Author: Wartawan WartaRakyat

  • 2 ceramah Ustaz Wadi Annuar di Selangor dibatalkan

    2 ceramah Ustaz Wadi Annuar di Selangor dibatalkan

    DUA ceramah penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau Ustaz Wadi Annuar di Selangor yang dijadualkan pada 10 dan 11 Mac ini dibatalkan.

    Bagaimanapun Ustaz Wadi Annuar tidak mendedahkan alasan pembatalan ceramah di dua kawasan berkenaan.

    Dua lokasi tersebut ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.

    Namun menurut Ustaz Wadi Annuar, ceramahnya di kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan kekal berjalan seperti biasa.

    “Dimaklumkan bahawa semua ceramah Ustaz Wadi Annuar bertempat di negeri Selangor dibatalkan.

    “Manakala ceramah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dijalankan seperti biasa.

    “Segala kesulitan amat dikesali. Semoga ALLAH SWT memberikan pahala kepada semua yang berniat untuk hadir majlis ilmu,” katanya dalam siaran di Facebook hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, kuliah Maghrib penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dibatalkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.

    Menurut Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad pembatalan itu merupakan ketetapan yang tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

    Meskipun terpalit kontroversi tersebut namun Kuliah Maghrib Perdana Ustaz Azhar Idrus di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan pada 26 Februari lalu dihadiri oleh ribuan jemaah.

  • ‘Kalau betul tolak, tunjuk surat RoS’, kata Ismail Sabri

    ‘Kalau betul tolak, tunjuk surat RoS’, kata Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menunjukkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang didakwa menerima resolusi parti supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

    Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas perkara itu berkata, ia berikutan polemik status usul tambahan yang diluluskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

    “Minta dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat RoS itu, elok juga kalau boleh tunjukkan (surat) sebab ada dua laporan media berbeza.

    “Satu kata RoS tolak tapi tak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru.

    “Saya pun baca laporan media juga,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sudah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

    Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, RoS meluluskan usul PAU 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

    Katanya, perkembangan terbaru itu diterima menerusi surat daripada KDN semalam.

    Bagaimanapun, sebuah portal berita melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli UMNO, memutuskan usul tambahan terbabit tidak sah.

    Portal berita terbabit bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

    Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya wujud pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

    Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

    Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini.

    Ia bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi perlembagaannya.

  • Polis tahan pelakon disyaki tumbuk isteri

    Polis tahan pelakon disyaki tumbuk isteri

    POLIS menahan seorang pelakon dipercayai menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh semalam bagi membantu siasatan kes itu.

    Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, lelaki berusia 29 tahun terbabit ditahan kira-kira 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

    Bagaimanapun katanya, pelakon itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

    “Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan mangsa, dua saksi dan suspek.

    “Polis kemungkinan akan memanggil semula mangsa untuk diambil keterangan lanjut hari ini,” katanya, lapor Harian Metro.

    Hussein berkata, polis juga sudah mendapatkan laporan awal perubatan mangsa dan disahkan mangsa mengalami kecederaan di pipi.

    Selain itu, kata beliau, polis akan mendapatkan perintah mahkamah sementara pada esok, bertujuan menghalang suami daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan polis.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Terjejas banjir, 372 kawasan sekitar Batu Pahat alami gangguan bekalan air pula

    Terjejas banjir, 372 kawasan sekitar Batu Pahat alami gangguan bekalan air pula

    KETIKA kebanyakan penempatan di Batu Pahat terjejas banjir, kini penduduk terpaksa berdepan pula gangguan bekalan air tidak terancang berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Yong Peng 2 serta LRA Yong Peng 3, semalam.

    Ranhill SAJ dalam satu kenyataan melalui Facebook berkata, gangguan itu melibatkan sebanyak 372 kawasan di sekitar Batu Pahat.

    Menurutnya, hujan berterusan telah menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik (tripping) di Empangan Bekok, sekali gus mengakibatkan gangguan operasi kedua-dua LRA terbabit.

    “Situasi banjir ketika ini dijangka menyebabkan sedikit kesulitan bagi pergerakan anggota. Atas faktor keselamatan dalam situasi semasa ini, bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diperlukan untuk pergerakan ke lokasi.

    “Segala makluman berkaitan insiden ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu, lapor Berita Harian.

    Gangguan bekalan air tidak terancang itu membabitkan 33 kawasan di Jalan Parit Sulong-Simpang Lima; Simpang Lima-Bagan-Parit Sangit (32); Yong Peng (73); Tongkang Pecah-Jalan Parit Jalil (37); dan Tanjung Sembrong (26).

    Seterusnya, Parit Sulong (22), Ayer Hitam (41), Sri Medan (66); Parit Yaani (35); Jalan Kluang-Ayer Hitam (empat) dan Pekan Semerah (tiga).

    Kawasan yang terjejas meliputi Klinik Kesihatan Tongkang Pecah, Klinik Kesihatan Jalan Yong Peng dan kawasan perindustrian Tongkang Pecah.

    Pengguna di kawasan yang terjejas disaran untuk terus mendapatkan maklumat rasmi berkaitan gangguan bekalan air melalui saluran rasmi aduan Ranhill SAJ menerusi talian mesra 1800887474, e-mel: [email protected] atau sms: AT [ ] RanhillSAJ [ ] Aduan dan hantar ke 63001.

    Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Batu Pahat merupakan antara daerah paling ramai penduduk teruk terjejas banjir dengan sejumlah 14,030 orang daripada 4,084 keluarga ditempatkaan di PPS.

  • Buku, peralatan sekolah rosak akibat banjir, peniaga rugi RM1 juta

    Buku, peralatan sekolah rosak akibat banjir, peniaga rugi RM1 juta

    SEORANG peniaga di Segamat, Johor mendakwa kerugian hampir RM1 juta selepas premis perniagaannya dinaiki air setinggi satu meter berikutan hujan lebat di daerah itu sejak Rabu lalu.

    Jason Ng Wai Kin, 43, yang menjalankan perniagaan memborong barangan keperluan sekolah di Jalan Genuang berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang jualannya berikutan paras air yang tinggi dan arus deras.

    Tambah menyedihkan bagi Jason yang mengusahakan tiga unit kedai alat tulis bersama isterinya, mereka baru sahaja menambah stok barangan sebanyak RM 600,000 sebagai persediaan membuka sesi persekolahan bulan ini.

    Menurutnya, dia hanya mampu melihat hampir separuh barangan di kedainya rosak berikutan ketika kejadian, dia dan isteri berada di Thailand atas urusan perniagaan.

    “Hampir 30 tahun saya menjalankan perniagaan sebagai pembekal buku sekolah terbesar di daerah ini, kali ini merupakan yang ketiga kedai saya naik air selepas tahun 2006 dan 2011 yang lalu.

    “Memang kedai saya sudah buat persediaan buka sekolah dan isteri saya sudah ‘restock’ barang lebih RM 600,000 selain sekolah-sekolah juga sudah buat tempahan buku-buku latihan dan semuanya hancur terendam air banjir.

    “Kalau berdasarkan pengalaman sebelum ini, untuk bersihkan keseluruhan kedai ini ambil masa lebih kurang dua bulan dan sepanjang tempoh itu juga saya tidak dapat jalankan perniagaan seperti biasa,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Jason berharap kerajaan dapat melakukan langkah penyelesaian jangka panjang yang bukannya hanya sekadar menyalurkan sumbangan sekali bayar kepada mangsa banjir di daerah ini.

    Jason yang turut menjalankan perniagaan farmasi di lokasi sama menegaskan, dia bukan tidak mahu berpindah ke kawasan lain, namun, hampir keseluruhan kawasan di Segamat berisiko dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.

    “Jalan Genuang masih jalan besar Segamat, jadi ini masih ‘hotspot’ yang mana walaupun dilanda banjir kami masih di sini kerana kami sudah berpuluh tahun (berniaga) di sini.

    “Kalau nak berpindah bukan senang kerana sudah ada pelanggan tetap, jadi kami cuma harapkan perubahan yang boleh bantu peniaga semua supaya kami tidak lagi mengalami kerugian seperti ini,” katanya lagi.

    Banjir besar yang melanda daerah Segamat sejak Rabu lalu bukan sahaja menjejaskan ribuan rumah penduduk sehingga memaksa lebih 13,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Premis-premis perniagaan di bandar Segamat juga lumpuh seketika selepas turut dimasuki air dan merosakkan barangan jualan.

  • Noh Omar puji Tun M gantung keahlian pemimpin ada kes mahkamah

    Noh Omar puji Tun M gantung keahlian pemimpin ada kes mahkamah

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar memuji Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana berpegang kepada prinsip dengan menggantung keahlian pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah ketika bergelar Presiden UMNO.

    “Ketika itu mana-mana pemimpin yang didakwa di mahkamah secara automatik digantung keahlian walaupun tindakan itu tidak termaktub dalam Perlembagaan parti,” kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu.

    “Zaman Tun jadi presiden parti, mana-mana pemimpin parti bila kena dakwa, automatik di gantung (keahlian) tak kiralah (Dr Mohamad) Khir Toyo atau (Tan Sri Abdul) Rahim Thamby Chik.

    “Tapi hari ni dah terbalik, yang ada kes (mahkamah) terus dapat jawatan, terus menang tak bertanding,” dakwanya pada program Bersama Tun M: Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? di Mini Townhall, Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya, hari ini.

    Program itu julung kali menggandingkan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu bersama Dr Mahathir dan bekas Pesiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Pada 27 Januari lalu, media melaporkan Noh dipecat daripada UMNO selepas beliau mempertikaikan penggantungannya sebagai ahli parti itu selama enam tahun.

    Mengulas lanjut, Noh berkata, prinsip yang dipegang Dr. Mahathir itu juga membuatkan pegawai kerajaan pada zaman beliau menghormati pemimpin UMNO.

    Bagaimanapun situasi ketika ini katanya, bagaimana pegawai kerajaan akan hormat pemimpin UMNO kerana pemimpinnya yang sedang dibicara di mahkamah terus jadi Timbalan Perdana Menteri.

    “Jadi bagi saya di situ UMNO dah hilang perjuangan mereka,” dakwanya.

    Sementara itu, pada sidang akhbar selepas program itu berakhir, Noh memberitahu, beliau setakat ini belum menerima tawaran untuk menyertai mana-mana parti.

    “Jadi saya akan terus jadi penceramah bebas di mana-mana sahaja,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Tun M dakwa sertai Putra untuk perjuangkan nasib orang Melayu

    Tun M dakwa sertai Putra untuk perjuangkan nasib orang Melayu

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyertaannya dalam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hanya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

    Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, Putra sekadar menjadi platform kepada beliau untuk terus membela orang Melayu.

    “Kita pilih Putra sebagai platform sahaja, kita tak memihak semata-mata kepada parti. Kalau hanya fikir tentang parti, nak bagi menang parti, akhirnya orang Melayu macam hilang kuasa macam sekarang.

    “Saya fikir itu bukan perjuangan baik. Perjuangan yang baik sekarang ini ialah kita ketepikan kepentingan diri, kepentingan parti dan utamakan kepentingan Melayu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas berakhir program Bersama Tun M: Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? di Mini Townhall, Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya, hari ini.

    Program itu julung kali menggandingkan beliau bersama bersama bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Pada 24 Februari lalu, media melaporkan Dr. Mahathir bersama 13 lagi ahli yang sebelum ini keluar daripada Pejuang sah menyertai Putra.

    Perkara itu disahkan oleh bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin menerusi satu hantaran di Facebook.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir memberitahu, orang Melayu ketika ini berada dalam keadaan cukup bahaya kerana bukan sahaja tidak pernah menguasai ekonomi bahkan sudah kehilangan kuasa politik.

  • Zuraida sokong PN dalam enam PRN nanti

    Zuraida sokong PN dalam enam PRN nanti

    BEKAS Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan beliau akan menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam enam Pilihan Raya Negeri yang dijangka diadakan pada Jun nanti.

    “Saya nak umumkan saya akan menyokong PN untuk PRN nanti dan tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional.

    “Saya bukan sokong PH atau BN sebab mereka bentuk kerajaan gabungan dan bukan kerajaan campuran,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas berakhir program Bersama Tun M: Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? di Mini Townhall, Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya har ini.

    Program itu julung kali menggandingkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad duduk sepentas bersama beliau dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Ditanya tentang penyertaannya dalam Muafakat Nasional (MN), bekas Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau bersama MN untuk memberikannya platform lebih besar untuk terlibat dalam kerja badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

    “Jadi saya boleh buat aktiviti di peringkat akar umbi menerusi penglibatan di peringkat NGO ini,” ulasnya, lapor Sinar Harian.

  • Balai Polis Panchor ditutup akibat banjir

    Balai Polis Panchor ditutup akibat banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BALAI Polis Panchor di Kilometer 29 Jalan Abd Rahman, Panchor, Muar ditutup sementara susulan dinaiki air setinggi lebih dua meter.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, balai berkenaan mula naiki air pada pukul 9 pagi tadi dan diarahkan ditutup satu jamn kemudian selepas paras air semakin tinggi.

    “Balai ini menempatkan 12 pegawai rendah polis. Sebarang urusan melibatkan laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai berhampiran.

    “Laluan di kawasan sekitar balai juga ditutup kerana paras air semakin tinggi iaitu Jalan Muar-Labis, Kampung Jawa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Muar.

    Beliau berkata, rondaan berkala daripada pihak polis di kawasan terjejas dengan banjir akan dilakukan bagi memastikan keselamatan harta benda dalam keadaan selamat.

    Balai Polis Panchor di Muar terpaksa ditutup sementara bermula pukul 10 pagi dan urusan laporan polis boleh dibuat di balai berdekatan

    Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, amaran hujan berterusan daerah ini akan berlaku sehingga 4 Mac ini.

    Raiz Mukhliz memberitahu, sehingga jam 1 tengah hari Sabtu, 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh daerah ini.

    Katanya, seramai 3,278 mangsa banjir melibatkan 952 keluarga telah berdaftar ke PPS.

    Selain itu menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar, sebanyak tujuh jalan ditutup selepas terjejas dengan banjir.

    “Jalan berkenaan melibatkan Jalan Muar-Labis di Kampung Jawa; Jalan Muar-Labis (Speedmart Lenga); Jalan Muar-Labis (jambatan Sungai Tui); Jalan Tekam Pagoh (kebun kelapa sawit) dan Jalan Durian Chondong (jambatan Sungai Muar),” ujar beliau.

    Ini termasuk katanya, Jalan Renchong-Gombang (Sungai Menchil) dan Jalan Kampung Liang Batu (Masjid Kampung Liang Batu).

    “Polis menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak mengambil risiko untuk melalui jalan yang telah dinaiki air. Berhati-hati dalam pemanduan dan mematuhi sebarang tanda amaran yang diletakkan di kawasan banjir,” katanya.

  • Bendahari Bersatu dibebaskan dengan jaminan SPRM

    Bendahari Bersatu dibebaskan dengan jaminan SPRM

    BENDAHARI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Salleh Bajuri yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mengesahkan perkara tersebut hari ini.

    “Saya dimaklumkan Datuk Mohd Salleh Bajuri telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dapat balik ke rumahnya pada tengah hari Jumaat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Razali menyifatkan penahanan Mohd. Salleh itu dilihat suatu tindakan untuk memburukkan Bersatu di mata rakyat.

    “Tujuan hanya untuk memberi satu pandangan pada rakyat betapa buruknya Bersatu ini,” ujarnya.

    Razali turut mendakwa, duit berkenaan tidak dimasukkan dalam akaun peribadi Mohd. Salleh.

    “Saya difahamkan bukan ada kemasukan (duit) dalam akaun peribadi Mohd. Salleh. Beliau hanya menjaga akaun parti malah akaun tersebut diaudit setiap tahun dan ini bermaksud akaun itu bersih selain tiada kemasukan yang meragukan.

    “Jadi saya melihat kalau macam ini caranya maka saya jangkakan akan ada ramai lagi pemimpin Bersatu ditangkap dan disiasat oleh SPRM,” ujarnya.

    Justeru, Razali menggesa kerajaan untuk melaksanakan Akta Pendanaan Politik bagi mengetahui sumber kewangan atau dana diperoleh sesebuah parti politik.

    “Laksanakan Akta Pendanaan Politik. Biar jelas dari sumber mana yang boleh diambil.

    “Parti politik mesti dan wajib ada sumber kewangan untuk bergerak. Sekarang cadang akta tersebut dilaksanakan segera pada sesi Parlimen, barulah tahu setakat mana duit itu diperoleh,” jelasnya.

    Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Mohd. Salleh ditahan pada Selasa untuk membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.

    Bagaimanapun sumber memaklumkan, pemimpin Bersatu itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

    Tambah sumber, Mohd. Salleh kemudian ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan kes.

    Pada 1 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membekukan beberapa akaun milik Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor juga sudah dipanggil SPRM pada 16 Februari bagi memberi keterangan berkaitan isu membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima parti Bersatu.