Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penuntut UniKL dikhuatiri lemas ketika mandi di Tanjung Rhu

    Penuntut UniKL dikhuatiri lemas ketika mandi di Tanjung Rhu

    SEORANG penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, di Langkawi, semalam.

    Menueut Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, mangsa Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20 tahun, berasal dari Batu 8 1/2 Jalan Jelai, Mukim Tajar, Langgar, baru dua minggu datang ke Langkawi untuk menjalani latihan amali.

    “Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menerima laporan kejadian pada jam 7.20 petang, terdapat seorang lelaki lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu.

    “Mangsa merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di pantai, tiba-tiba lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana alun air kuat.

    Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan seramai 57 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

    “Operasi ditangguhkan jam 12 tengah malam dan akan disambung pagi ini,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Dr Mahathir kritik parti anak sendiri

    Dr Mahathir kritik parti anak sendiri

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui anaknya sendiri, lebih mengutamakan parti lain terkait rasuah berbanding terus bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

    Menurut bekas Pengerusi Pejuang itu, beliau hairan kenapa parti diketuai anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai presiden, sanggup bertindak untuk keluar GTA yang mana pemimpinnya langsung tidak terpalit dengan rasuah.

    Katanya, beliau turut mengakui kecewa dengan keputusan Pejuang untuk keluar dari GTA.

    “Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih rasuah menerusi GTA kerana parti yang besar semua terbabit dengan rasuah.

    “Parti kecil yang tinggal sekarang hanyalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN),” katanya pada sidang media, di Putrajaya semalam, lapor Berita Harian.

    Mengulas mengenai reaksi Mukhriz berhubung perkara itu, bekas Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

    “Saya tak tahu, itu pemikiran dia (Mukhriz),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar daripada Pejuang, difahamkan kerana kecew parti itu memutuskan hubungan dengan GTA.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai pengerusinya pada Disember tahun lalu.

  • Bila Zahid nak saman Raja Petra isu skandal LCS, soal Sayap Bersatu

    Bila Zahid nak saman Raja Petra isu skandal LCS, soal Sayap Bersatu

    KETUA penerangan sayap Bersekutu Bersatu, S Subramaniam mempersoalkan bilakah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan saman fitnah terhadap Raja Petra Kamarudin atau lebih dikenali sebagai RPK.

    Ini berikutan penulis blog itu mendakwa Zahid menerima sogokan RM67 juta dalam projek bermasalah kapal tempur pesisir (LCS).

    “Pada hari penamaan calon (PRU lalu), Zahid berkata dia akan mengemukakan saman fitnah terhadap RPK.

    “Namun sehingga hari kini setahu pengetahuan kami tidak ada sebarang notis saman diserahkan kepada penulis blog itu.

    “Jadi kami nak tahu bila Zahid nak saman RPK demi menegakkan kebenaran dan bahawa dakwaan RPK itu tidak benar dan fitnah,” katanya kepada Malaysiakini.

    5 Nov tahun lalu, Zahid yang juga presiden UMNO memberitahu pemberita bahawa dia sedia menyaman Raja Petra.

    Ini selepas penulis blog itu mendakwa dia memiliki bukti menunjukkan kira-kira SGD20 juta telah dibayar secara berperingkat oleh kontraktor kepada Zahid antara pertengahan 2012 dan pertengahan 2013.

    Zahid adalah Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013.

    Penulis blog itu mendakwa sogokan dibayar melalui pengurup wang di Singapura, yang memindahkan wang itu kepada pengurup wang di Malaysia.

    Dia mendakwa wang itu juga telah melalui beberapa lapisan sebelum sampai ke tangan Zahid.

    “Sebelum membuat tuduhan beliau (Raja Petra) perlu mempunyai bukti atau dokumen untuk mengemukakan tuduhan itu.

    “Jika tidak saya akan mengemukakan saman malu pada beliau dan saya akan meminta peguam-peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” kata Zahid ketika itu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 3 Nov tahun lepas berkata, suruhanjaya itu akan bertemu Raja Petra sebelum memutuskan apakah perlu memanggil Ahmad Zahid untuk disoal siasat berhubung kontrak LCS itu.

    Azam juga berkata pihaknya perlu meneliti dokumen yang diperolehi terlebih dahulu.

    Katanya, pasukan SPRM ditugaskan untuk bertemu Raja Petra di lokasi di luar negara yang dipersetujui kedua-dua pihak.

    Menurutnya, siasatan tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas kes LCS.

  • Murid rosakkan harta benda sekolah jalani program komuniti

    Murid rosakkan harta benda sekolah jalani program komuniti

    MURID yang merosakkan harta benda sebuah sekolah di Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang semalam, akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menerusi satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak sekolah memanggil murid yang terbabit bersama waris mereka, hari ini bagi membincangkan isu berkenaan.

    Menurut JPN negeri, pihaknya amat kesal dengan kejadian pada hari akhir sesi persekolahan itu dan akan memastikan ia diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah.

    “Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita 

    Hari ini, tular di media sosial beberapa klip video berdurasi 28 dan 58 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah selepas tamat sesi persekolahan, semalam.

    Menerusi video itu, kumpulan pelajar yang dipercayai bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan, di sini dilihat merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas siling dan pintu tandas.

    Mengulas lanjut, JPN Pulau Pinang berkata, nilai kerugian kerosakan harta benda berkenaan sedang dalam siasatan.

    Katanya lagi, JPN Pulau Pinang memandang serius sebarang salah laku, termasuk vandalisme dan gangsterisme membabitkan murid sekolah di negeri ini serta sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian.

    “Pihak pentadbir sekolah di semua peringkat sering diingatkan untuk mengambil langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.

    “Kempen hentikan vandalisme dan pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiat supaya selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

    Sementara itu, JPN Pulau Pinang turut mengingatkan portal yang menyiarkan video berkenaan tanpa melindungi muka murid supaya memadamnya kerana ia bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Harga lantai pakej umrah ekonomi bermula RM7,800

    Harga lantai pakej umrah ekonomi bermula RM7,800

    AHLI Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) mencapai kata sepakat untuk meletakkan harga lantai pakej umrah ekonomi bermula RM7,800, manakala pakej umrah premium atau VIP bermula dari RM14,000.

    Menurut Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, persetujuan mengenainya dicapai dalam satu perjumpaan bersama ahli PAPUH di Hotel Grand Barakah (GBH), Ampang, di sini, semalam.

    “Perjumpaan bertujuan membincangkan mengenai kenaikan harga tiket penerbangan dan juga hotel penginapan di Madinah dan Mekah.

    “Antara dikenal pasti ialah permintaan mengerjakan ibadah umrah yang tinggi jemaah dari seluruh dunia.

    “Oleh yang demikian, ahli mencapai kata sepakat untuk meletakkan harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula dari RM7,800 manakala pakej umrah premium atau VIP bermula dari RM14,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Razali berkata, pihak PAPUH berharap supaya bakal jemaah umrah memahami keadaan yang berlaku sekarang di atas kenaikan harga pakej.

    Beliau menambah, pihak PAPUH juga menyarankan bakal jemaah umrah berhati-hati dalam memilih pakej umrah terutama pada harga yang tidak munasabah untuk mengelak berlakunya penipuan.

  • Christian Atsu disahkan antara korban gempa bumi di Turkiye

    Christian Atsu disahkan antara korban gempa bumi di Turkiye

    BEKAS pemain Liga Perdana Inggeris, Christian Atsu, 31, disahkan terkorban dalam tragedi gempa bumi di Turkiye, baru-baru ini.

    Mayat Atsu, yang bermain untuk kelab Hatayspor sejak tahun lalu, ditemui di bawah runtuhan bangunan tempat yang beliau diami di Turkiye.

    Atsu tidak dapat dihubungi selepas gempa bumi melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari, namun terdapat kesilapan dalam pengesanan identiti sebelum ini yang melaporkan dia merupakan antara mangsa yang dirawat di hospital.

    “Dengan berat hati saya mengesahkan mayat Christian Atsu telah ditemui pagi ini.

    “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua atas doa dan sokongan mereka.

    “Sementara kami menguruskan apa yang perlu, saya harap semua pihak menghormati privasi keluarga mendiang dalam tempoh masa yang sukar ini,” kata wakil Atsu, Nana Sechere dalam satu kenyataan.

    Bekas kelab Atsu, Newcastle dalam satu kenyataan meluahkan kesedihan atas pemergian Atsu, yang merupakan sebahagian daripada pasukan yang berjaya kembali ke Liga Perdana pada 2017.

    Berasal dari Ghana, Atsu juga pernah bermain untuk Chelsea, Bournemouth dan Everton.

  • Dr M beri bayangan sertai PUTRA selepas UMNO, Bersatu, Pejuang

    Dr M beri bayangan sertai PUTRA selepas UMNO, Bersatu, Pejuang

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan beliau akan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan bersedia jika parti itu mahu melantik beliau sebagai penasihat.

    Beliau yang dilapor keluar daripada Pejuang juga menyifatkan jemputan menyertai PUTRA sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.

    “Terima kasih atas jemputan ini dan saya akan meneliti terlebih dahulu sama ada PUTRA ini sesuai atau tidak dengan saya.

    “Setakat ini, saya tidak nampak sebab tidak boleh terima parti ini, saya akan fikir secara mendalam sebelum keputusan dibuat.

    “Saya akan membuat permohonan menjadi ahli dan kalau mahu bagi saya sebagai penasihat parti, saya boleh bagi nasihat,” katanya pada sidang media bersama pimpinan PUTRA di Putrajaya, hari ini.

    Dr Mahathir berharap dapat memberi panduan kepada PUTRA dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk menyelamatkan kaum Melayu di negara ini.

    Beliau bersama 12 ahli lain dilapor keluar daripada Pejuang selepas kecewa kerana parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

    Sementara itu, Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, yakin Dr Mahathir masih memiliki aura untuk memimpin PUTRA.

    “Kita mahu Tun sertai PUTRA. Kami mohon seikhlas hati dan tidak timbul soal Tun mahu memohon sertai PUTRA atau tidak.

    “Kita juga jemput 14 bekas pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk sertai PUTRA.

    “Kita doakan Tun dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali diberi kesihatan berpanjangan dan kami mahu sehidup semati dengan perjuangan Tun,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai Pengerusinya pada Disember tahun lalu.

    Sebelum ini, perwakilan Pejuang mengumumkan menarik diri daripada GTA pada mesyuarat agung kedua parti itu, 14 Januari lalu.

  • Peratusan undi Melayu PRU-15: Penganalisis persoal metodologi kajian PH

    Peratusan undi Melayu PRU-15: Penganalisis persoal metodologi kajian PH

    DAKWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) mendapat 31 peratus undi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak meyakinkan seorang penganalisis.

    Menurut Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), PH perlu menjelaskan bagaimana metodologi dan kaedah yang digunakan dalam merumuskan peratusan berkenaan.

    “Angka itu hanya anggaran. Untuk membuat anggaran, perlu melihat kepada peti undi dalam satu-satu Parlimen dan kemudian melihat demografi Melayu dan bukan Melayu,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Pada satu sidang akhbar baru-baru ini, Anwar menafikan dakwaan sokongan Melayu kepada PH berada pada tahap rendah.

    Angka 31 peratus itu katanya diperoleh daripada dapatan pasukan penyelidik PKR.

    Menurut presiden PKR itu, sokongan kepada PH berada pada tahap rendah di Kelantan dan Terengganu, namun melebihi 50 peratus di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Beliau dipercayai merujuk kepada peratusan oleh pengkaji dari Amerika Syarikat (AS) Bridget Welsh.

    Welsh menerbitkan dapatan awal yang menunjukkan PH hanya memperoleh 11 peratus undi Melayu.

    Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak 33 peratus undi Melayu manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh baki selebihnya.

    Mazlan berkata, penyelidik tidak akan mempunyai data tepat kerana mereka tidak mengetahui kaum pengundi, melainkan nombor siri pada kertas undi dipadankan dengan maklumat pengundi.

    “Mustahil perkara ini dapat dibuat, lagi pun undi itu rahsia,” katanya.

    Mazlan, yang menjalankan tinjauan sebelum PRU15 berkata, PH memperoleh kira-kira 18 peratus purata undi Melayu.

    Menurut Mazlan, beliau menjalankan kajian di kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar.

    Tinjauan secara fizikal katanya, jauh lebih tepat berbanding panggilan telefon yang mungkin tidak dijawab dengan baik oleh responden yang dihubungi pihak pengkaji.

    Tinjauan menerusi panggilan telefon ialah satu cara yang pernah digunakan oleh badan pemikir yang dikepalai Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Invoke.

    Di bandar, sokongan Melayu kepada PH berada pada kira-kira 25 peratus, separa bandar (18-20%) dan luar bandar (7%).

    “Namun angka 18 peratus ini tidak semestinya diterjemahkan dalam PRU. Mungkin pada saat-saat akhir ada isu yang menyebabkan penolakan atau penambahan undi kepada PH.

    “Ada responden yang tiada masalah menjawab parti mana yang disokong, ada yang tidak tahu. Peratusan yang tidak tahu atau atas pagar melebihi kumpulan yang sudah membuat keputusan,” katanya.

    Menurut Mazlan, angka sokongan kepada PH itu boleh meningkat kepada 25 peratus selepas responden membuang undi.

    Katanya, PH banyak menang di kawasan majoriti Melayu di pantai barat, sekali gus menjadikan angka 11 peratus sokongan Melayu kepada PH yang disebut-sebut sebelum ini sebagai mustahil.

    PH menjadi blok terbesar di Parlimen selepas memenangi 82 kerusi, diikuti PN dengan 74 kerusi.

    BN pula menang 30 kerusi dan selebihnya ialah parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

    Dalam pada itu, Mazlan berkata perbincangan mengenai angka sokongan kekal menjadi subjektif.

    “Dapatan kajian juga mungkin berubah.

    “Sikap responden semasa kajian dijalankan tidak sama dengan semasa mereka memangkah kertas undi.”

  • Cili, terung panjang naik harga

    Cili, terung panjang naik harga

    BEBERAPA jenis sayur di negara ini terutama cili didapati mengalami sedikit kenaikan harga.

    Ia berdasarkan perbandingan dibuat mengikut paparan cadangan harga pasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan laman sesawang ‘Price Catcher’ disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

    Memetik laporan Berita Harian, mengikut perbandingan itu, cili merah dan cili hijau di sebuah pasar raya di Putrajaya dijual pada harga sedikit tinggi, iaitu RM12 sekilogram (kg) berbanding RM10 dicadangkan FAMA.

    Selain itu, terung panjang di Pasar Pudu pula dijual pada RM11kg berbanding RM9 dicadangkan FAMA.

    Bagaimanapun, terdapat juga penurunan harga berbanding yang dipaparkan FAMA, termasuk kacang panjang yang dicadangkan pada harga RM8kg, namun dijual pada RM6.99, manakala kobis bulat diunjurkan pada harga RM3kg, tetapi ada peniaga menjual pada RM1.69.

    Timun dan sawi turut dijual lebih murah, masing-masing pada RM2.90 dan RM3.69kg, berbanding RM9 dan RM6.25kg harga pasaran dicadangkan FAMA.

    Jurucakap FAMA memaklumkan, kenaikan harga melebihi kadar cadangan dipaparkan agensi berkenaan adalah wajar sekiranya ia dijual di pasar raya besar kerana turut mengambil kira kos logistik yang perlu ditanggung.

  • Kit Siang tak layak tegur kredibiliti PN, kata Wan Saiful

    Kit Siang tak layak tegur kredibiliti PN, kata Wan Saiful

    PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang didakwa sudah tidak ada pendirian moral untuk bercakap soal kredibiliti politik sesiapapun, termasuk Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana Kit Siang sebenarnya telah menggadai prinsip perjuangan dan maruah dirinya apabila berdiam diri melihat Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat rundingan pintu belakang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

    “Mana suara Uncle Lim apabila Presiden UMNO yang masih mempunyai 47 pertuduhan mahkamah dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Adakah Uncle Lim sanggup terima kleptokrat dan perasuah demi kuasa dan kedudukan?

    “Mana suara Uncle Lim dalam isu nepotisme membabitkan Anwar Ibrahim? Adakah Uncle Lim takut orang tersedar bahawa dia juga mengamalkan nepotisme untuk memberi tempat dalam parti kepada anak dan menantu sendiri?

    “Saya faham Uncle Lim terpaksa bercakap walaupun dah bersara sebab setakat ini Anwar belum bagi jawatan kepada anak lelaki harapan Uncle Lim.

    “Saya ucapkan good luck, Uncle Lim. Semoga anak dan menantu Uncle Lim diangkat oleh Anwar. Lagipun perangai nepotisme dah lebih kurang sama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Terdahulu, Lim Kit Siang dalam ruangan Malaysiakini mengkritik Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin, telah melakukan dua kesilapan pada hari pertama selepas istiadat pembukaan Parlimen ke-15 oleh Yang di Pertuan Agong pada Isnin, 13 Februari lalu.

    Menurut Wan Saiful, beliau terpaksa menegur Kit Siang kerana meskipun sudah berasa, veteran DAP itu terlupa untuk mencermin muka sendiri.

    “Saya antara generasi baru dalam Dewan Rakyat. Saya tahu sejarah dan saya hormat Lim Kit Siang selaku pemimpin veteran dalam arena politik tanah air.

    “Tetapi apabila Uncle Lim yang dah bersara terlupa untuk mencermin muka sendiri, saya terpaksa tegur,” tambahnya.