Author: Wartawan WartaRakyat

  • Gerakan minta Pulau Pinang contohi negeri PN, peruntukan dana sama rata

    Gerakan minta Pulau Pinang contohi negeri PN, peruntukan dana sama rata

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan Pulau Pinang mengikut langkah Perikatan Nasional (PN) memberi peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri yang dikuasai mereka.

    Parti itu berkata keputusan kerajaan negeri tidak memberi peruntukan sama rata kepada wakil rakyat menggambarkan sikap yang berat sebelah.

    “Keputusan itu menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan kerajaan yang diketuai oleh beliau bukan sahaja kerajaan yang berat sebelah, tetapi juga mengambil kesempatan ini untuk menghukum pengundi yang sokong PN dalam PRN ke-15 baru-baru ini.

    “Gerakan menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk mengikut langkah PN yang memberi peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuk pembangkang di tiga negeri yang ditadbir oleh PN,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Terdahulu hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjelaskan kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan kepada kesemua 11 ADUN pembangkang mengikut dasar sedia ada.

    Bagaimanapun, Chow berkata jumlah peruntukan itu tidak akan sama dengan yang diperuntukkan kepada ADUN daripada kerajaan negeri.

    “Kami (kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) akan meneruskan dasar yang sama dari segi peruntukan untuk ADUN kerajaan negeri dan pembangkang.

    “Tetapi jumlahnya (peruntukan) tidak akan sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis angkat sumpah ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

    Tambahnya, semua ADUN Pulau Pinang bagi penggal ini akan menggunakan baki peruntukkan penggal lalu untuk dibelanjakan di kawasan masing-masing, lapor kosmo!.

    Minggu lalu, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) reformasi pilihan raya, Bersih memuji kerajaan Kelantan susulan pengumuman Menteri Besarnya, Mohd. Nassuruddin Daud untuk menyediakan dana pembangunan kawasan sama rata kepada semua ADUN negeri itu.

    Ini termasuk dua kerusi DUN pembangkang Kelantan yang diwakili Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Menurut Bersih, peruntukan pembangunan kawasan sama rata yang dimulakan kerajaan Perak di bawah kepimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad sejak 2020 dan kini diikuti kerajaan Kelantan perlu diteladani negeri-lain.

    “Kematangan politik seperti yang dilakukan di Perak dan Kelantan adalah jalan ke hadapan untuk negara bergerak ke arah politik yang lebih profesional dan tidak menghukum hanya kerana berbeza ideologi politik,” kata Bersih.

  • Polis rakam percakapan Tun M berkait Proklamasi Orang Melayu

    Polis rakam percakapan Tun M berkait Proklamasi Orang Melayu

    PERCAKAPAN Tun Dr. Mahathir Mohamad dirakam oleh polis petang tadi berkaitan Proklamasi Orang Melayu, kata peguam Rafique Rashid Ali.

    Polis sebelum ini pernah merakam percakapan bekas Perdana Menteri itu mengenai proklamasi itu, pada Jun lalu.

    Percakapan Mahathir hari ini dirakamkan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman berkaitan penglibatan beliau dalam sidang meja bulat persidangan Proklamasi Orang Melayu, kata Rafique.

    Rakaman berlangsung selama 30 minit di Yayasan Al Bukhary.

    “Mahathir menyatakan akan menjawab semua soalan di mahkamah,” katanya dalam satu rakaman video.

    Turut dirakam percakapan Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Marzuki Yahya dan Pengerusi Mobilisasi, Datuk Khairuddin Abu Hassan, lapor FMT.

  • Kerajaan Berkebajikan tak bertentangan perjuangan Pas-Tuan Ibrahim

    Kerajaan Berkebajikan tak bertentangan perjuangan Pas-Tuan Ibrahim

    PAS menepis dakwaan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa Pas menggugurkan ‘negara Islam’ apabila ia mengguna pakai konsep ‘kerajaan berkebajikan’.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ‘Kerajaan Berkebajikan’ sebenarnya tidak bertentangan dengan konsep ‘Negara Islam’ yang diperjuangkan Pas, dan ia digunakan selepas perbincangan mendalam oleh parti itu.

    “Bahkan beliau (Mohamad) juga menerima slogan tersebut. Ia bukan menggantikan atau mengubah dasar perjuangan Pas,” katanya memetik laporan FMT.

    Malam tadi, Mohamad ketika mendakwa Pas berpisah dengan Pakatan Rakyat bukan kerana hudud tapi nak bersama UMNO berkata, isu ‘Negara Islam’ selesai pada 2009 apabila Pas setuju menggantikannya dengan ‘Kerajaan Berkebajikan’.

    Penerangan itu menyusuli laporan bahawa Presiden Pas, Abdul Hadi Awang ketika berceramah di Johor pada Sabtu lalu mendakwa Pas meninggalkan Pakatan Rakyat kerana DAP enggan menerima hudud.

    Menjawab dakwaan Mohamad bahawa Pas memutuskan hubungan dengan DAP melalui muktamar pada 2015 tanpa perbincangan panjang, Tuan Ibrahim menjawab DAP juga pernah meninggalkan kerjasama lain, misalnya Barisan Alternatif menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada 2001.

    “Kerana kononnya bimbang dengan gabungan BA (Barisan Alternatif), sokongan DAP akan merosot. Ternyata DAP ditolak oleh pengundi di Sarawak. Akhirnya DAP menyertai semula gabungan selepas PRN Sarawak,” katanya.

    Tuan Ibrahim menambah, sejarah menunjukkan parti yang bergabung dengan DAP akan ditolak oleh pengundi Melayu.

    “Lihat sokongan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah bahkan sekarang UMNO merosot kerana kerjasama dengan DAP,” katanya.

    Barisan Alternatif merupakan gabungan tidak rasmi antara Pas, DAP, Parti Keadilan Nasional, Parti Rakyat Malaysia, dan Parti Sosialis Malaysia yang ditubuhkan pada 1998.

    Kerjasama rasmi antara pembangkang terbentuk pada 2008 menerusi Pakatan Rakyat, yang dianggotai oleh Pas, DAP, PKR, dan Parti Kebangsaan Sarawak.

    DAP pada 2015 bertindak memutuskan hubungan dengan Hadi, diikuti Muktamar Pas membuat keputusan membatalkan kerjasama politik dengan DAP pada tahun sama.

    Susulan perselisihan itu, Pakatan Harapan dibentuk oleh PKR, Amanah, DAP, dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu pada 2015.

  • Polis bantuan maut dengan kesan tembakan pada kepala

    Polis bantuan maut dengan kesan tembakan pada kepala

    SEORANG anggota polis bantuan ditemui maut dengan kesan satu das tembakan di bahagian kepala dalam kejadian di ruang rehat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Kota Kinabalu pukul 9.30 pagi tadi.

    Mangsa yang berusia 42 tahun itu ditemui oleh rakan sekerjanya dalam keadaan berlumuran darah.

    Difahamkan, mangsa ditemui terlantar di kerusi rehat dengan pendarahan di bahagian kepala.

    Sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian dan ketika itu mangsa masih bernyawa.

    Bagaimanapun, kira-kira setengah jam kemudian pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di Kota Kinabalu yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telahpun meninggal dunia.

    Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta Unit Forensik IPK Sabah turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd. Rahim ketika ditemui di lokasi kejadian mengesahkan kejadian terbabit.

    “Mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE I untuk tindakan lanjut dan kes mengenai kejadian itu masih dalam siasatan polis,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Turut berada di lokasi kejadian Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) IPK Sabah, Superintenden Alhusin Halil.

  • Bukan Islam campur tangan hal pengajian 40 hadis melampau – PPIM

    Bukan Islam campur tangan hal pengajian 40 hadis melampau – PPIM

    PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa menyiasat semua kenyataan media dibuat mengenai isu pengajian 40 hadis yang disifatkan semakin melampau.

    Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sehubungan itu pihaknya juga akan membuat laporan polis mengenai perkara berkenaan.

    “Agama Islam adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Pendidikan Islam untuk pelajar Islam juga hak umat Islam.

    “Tindakan pihak bukan Islam masuk campur urusan Islam dalam negara ini sudah melampau. Adakah pihak yang menentang pelaksanaan modul Hadis 40 ini sudah meneliti dan mendapati ia boleh mengancam kesejahteraan orang bukan Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Sebelum ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

    Pelaksanaan modul tersebut disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama.

    Dalam pada itu, Nadzim mengingatkan semua pihak agar tidak menyebar kandungan berbaur kebencian melibatkan 3R (bangsa, agama dan raja) yang tidak hanya termaktub bidang politik, malah keseluruhannya.

    “Jangan ingat kami akan berdiam diri. Siapa mereka mahu meletakkan syarat dan mengugut sekiranya pengajian 40 hadis diteruskan,” tegasnya, lapor Sinar Harian.

  • Bersatu mahu dakwaan kerakyatan kepada 54,000 warga China disiasat

    Bersatu mahu dakwaan kerakyatan kepada 54,000 warga China disiasat

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia.

    Gesaan itu dibuat walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah pun menafikannya.

    Dakwaan ini muncul kali pertama di media sosial awal bulan ini. 

    Dakwaan itu menyebut mereka akan diberikan kerakyatan supaya menjadi “pengundi DAP”.

    Hantaran di Facebook Pas Pusat mengenai 54,000 warga China yang diberi kerakyatan negara ini.

    Tanpa mengemukakan bukti terdapat dakwaan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris semalam berkata, siasatan perlu dibuat terhadap Saifuddin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN.

    “Mana mungkin pokok bergoyang begitu sahaja kalau tiada angin yang bertiup!” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial Pas semalam.

    Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah jenayah dan akan mengusulkan kepada Saifuddin supaya laporan polis dibuat lapor Malaysiakini.

  • Nahas Elmina: Rakaman suara 30 minit terakhir pesawat berjaya diperoleh

    Nahas Elmina: Rakaman suara 30 minit terakhir pesawat berjaya diperoleh

    RAKAMAN suara 30 minit dalam komponen ‘memory puck’ pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, berjaya diekstrak di makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS) semalam.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata hasil daripada ekstrak itu, Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik.

    “Mengenai nahas pesawat di Elmina, semalam, dibantu jurutera di sana (Florida) membantu mendapatkan data, dan hasilnya data itu berjaya diekstrak daripada ‘memory puck’.

    “Jadi, semua rakaman suara dalam pesawat terutama 30 minit terakhir sebelum sehingga nahas itu berlaku, berjaya dimuat turun,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini, lapor Berita Harian.

  • Pemuda PN, pendakwah kritik ‘pelajar tahfiz’ dibawa sertai konsert

    Pemuda PN, pendakwah kritik ‘pelajar tahfiz’ dibawa sertai konsert

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, tampil mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa menjemput pelajar tahfiz ke sebuah konsert yang diadakan pada Sabtu lalu.

    Difahamkam anggota parlimen Pasir Mas itu merujuk kepada satu video TikTok yang memperlihatkan kehadiran sejumlah individu yang dikatakan memakai kopiah atau serban.

    Majlis itu juga dikatakan turut menampilkan hiburan yang dianggap tidak sesuai dengan pelajar terbabit.

    “Kepada pihak yang menjemput anak-anak tahfiz (jika dilihat kepada pakaian berjubah dan berserban) ke konsert KFC semalam, saya mohon sensitiflah sikit.

    “Apa tujuan pergi hadap anak-anak pelajar agama ke konsert seperti itu? Apa nilai yang anda ingin sampaikan?” soalnya dalam hantaran di Facebook, malam tadi, lapor MalaysiaKini.

    Difahamkan ia berlaku dalam Konsert Kepci Music Fest yang berlangsung di Stadium Malawati di Shah Alam bersempena sambutan ulang tahun ke-50 KFC.

    Konsert selama hampir tiga jam itu menyaksikan lebih 8,500 penonton membanjiri premis berkenaan bagi menyaksikan persembahan artis seperti Amy Search, Siti Nurhaliza, Ella, Misha Omar dan Bunkface.

    Selain itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut dilaporkan meghadiri konsert berkenaan.

    Malaysiakini setakat ini tidak dapat mengesahkan secara bebas bahawa kumpulan penonton yang dirujuk Ahmad Fadhli itu benar-benar pelajar tahfiz atau sekolah agama.

    Ahmad Fadhli berkata, beliau berasa sedih dan terhiris hati apabila melihat video anak-anak pelajar agama terbabit yang mungkin terkejut dengan suasana di tempat berkenaan.

    “Soal PMX (Anwar) turut sama menonton itu terpulanglah, saya tidak mahu komen, boleh buat penilaian sendiri,” katanya.

    Sementara itu harakahdaily turut mengetengahkan isu berkenaan dengan menyiarkan satu artikel berkaitan.

    Penulisnya, Nurul Islam Mohamed Yusoff mengkritik keras penganjuran konsert yang didakwa menjemput sekumpulan pelajar-pelajar tahfiz itu.

    Kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia itu, beliau sebagai bapa pelajar tahzif berasa sangat geram dengan apa yang berlaku kerana ia bercanggah dengan nasihat yang diberikan kepadanya sebelum ini.

    Konsert KFC dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Anggap anjuran kerajaan Madani

    Menurut Nurul Islam, antara pesanan yang diterimanya ialah pentingnya persekitaran yang baik dalam membantu anak menghafal.

    “Guru peranan dia dekat sekolah, ibu bapa peranannya dekat rumah. Pemakanan pelajar perlu dijaga, apa yang dilihat dan ditonton juga perlu dijaga.

    “Tetapi apa yang berlaku ni sangat mengecewakan, apabila pelajar tahfiz ini dibawa ke konsert, aku ulang konsert yang penuh nyanyian, joget dan tarian liar,” tulisnya seperti dipetik itu lidah rasmi Pas itu.

    Dalam perkembangan sama pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin turut memberikan respon kurang senang terhadap isu berkenaan apabila ia membabitkan kerajaan.

    Menurutnya, terdapat satu video tersebar menunjukkan agak ramai anak-anak muda yang menari seperti orang sedang mabuk dan mendakwa kelibat seperti Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga kelihatan.

    Dalam sekian banyak komen, kata Wan Ji, semuanya menganggap individu terbabit gagal membentuk imej Islam dalam kerajaan Madani sehingga memberi kesan buruk pada kerajaan dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

    “Dalam pada itu pula, turut hadir adalah sebilangan anak-anak muda yang memakai serban. Ramai yang memberi komen bahawa itu adalah anak-anak tahfiz al-Quran yang dijemput hadir dalam program terbabit. Saya tidak tahu, program itu anjuran siapa.

    “Bagaimanapun, saya anggap adalah satu kegilaan dan kejahatan, program seburuk itu dijemput anak-anak tahfiz al-Quran untuk hadir.

    “Sekarang ini, ramai persepsikan bahawa itu adalah program anjuran kerajaan Madani hanya kerana ada individu seiras menteri komunikasi dalam program terbabit,” katanya.

    Wan Ji berkata, memang ada kemungkinan hal itu tidak benar namun baginya, konsep Madani sepatutnya membentuk masyarakat bertamadun dengan mengikut nilai-nilai agama.

    “Program tarian seperti orang mabuk itu bukan sekadar tidak bertamadun, bahkan amat jauh dari nilai Islam,” katanya di Facebook, hari ini.

    Malaysiakini sudah menghubungi pihak penganjur konsert berkenaan dan menunggu respon lanjut berhubung perkara yang dibangkitkan itu.

  • Empat lelaki warga Myanmar lepas, bebas tuduhan bunuh rakan senegara

    Empat lelaki warga Myanmar lepas, bebas tuduhan bunuh rakan senegara

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan empat lelaki warganegara Myanmar daripada pertuduhan membunuh rakan senegara mereka, empat tahun lepas.

    Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Pau Deih Lian, Kai Lian Mong, Kai Za Muang dan Tuang Siang Muang di akhir kes pendakwaan, tanpa perlu memanggil mereka membela diri atas pertuduhan itu.

    Dalam penghakimannya, Muniandy berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan seorang anggota keselamatan yang dikenali sebagai Rajan adalah individu yang menghayun cota ke arah sekumpulan warga Myanmar ketika pergelutan semasa kejadian.

    “Persoalannya adakah Rajan merupakan individu yang memukul mangsa hingga mati? Persoalan itu tidak terjawab sehingga akhir kes pendakwaan memandangkan Rajan tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

    “Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan lain, individu yang boleh memberikan penjelasan mengenai kejadian ini adalah Rajan kerana dia adalah individu terakhir berbual dengan mangsa, dan satu-satunya inidvidu yang mempunyai senjata yang boleh menyebabkan kecederaan senjata tumpul kepada si mati adalah Rajan, dan orang bukan lain.

    “Malah keterangan pakar patologi di mahkamah turut mengesahkan kematian mangsa adalah disebabkan objek tumpul yang dialami, namun tiada bukti daripada pihak pendakwaan menunjukkan bahawa kesemua tertuduh bersenjata. Oleh itu, keempat-empat tertuduh dibebaskan dan dilepaskan tanpa perintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh yang dihadapi mereka,” kata hakim itu.

    Mengikut pertuduhan, mereka berumur antara 30 tahun hingga 40 tahun itu didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kematian seorang lelaki pekerja kedai kopi yang dikenali dengan nama panggilan ‘kawan’ di Jalan Pudu Lama, Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 10 pagi, 18 November 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir manakala keempat-empat tertuduh masing-masing diwakili peguam Datuk C. Vignesh Kumar, P.G. Cyril, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dan M. Visvanathan.

    Sebelas saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 28 Feb lepas.

  • PN tuntut firma insurans beri penjelasan penggunaan data skim Insan

    PN tuntut firma insurans beri penjelasan penggunaan data skim Insan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham menuntut penjelasan daripada syarikat insurans, AmGeneral Insurance berhubung kebocoran data peribadi beliau dan jutaan penduduk negeri Selangor yang didaftarkan di bawah Skim Insurans Hayat Selangor (Insan).

    Menurut pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu, situasi itu menjadi kebimbangan kerana polisi insurans didaftar tanpa persetujuan mereka.

    “Ini isu kedaulatan rakyat dan negeri kerana kita tak mahu syarikat mempunyai kebebasan menjual data peribadi kepada syarikat lain, atau kepada musuh negara,” katanya pada sidang media hari ini.

    Beliau dan beberapa aktivis termasuk Badrul Hisham Shaharin menyerahkan memorandum kepada pengurusan syarikat AmGeneral Insurance di Brickfields hari ini.

    Hilman membangkitkan isu pegangan saham kerajaan negeri dalam syarikat Wavpay Fintech Sdn Bhd pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas. 

    Katanya ketika itu, kerajaan negeri tidak mempunyai kawalan terhadap data-data milikan syarikat walaupun melabur RM10 juta untuk pembelian sebahagian saham syarikat. 

    Katanya, beliau tidak pernah mendaftar dalam skim tersebut namun telah mempunyai sijil insurans.

    “Akta Perkhidmatan Kewangan jelas menyebut insurans hanya sah apabila polisi dikeluarkan. 

    “Kalau ia merupakan satu polisi, saya ingin mendapat maklum balas daripada syarikat insurans bagaimana mereka mendaftarkan saya tanpa persetujuan,” katanya lapor Malaysianow.

    Antara lain, memorandum tersebut mendakwa AmGeneral Insurance dan Takaful Ikhlas melakukan jenayah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan ekoran data rakyat diperoleh secara haram untuk mendaftarkan penama dalam polisi insurans.

    Ini termasuk penama yang sudah meninggal dunia. 

    Insan menjadi kontroversi apabila beberapa pempengaruh media sosial mendedahkan beberapa nama telah didaftarkan tanpa persetujuan mereka.

    Persoalan juga timbul mengenai status Wavpay Fintech Sdn Bhd yang sebelum itu dilaporkan syarikat pinjaman wang berlesen.

    Menurut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ia hanya proses pra-pendaftaran dan penama perlu mengesahkan persetujuan polisi itu.