Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pendedahan Mat Sabu bukan benda baharu – Sanusi

    Pendedahan Mat Sabu bukan benda baharu – Sanusi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pendedahan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berhubung penolakan Pas terhadap DAP sebagai isu basi.

    Beliau berkata, Amanah menjadikan isu lama sebagai pendedahan baharu sedangkan hakikatnya sejarah berkaitan isu berkenaan sudah lama diketahui umum.

    Menurutnya, apa yang didakwa Mohamad juga merupakan satu tuduhan semata-mata.

    “Saya rasa parti itu (Amanah) pun parti yang di hujung usia, di hujung nyawa. Jadi mereka cuba mencari nafas baharu.

    “Benda (isu penolakan DAP) tak boleh membantu Amanah pun untuk berikan ‘oksigen’. Tak ada oksigen,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, pada Rabu.

    Pada Isnin, Mohamad mendakwa Pas memutuskan kerjasama dengan DAP kerana berhasrat mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO dan perkara itu dipersetujui dalam perbincangan Muktamar Pas pada 2015.

    Pendedahan yang dibuat dalam ceramah di Muar itu mendakwa Pas memutuskan hubungan dengan DAP bukan disebabkan hudud sebaliknya mahu menjalin kerjasama dengan UMNO.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, perkara itu tidak perlu lagi diperjelaskan berulang kali kerana semua jawapan sudah tersedia sebelum ini.

    “Semua jawapan itu dah ada. Dia kata akan buat satu pendedahan, tengok-tengok tak ada apa pun.

    “Benda yang sudah ada jawapan, itu bukan benda baharu. Itu semua tuduhan saja. Mat Sabu pun dah jadi sejarah juga,” tambahnya, menurut Sinar Harian.

  • Hapus sistem sekolah vernakular rapat jurang antara kaum – Tun M

    Hapus sistem sekolah vernakular rapat jurang antara kaum – Tun M

    BEKAS perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka mahu sistem sekolah vernakular di negara ini dihapuskan.

    Bercakap dalam sesi soal jawab di Putrajaya, beliau berkata tindakan itu merupakan cara terbaik merapat jurang antara kaum melalui pendidikan.

    “Salah satu cara terbaik rapat jurang antara kaum ialah melalui pendidikan dan antaranya dihapuskan sekolah vernakular,” katanya menurut Utusan Malaysia ketika menghadiri Majlis Ilmu “Peradaban dan Sosiologi” diadakan bersempena Minggu Negarawan anjuran Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Putrajaya.

    Pada 28 Julai tahun lalu, beliau ketika Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu mendakwa idea sekolah vernakular ditutup tidak wajar diberi keutamaan.

    Menurut Dr Mahathir, “kaum pendatang” yang meraih kerakyatan secara automatik selepas merdeka wajar menerima fakta Malaysia ialah negara Melayu.

    “Kalau kita betul-betul berniat mahu jadi satu negara tanpa beza kaum, mereka kena akui ini memang negara Melayu malah nama asalnya pun memang Tanah Melayu,” katanya.

    Beliau berkata, ada kaum tertentu enggan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan (SK) kerana sistem pendidikannya seperti imej “sekolah agama”.

    Katanya, meskipun keadaan itu diperbaiki beliau mendakwa kaum minoriti tetap tidak mahu menghantar anak mereka ke SK.

    “Etnik pendatang itu tidak hendak bercampur gaul dengan murid Melayu dan ingin mengekalkan adat budaya termasuk bahasa ibunda mereka seperti situasi negara asal,” katanya.

    “Contoh di Amerika Syarikat (AS), Australia dan Britain apabila imigran fasih bahasa Inggeris dan mengamalkan budaya setempat bagi diberi kewarganegaraan. Misalnya Perdana Menteri United Kingdom, Rishi Sunak berketurunan India tetapi jika kita tutup mata dengar cakap dia, pasti tidak dapat beza dengan orang tempatan,” katanya.

  • SOP berkaitan REE boleh elak kecurian – Sanusi

    SOP berkaitan REE boleh elak kecurian – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    GARIS panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan unsur nadir bumi (REE) yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat mampu mengelak kegiatan kecurian mineral itu daripada terus berlaku.

    Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, langkah memperkenalkan SOP itu juga bertepatan kerana sudah tiba masa kerajaan negeri diberi ruang meneroka REE sebagai hasil pendapatan baharu.

    Beliau berkata, bukan hanya di Kedah tetapi sumber mineral yang sama turut ditemukan di beberapa negeri lain yang bakal memanfaatkan pelbagai pihak.

    “Saya lega kalau dah ada SOP, kita boleh mulakan (perlombongan). Kita duk tunggu itu saja selama ini sampai orang curi (REE). Kita akan ikut SOP itu.

    “Harap-harap tak ada kecurian (REE) lagi (bila) sudah ada SOP. Kerajaan-kerajaan negeri dah boleh buat kelulusan berdasarkan SOP itu, jadi kecurian akan dapat diatasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Aman.

    Kelmarin, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jawatankuasa berkaitan mineral yang dipengerusikannya di bawah Majlis Mineral Negara akan dipanggil untuk berbincang mengenai garis panduan dan SOP berkaitan REE.

    Beliau berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh exco negeri yang bertanggungjawab berkaitan mineral dan galian.

    Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains serta Hasil Bumi negeri pada masa sama menyambut baik tentang pengeluaran SOP itu.

    “Alhamdulillah kalau ada SOP tu saya ucap terima kasih kepada Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim serta menterinya, Nik Nazmi kerana tindak balas yang pantas.

    “Saya harap Kedah akan ada hasil-hasil baharu daripada REE berdasarkan SOP itu. Deposit paling besar ada di Terengganu, sebelum ini yang diteroka jadi projek perintis untuk membangunkan SOP itu di Perak dan sepatutnya Kedah negeri kedua untuk projek perintis,” katanya.

    Kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, menjadi polemik sebelum ini termasuk menjadi modal kempen ketika pilihan raya negeri (PRN) Kedah.

    Bagaimanapun perkara itu tidak menjejaskan kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) walaupun cuba diasak bertalu-talu oleh Kerajaan Persekutuan terutama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

  • PRK:Calon PN terus dekati pengundi, tidak anggap perpecahan UMNO Pulai satu kelebihan

    PRK:Calon PN terus dekati pengundi, tidak anggap perpecahan UMNO Pulai satu kelebihan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar tidak melihat pergolakan dan perpecahan dalaman UMNO Bahagian Pulai sebagai satu kelebihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

    Menurutnya, beliau dan jentera PN tidak mahu mengambil kesempatan terhadap masalah dalaman UMNO sebaliknya dalam tempoh 10 hari berkempen ini akan mendekati pengundi di semua 40 pusat daerah mengundi (PDM) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan DUN Pulai.

    “Jika kita melayan atau bergantung dengan keadaan itu, kita akan lemah dan berkhayal.

    “Tidak ada jalan lain untuk menang selain berkerja keras. Apa yang berlaku dalam UMNO Pulai itu boleh dikatakan sebagai bonus, tidak lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa berkempen di Kempas, Johor Bahru hari ini.

    Minggu lalu sebanyak 11 kain rentang dengan tulisan ‘Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan’ yang digantung sekitar daerah ini sekali gus tular dalam media sosial.

    Difahamkan ketua-ketua UMNO cawangan dalam bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kait.

    Susulan itu pada Sabtu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed akan bertemu dengan ketua-ketua cawangan bahagian itu untuk berusaha keras memujuk mereka yang tidak mahu menyokong Suhaizan pada PRK Parlimen Pulai.

    Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya juga tidak mahu leka dengan dakwaan gelombang hijau akan membantunya menang dalam PRK tersebut.

    Mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa kain rentang tersebut digantung pihak lawan kerana mahu memecahbelahkan perpaduan antara BN dan Pakatan Harapan (PH), beliau menafikan tuduhan itu.

    “Buat apa kita nak pasang kain rentang itu, lebih baik kita pasang kain rentang dan bendera PN. Logiknya kalau itu kita yang buat, lebih baik kita gantung banyak-banyak di seluruh Johor Bahru,” katanya.

    Berkenaan sambutan masyarakat Cina, anak kelahiran Tampoi itu berkata, setakat ini semasa berkempen beliau dan jentera diterima baik namun sukar meramalkan kecenderungan mereka.

    “Kita jumpa pengundi Cina dan tidak ada apa yang boleh dilakukan melainkan terus menyantuni mereka. Secara dasarnya kita bertemu mereka dan mereka mesra serta gembira, tapi tidak tahu (pilihan mereka),” katanya.

  • ‘Gerakan politik di Malaysia mesti libatkan Pas, king maker’ – Sanusi

    ‘Gerakan politik di Malaysia mesti libatkan Pas, king maker’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    KETUA Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan sebarang gerakan politik di negara ini memerlukan penglibatan parti tersebut sebagai king maker.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu menyifatkan Pas kini parti yang berpengaruh besar dalam menentukan hala tuju mana-mana pihak terutama parti politik lain.

    “Saya rasa kalau tidak melibatkan Pas secara serius tidak akan ke mana-mana, semua gerakan politik di Malaysia pada hari ini mesti melibatkan Pas, king maker.

    “Kalau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nak buat apa-apa tanpa libat Pas tak akan berjaya sambung hayat politik dia,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO itu yang memaklumkan UMNO tidak berhasrat menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat.

    Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerjasama harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi serta beberapa tindakan yang tidak dialu-alukan kerana penuh dengan muslihat.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, semua mengetahui sejarah sebenar bagaimana Muafakat Nasional (MN) dibubarkan yang didakwa berpunca daripada tindak-tanduk Ahmad Zahid.

    “Ada ka orang nak kawan dia lagi, saya rasa orang UMNO pun tak mau dekat dia dah, banyak orang UMNO mengundi PN kerana mereka tak mau Datuk Seri Zahid.

    “Dia sendiri pun banyak muslihat, masa MN ditubuhkan dia bercuti, sudah nampak Datuk Seri Mohamad Hasan berupaya memimpin UMNO, mengadakan MN, perpaduan ummah bersama Pas dia keluar daripada cuti dia.

    “Selepas itu mula berlaku manuever yang ikat Perpaduan Ummah hanya Pas dan UMNO. Saya rasa itu bukan hasrat sebenar Perpaduan Ummah dalam MN. Tetapi Zahid kembali daripada bercuti untuk pastikan hanya berlaku Pas dan UMNO, tolak Bersatu,” katanya.

    Tambahnya, UMNO sedang mengalami krisis di bawah Ahmad Zahid sehinggakan parti itu ditolak pada pilihan raya negeri (PRN) di Kedah yang menjadi manifestasi kepada penolakan kepimpinan Presiden UMNO itu.

    “Saya harap dia sedar perkara itu, orang menolak, ada yang menang di Kedah sampai majoriti 23,000 undi mai mana. Itu adalah manifestasi kepada penolakan kepimpinan Datuk Seri Zahid, saya rasa dia sedar saja dia buat tak tau,” katanya.

  • Tegur suami hisap dadah bersama rakan di rumah, isteri cedera dipukul

    Tegur suami hisap dadah bersama rakan di rumah, isteri cedera dipukul

    SEORANG wanita cedera ditumbuk suaminya yang mengamuk setelah ditegur mangsa kerana membawa rakan menghisap dadah di rumah mereka dalam kejadian di Matang Jaya dekat Padawan Sarawak, Ahad lalu.

    Wanita itu mengalami pendarahan pada mata kiri dan lebam pada kepala susulan insiden berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari, di rumah yang disewa mereka.

    “Ketika kejadian wanita berusia 23 tahun itu menegur suaminya membawa rakan datang ke rumah untuk menghisap dadah sehingga rakan suspek balik (keluar dari kediaman terbabit).

    “Suspek marah dan bertindak agresif menumbuk mangsa berulang-ulang kali di kepala sehingga mengalami kecederaan,” katanya lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Abang Zainal berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan menahan suspek yang berusia 26 tahun di rumah sewa terbabit, kelmarin.

    Katanya, suspek yang juga penganggur itu kini ditahan di lokap Balai Polis Beratok untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Pegawai kanan Polis Johor antara tiga ditahan SPRM

    Pegawai kanan Polis Johor antara tiga ditahan SPRM

    POLIS Kontinjen Johor mengesahkan seorang pegawai kanan polis dan dua pegawai rendahnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan selari sedang dijalankan Jabatan Pematuhan Standard (JIPS) bersama pihak SPRM.

    “Polis Johor mengesahkan tangkapan yang dibuat oleh SPRM membabitkan seorang pegawai kanan dan dua pegawai rendah polis, semalam.

    “Siasatan selari oleh JIPS bersama SPRM sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

    Terdahulu, media melaporkan, seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit isu rasuah berkaitan ujian saringan air kencing pesalah.

    Memetik sumber, kesemua lelaki berusia 36 hingga 54 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di tiga daerah di Johor.

    Difahamkan, penahanan dibuat selepas mereka yang berpangkat Asisten Superintendan dan Sarjan terbabit hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor, pukul 2 petang kelmarin dan 11 pagi semalam.

    Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas SPRM menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital di negeri ini.

    Sumber dilaporkan berkata, hasil siasatan SPRM mendapati, 10 pegawai kanan dan 33 pegawai JSJN seluruh daerah di Johor terbabit merasuah patologi sejak 2018 sehingga 2022.

    Katanya, setakat ini, 37 individu ditahan secara berperingkat dan sudah diberi jamin SPRM.

    Tangkapan tiga pegawai dan anggota polis itu oleh SPRM turut disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

    Pengarah JIPS Datuk Seri Azri Ahmad pula dipetik berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan tatatertib (KST) selari tangkapan berkenaan.

  • ‘Tahfiz atau tidak, tidak wajar umat Islam hadiri konsert kemaksiatan’, kata mufti

    ‘Tahfiz atau tidak, tidak wajar umat Islam hadiri konsert kemaksiatan’, kata mufti

    MUFTI Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, menyifatkan adalah tidak wajar kepada umat Islam untuk menghadiri konsert yang boleh menimbulkan kemaksiatan.

    Beliau berkata, konsert yang tidak menimbulkan kemaksiatan adalah konsert yang mengingati Allah SWT dan dibenarkan syarak.

    “Apabila hadir ke sesebuah konsert, ia sepatutnya akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan merasakan kita adalah hambaNya.

    “Namun sekiranya kita hadir dan lupa kepada diri serta Allah SWT, maka ia tidak diizinkan. Kita sembahyang pun ingat kepada Allah, jadi konsert pun biarlah konsert yang mendekatkan diri kepadaNya,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia #QuranHour di Masjid Muhammadi, di Kota Bharu, hari ini.

    Mohamad Shukri berkata, tidak timbul isu sama ada individu itu daripada tahfiz atau tidak, memakai jubah, serban serta bersongkok sekiranya tempat yang dihadiri tidak menjurus kepada kemaksiatan.

    “Bagaimanapun sekiranya individu itu daripada tahfiz atau tidak, memakai jubah, serban serta bersongkok dan mereka hadir ke tempat maksiat, maka itu adalah tetap satu kesalahan. Rukun Islam tidak ada ‘double standard,” katanya.

    Sebelum ini, kecoh mengenai sekumpulan pelajar tahfiz yang diundang ke konsert Kepci Music Fest di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.

    Ramai yang mempertikaikan tindakan menjemput pelajar berkenaan yang dianggap tidak sesuai untuk menghadiri acara hiburan sebegitu.

    Video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan remaja pelajar tahfiz merupakan antara pengunjung yang menyaksikan konsert tersebut.

  • Pemimpin UMNO gesa DAP gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’

    Pemimpin UMNO gesa DAP gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’

    SEORANG pemimpin UMNO menggesa DAP menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” daripada perlembagaan parti itu jika mahu mendapat sokongan pengundi Melayu.

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, orang Melayu tidak menyokong DAP disebabkan agenda negara sekularnya, yang bercanggah prinsip Islam dan Melayu.

    Beliau mendakwa pengundi Melayu di Selangor dan Johor memberitahunya, mereka tidak boleh menerima pendirian politik DAP, yang dilihat dibuat berdasarkan kepentingan masyarakat Cina.

    “Bila saya tanya kenapa selama ini orang Melayu boleh terima MCA dalam BN, mereka kata MCA tak ekstrem dan UMNO jadi parti dominan dalam gabungan itu.

    “Jika DAP masih was-was lakukan perubahan besar seperti mana pengorbanan yang Umno sanggup buat hari ini, saya jangkakan DAP akan terus dipulau pengundi Melayu dan UMNO juga akan terus ditolak orang Melayu selagi kami bekerjasama dengan DAP,” katanya di Facebook.

    Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, cabaran lain dihadapi DAP ialah sokongan orang Melayu kepada Pas semakin meningkat, yang akan menyebabkan orang Cina terus sokong DAP, manakala orang Melayu beralih kepada Pas.

    Bagi mengelakkan keadaan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Pulai itu berkata DAP perlu menjadi parti sederhana yang terus disokong orang Cina dan boleh diterima pengundi Melayu.

    “DAP perlu ikut formula kejayaan BN yang sudah terbukti cemerlang lebih 60 tahun membela nasib orang Melayu tanpa mengabaikan hak rakyat bukan Melayu.

    Prestasi UMNO dalam PRN enam negeri baru-baru ini paling teruk, dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi DUN ditandinginya, susulan prestasi suram pada PRU15 November lalu.

    Ini membawa kepada desakan perubahan dalam kepimpinan Umno, khasnya untuk Presiden Zahid Hamidi berundur. Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil turut mempersoalkan kerjasama parti itu dengan DAP susulan prestasi hambar UMNO dalam pilihan raya.

    Sementara itu, Nur Jazlan mendakwa UMNO semakin lemah dari semasa ke semasa kerana dijadikan “punching bag” oleh PAS, DAP, PKR dan Bersatu selama ini.

    “Propaganda pemusnahan imej berterusan membuatkan sebahagian pengundi Melayu, terutamanya generasi baharu mudah terpengaruh dan mula ada persepsi tak elok kepada UMNO,” katanya menurut Free Malaysia Today.

  • Gelombang rakyat bakal kembalikan PH-BN jadi pembangkang?

    Gelombang rakyat bakal kembalikan PH-BN jadi pembangkang?

    PILIHAN Raya Kecil (PRK) yang berlaku pasca-PRU15 dan PRN enam negeri sangat penting untuk dilihat kelangsungan gelombang rakyat terhadap penolakan politik korupsi, ekstrem DAP dan kakistokrasi.

    Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, PRK ini akan menjadi mesej rakyat kepada isu yang berlegar kepada pemimpin dan parti pemerintah kerana dilihat gagal dan tidak boleh memimpin negara.

    “Jadi ini akan dilihat sebagai gelombang bukan sekadar orang Melayu, tetapi juga gelombang kaum bukan-Melayu. Kerana PRN baru-baru ini telah berlakunya kenaikan pengundi bukan-Melayu kepada Perikatan Nasional (PN). Itu boleh tengok dari analisa yang ada.

    “Dan gelombang ini terus bergerak sehinggakan PN telah menafikan dua pertiga majoriti di Selangor dan mempunyai jumlah pembangkang yang berkaliber dan kuantiti yang ramai khususnya di Pulau Pinang dan juga di Negeri Sembilan.

    “Jadi ia bukan sekadar kemenangan 3-0 tetapi sebenarnya, secara hakikatnya, ia kemenangan keenam-enam buah negeri kerana kebangkitan gelombang rakyat tersebut,” katanya menurut Harakahdaily.net.

    Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, demografi pengundi di PRK P.161 Pulai dan N.13 Simpang Jeram secara di atas kertas mungkin satu cabaran buat PN, tetapi pengundilah akan menjadi penentu akhir kepada sokongan.

    Katanya, Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mungkin akan mendabik dada kononnya rakyat menyokong mereka jika menang, walaupun telah kalah teruk dari PRN enam negeri baru-baru ini.

    Tetapi ujar beliau, ‘keajaiban’ boleh berlaku dengan gelombang yang ada pada hari ini walaupun sepertimana sedia dimaklumi bahawa peratusan PRK sering kali sedikit berbanding PRU atau PRN.

    “Jadi peratusan pengundi mungkin kurang, tetapi kita sudah dapat dari PRU dan PRN baru-baru ini yang mengesahkan bahawa majoriti rakyat negara ini iaitu kaum Melayu sama sekali tidak bersetuju dengan PH-BN.

    “Jadi wajar dalam keadaan sekarang ini Kerajaan PH-BN bermuhasabah hatta mengangkat tangan ‘surrender’ terhadap sikap mereka yang tidak adil kepada kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah PN.

    “Termasuk juga ketidakadilan mereka terhadap Ahli-ahli Parlimen pembangkang. Lebih bagus sekiranya berikan mandat pemilihan Perdana Menteri kepada Ahli-ahli Parlimen. Kalau berlaku pun perubahan kerajaan ia masih dalam bentuk demokrasi berparlimen.

    “Ia tidak boleh dikatakan sebagai ketidakstabilan politik kerana telah dibuktikan apabila PH yang memerintah 22 bulan digantikan PN di mana mengambil alih dengan jayanya mengurus negara walau ketika itu seluruh dunia menghadapi pandemik COVID-19.

    “Barangkali itulah formula yang sepatutnya untuk mencari kestabilan politik di mana PH perlu kembali ke kerusi pembangkang dan PN pula diangkat sebagai kerajaan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Jerantut.