PEMIMPIN kanan Bersatu dilapor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam bagi membantu siasatan agensi berkenaan.
Malaysiakini dalam laporannya memetik sumber berkata, Bendahari Agung Bersatu Datuk Mohamed Salleh Bajuri kini berada dalam tahanan SPRM.
Katanya, ini selepas SPRM mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk meremannya selama dua hari.
“Ya, memang betul dia (Bajuri) ditahan,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Memetik laporan Free Malaysia Today yang memetik sumber dalam Bersatu, penahanan Salleh itu berkait siasatan ke atas program Jana Wibawa dan Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).
Mohamed Salleh mempunyai latar belakang sebagai ahli korporat sejak beberapa dekad lalu.
Dia dilantik menjadi bendahari agung parti berkenaan pada 2016.
AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman menyifatkan permohonan Pejuang untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai tindakan “terdesak, oportunis dan tiada prinsip” susulan kalah teruk pada PRU15
Memetik laporan Free Malaysia Today, Faiz yang membantah penyertaan Pejuang turut “menyerang” Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku presiden parti itu.
Jelasnya menerusi Facebook, beliau ada menghantar mesej kepada Mukhriz sebelum PRU15 mengajak bersama PN berdepan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, beliau berkata jawapan Mukhriz menimbulkan kemarahannya selepas bekas menteri besar Kedah itu membalas: “Sekarang baru nak fikir ego”.
Faiz juga ada memuat naik tangkap layar perbualannya bersama Mukhriz dalam hantaran itu.
Terdahulu, Mukhriz berkata, Majlis Eksekutif Pusat Pejuang memutuskan parti itu memohon menyertai gabungan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya semata-mata hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi ditandingi.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau belum menerima apa-apa maklumat mengenai permohonan Pejuang menyertai PN.
“Sudah pasti ia akan dibincangkan dengan parti komponen lain dan PN akan membuat keputusan,” katanya kepada FMT.
SEORANG anggota polis berpangkat sarjan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut ditahan untuk siasatan berhubung kes rasuah.
Suspek berusia 35 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Temerloh pukul 11.15 malam tadi.
Lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini untuk perintah reman.
Majistret Tuan Mohamed Shah Reza Noor Azman membenarkan perintah reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini hingga 8 Mac ini.
Suspek didakwa meminta rasuah RM1,000 sebagai dorongan untuk tidak lagi mengambil tindakan terhadap anak kepada seorang lelaki yang telah dijatuh hukum atas kesalahan pertama menyalahgunakan ketum.
Pengadu mendakwa dihubungi sarjan itu pada 28 Februari lalu ketika dia berada di Mahkamah Jerantut atas urusan pembayaran wang denda anaknya itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
SEORANG lelaki maut dipercayai ditikam menggunakan objek tajam dalam kejadian di Hadapan Medan Selera Cina Pekan Lukut, di Port Dickson, semalam.
Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.35 malam daripada orang awam.
Timbalan Ketua Polis daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki terbaring di atas jalan iaitu di kawasan parkir dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
“Lelaki itu bagaimanapun, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Lukut yang berada di lokasi kejadian.
“Mayat lelaki berusia 38 itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk ujian Covid-19 dan proses bedah siasat bagi menentukan sebab kematian simati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat untuk mengesan suspek yang terlibat.
“Siasatan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya, lapor Sinar Harian.
Justeru katanya, pihak polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222.
SEORANG buruh binaan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mencuri seluar dalam wanita di sebuah taman perumahan, minggu lalu.
Tertuduh, Liew Chee Hoong, 45, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, tengah hari tadi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri dua helai seluar dalam milik seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kediaman di Bandar Sri Damansara sekitar pukul 6 petang pada 23 Februari lalu.
Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Ketika rayuannya, tertuduh memohon hukuman denda yang minimum memandangkan sedang menjaga datuknya di kampung yang mempunyai masalah kesihatan selain punca pendapatan sebagai buruh yang tidak menentu.
Sementara itu, Siti Maryam memohon mahkamah untuk menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh agar memberikan pengajaran.
Majistret Zhafran kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,400 ke atas tertuduh serta penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.
Sebelum ini UtusanTV melaporkan seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki mencuri seluar dalam wanita.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 6.44 petang dan telah menahan lelaki berkenaan pada pukul 8.27 malam pada hari yang sama.
“Polis turut merampas dua helai seluar dalam wanita bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
PERIKATAN Nasional (PN) menyasarkan untuk menambah 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kepada lima kerusi disandangnya ketika ini.
Lima belas kerusi tidak cukup untuk membentuk kerajaan yang mempunyai 40 kerusi, tetapi mereka berusaha untuk menafikan majoriti dua pertiga Pakatan Harapan (PH), dengan 33 kerusi dan dua milik sekutunya Barisan Nasional (BN).
Menurut sumber kepada FMT, empat daripada lima kerusi PN adalah Bertam, Seberang Jaya, Sungai Acheh dan Teluk Bahang adalah milik Bersatu, Pas hanya mempunyai satu kerusi iaitu Penaga.
Sumber PN memberitahu: “Dengan gelombang hijau dijangka berterusan, gabungan yakin dapat mengekalkan lima kerusi ini dan menambah 10 kerusi majoriti Melayu, terutama di tanah besar. Kita berjaya menembusi kawasan dan golongan belia, terutamanya, nampaknya menerima PN.”
Sepuluh kerusi itu terdiri daripada DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan milik BN, Telok Ayer Tawar, Penanti, Pinang Tunggal, Machang Bubok, Sungai Bakap dan Pulau Betong milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Permatang Pasir serta Bayan Lepas disandang Partti Amanah Negara (Amanah).
Sumber itu berkata, PN bersikap realistik kerana tidak berhasrat merampas Pulau Pinang daripada PH namun bekerja keras di lapan kerusi dianggap mempunyai campuran kaum yang baik.
Ia adalah Bukit Tengah (PKR), Batu Maung (PKR), Batu Uban (PKR), Pantai Jerejak (PKR), Sungai Pinang (DAP), Air Itam (DAP), Pengkalan Kota (DAP) dan Dato Keramat (DAP).
“Kami akui ia mungkin sukar dengan kerusi ini kerana kami memerlukan undi daripada pengundi Cina. Kami bergantung pada rakan kongsi kami Gerakan untuk melakukannya.”
Bagaimanapun, satu lagi sumber parti berkata, ia tidak akan mudah untuk PN sejak PH dan BN bertanding pada pilihan raya sebagai sekutu, sambil menambah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang lemah tidak membantu.
“Kecuali kawasan Pas di Penaga, kebanyakan kerusi majoriti Melayu dan kerusi campuran lain menyaksikan PH dan BN mendapat jumlah undi yang jauh lebih besar jika keputusan dalam pilihan raya lepas digabungkan.
“Kecuali gelombang hijau bertukar menjadi tsunami, kita perlu berpuas hati walaupun hanya berjaya mengekalkan lima yang kita ada sekarang.
“Jangan lupa kita juga perlu melawan arus pengundi terhadap mereka yang beralih daripada PKR,” katanya.
AHLI Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong menerima surat peguam kedua susulan kenyataannya berkaitan kos harga telur import yang lebih mahal dari telur tempatan.
Dalam surat yang diserahkan padanya hari ini, Presiden MCA itu kini diberi masa 72 jam untuk membuat ‘pembetulan’ terhadap kenyataannya di parlimen dan media sosial atau berdepan tindakan lanjut.
Bagaimanapun Ka Siong berkata, beliau tidak gentar dan tetap mempertahankan kenyataan yang telah dibuat dalam Dewan Rakyat.
“Tiada siapa yang dapat menghalang saya untuk bersuara demi kepentingan rakyat jelata.
“Tiada siapa dapat menghentikan saya daripada menjadi jurucakap rakyat!” katanya, lapor MalaysiaKini.
Dalam kenyataan menerusi media sosial, beliau berkata, menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya.
Wee sebelum ini membawa tiga jenis telur yang berbeza–telur India, telur Omega dan telur tempatan–ke Dewan Rakyat dan membandingkan saiz dan harganya.
Wee mendakwa telur dari India dibeli dengan harga 50sen walaupun saiznya lebih kecil manakala telur keluaran tempatan dikawal pada harga 45sen.
Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini berkata pengimportan telur dari India hanyalah langkah sementara sehingga bekalan tempatan stabil.
Pengimport telur itu sebelum ini berkata, Wee tidak sedar kepentingan untuk memenuhi keperluan dalam negeri dengan hanya menumpukan kepada keuntungan.
Mereka juga mendakwa bahawa kenyataan Wee menyebabkan kerugian dan mencemarkan nama baik mereka.
UMNO Bahagian Besut yang sebelum ini kelihatan agak tenang secara tiba-tiba sahaja bertukar menjadi gelora?
Begitulah pertanyaan dan perbualan sedang hangat diperbualkan oleh kebanyakan pihak sama ada ahli-ahli UMNO atau pun para penganalisis dan pemerhati politik di negeri ini.
Ia berikutan tularnya sepucuk surat yang ditandatangani oleh Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad mengenai penamatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof sebagai Pengerusi Ketua Urusetia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dan DUN Jertih Besut bagi tempoh 27 Feb 2023 hingga 19 Mac 2023.
Adakah penamatan atau bahasa kasarnya ‘pemecatan’ sebagai trend baharu dalam politik UMNO sekarang?
Surat pemecatan Pehimi yang bertarikh 27 Februari 2023 itu dikatakan ada kaitan dengan tindakan beliau yang bakal bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian itu.
Susulan tindakan Nawi, banyak pihak berpendapat ia bukan masa yang sesuai memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin hampir.
Ini kerana, rata-rata pemerhati politik menjangkakan melalui tindakan tersebut ia boleh membawa kepada perpecahan dan merugikan parti.
Malah, Besut yang sebelum ini cukup sinonim dan terkenal sebagai antara kubu kuat UMNO di Terengganu terutama DUN Kuala Besut, Hulu Besut dan Jertih dikatakan bakal ‘lunyai’ sekiranya pergolakan politik di kawasan terbabit dibiarkan tercetus.
Maka itu, ada pihak meramalkan bahawa melalui pertelingkahan terbaharu itu juga tidak mustahil tiga kerusi DUN berkenaan bakal tewas dalam PRN nanti sepertimana berlaku kepada kerusi Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akhir tahun lepas.
Nawi Mohamad
Oleh itu, ramai yang meminta supaya Nawi tidak seharusnya cepat melatah sebaliknya perlu akur dengan keputusan Pehimi.
Ini memandangkan Pehimi pernah bertanding jawatan tersebut pada tahun 2013 lalu ketika Nawi mencabar dan bertanding jawatan berkenaan menentang Datuk Seri Idris Jusoh.
Tindakan dibuat oleh Nawi yang juga merupakan ADUN Hulu Besut menyebabkan Idris membuat kejutan dengan melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut bagi memberi laluan kepada muka baharu, iaitu Nawi.
Pada masa sama Idris yang ketika itu merupakan Menteri Pendidikan Kedua bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian yang akhirnya menang tanpa bertanding apabila tiada borang pencalonan lain diterima sehingga tempoh penyerahan tamat.
Datuk Nawi Mohamad
Tindakan Idris yang tidak mempertahankan jawatannya ketika itu dibuat apabila timbalannya, iaitu Nawi mengemukakan borang pencalonan untuk merebut jawatan menentang Idris.
Nawi akhirnya dicabar oleh anak didik Idris, iaitu Pehimi yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Peladangan dan Komoditi negeri.
Justeru, ini merupakan pertandingan kali kedua bagi kedua-kedua ahli politik berkenaan.
Ada dalam kalangan veteran UMNO berpendapat, apa salahnya jika Nawi tidak terlalu cepat melatah sebaliknya akur dengan tindakan Pehimi.
MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 ke atas seorang bekas pegawai kanan tentera yang didakwa atas pertuduhan memikat isteri orang tujuh tahun lalu.
Azmi Ali, 48, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa dengan niat jenayah memikat wanita berusia 44 tahun, yang sudah bersuami (ketika dituduh pada tahun 2020) di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di Petaling Jaya awal tahun 2016.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu telah kahwin dengan wanita itu pada 4 Jun 2005 dan mereka menetap di Seri Kembangan, Petaling Jaya.
Pengadu telah membaca mesej dalam aplikasi WhatsApp antara wanita itu dengan tertuduh yang mengandungi kandungan kemesraan melampau.
Semasa prosiding, peguam Azman Zakaria berkata, ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan tiada sabitan lampau.
Berikutan kes ini beliau berkata, Azmi yang telah bertugas selama 28 tahun lalu dinasihati supaya diberhentikan kerja dan hanya mendapat pekerjaan baharu tiga bulan lalu.
“Dia mengaku kesal dan mengambil jalan untuk selesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md. Kamal memohon mahkamah mengambil kira masalah yang menimpa pengadu yang juga bekas suami kepada wanita terbabit.
“Kejadian ini menyebabkan pengadu dan wanita itu bercerai malah menjejaskan anak-anak mereka apabila rumah yang diduduki sebelum ini terpaksa dijual.
“Ini kerana pengadu tidak dapat memberi tumpuan pada pekerjaannya sehingga menyebabkan perniagaannya gulung tikar.
“Kes ini juga menyebabkan dia mengalami depresi dan perlu menjalani sesi kaunseling di Terengganu,” katanya, lapor Sinar Harian.
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan keputusan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat strategik negara itu esok.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya akan membacakan keputusan berkenaan pada pukul 9 pagi.
Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram namun bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun ini meninggal dunia pada 29 Januari lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, ia akan diteruskan oleh pasukan pendakwaan sedia ada antaranya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
Pihak pembelaan pula oleh peguam, Tan Sri Shafee Abdullah bagi pihak Najib, sementara Datuk N. Sivananthan untuk Arul Kanda.
Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula hari pertama pembukaan perbicaraan kes pada 18 November 2019.
Pada 24 Jun tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Antara saksi utama dipanggil memberikan keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr. Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.
Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan Ketua Audit Negara, dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu untuk mengelak dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Najib yang kini menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd dijangka dibawa ke mahkamah menjelang pukul 8 pagi.