Author: Wartawan WartaRakyat

  • Amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri hingga 2 Mac

    Amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri hingga 2 Mac

    HUJAN lebat berterusan tahap bahaya dijangka melanda Kluang, Mersing, Kota Tinggi and Johor Bahru di Johor hingga Khamis ini (2 Mac), menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan 1 tengah hari ini.

    Hujan lebat berterusan pada paras sangat bahaya diramal menimpa Pekan dan Rompin di Pahang, serta Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian di Johor.

    Di Perak, kawasan dijangka mengalami hujan berterusan tahap waspada hingga esok adalah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; dan Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera.

    Hujan turut dijangka di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Tatau dan Bintulu) serta Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu. – BERNAMA

  • Tiket percuma buat penyokong sertai kelas al-Quran KDA FC

    Tiket percuma buat penyokong sertai kelas al-Quran KDA FC

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIDAK hanya melakukan persiapan bersungguh-sungguh bagi menghadapi saingan di tengah padang, pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini turut tampil dengan pelbagai idea berbeza bagi meraikan penyokong dengan yang terbaru, menggalakkan bacaan al-Quran dalam kalangan umat Islam.

    Menerusi pengumuman dibuat di laman Facebooknya hari ini, KDA FC mengumumkan mengenai klinik bacaan al-Quran KDA FC yang dianjurkan bersama salah sebuah syarikat penaja, Olive House pada setiap hari perlawanan di Stadium Darul Aman.

    Menariknya, setiap penyokong yang berjaya menamatkan sesi bimbingan bacaan al-Quran itu sebanyak 10 kali, mereka akan menerima sekeping tiket perlawanan percuma.

    “Pada setiap hari perlawanan, akan ada klinik bacaan al-Quran yang dibuka kepada penyokong Sang Kenari Sesi itu akan dibimbing guru terlatih dan jika penyokong berjaya menamatkannya sebanyak 10 kali, KDA FC dan Olive House akan memberi hadiah tiket perlawanan.

    “Tiket percuma itu akan diberi pada perlawanan ke-11. Insya Allah, semua penyokong Sang Kenari celik dan fasih dalam sebutan ayat al-Quran,” katanya.

    Tambah kenyataan itu lagi, bimbingan bacaan al-Quran itu akan dilaksanakan secara bersemuka oleh guru terlatih.

    “Sesi bacaan adalah untuk semua golongan dari permulaan hingga mahir,” katanya.

  • Jimat RM17 bilion jika T20 tak dapat subsidi petrol, LPG

    Jimat RM17 bilion jika T20 tak dapat subsidi petrol, LPG

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan boleh jimat sehingga RM17 bilion sekiranya golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, golongan kaya mendapat manfaat sebanyak RM17.8 bilion (35 peratus) daripada keseluruhan RM50.8 bilion subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) pada 2022.

    Sementara itu, 24 peratus daripada subsidi kerajaan memberi manfaat kepada kumpulan B40 manakala baki 41 peratus lagi dinikmati golongan M40.

    Ahmad berkata jumlah besar yang boleh dijimatkan daripada pemberian subsidi kepada kumpulan T20 boleh digunakan untuk membantu golongan miskin dan urusan lain di 26 kementerian.

    “Dari segi angka, RM50.8 kalau darab dengan 35 peratus yang diguna oleh T20, nilainya, RM17.8 bilion.

    “Kita kita tidak mahu lagi T20 dapat subsidi petrol, diesel LPG, kerajaan boleh jimat RM15 hingga RM17 bilion.

    “Jika T20 tidak diberikan subsidi petrol, LPG, anggaran penjimatan RM15 bilion hingga RM17 bilion.

    “Yang berhormat- yang berhormat boleh bayangkan berapa banyak boleh kita guna dari RM15 hingga RM17 bilion itu untuk bantu rakyat dalam pelbagai perkara dan urusan di 26 kementerian,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Ahmad menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (PN – Kuala Terengganu) yang bertanya apakah kerajaan berhasrat melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol, LPG dan minyak masak bagi mereka yang berpendapatan rendah.

    Sementara itu, dalam sidang akhbar hari ini, Ahmad berpendapat Malaysia adalah satu-satunya negara yang memberikan subsidi kepada golongan kaya jauh lebih banyak daripada apa yang diberikan kepada golongan miskin.

    “Adakah negara lain memberikan subsidi kepada orang kaya jauh lebih banyak daripada apa yang mereka berikan kepada orang miskin? Tidak, kan? Malaysia sahaja,” katanya.

    Terdahulu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pontian itu juga berkata kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM66.3 bilion tahun lalu dalam bentuk subsidi dan ini termasuk minyak masak, ayam, telur dan tarif elektrik.

    Walaupun pelaksanaan subsidi telah membantu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup, Ahmad berkata ia juga mengakibatkan ketirisan.

    “Sebagai contoh, perbezaan besar dalam nilai pasaran dan harga subsidi untuk diesel meningkatkan risiko penyeludupan barangan berkenaan,” katanya sambil menambah kerajaan komited untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk mengurangkan ketirisan.

  • Bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah palsukan dokumen

    Bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah palsukan dokumen

    SEORANG bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen antara 2017 hingga 2019.

    Muhammad Farhan Salleh, 37, yang juga bekas kerani Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan tiga set dokumen Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atas nama tiga syarikat, iaitu FNL Trading, Neosoft Technology Trading dan Ideal Ventures Enterprises, yang dipalsukan.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor, Bangunan Sultan Ismail, Sayap Selatan Kota Iskandar, di Iskandar Puteri antara Januari 2017, Februari 2018 dan Januari 2019.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, sekali jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly, lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, Choon Yew memohon jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

    Namun, Mohd. Fazaly memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 disebabkan anak guamnya kini bekerja sebagai peniaga selepas berhenti bekerja dalam perkhidmatan awam sejak 2020.

    Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan kes akan disebut semula bagi serahan dokumen pada 16 Mac.

  • Wanita potong kemaluan teman lelaki ugut sebar video lucah

    Wanita potong kemaluan teman lelaki ugut sebar video lucah

    SEORANG wanita didakwa memotong kemaluan teman lelakinya selepas berang berikutan lelaki itu mengugut untuk membocorkan video seks mereka berikutan keengganannya melakukan hubungan intim.

    Menurut laporan media Indonesia, kisah tragik itu berlaku di sebuah hotel di Kota Sibolga, Sumatera Utara pada 25 Februari lalu.

    Menurut polis, lelaki berusia 28 tahun itu mahu melakukan hubungan seks dengan wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai AST, namun dia menolak kerana ‘tiada mood’.

    Bagaimanapun, lelaki yang hanya dikenali sebagai OG itu kemudian mengugut untuk menyebarkan video hubungan intim mereka.

    Ketua Polis Sibolga, Taryono Rajarja berkata, pasangan berkenaan difahamkan berkenalan sejak tujuh bulan lalu.

    “Apabila dia (lelaki itu) bersedia untuk mandi, suspek melakukan serangan. Dia mengambil pisau milik lelaki itu dan memotong kemaluannya,” katanya menurut Berita Harian yang memetik laporan AGENSI.

    Penyambut tetamu di hotel itu, Evi Wahyuni Siregar berkata, wanita berusia 28 tahun itu mendekatinya untuk mendapatkan bantuan selepas melakukan serangan tersebut.

    Katanya, mangsa dilihat meraung kesakitan dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital berhampiran.

    Wanita itu ditahan polis, tetapi masih belum didakwa kerana polis berkata mereka sedang menunggu untuk menemubual mangsa.

  • PRN: Saifuddin akui penyokong BN, UMNO sukar beri undi kepada PH

    PRN: Saifuddin akui penyokong BN, UMNO sukar beri undi kepada PH

    PAKATAN Harapan (PH) mengakui kesukaran mereka untuk menarik sokongan akar umbi UMNO, walaupun kedua-dua parti akan bekerjasama menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang dijangkakan pada Julai depan.

    Ini sekali gus akan menyukarkan calon PH daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    Mereka berdepan laluan sukar sama ada untuk merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas, atau mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Untuk rekod, enam negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu yang kini ditadbir PN menerusi pimpinan Pas, serta Pulau Pinang (PH-DAP) dan Selangor serta Negeri Sembilan (PH-PKR) tidak menyertai PRU-15 pada 19 November lalu.

    Hanya Perlis, Pahang dan Perak mengadakan pilihan raya serentak dengan PRU-15, dengan semua 15 DUN di Perlis disapu bersih Perikatan Nasional (PN), kecuali Indera Kayangan dimenangi PH manakala penyandang pentadbiran negeri, UMNO, kalah semua kerusi.

    Di Perak, daripada 59 kawasan DUN, PN menang 26 kerusi diikuti PH (24 kerusi) dan Barisan Nasional (BN) sembilan, termasuk lapan daripada UMNO. Bagaimanapun, UMNO kemudian bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan negeri.

    Di Pahang pula, PN menang 17 kerusi DUN, diikuti BN-UMNO (17 kerusi) dan PH (tujuh kerusi) termasuk enam dimenangi DAP.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kemudian diangkat menjadi Menteri Besar setelah UMNO bekerjasama menubuhkan kerajaan negeri UMNO-DAP.

    Mengulas kerjasama PH-BN, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui satu analisis yang dilakukan pihaknya mendapati adalah lebih mudah untuk penyokong PH beralih mengundi calon BN.

    Bagaimanapun, katanya data dan maklumat yang diperoleh juga menunjukkan adalah sukar untuk penyokong BN, khususnya UMNO, untuk beralih mengundi calon PH.

    “Kalau kita andaikan berlaku perpindahan undi. Maknanya PH dengan BN berkawan sebagai kerajaan (peringkat Pusat)… di bawah berlaku tak dia kalih (tukar)? Dia kalih tak dengan sebab BN kawan dengan kita (PH), dengan sebab kita berkawan dengan BN.

    “Yang itu dalam analisa kita ini pun kita boleh kesan benda itu. Bahawa lebih mudah penyokong PH beralih undi BN… payah (sukar) penyokong BN nak beralih undi bagi kat kita… itu data tunjuk lagu (macam) tu.

    “Itu yang saya tanya Mahfuz (Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar)… macam mana hubungan dengan UMNO… dia tak bagus. Penerimaan macam mana? Betul… ada lagilah (yang tak dapat terima).

    “Ada lagi dia (Mahfuz) kata tak sepenuh hati (terima kerjasama). Tidak lagi sepenuh hati. Dia terkenang lagi apa kawan buat kat dia,” katanya dalam taklimat ketika Konvensyen PH Kedah di Sungai Petani, baru-baru ini.

    Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, PH dan BN mempunyai satu kelebihan bagi menghadapi PRN tidak beberapa bulan lagi.

    “Saya kata la ni kita cuma ada satu saja kelebihan. Iaitu kita jadi kerajaan di peringkat Pusat. Itu ialah modal kelebihan. Nak mula bagaimana kelebihan di peringkat Pusat boleh diperturunkan sampai kita jadi kuat dan ada peluang pada PRN,” katanya.

    Saifuddin yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, berdasarkan model PRU-15, PH kalah di banyak saluran serta di kawasan kampung.

    “Semua saluran pengundi muda kita kalah… semua pengundi awal, polis pun kita kalah, tentera pun kita kalah, PGA (Pasukan Gerakan Am) pun kita kalah, kakitangan awam pun kita kalah. Semua kalah di Kedah.

    “Bila dah kalah, modal kita satu saja la ni iaitu di peringkat Pusat, kita ada kerajaan. Jadi kerajaan peringkat Pusat mesti kita rasa ada kelebihan,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • Lelaki dituduh tikam pesakit di Hospital Selayang diarah jalani pemeriksaan mental

    Lelaki dituduh tikam pesakit di Hospital Selayang diarah jalani pemeriksaan mental

    MAHKAMAH Sesyen Selayang hari ini mengarahkan seorang lelaki yang bertindak menikam seorang pesakit di bahagian kecemasan Hospital Selayang dua minggu lalu, untuk menjalani pemeriksaan mental.

    Tertuduh, Mohd. Khairul Kamul, 22, sebelum itu dituduh di mahkamah sama atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin pagi ini.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.

    Ketika disoal oleh jurubahasa mahkamah samada dia mengaku atau tidak atas pertuduhan itu, tertuduh berkata, “saya tidak sedar dan berhalusinasi serta mendengar bisikan (ketika kejadian)”.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa yang berbangsa India dengan menggunakan pisau pada 14 Februari lalu.

    Perbuatan itu dilakukan di zon kuning non respi bahagian kecemasan di Hospital Selayang sekitar pukul 3.45 petang.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Mohd Khairul Kamul, 22, menghadapi pertuduhan mendatangkan kecederaan parah dengan menikam seorang pesakit di Hospital Selayang dua minggu lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzan membuat permohonan kepada mahkamah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Ulu Kinta bagi pemeriksaan mental.

    Hakim Nor Rajiah kemudian mengarahkan agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi pemeriksaan dan pemerhatian mental.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 29 Mac depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan laporan pemeriksaan mental tertuduh, lapor UtusanTV.

    Pada 15 Februari lalu media melaporkan seorang pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan Hospital Selayang ditikam oleh seorang lelaki.

    Kejadian difahamkan berlaku ketika mangsa yang menghidap demam denggi, pergi ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan sebelum diserang.

    Lelaki berkenaan dikatakan menyerang mangsa dengan pisau yang diambil di pantri jururawat di hospital berkenaan.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, mangsa yang berusia 20 tahun itu cedera pada dada kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan namun dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.

    Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang media, mengesahkan lelaki berkenaan merupakan seorang pesakit psikiatrik selain menafikan punca kejadian itu disebabkan oleh kesesakan di hospital tersebut seperti yang tular dalam media sosial.

  • 10 individu direman bantu kes rasuah tengah laut

    10 individu direman bantu kes rasuah tengah laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    LIMA penjawat awam dari tiga agensi penguatkuasaan di laut merupakan antara 10 individu yang direman selama lima hari bagi membantu siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Alor Setar, Kedah, hari ini.

    Perintah reman terhadap kesemua mereka dikeluarkan Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.

    Sumber memaklumkan, kesemua mereka yang direman berusia antara 26 hingga 57 tahun.

    “Mereka merupakan antara 19 individu yang diberkas SPRM di beberapa negeri selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah besar-besaran dan mengutip wang rasuah di tengah laut.

    “Kegiatan itu berjaya dikesan SPRM susulan risikan dijalankan terhadap tiga agensi penguatkuasaan membabitkan Jabatan Perikan (DOF), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.

    Difahamkan kakitangan ketiga-tiga agensi itu disyaki menerima rasuah diberikan pemilik bot nelayan dan pengusaha sangkar ternakan ikan dalam bentuk wang tunai.

    SPRM dikatakan sudah melakukan risikan sejak beberapa bulan lalu terhadap semua agensi tersebut di utara tanah air melibatkan Perlis, Pulau Pinang dan Kedah termasuk Langkawi.

  • Dakwa titah Agong disediakan kerajaan, Tuan Ibrahim mohon maaf

    Dakwa titah Agong disediakan kerajaan, Tuan Ibrahim mohon maaf

    AHLI Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat susulan ucapannya mengenai titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 disediakan kerajaan.

    Timbalan Presiden Pas itu berkata, satu pertemuan bersama Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul telah dilakukan bagi memberi penjelasan mengenai perkara itu.

    “Saya telah mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan (Johari) dan saya telah memberi penjelasan tentang beberapa kekhilafan yang berlaku.

    “Saya fikir perkara ini tidak perlu dipanjangkan kerana kita banyak isu-isu penting (untuk dibahaskan). Jadi sekiranya timbul kekhilafan, saya mohon maaf dan (dewan) teruskan agenda yang lebih penting untuk kepentingan rakyat,” katanya.

    Ketika perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 21 Februari lalu, Tuan Ibrahim mendakwa, titah perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah disediakan kerajaan sebelum diluluskan dalam Kabinet ekoran tidak memasukkan mengenai nilai keadilan sebagai prinsip utama Malaysia Madani.

    Ucapan beliau itu menarik perhatian RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangun mencelah dengan membangkitkan mengenai Peraturan Dewan 36 (6) bahawa ucapan itu membuat sangkaan jahat.

    Dalam pada itu, Johari berkata, beliau telah memanggil bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu setelah mendapat permohonan daripada Rayer yang meminta penjelasan perkara itu.

    “Saya dah jumpa Kubang Kerian (Tuan Ibrahim) dan pemahaman kita berbeza, namun apa yang telah disebutkan itu telah dimaklumkan kepada saya,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • Digilis ‘forklift’, warga emas hilang dua belah kaki

    Digilis ‘forklift’, warga emas hilang dua belah kaki

    SEORANG pekerja pembersihan kehilangan kedua-dua belah kaki selepas digilis trak angkat susun (forklift) dalam kejadian di Kompleks MASKargo Bayan Lepas semalam.

    Kejadian itu dirakam dalam sebuah klip video yang menjadi tular di media sosial. Dalam video berdurasi 15 saat itu, mangsa, Jami @Jumi Shariff, 75, dilihat dilanggar trak angkat susun ketika berjalan di kawasan kargo itu.

    Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Barat Daya, Leftenan (PA) Noor Azizan Zakaria, susulan menerima panggilan pada 12.16 tengah hari, empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Tambahnya, apabila tiba di lokasi, anggotanya mendapati kedua-dua belah kaki mangsa telah hancur digilis jentera berkenaan

    “Anggota pasukan kemudian memberi rawatan awal dengan membuat balutan dan memasang alat sokongan pada kaki mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ketika diberi rawatan awal, katanya, mangsa masih berada dalam keadaan sedar dan berada dalam keadaan stabil ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.