SEORANG lelaki ditahan di stesen Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang pukul 6 pagi Isnin lalu, selepas dipercayai baru pulang berjoli dengan wang hasil kegiatan ragut di Kuala Lumpur.
Difahamkan, lelaki tempatan berusia 30-an itu menaiki bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur sebelum ditahan sepasukan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, turut ditahan ialah kekasih lelaki berkenaan berusia 20-an di Juru, kira-kira pukul 3.30 petang semalam yang mana pasangan kekasih berkenaan didapati aktif melakukan kegiatan samun.
Jelasnya, modus operandi mereka adalah suspek lelaki akan mencari peluang dengan meronda bersendirian menunggang motosikal jenis EX5 dan berpura-pura bertanyakan arah kepada mangsa sebelum merentap rantai emas yang dipakai.
“Teman wanitanya akan menjual hasil samun kepada kedai emas dan pajak gadai, malah turut menerima upah sebanyak RM200.
“Penahanan kedua-dua suspek ini berjaya menyelesaikan tiga kes ragut di daerah SPT dan satu kes di Kulim, Kedah membabitkan barangan kemas bernilai RM6,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati suspek utama yang juga pekerja kilang positif dadah selain turut mempunyai tujuh kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
Sementara itu, katanya, suspek wanita yang bekerja sebagai tukang urut pula negatif dadah, namun mempunyai empat kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
“Suspek lelaki direman sehingga 6 Mac manakala teman wanitanya direman sehingga 7 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
“Selain itu, tiga pemilik kedai emas dan pajak gadai yang berusia lingkungan 60-an hingga 70-an turut ditahan bagi membantu siasatan kerana memiliki barang curi,” katanya.