ada lah.

    “Kalau PH dengan 11 peratus undi Melayu kata Bridget Welsh, nak tambah sokongan daripada orang Melayu bukan dengan UMNO,” katanya dalam satu program wawancara malam tadi.

    Jelas Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, menyedari UMNO tidak akan memberi nilai tambah kepada mereka dalam menghadapi PRN, disebabkan itu kerajaan diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memberi tekanan kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dengan mencalarkan imej mereka menerusi siasatan agensi kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Jadi, sebab itu lah hari ini kita dengar dalam berita, apa sahaja perlu dilakukan untuk menjatuhkan PN… Apabila nampak gelombang itu kuat sangat, dia (PH) main SPRM sebab dia rasa orang Melayu ini dah menolak UMNO dan langkah seterusnya adalah mencalarkan PN pula.

    “Dia juga menggambarkan PN juga hoi ya hoi juga, jadi kita tunggu dan lihat lah beberapa hari ini apa yang akan berlaku,” katanya lagi, lapor Agenda Daily.

    Kelmarin, media melaporkan SPRM membekukan beberapa akaun milik Bersatu dipercayai ada kaitan dana RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

    Laporan media berhubung pembekuan akaun parti Bersatu itu kebetulan pula selepas kecoh isu lantikan anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat di kementerian sepanjang minggu ini.

    Pada masa sama, bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkongsi penyata akaun yang sudah diaudit di sebalik pelbagai dakwaan mengaitkan kononnya parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.

    “Bagi yang tuduh Bersatu terima RM4 bilion dari RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi boleh lihat penyata akaun parti tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit.

    “Akaun yang diaudit ini telah dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Ia telah difailkan di ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dan merupakan dokumen awam. Tak boleh tipu punya,” katanya.

    Pada masa sama, bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkongsi penyata akaun yang sudah diaudit di sebalik pelbagai dakwaan mengaitkan kononnya parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.

    “Bagi yang tuduh Bersatu terima RM4 bilion dari RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi boleh lihat penyata akaun parti tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit.

    “Akaun yang diaudit ini telah dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Ia telah difailkan di ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dan merupakan dokumen awam. Tak boleh tipu punya,” katanya.

  • Warisan turut mahu bertanding di Kedah di samping BN, PH

    Warisan turut mahu bertanding di Kedah di samping BN, PH

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI Warisan Tanah Air (Warisan) Kedah menuntut diberikan sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubunngan Warisan Kedah, Datuk Mustaffa Idrus, parti itu tidak boleh dipinggirkan kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada rakan dalam gabungan parti yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Beliau dalam pada itu turut mengharapkan agar Warisan diberi keutamaan dalam sebarang mesyuarat atau gerakan di negeri ini.

    “Kami mohon jika ada mesyuarat dan gerakan apa apa juga dimaklumkan kepada Warisan Negeri Kedah.

    “Saya juga Pengerusi Biro Perhubungan Awam Negeri Kedah amat berharap kerjasama yang jitu,” katanya.

    Tambahnya, Warisan tidak seharusnya diketepikan sebaliknya wajar diberi penghormatan bersama-sama gabungan lain dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Semangat seperti ini perlu dalam menjamin kestabilan sebuah konsesus. Parti besar atau kecil perlu dilayan dengan semangat perpaduan yang tinggi.

    “Kami juga berharap agar Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diberikan tempat dan kedudukan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan demi kestabilan serta keteguhan perjanjian untuk negara serta rakyat,” katanya

  • SPRM tahan pengajar sekolah memandu

    SPRM tahan pengajar sekolah memandu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang tenaga pengajar sekolah memandu kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang calon ujian.

    Majistret M. Mageshwary mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia 70-an dan bekerja di sebuah sekolah memandu di Petaling Jaya ditahan pukul 3 petang semalam, selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.

    Penahanan lelaki itu susulan daripada penahanan reman selama lima hari membabitkan seorang wanita yang juga pekerja sambilan di sekolah memandu itu semalam kerana disyaki meminta wang berjumlah RM650 daripada seorang calon ujian memandu sebagai dorongan bagi mendapat lesen ‘dijamin lulus’.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan suspek lelaki itu.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

  • PN muktamad agihan kerusi Selasa depan

    PN muktamad agihan kerusi Selasa depan

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memuktamad agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) pada mesyuarat pusat, Selasa ini.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perbincangan bersama barisan kepimpinan pusat akan diadakan di Kuala Lumpur bagi PRN di enam negeri.

    “Insya-Allah, dalam minggu depan kita akan bincang. Perbincangan kerusi dilakukan di peringkat pusat.

    “Ada pun di negeri-negeri mereka sebut nak itu nak ini. Itu adalah perkara biasa. Anak-anak (pemimpin negeri) akan minta macam-macam. Mak ayah (pemimpin pusat) akan bincang dan selesaikan,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.

    Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN Terengganu berkata, PN menyasarkan untuk memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu sekali gus mengekalkan pembentukan kerajaan negeri.

    Beliau berkata, pihaknya yakin dapat mempertahan 22 kerusi Pas dan merampas 10 kerusi UMNO berdasarkan reaksi positif rakyat serta keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

    “Sasaran memang kita masuk pilihan raya kita masuk semua kerusi 32 DUN. Kita ingin mencapai 32 (kerusi menang). Mana ada orang masuk perlawanan nak kalah.

    “Reaksi rakyat yang kita dapat dengan cara yang sangat positif dan keputusan PRU yang baru ini. Jadi, kita percaya dengan apa yang berlaku sekarang ini di peringkat pusat. Insya-Allah, ia akan memberi kelebihan kepada kita di negeri Terengganu ini,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada Terengganu akan mengikut Kedah yang memberi bayangan akan membubarkan DUN selepas 18 Jun seperti yang dikatakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan dipertimbang.

    “Kita akan pertimbangkan apa yang disebut Menteri Besar Kedah,” katanya.

    Pada PRU14 yang lalu, Pas memenangi 22 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen sekali gus mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

    Pada PRU15 yang lalu, PN Terengganu berjaya menyapu bersih semua lapan kerusi Parlimen di negeri itu.

  • 13 MP BERSATU dilantik ketuai portfolio bagi teliti, kaji, juarai isu babitkan kementerian berkaitan

    13 MP BERSATU dilantik ketuai portfolio bagi teliti, kaji, juarai isu babitkan kementerian berkaitan

    SERAMAI 13 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilantik mengetuai portfolio bagi meneliti, mengkaji dan menjuarai isu-isu membabitkan kementerian berkaitan.

    Pelantikan ketua-ketua portfolio itu diadakan selepas tamat Pemukiman Ahli-Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional 2023 yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu, semalam.

    Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini selaras dengan akujanji Perikatan Nasional untuk menjadi pembangkang yang bertanggungjawab, berkesan, efektif, berwibawa serta berintegriti tinggi.

    “Portfolio ini adalah tanggungjawab berkumpulan. Ketua-Ketua Portfolio akan dibantu oleh Ahli Jawatankuasa Portfolio yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lain.

    “Perikatan Nasional yakin dengan pengalaman serta komitmen kesemua Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional ini, yang akan melangkah secara sederap sebagai sebuah pasukan, tugas kami untuk melakukan check and balance, benar-benar kukuh dan ampuh,” katanya, lapor Berita Bersatu.

    Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata rakyat akan dapat melihat perbahasan, kritikan serta lontaran idea yang berkualiti daripada PN dalam sesi persidangan Parlimen nanti.

    Berikut senarai Ahli-Ahli Parlimen BERSATU yang dilantik:

    Portfolio Kewangan dan Ekonomi
    Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin (Putrajaya) – Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi
    Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu) – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
    Dato Rosol Wahid (Hulu Terengganu) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
    Datuk Muslimin Yahya (Sungai Besar) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

    Portfolio Keselamatan & Perundangan
    Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) – Kementerian Pertahanan
    Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) – JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)
    Datuk Ali Biju (Saratok) – JPM (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas)

    Portfolio Komunikasi & Digital
    Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) – Kementerian Komunikasi & Digital

    Portfolio Pendidikan & Sumber Manusia
    Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) – Kementerian Pendidikan & Kementerian Pendidikan Tinggi

    Portfolio Agama, Sosio-budaya & Generasi Muda
    Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (Langkawi) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya

    Portfolio Kemajuan Desa, Wilayah & Pertanian
    Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
    Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai) – Kementerian Perladangan dan Komoditi

    Portfolio Antarabangsa
    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) – Kementerian Luar Negeri

  • Empat ditahan bantu siasatan kes bunuh pelatih Puspen Perlop

    Empat ditahan bantu siasatan kes bunuh pelatih Puspen Perlop

    SEORANG pelatih serta tiga kakitangan Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Perlop, di Sungai Siput, ditahan polis Selasa lalu, bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih pusat pemulihan itu yang disyaki dibunuh.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, polis menerima maklumat kematian pelatih lelaki berusia 50 tahun itu 12.55 tengah hari dan siasatan awal mendapati ada kecederaan pada badan mangsa.

    “Mangsa dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati kecederaan pada belakang badan mangsa akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

    “Susulan itu, empat individu berusia lingkungan antara 30 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 8 Februari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau turut menasihati masyarakat untuk tidak sesekali menularkan maklumat tidak sahih dan spekulasi berhubung kes itu.