Author: Wartawan WartaRakyat

  • Jangan cuba jadi jaguh jual pakej umrah murah, kos kini melambung tinggi – SAFTTA

    Jangan cuba jadi jaguh jual pakej umrah murah, kos kini melambung tinggi – SAFTTA

    PERSATUAN Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) mengingatkan semua agensi pelancongan berlesen agar tidak cuba menjadi jaguh dengan menjual pakej umrah dengan harga rendah.

    Presidennya, Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, semua agensi pelancongan berlesen perlu mematuhi harga lantai baharu pakej umrah yang disyorkan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) dan diperakui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

    “SAFTTA menyambut baik dan menyokong pengesyoran Papuh mengenai harga lantai bagi pakej ekonomi umrah bermula daripada RM7,800 manakala bagi pakej VIP bermula dari RM14,000 bagi setiap jemaah.

    “Ini memandangkan kos pengendalian jemaah umrah seperti harga hotel serta pengangkutan di Mekah dan Madinah yang melambung tinggi menyebabkan para pengendali umrah berlesen tidak dapat bertahan dengan harga sebelum ini.

    “Bayangkan jika harga hotel lima bintang sebelum ini antara RM700 hingga RM1,000 tapi kini harganya antara RM1,600 hingga RM2,000 bagi setiap bilik satu malam,” katanya menerusi kenyataan.

    Papuh baru-baru ini menetapkan harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula daripada RM7,800, manakala pakej umrah premium atau VIP bermula RM14,000.

    Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ahli Papuh mencapai kata sepakat meletakkan harga lantai itu susulan kenaikan harga tiket penerbangan dan hotel penginapan di Madinah dan Mekah.

    Berikutan itu, Fathir turut mengingatkan bakal jemaah umrah supaya jangan hanya melihat pada harga pakej yang rendah untuk membuat tempahan bagi mengelakkan mereka tertipu.

    “Jemaah kena pastikan syarikat tersebut mempunyai lesen dan menawarkan harga yang wajar dalam keadaan semasa,” tegasnya, lapor UtusanTV.

    Mengulas lanjut, Fathir memberitahu, peningkatan harga pakej umrah tersebut juga sebabkan permintaan yang tinggi daripada jemaah dari seluruh dunia.

    Justeru, katanya, harga berkenaan tidak dapat dikawal kerana di luar bidang kuasa agensi berkaitan di Malaysia.

  • Gempa bumi Turkiye: Ibu maut dalam genggaman tangan anak

    Gempa bumi Turkiye: Ibu maut dalam genggaman tangan anak

    RUTIN hidup pada setiap hujung minggu, Hibah Aslan, 30, yang mengetuai misi menjamu makanan di pusat komuniti warga Syria yang menetap di Turkiye berubah selepas berlaku gempa bumi di negara itu baru-baru ini.

    Dia yang merupakan seorang chef di sebuah hotel di bandar Antakya bertanggungjawab bagi memastikan insan senegara, terutamanya kanak-kanak mendapat nutrisi yang lengkap.

    Ini kerana kebanyakan warga Syria yang menetap di negara ini merupakan keluarga yang susah, diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

    Namun segalanya berubah 360 darjah apabila Hibah pula menerima bantuan makanan ekoran kecederaan patah kaki kanan selepas dihempap siling batu rumahnya dalam tragedi gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter di bandar ini pada 6 Februari lalu.

    Hibab kini terpaksa berlindung di Persatuan Bantuan Sosial dan Perpaduan Hama yang dijadikan tempat perlindungan buat mereka yang kehilangan tempat tinggal.

    Bagi Hibah, kecederaan yang dialami tidaklah seberapa melainkan rasa sedih yang teramat selepas ibu yang merupakan satu-satunya ahli keluarga di Turkiye terkorban dihempap dinding rumahnya di tingkat dua bangunan lima tingkat.

    “Saya sangat terkilan kerana sebelum itu saya sempat memegang tangan ibu untuk melarikan diri selepas bangunan kediaman kami bergegar.

    “Ketika berlari menuju ke muka pintu, dalam sekelip mata dinding dan siling rumah runtuh. Ibu tidak dapat menyelamatkan diri dan terkorban dalam runtuhan.

    “Cuma perkataan ‘Allah selamatkan anakku’ yang diucapkan ibu masih terngiang-ngiang di telinga saya. Ketika itu tangan ibu masih menggenggam tangan saya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Hibah sebelum itu menerima rawatan kecemasan daripada pasukan Task Emergency Medical Service (TEMS) selepas kakinya mula membengkak.

    Bercerita lanjut Hibah berkata, selepas diselamatkan jiran dia dikejarkan ke hospital dan dikeluarkan selepas lima hari menerima rawatan.

    “Saya tidak dapat melihat jenazah ibu saya. Tidak dapat untuk mengucup dahinya buat kali terakhir. Tidak dapat memegang tangannya buat kali terakhir dan tidak dapat mengiringinya ke liang lahad,” ceritanya sedih.

    Media bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

    Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

  • Dua agensi berlesen disiasat PDRM, dipercayai dalang sindiket penipuan pekerjaan

    Dua agensi berlesen disiasat PDRM, dipercayai dalang sindiket penipuan pekerjaan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dua syarikat agensi pekerjaan yang sah di negara ini di bawah Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) PDRM.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, dua syarikat terbabit dipercayai antara dalang sindiket penipuan pekerjaan rakyat Malaysia ke Thailand.

    “Kita tengah siasat di bawah unit ATIPSOM mengapa syarikat-syarikat ini sanggup menjalankan, merekrutkan pekerja untuk dihantar ke luar negara, sehinggakan mangsa terkandas di negara itu, ini dalam siasatan.

    “Dua syarikat telah disiasat, kita nak tengok, mereka ini merekrut (warga asing juga) datang ke Malaysia sebagai pembantu rumah, buruh ladang.

    “Mereka (agensi pekerjaan) ada lesen, dia orang ambil kesempatan eksport rakyat Malaysia (ke negara jiran),” jelasnya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Kuala Lumpur hari ini.

    Hadir sama, Setiausaha Bahagian Konsular, Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohamad Ali Selamat.

    Ujarnya lagi, PDRM dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dan pihak berkuasa Thailand akan terus menyiasat bagi mencari dalang sindiket yang memangsakan rakyat Malaysia di negara itu,

    “Berbagai sindiket, di sini kita nak cari dalang sindiket, saya percaya ada di Malaysia dan Thailand.

    “Mereka kerjasama antara satu sama lain, dalang itu kemungkinan dalang di Thailand, kita dapat tangkapan dua sindiket di Malaysia dalam bulan lepas.

    “(Mereka) bertopengkan agensi pekerjaan yang sah, kita akan bersama Jabatan Buruh (menyiasat),” jelasnya lagi.

    Mengulas lanjut, tambah Abd Jalil, seramai lima rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Thailand selamat tiba di KLIA hari ini.

    Jelasnya, mangsa dibawa menaiki penerbangan dari Bangkok, Thailand diiringi anggota PDRM dan Kementerian Luar Negeri.

    “Lima mangsa telah selamat sampai ke KLIA membawa hasil berjaya juga dalam misi menyelamatkan mangsa-mangsa job scammer atau penipuan kerja di luar negara khasnya daripada negara Thailand.

    “Lawatan ini hasil usaha disusuli kejayaan Perdana Menteri bersama dengan Menteri Dalam Negeri pada minggu lepas ke Thailand pada 19 Februari 2023.

    “Hasil lawatan Perdana Menteri pelbagai perkara berjaya kita rungkaikan kejayaan membawa pulang lima orang mangsa penipuan kerja di Thailand,” katanya lagi lapor Astro Awani.

  • Empat pegawai Imigresen ditahan bantu seludup warga Indonesia disenarai hitam

    Empat pegawai Imigresen ditahan bantu seludup warga Indonesia disenarai hitam

    KEGIATAN sindiket menyeludup masuk warga asing yang disenarai hitam dengan dibantu pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) terbongkar dalam Operasi Kenyalang (Op Kenyalang) dijalankan di Bintulu, Sarawak, kelmarin.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata operasi yang dijalankan pasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya dan pegawai operasi Imigresen Sarawak pukul 9.45 malam menahan empat pegawai Imigresen dan 63 warga Indonesia termasuk seorang ketua sindiket.

    “Ops Kenyalang dilaksanakan selepas pihak imigresen mengadakan pemerhatian dan risikan hampir tiga bulan.

    “Dalam operasi itu, kami menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang dipercayai ketua sindiket berkenaan ketika dia menguruskan warga asing di rumah penampungan.

    “Kami juga menahan 63 warga Indonesia terdiri daripada 37 lelaki dan 26 wanita berusia antara 22 hingga 52 tahun. Seramai 30 orang ditahan di rumah transit berkenaan.

    “Dalam serbuan itu, kami merampas wang tunai berjumlah RM25,000 dan 3 juta rupiah (RM876),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata, seramai 33 lagi individu ditahan ketika pemeriksaan bas di sekitar Bintulu.

    Pemeriksaan itu katanya, dilakukan terhadap dua bas yang disyaki membawa warga asing berdasarkan maklumat diterima.

    Menurutnya, dalam operasi sama, pihaknya menahan empat pegawai Imigresen yang disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan.

    Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati warga asing yang ditahan dalam operasi itu adalah individu yang disenarai hitam dalam sistem Imigresen daripada memasuki Malaysia.

    “Semua individu yang ditahan juga didapati mempunyai tiket penerbangan ke Kuala Lumpur.

    “Modus operandi sindiket ini adalah mengatur pergerakan masuk warga asing yang disenarai hitam dengan dibantu oleh pegawai Imigresen,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, sindiket itu menguruskan antara 30 hingga 40 orang bagi setiap kali kemasukan.

    “Pegawai Imigresen yang terbabit akan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing berkenaan bagi memastikan perjalanan mereka selamat ke destinasi.

    “Warga asing yang sudah mendapat cap keselamatan itu seterusnya akan dibawa ke rumah-rumah transit yang ditetapkan oleh sindiket.

    “Mereka kemudian akan dibawa ke lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan Lapangan Terbang Bintulu sebelum meneruskan perjalanan ke Semenanjung melalui laluan domestik,” katanya.

    Katanya, berdasarkan maklumat awal, sindiket itu sudah beroperasi hampir lapan bulan lalu iaitu apabila pintu sempadan negara dibuka.

    “Warga asing yang mahu masuk ke Malaysia dikenakan bayaran antara RM5,000 ke RM6,000 seorang yang membolehkan sindiket berkenaan dipercayai mengaut keuntungan kira-kira RM80,000 sebulan.

    “Semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah.

    “Empat pegawai Imigresen dan ketua sindiket itu pula disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

    Khairul berkata, pihaknya akan terus memburu sindiket yang terbabit dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

    “Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah akta berkaitan,” katanya.

  • Dr Mahathir kritik parti diterajui anak sendiri

    Dr Mahathir kritik parti diterajui anak sendiri

    TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui anaknya sendiri, lebih mengutamakan parti lain terkait rasuah berbanding terus bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

    Bekas Pengerusi Pejuang itu hairan kenapa parti diketuai anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai presiden itu sanggup bertindak untuk keluar GTA yang mana pemimpinnya langsung tidak terpalit dengan rasuah.

    “Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih rasuah menerusi GTA kerana parti yang besar semua terbabit dengan rasuah.

    “Parti kecil yang tinggal sekarang hanyalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman),” katanya pada sidang media, hari ini.

    Selain itu, bekas Perdana Menteri itu mengakui kecewa dengan keputusan Pejuang keluar dari GTA.

    Ditanya mengenai reaksi Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung perkara itu, bekas Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

    “Saya tak tahu, itu pemikiran dia (Mukhriz),” katanya, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan Dr. Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar daripada Pejuang, difahamkan kerana kecewa parti itu memutuskan hubungan dengan GTA.

    Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai pengerusinya pada Disember tahun lalu.

  • Gerakan Anti Sanusi cuma permainan politik, tak perlu diambil peduli

    Gerakan Anti Sanusi cuma permainan politik, tak perlu diambil peduli

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak ambil pusing mengenai tindakan pihak tertentu yang menubuhkan kumpulan bergelar Gerakan Anti Sanusi (GAS) bagi mengkritik kepimpinan kerajaan negeri diketuainya di Kedah.

    Menurutnya, beliau menganggap perkara itu sebagai permainan politik yang hanya perlu diselesaikan di medan politik semata-mata.

    “Kalau mereka melampu dengan membuat fitnah atau apa-apa, kita tengoklah nanti. Tetapi saya rasa iu cuma permainan politik saja dan saya tak peduli pun.

    “Mereka ini gambar tak ada, muka pun tak ada tetapi cuma bersuara di sebalik poster semata-mata. Kita kalau nak bercakap dalam politik dan rasa mampu utarakan perkara yang benar, maka tampillah dengan berani.

    “Itu semua pengecut dan orang bacul yang cuba lontarkan pandangan dalam politik, tetapi tak berani. Eloknya tak payahlah main politik sebaliknya main sajalah congkak atau batu seremban,” katanya.

    Beliau ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran ‘Kedah Cashless’ di Hotel Raia, hari ini.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, setakat ini kerajaan negeri belum membincangkan mengenai kemungkinan mengharamkan filem ‘Pulau’ seperti dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu, baru-baru ini.

    “Belum ada perbincangan lagi berkaitan perkara itu. Tetapi sebagai orang yang mempunyai kuasa terhadap pusat tayangan dan pawagam, mungkin ada pihak yang ambil tindakan dari sudut itu di tempat lain.

    “Di Kedah, kerajaan negeri belum bincang apa-apa lagilah,” katanya.

  • Antara aurat wanita berbikini dan pengharaman filem Pulau di Terengganu

    Antara aurat wanita berbikini dan pengharaman filem Pulau di Terengganu

    LANGKAH Kerajaan Terengganu ‘mengharamkan’ tayangan filem kontroversi Pulau di negeri itu bukanlah suatu isu.

    Ini kerana filem terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio arahan Euho itu dikatakan terdapat paparan adegan panas, berunsur lucah, manakala pelakon wanita pula ada yang berpakaian seksi serta berbikini sehingga mencetuskan kontroversi.

    Malah penampilan dan pendedahan aurat wanita dalam filem tersebut secara tidak langsung telah melanggar etika serta garis panduan persembahan hiburan yang ditetapkan di negeri Terengganu.

    Maka itu, penulis percaya bahawa umum telah mengetahui sebaik sahaja Pas berjaya memerintah Terengganu, antara perkara yang dilaksanakan ialah mewujudkan etika dan garis panduan persembahan hiburan, kebudayaan, pelancongan dan sukan.

    Pelaksanaan itu bertujuan untuk memastikan setiap aktiviti dalam bidang berkenaan adalah mengikut syariat Islam atau patuh syariah.

    Sebenarnya garis panduan tersebut tidak tertakluk kepada persembahan atau konsert hiburan semata-mata.

    Sebaliknya ia turut membabitkan persembahan kebudayaan termasuk tidak membenarkan percampuran antara penari lelaki dan wanita, manakala kebudayaan dan kesenian yang mengandungi unsur syirik seperti Ulek Mayang, Main Puteri, tarian Saba dan Mak Yong juga turut diharamkan.

    Seingat penulis, ketika Pas memerintah Terengganu pada tahun 1999, poster wanita seksi termasuk iklan produk dan filem juga tidak dibenarkan, apatah lagi wanita berpakaian bikini.

    Bagaimanapun, penulis ingin mengatakan bahawa rakyat Terengganu masih boleh berbangga kerana negeri ini mempunyai pawagam berbanding Kelantan.

    Justeru, apabila filem Pulau tidak dibenarkan tayangannya di negeri ini, usah pula ada pihak yang cuba mempertikaikannya.

    Ini kerana, menerusi Garis Panduan Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan yang dilancarkan
    Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 12 Mac 2020 itu amat jelas perlu dipatuhi oleh semua pihak sama ada penganjur hiburan, penggiat seni atau pun penerbit filem.

    Garis panduan itu diwujudkan hasil perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mufti.

    Tujuan kerajaan negeri adalah untuk memastikan rakyatnya terpelihara dan dijauhi sebarang masalah yang boleh menganggu keharmonian hidup.

    Garis panduan itu disediakan sebagai asas rujukan kepada pihak berkuasa, penganjur dan orang awam bagi penganjuran serta penyertaan sebarang bentuk aktiviti hiburan, persembahan kebudayaan, pelancongan dan sukan agar tidak menyalahi akidah dan syariat.

    Selain itu, garis panduan tersebut juga untuk memastikan aktiviti diadakan tidak melanggar batas ditetapkan, tidak melekakan, manakala pakaian pula mesti menutup aurat dan batas pergaulan mesti dijaga.

    Kontroversi filem Pulau sebelum ini turut mendapat perhatian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menggesa Lembaga Penapis Filem (LPF) mengkaji semula kelulusan tayangannya.

    Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dipetik sebagai berkata, ia perlu memandangkan trailer filem itu mengandungi adegan tidak senonoh dan lucah, sekaligus tidak sesuai untuk tontonan awam.

    Justeru MAPIM menggesa agar LPF menyemak semula Syarat Wajib Tayang filem yang bakal menemui penonton pada 9 Mac depan.

    Bagaimanapun, Samsuri ketika mengulas kenyataan penerbit filem tersebut, Fred Chong memberitahu, pihaknya bersedia memberi ruang kepada penerbit filem kontroversi itu untuk mengemukakan rayuan.

    Pada masa yang sama katanya, PBT juga harus diberi ruang untuk membuat penilaian dan mendengar hujah yang akan dikemukakan penerbit filem berkenaan.

  • Lelaki diberkas edar 43.17 kg dadah bernilai RM2.16 juta

    Lelaki diberkas edar 43.17 kg dadah bernilai RM2.16 juta

    SEORANG lelaki yang sebelum ini licik dalam pengedaran dadah, namun akhirnya berjaya dicekup polis dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 petang ke atas sebuah rumah sewa di Kluang, Khamis lalu.

    Antara taktik yang digunakan suspek yang berusia 27 tahun itu untuk mengaburi pihak berkuasa dengan membungkus dadah tersebut dalam bungkusan teh.

    Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan itu polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.16 juta, antaranya 35.74 kilogram (kg) serbuk ekstasi, ketamin (2.52 kg), 10,800 biji pil erimin 5 (3.24 kg) dan 4,869 biji pil ekstasi (1.67 kg).

    “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah melancarkan empat serbuan ke atas empat buah rumah di sekitar Kluang.

    “Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun ditangkap dan dadah berkenaan dirampas dalam serbuan pertama. Tiga serbuan berikutnya kita tidak menemukan apa-apa barang kes,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, modus operandi yang digunakan suspek yang aktif sejak November tahun lalu dengan menjadikan rumah yang disewa sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan dalam pasaran tempatan.

    “Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut tentang penglibatan individu lain termasuk penyewa rumah dengan suspek dalam kegiatan itu.

    “Hasil siasatan awal kita mendapati, kesemua rumah terbabit adalah disewa oleh individu lain dan kita masih melakukan siasatan terhadap hubungan mereka.

    Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif penyalahgunaan dadah katanya dan memaklumkan pihak polis turut merampas empat buah kereta, termasuk sebuah kereta Proton Persona yang didaftarkan atas nama suspek.

    Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 23 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 lapor SatuBerita.

  • Tiga remaja terlibat kes gaduh ditahan

    Tiga remaja terlibat kes gaduh ditahan

    TIGA remaja berusia 14 hingga 16 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan di taman perumahan awam dan kawasan tempat letak kenderaan pasar raya di Ara Damansara, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian pada 11 malam itu menyebabkan ada di antara mereka cedera akibat pergaduhan dua kumpulan berkenaan.

    Siasatan awal katanya, mendapati kejadian itu dipercayai berpunca dari cemuhan dan mempersendakan antara dua kumpulan terbabit

    Mohamad Fakhrudin berkata, susulan maklumat itu, pada 1.10 pagi sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menahan tiga remaja di sekitar kawasan berkenaan.

    “Tiga remaja yang ditahan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini

    Dalam kes berasingan, seramai dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah gerai makanan di Taman Medan, semalam.

    Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 28 tahun dan 32 tahun serta merampas sebilah parang dan satu bilah pisau.

    “Kedua-dua individu itu direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Mayat penuntut UniKL lemas ditemukan

    Mayat penuntut UniKL lemas ditemukan

    Oleh BADLISHAH MAT

    MAYAT penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dilaporkan hilang petang semalam ketika mandi-manda ditemukan lemas pada pukul 1.24 petang ini di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi.

    Mangsa, Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20, yang berasal dari Mukim Tajar, Langgar di Alor Setar ditemukan kira-kira 50 meter dari pantai berkenaan oleh pasukan penyelamat.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, identiti mangsa disahkan ibu, ibu saudara dan sepupu mangsa yang berada di lokasi kejadian.

    “Pengesahan kematian dibuat oleh kakitangan perubatan sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, mangsa yang merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan di UniKL MIAT, Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di pantai tersebut sebelum didapati dia tiba-tiba lemas.

    Difahamkan, rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkannya, namun gagal kerana ombak yang kuat di kawasan kejadian.

    Mangsa baru dua minggu berada di pulau pelancongan tersebut untuk menjalani latihan amali.

    Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan seramai 69 pegawai dan anggota melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).