Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kegiatan seleweng diesel bersubsidi di kawasan perlombongan pasir tumpas

    Kegiatan seleweng diesel bersubsidi di kawasan perlombongan pasir tumpas

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melakukan serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perlombongan pasir di Chenderiang, dekat Tapah semalam.

    Serbuan itu membongkar aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi diesel kata Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail.

    “Serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak kira-kira pukul 4.30 petang semalam itu hasil risikan selama seminggu di beberapa stesen minyak termasuk di Tapah dan Kampar.

    “Hasil pemeriksaan di premis berkenaan pihaknya menemukan sembilan tong drum berisi minyak disyaki diesel dengan anggaran sebanyak 1,800 liter.

    “Siasatan lanjut mendapati minyak diesel itu disyaki diperolehi daripada aktiviti pembelian minyak diesel bersubsidi menggunakan lori melalui tangki asal di stesen minyak yang berdekatan secara berulang kali, dan kemudiannya dipindahkan ke tong drum untuk dikumpulkan dan digunakan oleh jentera bagi industri perlombongan pasir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil siasatan lanjut juga mendapati premis itu telah beroperasi tanpa sebarang lesen atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan diesel.

    Sehubungan itu katanya, KPDN Negeri Perak telah bertindak dengan menyita sebanyak 1,800 liter minyak disyaki diesel dengan anggaran bernilai RM4,820.

    Ujarnya, ketika serbuan pihaknya telah mengambil keterangan daripada seorang wanita berusia 40 tahun disyaki pemilik syarikat dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Sementara itu, Kamalludin menjelaskan kerajaan hanya membenarkan pembelian maksima 250 liter minyak diesel atau petrol dalam sehari melalui satu transaksi ke atas tangki lori.

    “Sementara bagi syarikat berskala kecil, organisasi atau individu perlu memohon permit khas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, untuk melayakkan membeli petrol dan diesel daripada stesen minyak untuk kegunaan sendiri bagi pembelian melebihi 20 liter.

    “Pihak yang diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui Permit Khas boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang bersesuaian mengikut kuantiti harian yang diluluskan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Justeru katanya, masyarakat diminta untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

  • Kedah mohon pampasan RM200 juta daripada kerajaan Pusat

    Kedah mohon pampasan RM200 juta daripada kerajaan Pusat

    KEDAH memohon jumlah pampasan RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan berikutan pengorbanan negeri itu tidak membangunkan kawasan tanah yang luas bagi menyumbang kepada keterjaminan makanan kepada negara dan sumber air buat negeri jiran.

    Jelas Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), demi kesejahteraan negara, Kedah terpaksa menyimpan seluas 107,495 hektar tanah untuk keterjaminan air bagi Pulau Pinang dan Perlis.

    Selain itu, Ku Abd Rahman yang juga EXCO berkata, kawasan seluas 107,472 hektar tanah pula digunakan untuk tanaman padi di mana Kedah menyumbang sebanyak 40 peratus kepada keperluan beras negara.

    “Kedah banyak berkorban demi kesejahteraan negara di mana tanah yang luas ini boleh ditanam kelapa sawit selepas ditebang balaknya yang boleh menyumbang hasil kewangan yang besar untuk negeri ini.

    “Justeru, Kedah mohon sebagai penghargaan terhadap pengorbanan ini supaya Kerajaan Persekutuan memberikan (Kedah) pampasan sebanyak RM200 juta, sepatutnya lebih daripada itu,” katanya pada sesi Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

    Dalam pada itu, Ku Abd Rahman berkata, pihaknya menekankan soal kepentingan aspek pelaburan kepada semua negeri kerana ia boleh mewujudkan banyak pekerjaan selain hasil premium tanah yang tinggi dapat dikutip, iaitu 10 kali ganda lebih tinggi berbanding cukai pertanian.

    Katanya, kerajaan Persekutuan juga mendapat manfaat apabila boleh meningkatkan kutipan antaranya cukai korporat dan cukai pendapatan.

    “Bagi negeri pula, Kedah sendiri contohnya berjaya meningkatkan hasilnya kepada kira-kira RM700 juta setahun, berbanding RM400 hingga RM500 juta pada 2008 hingga 2012, yang mana ia disumbang oleh pelaburan.

    “Bagi projek Kedah Rubber City contohnya, Majlis Daerah Padang Terap menerima hasil keseluruhan RM25.5 juta, di mana RM1.1 juta sudah diterima,” katanya.

    Beliau turut menghargai peranan Kerajaan Persekutuan yang mewujudkan ‘One Stop Centre (OSC) for Business Travellers’ ketika pandemik pada Oktober 2020, dengan pendekatan itu berjaya menarik jumlah pelaburan sebanyak RM171.8 bilion kepada negara.

    “Melalui OSC itu ia memudahkan pergerakan bagi tujuan perniagaan dengan mempercepatkan kelulusan kemasukan pelaburan ke Malaysia ketika itu,” katanya.

  • Dakwa Wan Saiful ditawar RM10j, pengguna TikTok berdepan tindakan undang-undang

    Dakwa Wan Saiful ditawar RM10j, pengguna TikTok berdepan tindakan undang-undang

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan seorang pengguna TikTok bahawa ia menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, untuk menjadi saksi bagi mendakwa presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Individu terbabit membuat tuduhan itu dalam satu video ringkas di TikTok hari ini.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, beliau menepis dakwaan itu yang disifatkannya sebagai fitnah dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu itu.

    “Manusia beginilah yang merosakkan kepercayaan masyarakat kepada SPRM,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

    Wan Saiful pagi tadi didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah berkaitan inisiatif Jana Wibawa.

    Sementara itu, semakan FMT dengan pihak Wan Saiful mendapati individu terbabit adalah penyelidik sembilan kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

    Terdahulu, Wan Saiful minta dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa. Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meminta suapan melibatkan projek bernilai RM232 juta berkait inisiatif berkenaan.

    Beliau berdepan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Program Jana Wibawa merupakan inisiatif pakej rangsangan berdepan Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

    Program itu terpalit dengan kontroversi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kos yang terlibat dalam beberapa projek diberikan adalah terlalu tinggi, dan beberapa juga tidak melalui proses tender.

    Pakej rangsangan terbabit dilaksanakan ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri. Pada Jumaat, Muhyiddin berkata, beliau disoal siasat sebagai saksi dan menafikan sebarang penyelewengan dana.

  • HIMPIT manifestasi sayang perjuangan sahabat Rasulullah SAW, cinta Islam

    HIMPIT manifestasi sayang perjuangan sahabat Rasulullah SAW, cinta Islam

    PROGRAM Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 yang diadakan di Terengganu, minggu lalu, adalah manifestasi semangat sayang kepada perjuangan sahabat Rasulullah SAW dan cinta kepada Islam.

    Tegas Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin, kostum peserta perarakan pada program itu adalah pakaian yang menjelmakan watak pejuang Islam pada zaman sahabat Rasulullah SAW.

    Malah katanya, Pas mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang sebelum ini dilaporkan berkata perarakan terbabit adalah satu daripada acara dipertandingkan pada program berkenaan, iaitu reka cipta bertemakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.

    “Kenyataan berkenaan (dilihat sebagai) telah menjawab tohmahan jahat dilemparkan seorang pemimpin muda sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Kelantan yang mengaitkan ‘cosplay’ himpunan HIMPIT di Terengganu sebagai unsur yang boleh disiasat bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357). Ada juga yang mencadangkan ia dilihat dalam aspek ‘anti keganasan’ (counter terrorism).

    “Kami melihat isu ini sengaja dilemparkan kepada Pas dalam usaha memburuk-burukkan imej parti ini, selain membawa lagi satu dogma Islamofobia dalam masyarakat,” dakwanya yang juga Ahli Parlimen Jerantut, dalam satu kenyataan, semalam.

    Lapor Berita Harian, polis sudah memanggil 12 individu, termasuk penganjur program HIMPIT 2023 bagi membantu siasatan berhubung perarakan membabitkan replika senjata di Setiu pada Jumaat lalu.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dalam satu kenyataan, semalam, berkata mereka yang diambil keterangan itu meliputi ahli jawatankuasa program berkenaan.

    Beliau memaklumkan, sebahagian lagi peserta HIMPIT 2023 juga akan dipanggil nanti.

    Jumaat lalu, Dewan Pemuda Pas Terengganu (DPPNT) dilapor menganjurkan program HIMPIT 2023 di daerah Setiu dengan dirasmikan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Bagaimanapun, himpunan itu yang dikata diadakan DPPNT sebagai acara tahunan sejak 1991, mencetuskan polemik apabila peserta berarak sambil membawa replika senjata.

    Namun, Ketua DPPNT, Mohd Harun Isa, dilapor menjelaskan bahawa peserta mengikut tema perarakan dan ia sama seperti pertandingan pakaian beragam dianjurkan di seluruh negara.

    Mohd Harun dipetik berkata, tiada istilah keganasan dan provokasi, sebaliknya perarakan itu menggambarkan kreativiti peserta mempamerkan idea masing-masing.

    Kelmarin, Rohaimi dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kesalahan dilakukan penganjur dalam perarakan HIMPIT 2023.

  • ‘Lompat macam monyet… asal lompat dapat jawatan, duit’

    ‘Lompat macam monyet… asal lompat dapat jawatan, duit’

    PENGERUSI UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Sabah yang melompat parti.

    Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu membuat gesaan berkenaan pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau tidak mahu adanya unsur pembelian ADUN demi mempertahankan kuasa, sekali gus mendorong mereka melompat parti.

    Bung Moktar yang pernah dikaitkan dengan Langkah Kinabalu’, Januari lalu, turut menyamakan tindakan lima ADUN itu seolah-olah seperti monyet yang tabiatnya suka melompat.

    “Ini yang saya sentuh, mereka melompat macam monyet, jatuh sana jatuh sini, asal melompat dapat jawatan, dapat duit…. bila nak berhenti Sabah ni… malu saya.

    “Majoriti ADUN Sabah yang bertanding, niat mereka melompat untuk dapat jawatan… kalau tidak mengkhianati parti susah dapat jawatan… mereka ini ada yang jadi pengerusi eksekutif, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) besar.

    “Saya minta penguat kuasa SPRM, polis siasat mereka yang melompat ini sebab memalukan. Sabah terkenal dengan wakil rakyat yang suka melompat parti… ini harus dihentikan.

    “Mereka memasang hasrat bertanding dan menang sahaja, akan cari peluang untuk melompat supaya dapat jadi menteri atau pembantu menteri, dapat RM1 juta, RM2 juta dan RM5 juta… ini kerja ADUN Sabah yang terkenal di Sabah suka melompat,” katanya.

    Lima ADUN UMNO Sabah yang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta membabitkan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

    Serentak tindakan itu, lima ADUN berkenaan turut mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

    Pada masa sama, Bung Moktar berkata, pihaknya yakin sepandai-pandai tindakan ADUN yang suka melompat parti ini akhirnya akan jatuh ke tanah juga kerana rakyat sedang memerhatikan mereka.

    Pihaknya turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang sibuk mempertahankan kuasa dengan menggunakan wang ringgit daripada memikirkan hala tuju rakyat.

    “Akta antilompat parti tidak diterjemahkan di Sabah sebab itu pada hari ini masih ada pembelian ADUN daripada parti lain… ini perbuatan orang yang tidak rasional.

    “Dulu sayapun tertanya-tanya bila kerajaan negeri hendak melaksanakan akta antilompat parti, rupa-rupanya ada udang di sebalik mi,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Armada Bersatu buat laporan terhadap PM, TPM

    Armada Bersatu buat laporan terhadap PM, TPM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SATU laporan polis dibuat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berikutan tohmahan dan pernyataan didakwa mengelirukan terhadap parti itu serta pimpinannya, yang berlegar sejak dari terbentuknya kerajaan Perpaduan beberapa bulan lalu.

    Laporan tersebut dibuat Ketua Penerangan Armada, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir yag mendakwa tindakan tersebut menggambarkan wujud satu konspirasi jahat terhadap kepimpinan Bersatu.

    Katanya, kata-kata tersebut tampak telah membawa kepada pertuduhan dihadapi Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, hari ini.
    Menurutnya, fitnah itu juga dibuat bagi tujuan politik bagi menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam serta menyemarakkan keresahan rakyat terhadap Muhyiddin, Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

    “Konspirasi jahat ini dapat dilihat apabila Ahmad Zahid yang menghadapi lebih 40 pertuduhan di mahkamah, pernah mengumumkan bahawa kluster mahkamah yang baharu akan datang dari PN dan Bersatu.

    “Konspirasi ini juga terlihat apabila Anwar mengumumkan bahawa kerajaan di bawah Muhyiddin telah menyelewengkan RM600 billion pakej rangsangan ekonomi.

    “Dan nilai RM600 billion itu kemudian berubah-ubah sebelum timbul pula cerita menyatakan Muhyiddin serta Bersatu mendapat komisen antara tiga hingga lima peratus daripada kontraktor-kontraktor projek kerajaan, hingga memberi gambaran palsu kononnya PN dan Bersatu mendapat habuan bernilai RM4.5 bilion,” katanya.

    Dalam laporan polisnya itu, Mohd. Ashraf turut meminta pihak polis menyiasat dakawaan menyatakan Anwar membuat ugutan terhadap Muhyiddin serta kepimpinan PN.

    “Perdana Menteri pernah memberikan peringatan kepada Muhyiddin agar jangan mencabarnya kerana kononnya terdapat proses dan prosedur tidak dipatuhi selain ada beberapa syarikat berkepentingan atau berkaitan keluarga Presiden Bersatu itu terlibat dengan penyelewengan tersebut.

    “Selain itu Anwar juga turut pernah ‘menasihatkan’ Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar tidak bersikap gopoh kerana beliau Menteri Kewangan dan memiliki fail berhubung hal tersebut,” katanya.

    Justeru katanya, tindakan membuat laporan polis itu adalah bagi mengekang perbuatan jenayah dan salah guna kuasa pemimpin kerajaan yang mempergunakankan agensi penguat kuasa untuk menyalah gunakan proses undang-undang bagi membawa ‘kerosakan’ terhadap Muhyiddin serta Bersatu.

    “Perbuatan mereka akan melumpuhkan demokrasi Malaysia dan amat bercanggah dengan keluruhan Perlembagaan serta undang-undang. Saya memohon pihak polis menyiasat perkara ini dan mendakwa pihak-pihak terbabit demi menjamin keamanan serta keselamatan negara,” katanya.

  • HIMPIT: Pemuda Pas Terengganu lapor polis berita mengelirukan

    HIMPIT: Pemuda Pas Terengganu lapor polis berita mengelirukan

    DEWAN Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) membuat laporan polis berhubung satu kenyataan berita yang menimbulkan persepsi buruk terhadap penganjuran Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT).

    Jelas Ketua Penerangan DPPNT, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin, laporan itu dibuat bagi memberi penegasan terhadap pihak yang menunggang isu terbabit.

    “Laporan polis ini dibuat berkenaan tindakan yang tidak sepatutnya dibuat oleh akhbar Harian Metro yang mengeluarkan berita Program HIMPIT dengan gambar yang boleh disalah ertikan sebagai aktiviti keganasan.

    “Saya juga ingin sampaikan rasa simpati kepada polis apabila menambah kes sebegini, namun kami ingin tegaskan bahawa tiada unsur keganasan dan gambar itu tidak sepatutnya diletakkan oleh akhbar terbabit.

    “Ibarat seolah-olah ada usaha mengaitkan kami (DPPNT) dengan penganjuran yang jauh dengan tujuan asal HIMPIT itu sendiri,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini.

    Yang turut hadir Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh.

    Mengulas lanjut, Irsyad berkata, DPPNT menyerahkan kepada pihak polis bagi menangani kes tersebut.

    “Kami tuntut dilakukan permohonan maaf secara terbuka, sebagaimana gambar itu disiarkan secara terbuka,” tambahnya, lapor Harakahdaily.

    Kes terbabit dirujuk berdasarkan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Srikandi Muda Bersatu kecam tindakan guna SPRM sebagai perkakas kerajaan

    Srikandi Muda Bersatu kecam tindakan guna SPRM sebagai perkakas kerajaan

    PERTUDUHAN terhadap Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di mahkamah pagi tadi terus mengundang reaksi.

    Terbaharu Srikandi Muda Bersatu turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan itu yang didakwa berniat jahat dan merupakan sesuatu yang sudah dirancang. Berikut adalah kenyataan penuh:

    Srikandi Muda Bersatu Malaysia (SKM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan PH-BN yang menggunakan SPRM sebagai perkakas untuk membuat ‘political persecution’ dan fitnah jahat ke atas pemimpin-pemimpin pembangkang.

    Srikandi Muda Bersatu Malaysia berpendapat bahawa langkah-langkah jahat ini adalah bagi menutup segala kepincangan yang berlaku di dalam Kerajaan PH-BN.

    Pelbagai kegagalan demi kegagalan dihasilkan kerajaan PH-BN belum pun mencapai 100 hari usia pentadbiran.

    Antaranya adalah lantikan Timbalan Perdana Menteri di kalangan kluster mahkamah, amalan nepotisme yang direstui, kenaikan harga barangan keperluan asas yang tiada jalan penyelesaian, kebebasan bersuara yang disekat serta janji-janji manisfesto yang dibakul- sampahkan.

    Srikandi Muda Bersatu Malaysia mendesak supaya kerajaan PH-BN menumpukan sepenuh tenaga dan perhatian kepada isu-isu rakyat dan bukan membuang masa melakukan ‘witch-hunt’ atau pemburuan politik untuk membalas dendam ke atas Perikatan Nasional yang kini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

    Srikandi Muda Bersatu Malaysia yakin rakyat Malaysia tidak akan termakan dengan agenda jahat ini yang semata-mata untuk memburukkan Bersatu dan Perikatan Nasional terutama menjelang pilihan raya negeri di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Srikandi Muda Bersatu Malaysia juga menggesa SPRM diletakkan di bawah kawal selia Parlimen agar badan tersebut tidak disalahgunakan dan menjadi perkakas ‘government of the day’ untuk membalas dendam terhadap musuh politik.

    Srikandi Muda Bersatu Malaysia berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak buat-buat lupa dan mengotakan janjinya dalam mereformasikan institusi-institusi penting di Malaysia dalam agenda ‘good governance’ dan ‘democratic accountability’ beliau.

    Dalam hal ini, Srikandi Muda Bersatu Malaysia bersependapat dengan YB Pasir Gudang, Hassan Karim dalam perbahasan beliau di Parlimen pada hari ini yang mengingatkan Perdana Menteri tentang pemusatan kuasa yang boleh menyebabkan salahguna kuasa dan korupsi. ‘Absolute power corrupt absolutely’.

    Nurul Fafzilah Kamaluddin
    Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia

  • Cederakan, hina Syed Saddiq:Papagomo diperintah bela diri

    Cederakan, hina Syed Saddiq:Papagomo diperintah bela diri

    BEKAS Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas satu tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, empat tahun lalu.

    Dia yang juga bekas penulis blog dan lebih dikenali sebagai Papagomo, diperintah untuk membela diri atas satu lagi pertuduhan pindaan iaitu menghina bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut.

    Majistret, Muhammad Noor Firdaus Rosli membuat keputusan ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Papagomo, 40, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Syed Saddiq pada bahagian leher dan bahu, di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di Kajang pada pukul 11.05 pagi, 16 Februari 2019.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, dia dakwa mengaibkan kehormatan dengan menyebut perkataan ‘kau bodoh’ terhadap mangsa sama di lokasi dan tarikh serupa.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, semasa prosiding, Muhammad Noor Firdaus meminda pertuduhan daripada mengaibkan kehormatan kepada menghina.

    Pertuduhan baharu kemudiannya dibaca semula kepada tertuduh dan dia mengaku tidak bersalah.

    Mengikut pertuduhan pindaan, dia dituduh dengan niat menyebut perkataan kurang sopan dan menghina iaitu ‘kau bodoh’ terhadap Syed Saddiq, di mana keamanan mungkin terganggu, di lokasi dan tarikh sama.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda hingga RM100 jika sabit kesalahan.

    Papagomo kemudiannya menjawab tidak mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan tersebut.

    Prosiding yang bermula 4 November 2019 lalu, telah memanggil 11 saksi pendakwaan termasuk Syed Saddiq selaku saksi keempat.

    Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Nik Saiful Adli Burhan dan Logen Eskander.

    Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan kes bela diri bermula 22 dan 23 Mei selain pada 12 serta 13 Jun depan.

    Pada 16 Februari 2019, Syed Saddiq membuat laporan polis, mendakwa dicekak dalam satu insiden selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

    Pada 21 Februari tahun sama, iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.

    Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan menyifatkan insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham.

  • Pengusaha tempe mengaku Imam Mahdi didenda RM4,500

    Pengusaha tempe mengaku Imam Mahdi didenda RM4,500

    SEORANG pengusaha tempe didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghina agama Islam dengan cara mengaku sebagai Imam Mahdi tahun lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, Hakim Kamal Bashah Ahmad Tajuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, 60, selepas mengambil kira hujahan mitigasi dan pemberatan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

    Beliau turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda terbabit, namun tertuduh menjelaskan denda itu.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh telah disifatkan menghina agama Islam dengan cara membuat pengakuan sebagai Imam Mahdi sedangkan pengakuan tersebut adalah palsu.

    Kesalahan itu dilakukan antara Januari hingga Mac 2022 di markas tarekat Naqsyabandiyyah Al-Khalidiyyah Jalan Labu Batu 8, Kampung Jawa di Seremban.

    Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 50 ( i ) Enakmen Jenayah Syariah ( Negeri Sembilan ) 1992, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Peguam Ahmad Shaher Mohd Fuad, memohon anak guamnya agar hanya hukuman denda dikenakan dan tiada penjara kerana dia sudah berusia selain perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta dua anak.

    Menurutnya, anak pertama tertuduh sedang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) manakala seorang lagi adalah orang kurang upaya (OKU).

    “Selain itu tertuduh turut mempunyai masalah kesihatan darah tinggi dan berdasarkan pengakuannya, tertuduh sudah bertaubat dan mengaku menyesal atas perbuatan dilakukan.

    “Antara tanda-tanda yang menunjukkan dia telah bertaubat apabila markas tarekatnya di Labu telah pun dijual dan dari tarikh tangkapan sehingga kini, tiada kelas pengajaran dibuat kepada orang ramai dan pengikutnya,” katanya.

    Pada prosiding itu, Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan berkata, umur tidak memainkan peranan penting dalam menentukan jenis kesalahan dilakukan kerana apa dilakukan adalah kesalahan serius.

    Ujarnya, tertuduh juga adalah pengamal tarekat yang diberi amanah oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan untuk menjalankan aktiviti tarekat yang tidak keluar daripada al-Quran dan Sunnah.

    Tambahnya, perbuatan menghina agama ada perkaitan dengan ajaran sesat yang menjurus kepada perbuatan jenayah akidah dan perlu dipandang serius.

    Syariah Negeri Sembilan 1992 selepas dia ditahan pukul 10 malam pada Khamis di rumah sewanya di Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak.

    Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah memburu Habib Shah Firdaus yang menghilangkan diri selepas pusat pengamalan tarekatnya yang beroperasi di Kampung Jawa, Labu diarahkan tutup.

    Penutupan itu dibuat susulan jabatan berkenaan menerima aduan tarekat terbabit melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

    Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, Habib Shah Firdaus dikatakan telah menyeleweng daripada hukum syarak apabila mempercayai akan berlaku kemunculan imam Mahdi pada hari Arafah.

    Beliau berkata, berdasarkan maklumat dipercayai separuh daripada 300 pengikut Habib Shah Firdaus yang berada di Arab Saudi sejak Mac lalu sudah pulang ke Malaysia selepas mendapati tiada apa-apa berlaku pada hari Arafah.