Author: Wartawan WartaRakyat

  • Muhyiddin sahkan peletakan jawatan Wan Saiful

    Muhyiddin sahkan peletakan jawatan Wan Saiful

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Penerangan parti itu, berkuat kuasa hari ini.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu ketika berjumpa Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor pagi tadi.

    Beliau berkata, satu surat peletakan jawatan rasmi akan dihantar kepadanya hari ini.

    “Saya sudah menerima peletakan jawatan Ketua Penerangan berkuat kuasa hari ini oleh Wan Saiful ketika berjumpa pagi tadi.

    “Beliau akan hantar surat (peletakan jawatan) hari ini, Insya-Allah,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) – Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Parlimen hari ini.

    Sebelum itu Wan Saiful mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu berikutan pendakwaan dikenakan terhadapnya semalam.

    Menurut Wan Saiful, hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Muhyiddin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk membuat keputusan.

    Katanya, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini.

  • Pas sedia beri dana, bantu Bersatu hadapi PRN

    Pas sedia beri dana, bantu Bersatu hadapi PRN

    PAS sedia memberikan dana kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri susulan akaun parti gabungannya itu telah dibekukan.

    Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tidak kira untuk apa pun, partinya akan sentiasa menyokong sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani PRN.

    “Pas ini banyak duit. Kalau Bersatu tiada duit, maka kita beri mereka duit. Tetapi, tidak kiralah untuk apa-apa pun selepas ini, duit banyak sahaja yang akan diberikan oleh ahli-ahli Pas.

    “Sebenarnya, Pas tidak perlukan satu jumlah yang besar pun. Macam saya sendiri bertanding pilihan raya, saya tidak keluar duit banyak, berapa ribu sahaja saya keluarkan.

    “Selebihnya ahli-ahli Pas yang bayarkan. Jadi, kita mahu kata apa?” katanya yang dipetik Malaysiakini.

    Ahli Parlimen Pasir Puteh itu mengulas spekulasi bahawa Pas akan meninggalkan PN kerana Bersatu tidak lagi mempunyai wang untuk menggerakkan kempen-kempen dalam PRN nanti.

    Awal bulan ini, SPRM membekukan dua akaun bank Bersatu, dengan kira-kira RM40 juta, berhubung dakwaan parti itu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang menerima pelbagai projek ketika parti itu mentadbir kerajaan.

    Ketua Pesuruhjaya, SPRM, Azam Baki sebelum ini mengesahkan akaun-akaun itu dibekukan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.

    Mengulas mengenai pembekuan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata dia akan menulis surat kepada SPRM memohon pembekuan akaun berkenaan ditarik balik supaya parti itu dapat membayar gaji kakitangan parti dan sewa pejabat.

  • Jamil Khir ditentang tiga calon lain untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerai

    Jamil Khir ditentang tiga calon lain untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Selepas tewas dengan majoriti besar mencecah 33,000 kepada calon Perikatan Nasional (PN), Sabri Azit dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dikatakan bakal berdepan tentangan empat penjuru bagi mempertahankan kerusi UMNO Jerai dalam pemilihan kali ini.

    Menurut sumber, tiga individu yang bakal memberi saingan kepada Jamil bukanlah calang-calang orang dengan memiliki reputasi agak baik dan dilihat memberi lebih pilihan kepada ahli Bahagian tersebut membuat perubahan.

    Tiga individu tersebut adalah bekas Setiausaha Sulit Kanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sewaktu memegang jawatan Menteri Pertahanan, Datuk Ahmad Ikmal Ismail serta bekas calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Datuk Mohd. Fadzillah Mohd. Ali serta Ketua Pemuda UMNO Jerai, Khairul Nizam Mohd. Rodzi.

    “Ini masanya untuk UMNO membuat perubahan tidak hanya di Jerai malah di Kedah. Dalam PRU lalu, Jamil Khir selaku pengerusi badan perhubungan juga tewas dengan majoriti terbesar di Kedah iaitu sebanyak 33,192.

    “Maka tindakan individu lain menawarkan diri untuk bertanding di kawasan bagi mencabar Jamil Khir dilihat tepat,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

    Dalam pada itu Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah juga disahkan membuat kemunculan semula dalam dunia politik setelah beberapa tahun berdiam diri.

    Kehadiran individu berusia 73 tahun itu dikhabarkan sudah menghantar borang pencalonan sebagai Ketua Bahagian UMNO Alor Setar di Pejabat UMNO Negeri Kedah, kelmarin.

    Kemunculan beliau dilihat bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Mohd. Yusof Ismail yang digantung UMNO kerana dilihat lantang mengkritik Presiden parti itu sebelum ini.

    Dalam pada itu bekas Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Othman Aziz juga dikhabarkan sah akan mempertahankan jawatannya sebaga Ketua UMNO Bahagian Jerlun.

    Beliau yang sebelum ini menuntut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden UMNO selepas berakhir PRU-15, dijangka akan berdepan saingan tiga atau empat penjuru untuk mempertahankan jawatan itu.

  • Warisan lapor SPRM dakwaan 3 ADUN ‘dibeli’

    Warisan lapor SPRM dakwaan 3 ADUN ‘dibeli’

    PARTI Warisan (Warisan) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang didakwa dibeli.

    Ketua Penerangannya, Azis Jamman berkata, justeru tiada keperluan bagi Presiden Warisan, Datuk Seri Shapie Apdal mengemukakan bukti, sebaliknya perkara itu diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

    “Benar, tiada bukti rakaman video dia (ADUN Kunak, Norazlinah Arif) terima wang sebab tiada ejen yang mahu video mereka dirakam semasa memberi wang. Tapi, seperti saya katakan sebelum ini, budaya membeli wakil rakyat dan lompat parti di Sabah bukan lagi satu rahsia.

    “Norazlinah boleh menafikan sepuas-puasnya, namun video yang dia buat sendiri beberapa bulan sebelum dia melompat cukup untuk membuktikan wujud cubaan membeli ADUN Warisan.

    “Jadi, biarlah SPRM jalankan siasatan, jika benar mereka dibebani hutang sebelum melompat parti, bagaimana keadaan kewangan mereka selepas keluar Warisan.

    “Mereka boleh membohongi rakyat dengan menafikan sebab mereka melompat namun, Allah SWT Maha mengetahui,” katanya menurut FMT.

    Pada 16 Feb, Norazlinah mencabar Shafie melaporkan kepada SPRM susulan dakwaan bahawa beliau dan dua lagi Adun, Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor), telah dibeli.

    Dalam pada itu, Azis mendakwa, sebelum tiga ADUN terbabit keluar Warisan, beberapa siri perjumpaan dengan Presiden Warisan telah diadakan.

    Dalam pertemuan itu, katanya, mereka mengakui dihubungi serta ditawarkan jawatan dan wang ringgit untuk keluar parti berkenaan.

    Azis juga mendakwa, wujud ‘ejen-ejen membeli’ wakil rakyat di Sabah.

  • Empat anggota Maritim Malaysia minta suapan daripada nelayan ditahan

    Empat anggota Maritim Malaysia minta suapan daripada nelayan ditahan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis menahan empat lagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertugas di Zon Maritim Langkawi bagi membantu siasatan kes meminta suapan.

    Ia susulan penahanan dua anggota Maritim Malaysia di Zon Maritim Kuala Perlis dan seorang individu pada awal bulan ini membabitkan kes rasuah secara bulanan yang diterima daripada pemilik bot nelayan di perairan negeri itu.

    Sumber memaklumkan, keempat-empat suspek yang baru ditahan itu berusia lingkungan 30-an hingga 40-an dan mereka dipercayai melakukan kegiatan sama dengan meminta suapan daripada pengusaha bot sebanyak RM500 sehingga RM4,000 sebulan sebagai wang perlindungan.

    Menurut sumber itu, dua daripada mereka berpangkat Laskar Kanan Maritim, manakala masing-masing seorang Pegawai Waran II Maritim dan seorang Bintara Kanan Maritim.

    “Rentetan daripada tangkapan awal dua anggota Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis berhubung kes rasuah yang diterima secara bulanan daripada pengusaha dan pemilik bot di perairan Perlis.

    “Empat lagi anggota Maritim Malaysia Zon Langkawi yang melakukan kegiatan sama turut direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya di Langkawi, hari ini.

    Perintah reman terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret Langkawi, Helmi Ghani selepas mereka dibawa ke mahkamah tersebut, pagi ini.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Pada 3 Februari lalu, dua anggota Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis serta seorang individu berperanan sebagai orang tengah ditahan berhubung kes suapan dengan melakukan pemerasan terhadap nelayan sebagai perlindungan di perairan negeri ini.

    Dua anggota berjawatan Laskar Kanan Maritim dan Bintara Muda Maritim gred T4 serta T5 itu ditahan di pejabat SPRM Perlis selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan dilakukan suspek terlibat.

    Jumlah suapan yang diterima dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 setahun daripada seorang pemilik bot nelayan.

  • Mekanik didakwa miliki pistol

    Mekanik didakwa miliki pistol

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dakwaan memiliki pistol pada 9 Februari lalu.

    Tertuduh, Mohamad Khoidhir Mohamad, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Dia didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis Colt’s Caliber automatik berwarna perak yang dijumpai dalam sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina berwarna hijau di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Belukar Kubur Labok, Machang pada pukul 5.30 petang.

    Sinar Harian melaporkan, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin manakala 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.

    Dalam kes berkaitan, akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah di sebuah stesen minyak di Air Putih, Kuantan, Pahang pada bulan sama.

  • Jana Wibawa: Pengarah syarikat perabot didakwa minta, terima rasuah RM12.8 juta

    Jana Wibawa: Pengarah syarikat perabot didakwa minta, terima rasuah RM12.8 juta

    SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12.8 juta berkaitan projek Jana Wibawa, antara Julai 2021 hingga Oktober 2022.

    Tertuduh Datuk Teo Wee Cheng, 65, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Wee Cheng yang juga Pengarah SSH Furniture Sdn. Bhd., didakwa atas dua pertuduhan meminta wang suapan RM3.9 juta dan RM7.4 juta, yang juga 10 peratus daripada harga kontrak membabitkan program Jana Wibawa yang bernilai RM39.7 juta dan RM74 juta, lapor Berita Harian.

    Ia masing-masing bagi projek menaiktaraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen, di Segamat dan membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan FELDA Waha, di Sedili, Kota Tinggi.

    Berita lanjut menyusul

  • Jana Wibawa: Wan Saiful umum lepaskan jawatan Ketua Penerangan Bersatu

    Jana Wibawa: Wan Saiful umum lepaskan jawatan Ketua Penerangan Bersatu

    DATUK Wan Saiful Wan Jan mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas berdepan pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor tidak akan memegang sebarang jawatan eksekutif dalam parti sehingga namanya dibersihkan melalui proses perundangan.

    “Saya telah memaklumkan hajat saya ini kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan sebenarnya saya mencadangkan supaya menggantikan individu lain.

    “Dalam parti Bersatu ini banyak tokoh yang layak, boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab tetapi saya keputusan itu biar ditentukan oleh parti,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

    Wan Saiful berkata, keputusan tersebut juga diambil selari dengan prinsip dan perjuangan bagi membezakan dirinya dengan individu-individu lain yang terpalit dengan Kluster Mahkamah.

    Bagaimanapun, beliau kekal sebagai Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu.

    “Jadi jangan ada mana-mana pihak yang cuba menyamakan saya dengan individu-individu lain dalam Kluster Mahkamah.

    “Saya dengan suka hati dan sukarela serta tanpa berbelah bahagi melepaskan jawatan saya yang berbentuk eksekutif ini sedangkan mereka mencari dan menggunakan jawatan eksekutif untuk kepentingan diri sendiri,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam masa sama, Wan Saiful sekali lagi mendakwa pertuduhan yang dihadapinya bermotifkan politik yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    Sehubungan itu, Wan Saiful menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk perundangan sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba memburukkan namanya.

    Katanya lagi, keputusan melepaskan jawatan dalam parti akan memberi kesan positif kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang teguh melaksanakan prinsip perjuangan.

    “Atas dasar tersebut saya membuktikan dalam Bersatu dan PN kita tidak teragak-agak untuk melaksanakan prinsip yang kita perjuangkan dan bukan bermuka-muka untuk menggunakan jawatan demi kepentingan peribadi,” tambah Wan Saiful.

    Semalam, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Jana Wibawa.

    Beliau turut didakwa meminta rasuah berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta daripada Kerajaan Malaysia secara pra kelayakan.

  • Syed Saddiq mula bela diri terhadap empat tuduhan jenayah hari ini

    Syed Saddiq mula bela diri terhadap empat tuduhan jenayah hari ini

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini akan mula membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap empat pertuduhan yang dihadapinya.

    Bekas Menteri Belia dan Sukan itu tiba di mahkamah pada pukul 9.18 pagi dengan ditemani ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Abdullah Alsagoff dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz serta beberapa rakan penyokong.

    Beliau yang juga bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijadualkan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama bagi menjawab empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) yang dihadapinya.

    Menurut Pasukan pendakwaan, mereka sudah menerima pernyataan Syed Saddiq yang kini Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Sabtu lalu, lapor Berita Harian.

    Pada prosiding bela diri hari ini, selepas membaca dokumen itu, Syed Saddiq, 31, akan disoal peguam bela dalam pemeriksaan utama, sebelum disusuli dengan pemeriksaan balas oleh pasukan pendakwaan.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

    Sebelum ini, pihak pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd ‘Afif Ali, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Noor Syafina Mohd. Radzuan dan Mohd Shahrom Idris.

    Sementara Syed Saddiq dibela oleh pasukan peguam bela yang terdiri daripada Gobind Singh Deo; Datuk S Ambiga; Haijan Omar dan Lim Wei Jeit.

  • Kes Jana Wibawa: Adam Radlan didakwa terima rasuah RM4.1 juta

    Kes Jana Wibawa: Adam Radlan didakwa terima rasuah RM4.1 juta

    AHLI perniagaan, Adam Radlan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

    Bagaimanapun l Adam Radlan, 42, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Bribumi Bersatu (Bersatu) Segambut mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Mengikut pertuduhan, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu daripada Lian Tan Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

    Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM47.8 juta, lapor Harian Metro.

    Dua kesalahan terbabit dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan Jaya One, Petaling Jaya antara 26 November 2021 hingga 5 Januari lalu.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Semalam, Adam Radlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah berjumlah RM500,000 membabitkan projek sama.

    Mengikut pertuduhan, CEO itu didakwa meminta suapan iaitu wang tunai antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh.

    Ia sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima bagi projek di bawah program Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

    Adam Radlan juga didakwa menerima suapan RM500,000 menerusi akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang bernilai RM47.8 juta.

    Kedua-kedua kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, di Kuala Lumpur, pada Mac dan 26 November 2021, mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.