Author: Wartawan WartaRakyat

  • Saya tak kelirukan Parlimen isu mansuh PTPTN, kata Wan Ahmad Fayhsal

    Saya tak kelirukan Parlimen isu mansuh PTPTN, kata Wan Ahmad Fayhsal

    AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar.

    Tegas beliau, PH memang ada meletakkan janji tersebut dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.

    Manfesto pendidikan PH PRU-15

    Beliau mengulas usul yang dibuat oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap dirinya kerana membuat kenyataan mengelirukan berhubung janji tersebut.

    “Saya nak tunjuk kepada media ini manifesto PH pengampunan hutang PTPTN bersasar ada. Ada kenyataan dibuat. Saya tidak menyalahi Dewan Rakyat. Saya tidak kata hutang PTPTN ini dihapuskan secara total tetapi saya kata memang ada.

    “Saya tanya apa iltizam kerajaan. Apakah polisi kerajaan hari ini berhubung hutang PTPTN,” kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu Malaysia berkata, anak muda ingin tahu mengenai polisi tersebut.

    Menurut beliau, berdasarkan jawapan Rafizi, beliau yakin PH tidak ingin menunaikan janji berkenaan.

    “Manifesto ini nampaknya tidak ingin dijadikan rujukan oleh mereka untuk dilunaskan janji-janji selepas menjadi kerajaan. Kalau kita imbau, banyak pihak berjanji dan orang yang paling banyak janji dengan formula adalah YB Pandan.

    “Jangan kata, ini bukan kita suci lagi. Saya rasa kita sudah melepasi fasa tersebut. Apakah pendirian sebenar kerajaan. Itu saya tidak nampak,” katanya.

    Rafizi hari ini berkata, beliau akan mengusulkan supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal.

    Menteri Ekonomi itu berkata, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa manifesto ada menjanjikan untuk menghapuskan pinjaman PTPTN.

    “Mengikut peraturan 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis, dan ahli tu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

    “YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ni (ada janji) menghapuskan PTPTN. Itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini.

    “Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor BeritaBersatu.

    Rafizi berkata demikian ketika mencelah sewaktu sesi soalan tambahan dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.

    Usul tersebut mendapat keizinan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor yang kemudian meminta Rafizi membuat usul tersebut secara bertulis.

  • Kerajaan perlu hentikan amalan nepotisme, kata Wan Saiful

    Kerajaan perlu hentikan amalan nepotisme, kata Wan Saiful

    PEMBANGKANG mendesak kerajaan supaya menghentikan amalan nepotisme dan kronisme dengan melantik individu yang mempunyai hubungan keluarga ke dalam jawatan kerajaan.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor (Bersatu), Datuk Saiful Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan sebelum ini jelas membuktikan kerajaan sedang mengamalkan nepotisme.

    Katanya, pelantikan Nurul Izzah Anwar adalah bertentangan dengan prinsip yang diperjuang selama ini iaitu menentang kronisme dan nepotisme, malah Perdana Menteri sanggup ‘tidur sebantal’ dengan Barisan Nasional (BN) terutama UMNO.

    “Kami mengingatkan kepada Perdana Menteri agar bertindak segera dan jangan melihat negara ditadbir dengan amalan nepotisme dan kronisme apatalah lagi anak sendiri di dalam jawatan penting kerajaan.

    “Ini bukan soal layak atau tidak atau emolumen (gaji) tidak diberi, tetapi ini soal risiko wujudnya konflik kepentingan di dalam urus tadbir kerajaan. Sebagai ketua sekretariat, sudah pasti (Nurul Izzah) ada kemudahan dan akses kepada kerja-kerja yang dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

    Kelmarin, Nurul Izzah yang tewas di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengesahkan tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

    Nurul Izzah kini dilaporkan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan setelah menerima jemputan daripada pengerusi Tan Sri Hassan Marican untuk mengetuai sekretariat itu secara bersama.

    Jawatankuasa itu akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

    Selain itu, jawatankuasa berkenaan berperanan menasihati Menteri Kewangan mengenai perkara berkaitan subsidi, menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik lapor Utusan Malaysia.

  • Intimidasi pengguna TikTok, PN kecam kerajaan sekat kebebasan bersuara

    Intimidasi pengguna TikTok, PN kecam kerajaan sekat kebebasan bersuara

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) mengecam kerajaan kerana aktif mengambil tindakan terhadap pemilik akaun TikTok dan mendakwa langkah ini sebagai usaha menyekat kebebasan bersuara.

    Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dinyatakan dalam perkara ke 17 apabila mengemukakan janji untuk menjamin kebebasan bersuara dan tidak akan mengenakan undang-undang terhadap individu yang mengkritik kerajaan.

    Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas berkata, keadaan sebaliknya yang berlaku apabila kritikan dan perkara yang diutarakan anak muda yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan pula dianggap sebagai fitnah.

    “Kami mengecam tindakan intimidasi atau provokasi yang telah dilakukan pihak kerajaan kepada terutamanya TikTokers dalam kalangan anak muda yang dikatakan menyebarkan bahan-bahan fitnah terhadap kerajaan sedangkan itu hanyalah salah satu elemen kebebasan bersuara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

    Dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH berjanji untuk menjamin hak kebebasan media dan hak bersuara yang mana terdapat empat pendekatan yang akan dilakukan.

    Salah satunya ialah “Memansuhkan Akta Zalim” dengan menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta yang boleh disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

    Menurut Fadhli, tindakan terhadap pemilik akaun media sosial juga didakwa semakin berleluasa apabila notis terbaru dikeluarkan kepada seorang lelaki apabila beliau diminta hadir oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membantu siasatan.

    “Ini dikira sebagai tindakan satu usaha untuk menyekat kebebasan bersuara anak-anak muda.

    “Jadi saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, adakah pihak kerajaan hari ini sedang menyekat kebebasan bersuara anak muda yang telah diperjuangkan PH sendiri dalam manifesto?” soal beliau, lapor MalaysiaNow.

    Mengulas lanjut, Fadhli berkata, sekiranya kerajaan terus mengambil tindakan ini, anak-anak muda diseru supaya jangan menghentikan usaha mengkritik kerajaan dan menyuarakan suara yang dijamin dalam hak demokrasi.

  • Rafizi rujuk Wan Ahmad Fayhsal ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

    Rafizi rujuk Wan Ahmad Fayhsal ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

    AHLI Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli dilapor akan mengusulkan supaya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dirujuk kepada Jawatankusa Hak dan Kebebasan kerana membuat kenyataan mengelirukan Dewan.

    Memetik laporan Astro AWANI, Mohd Rafizi berkata, dakwaan Wan Ahmad Fayhsal manifesto Pakatan Harapan (PH) Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ada menjanjikan untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak benar.

    Menurutnya, janji seperti mana yang didakwa Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu merupakan satu pembohongan.

    “Mengikut peraturan 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis, dan ahli tu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

    “YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ini (ada janji) menghapuskan PTPTN.

    “Itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini.

    “Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta Dewan ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

    Usul tersebut mendapat keizinan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor yang kemudian meminta Rafizi membuat usul tersebut secara bertulis.

    Rafizi berkata demikian ketika mencelah sewaktu sesi soalan tambahan dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.

    Terdahulu sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan, Wan Ahmad Fayhsal meminta Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin menyatakan bila program pemansuhan hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan B40 akan mula diperkenalkan.

  • Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen bernilai RM150,000

    Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen bernilai RM150,000

    SEORANG wanita dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan permohonan dana sebanyak RM150,000 pada sembilan tahun lalu.

    Bagaimanapun tertuduh, Sarah Diana Michele Durai, 44 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai perhubungan perniagaan di WK Consortium Sdn Bhd menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen.

    Dokumen yang dimaksudkan ialah Surat Tawaran Kerja-kerja Projek Membersih Kawasan Kem Lok Kawi yang dituduh digunakan bagi tempoh kontrak dari 1 April 2014 hingga 1 April 2015.

    Pada 21 Mac 2014, tertuduh yang juga pemilik syarikat kekal bersama SZ Enterprise itu mengemukakan dokumen tersebut atas nama syarikatnya kepada Pejabat MARA Negeri Sabah bagi tujuan memohon pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress bernilai RM150,000.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

    Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh hingga dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya.

    Tertuduh yang diwakili peguam Sylvester Kuan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 daripada RM15,000 yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

    Menurut laporan Astro AWANI, tertuduh juga dikehendaki melapor diri setiap dua bulan sekali di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dan diarah menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

    Mahkamah memutuskan 12 April ini bagi pengurusan kes.

  • Sembilan nama dijangka rebut jawatan Naib Presiden UMNO

    Sembilan nama dijangka rebut jawatan Naib Presiden UMNO

    SEMBILAN pemimpin UMNO disebut-sebut akan bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

    Berita Harian dalam laporannya memetik sumber rapat berkata, bekas Perdana Menteri dan penyandang Naib Presiden paling kanan, Datuk Seri Ismail Sabri dikatakan tidak bertanding mempertahankan jawatannya.

    Kata sumber itu, dua Naib Presiden iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dijangka akan mempertahankan jawatan masing-masing.

    “Hari terakhir penyerahan borang pada 23 Februari, tetapi saya boleh katakan jawatan Naib Presiden akan ditandingi sembilan nama.

    “Tujuh yang lain adalah daripada kalangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT),” katanya kepada Berita Harian, semalam.

    Tujuh ahli MKT yang disebut-sebut bertanding jawatan Naib Presiden ialah Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

    “Sementara tiga lagi adalah bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang tewas di Parlimen Lumut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    Selain itu, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dijangka akan bertanding merebut jawatan itu seterusnya bersaing dengan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dijangka akan mempertahankan jawatan itu.

    Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula, sumber itu menjelaskan terdapat enam nama yang akan bersaing iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr Masliha Harun; Ahli MKT Wanita dan Naib Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta ahli MKT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

    “Selain itu, mereka yang lain adalah Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuantan, Cik Fadwah Anuwar atau mesra dipanggil Wawa; Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin dan Penolong Setiausaha Puteri, Asuma Beevi Mohamed Sali,” katanya.

    Setakat ini, Setiausaha Pemuda, Datuk Hasmuni Hassan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah sudah menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda manakala Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi belum menyatakan hasrat bertanding.

  • Gempa Turkiye: 39 mangsa ditemukan pasukan penyelamat Malaysia

    Gempa Turkiye: 39 mangsa ditemukan pasukan penyelamat Malaysia

    SEBANYAK 39 mangsa gempa bumi Turkiye berjaya ditemukan pasukan penyelamat Malaysia bagi Misi Bantuan Mencari dan Menyelamat (SAR) sepanjang lapan operasi dijalankan di Gaziantep, Turkiye.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi satu kenyataan berkata, daripada 39 mangsa yang ditemukan, lima daripadanya masih hidup manakala selebihnya telah meninggal dunia.

    “Seramai 143 orang pegawai daripada Malaysia yang menyertai Ops SAR Turkiye pada kali ini termasuk tiga pengamal media.

    “Pasukan MAS 01 dianggotai oleh enam orang pegawai JBPM dan 64 orang pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

    “Manakala, pasukan MAS 10 pula dianggotai oleh 30 orang pegawai JBPM, 20 orang pegawai SMART, 20 orang pegawai Angkatan Pertahan Awam (APM) serta tiga orang pengamal media,” katanya hari ini.

    Kata kenyataan itu, kesemua pegawai ditempatkan di Base Camp, Nurdagi Stadium, Gaziantep, Turkiye.

    “Kesemua 36 pegawai JBPM berada dalam keadaan yang sihat dan baik malah cuaca juga cerah dengan suhu 4 darjah Celsius,” tambah kenyataan itu lagi.

    Wisma Putra semalam memaklumkan, Malaysia menghantar 142 anggota penyelamat dan dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye, sekali gus menjadi pasukan operasi pertama dari negara ASEAN yang tiba di negara itu.

    Pasukan itu diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang turut disertai SMART, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM dan APM itu antara yang terawal sampai di tapak bencana di Gaziantep.

    Dua gempa bumi kuat berukuran 7.8 dan 7.6 magnitud yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin minggu lalu meragut ribuan nyawa.

    Angka kematian akibat gempa bumi di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang, manakala jumlah mangsa cedera seramai 40,910 setakat ini.

  • Lesen operasi Lynas diperbaharui tiga tahun lagi

    Lesen operasi Lynas diperbaharui tiga tahun lagi

    LESEN operasi Lynas Malaysia diperbaharui untuk tempoh tiga tahun lagi berkuat kuasa dari 3 Mac ini.

    Perkara itu disahkan Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) selepas anak syarikat milik penuhnya menerima notis daripada Jabatan Tenaga Atom bahawa Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bersetuju untuk meluluskan pembaharuan lesen berkenaan.

    Lesen operasi itu diperbaharui tanpa perubahan kepada syarat yang tertakluk kepada lesen dikeluarkan pada Mac 2020.

    Syarat itu dilarang mengimport dan memproses pemekat lantanid selepas 1 Julai 2023.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas, Amanda Lacaze, selepas 10 tahun beroperasi dengan selamat di Malaysia, syarikat berasa kecewa kerana syarat yang terpakai dalam lesen operasi pada 2020 masih kekal.

    “Ini adalah lesen operasi keenam kami dan empat lesen yang diberikan sebelum 2020 tidak termasuk dengan syarat berkenaan.

    “Walaupun syarat ini tidak akan berkuat kuasa sehingga 1 Julai 2023, ia tidak konsisten dengan syarat semasa Lynas dipelawa untuk melabur di Malaysia dan cadangan oleh empat semakan saintifik bebas, yang setiap satunya mendapati operasi di Malaysia adalah berisiko rendah dan patuh dengan peraturan.

    “Kami kini akan meneruskan rayuan pentadbiran dan undang-undang bagi memastikan Lynas dilayan dengan adil dan saksama sebagai pelabur langsung asing serta majikan dan penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

    Lynas memohon kepada pengawal selia negara ini untuk memansuhkan syarat sedemikian kerana ia sangat berbeza daripada syarat di bawah empat lesen operasi yang diberikan kepadanya sebelum ini, yang menjadi faktor ia membuat keputusan awal untuk melabur di negara ini.

    Syarat-syarat berkenaan dikatakan tidak mengikuti cadangan laporan Jawatankuasa Semakan Eksekutif 2018 ke atas operasi Lynas Malaysia.

    Jika tidak dimansuhkan menjelang 1 Julai 2023, syarat terbabit akan memerlukan penutupan komponen perekah dan pelarut resap di kilang Lynas Malaysia.

    Proses lain di kilang Lynas Malaysia tidak tertakluk oleh syarat berkenaan dan akan meneruskan dengan sumber baharu dari Kemudahan Memproses Nadir Kalgoorlie sebaik beroperasi.

    Lynas beroperasi dengan selamat di Gebeng, Pahang selama lebih 10 tahun dan empat semakan saintifik bebas, termasuk dua semakan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa mendapati kilangnya berisiko rendah serta mematuhi peraturan berkaitan.

    Nadir bumi yang dikeluarkan Lynas adalah input penting teknologi masa depan yang diperlukan bagi peralihan tenaga.

    Kilang Lynas Malaysia adalah kemudahan memproses nadir bumi tunggal terbesar di dunia dan satu-satunya pengeluar skala nadir bumi diasingkan di luar China.

    Lynas berkata, ia memberikan asas yang unik kepada pembangunan industri masa depan di Malaysia dan penutupan bahagian penting kilang itu berisiko menjejaskan pelaburan selanjutnya dalam kilang berkenaan, industri nadir bumi tempatan serta pelaburan asing.

    “Malaysia menawarkan ruang pentadbiran dan undang-undang untuk semakan semula syarat lesen, dan Lynas akan mendapatkan semula menerusi proses yang berkaitan dengan syarat terbabit,” katanya.

  • BN tak boleh usik kerusi disandang PH Kedah, kata Mahfuz

    BN tak boleh usik kerusi disandang PH Kedah, kata Mahfuz

    PAKATAN Harapan (PH) Kedah tidak bercadang memberi laluan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) bertanding di mana-mana kerusi DUN milik gabungannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi.

    Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, gabungan itu hanya sudi membincangkan pengagihan kerusi disandang Perikatan Nasional (PN).

    “Kalau telah dimenangi PH ia kekal milik PH, kita tak boleh ubah. Tiga DUN dimenangi BN pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu akan kekal kepada BN, kita PH tak boleh usik,” kata Mahfuz dipetik laporan Free Malaysia Today.

    Dalam kedudukan sekarang, PH menduduki sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah, manakala BN dua kerusi, berbanding 21 kerusi PN.

    ADUN Guar Chempedak keluar UMNO pada 2018 untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan kemudian menyertai Bersatu.

    Mahfuz berkata sehingga Kini PH dan BN Kedah belum mengadakan perbincangan rasmi menghadapi PRN nanti walaupun sudah ditubuhkan Sekretariat Kerajaan perpaduan di peringkat pusat yang bermesyuarat di pejabat UMNO baru-baru ini.

    “Tapi pertemuan tak rasmi ada dibuat,” katanya.

    Mahfuz mensasarkan sekurang-kurangnya 19 DUN untuk ditawan PH-BN pada PRN kelak.

    “PH sekarang ada 13 DUN, BN tiga berdasarkan keputusan PRU lepas, jadi kita perlu cari tiga DUN lagi untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya lagi.

    Sementara itu, Mahfuz yang kalah semasa PRU-15 lalu di kerusi Parlimen Pokok Sena berkata populariti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hanya sementara sahaja.

    “Dia hanya popular seperti kumpulan lawak. Bila tak ada lawak habislah,” katanya.

  • PATI Myanmar cari kerja di Malaysia dicekup di sempadan

    PATI Myanmar cari kerja di Malaysia dicekup di sempadan

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERCUBAAN 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar membolosi negara ini untuk mencari pekerjaan tidak kesampaian.

    Kesemua mereka ditahan ketika cuba masuk ke negara ini menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.

    Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), pihaknya mengesan dan menahan sekumpulan orang awam di kawasan ladang getah kerana cuba memasuki Malaysia secara haram kira-kira pukul 6 pagi, semalam.

    “Kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba memasuki Malaysia untuk mencari pekerjaan.

    “PATI yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita yang berumur antara 20 hingga 44 tahun.

    “Turut dirampas adalah 12 telefon bimbit, wang dalam mata wang Malaysia, Thailand dan Myanmar, dua pasport serta sembilan kad pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu memaklumkan, anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM8,139.

    Kesemua PATI kemudian diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.