Author: Wartawan WartaRakyat

  • Saifuddin belum tengok surat RoS, kelulusan usul tambahan PAU 2022

    Saifuddin belum tengok surat RoS, kelulusan usul tambahan PAU 2022

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masih belum melihat surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung kelulusan usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.

    “Saya baru tiba dari urusan luar negara hari ini (Manila, Filipina) dan tidak pernah berkomunikasi dengan mana-mana pihak berhubung perkara tersebut.

    “Saya tidak tengok lagi surat itu. Jadi ‘to be fair’ (untuk berlaku adil), bagi saya ‘prepare’ (buat persediaan) untuk saya berkomunikasi dengan pihak yang disebut.

    “Bagi saya peluang untuk tengok surat itu dulu,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di George Town hari ini.

    Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ibu pejabat UMNO telah menerima surat daripada KDN menerusi RoS berhubung usul tambahan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

    Namun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Ahmad Zahid menunjukkan surat daripada RoS itu susulan terdapat dua laporan media berbeza mengenai usul tambahan yang diluluskan PAU 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

    Dalam reaksi balas, Ahmad Zahid berkata, UMNO sedia mendedahkan surat itu dengan harapan dapat memberhentikan segala isu yang timbul berkaitannya dan mengesahkan bahawa tiada pemilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

    Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, beliau juga tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai surat RoS tersebut dan akan memanggil Ketua Setiausaha KDN dan pegawainya selepas melihat surat itu.

    “Esok saya tengok surat itu, saya akan panggil KSU saya, pegawai saya, itu baru betul. Saya tidak akan membuat spekulasi sana sini, dia ni kata ada surat, dia ni kata tidak ada surat.

    “Takkan saya nak buat kenyataan teraba-raba begitu,” ujar beliau.

  • Usul kosongkan kerusi lulus, 4 ADUN Bersatu diarah tinggalkan DUN

    Usul kosongkan kerusi lulus, 4 ADUN Bersatu diarah tinggalkan DUN

    EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Pulau Pinang diarahkan keluar meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Tindakan tersebut selepas usul pengosongan kerusi disandang mereka yang merupakan ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu diluluskan sidang DUN pada pukul 1 tengah hari.

    Mereka terdiri daripada Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang).

    Semua mereka meninggalkan bangunan DUN selepas diarahkan berbuat demikian oleh Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang sebaik sahaja usul itu mendapat sokongan majoriti ADUN.

    Terdahulu, usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu dicadangkan Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR-Pinang Tunggal) dan disokong Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat).

    Usul itu dibenarkan dibahaskan terlebih dahulu oleh Choo Kiang sebaik sahaja sidang DUN bermula kira-kira pukul 9.30 pagi selepas mengambil kira kepentingannya yang berkaitan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

    Ini berikutan keputusan mahkamah berkenaan enakmen anti lompat parti pada 2 Mac lalu.

    Ketika membentangkan usul itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan jelas menetapkan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya apabila melepaskan, berhenti atau dilucutkan keahlian daripada sesebuah parti politik atau menyertai mana-mana parti politik lain.

    Menurutnya, perkara itu terpakai kepada ADUN Bertam dan Teluk Bahang yang merupakan ahli Bersatu yang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bertanding atas tiket logo PKR dan mendapat merit daripada Presiden PKR, manakala ADUN Sungai Acheh dan Seberang Jaya pula telah dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    “Sekiranya pengisytiharan tersebut diluluskan, Yang Dipertua DUN menurut Fasal 14A(4) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang hendaklah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa telah berlakunya kekosongan empat kerusi DUN Pulau Pinang,” katanya.

    Terdahulu, sesi perbahasan usul itu menjadi kecoh dengan keempat-empat ADUN pembangkang berkenaan berhujah mempertahankan kerusi masing-masing, manakala ADUN kerajaan negeri pula cuba menjustifikasikan keperluan pelaksanaan usul berkenaan.

    Malah, Dr. Afif turut diberi amaran oleh Choo Kiang untuk berhenti merakam video menggunakan telefon bimbit beliau ketika Ahmad Zakiyuddin membentangkan usul itu meskipun beliau memberi alasan rakaman berkenaan dibuat untuk simpanan peribadi.

    Sementara itu, dalam perbahasannya, Khaliq Mehtab (Bersatu-Bertam) berkata, tiga senario melompat parti seperti disebut dalam pindaan Perlembagaan negeri itu iaitu melompat parti; dipecat daripada parti dan mengisytihar diri sebagai wakil rakyat Bebas tidak berlaku terhadap beliau serta Teluk Bahang sehingga perlu mengosongkan kerusi DUN masing-masing.

    “Sebab itu bagi kami usul ini merosakkan demokrasi dan mengkhianati mandat rakyat yang memilih kami untuk mewakili dan menjadi suara mereka.

    “Usul ini juga bertujuan untuk menghilangkan suara pembangkang dan sekiranya kami dihalau daripada DUN hari ini, maka ia akan menjadi titik hitam dalam sejarah Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

    Dalam pada itu, ketika berbahas mempertahankan usul itu, Gooi Hsiao Leung (DAP-Bukit Tengah) berkata, keempat-empat ADUN berkenaan sepatutnya meletakkan jawatan ADUN lebih awal tanpa perlu menunggu usul mengenainya dibentangkan dalam sidang DUN hari ini.

    Ini kerana, jelas beliau, mereka boleh dianggap telah memilih keluar daripada parti memandangkan pada PRU-14, mereka memilih bertanding dan menang atas atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu menggunakan logo PKR.

    Secara keseluruhan, seramai 12 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu termasuk Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota): Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak); Lee Chun Kit (DAP-Pulau Tikus); Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir) dan M. Satees (DAP-Bagan Dalam) dan Mohd. Yusni Mat Piah (Pas- Penaga).

  • Remaja dikenakan bon kelakuan baik kerana rogol kekasih

    Remaja dikenakan bon kelakuan baik kerana rogol kekasih

    SEORANG remaja lelaki dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini, selepas mengaku bersalah merogol kekasihnya yang berusia 14 tahun, pada 2021 lalu.

    Hakim Rasyihah Ghazali turut memerintahkan tertuduh yang kini berusia 19 tahun, dikenakan cagaran sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan selain pengawasan polis selama setahun sebaik selesai bon tersebut.

    Ketika membaca keputusan penghakiman ringkasnya, Rasyihah berkata, tertuduh akan dijatuhi hukuman mengikut kesalahan merogol, jika melanggar syarat dan melakukan kesalahan dalam tempoh tiga tahun.

    “Sekiranya gagal melunaskan cagaran sehingga jam 4 petang ini, tertuduh akan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun, menjalani kaunseling selama tempoh penahanan dan diletakkan bawah pengawasan polis selama dua tahun,” katanya.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Saujana Puchong, Puchong, pada pukul 10 malam, Disember 2021.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah dihubungi teman wanitanya pada Oktober 2021 agar mengambilnya dari rumah selepas bertengkar dengan ibunya dan mahu melarikan diri dari rumah.

    Bapa remaja perempuan itu kemudiannya membuat laporan polis.

    Siasatan mendapati remaja itu telah melakukan hubungan intim beberapa kali di rumah pekerja milik syarikat tertuduh bekerja di Batu 14, Puchong di Shah Alam.

    Pada bulan Mei tahun lalu, teman wanitanya memaklumkan telah hamil lima bulan sebelum dijaga ibu tertuduh termasuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik swasta sepanjang kehamilannya kemudian melahirkan bayi lelaki di Hospital Selayang pada 16 September tahun lalu.

    Semasa prosiding, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cawangan Shah Alam, Nur Syuhada Ahmad Sayuti berkata, berdasarkan laporan sosial, tertuduh tinggal bersama ibu dan bapa tirinya.

    Beliau berkata, penama iaitu tertuduh telah berhenti sekolah semasa di tingkatan tiga kerana tidak berminat untuk meneruskan sesi akademik.

    “Dia tidak pernah terlibat dalam dadah dan alkohol,” katanya.

    Sementara itu, tertuduh yang tidak wakili peguam mengaku insaf, kesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

    “Saya perlu tanggung mak, bapak tiri yang sakit dan anak saya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan seksual merupakan jenayah yang serius.

    “Semasa kejadian, mangsa hanya berusia 14 tahun sembilan bulan sementara tertuduh, 17 tahun lima bulan.

    “Sepatutnya tertuduh mempunyai tahap pemikiran yang matang dan mampu berfikir, namun malangnya dia gagal berbuat demikian,” katanya.

  • Mahkamah tangguh tuduhan bunuh, kerat warga Nepal

    Mahkamah tangguh tuduhan bunuh, kerat warga Nepal

    MAHKAMAH Majistret Shah Alam hari ini menangguhkan pertuduhan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga Nepal yang mayatnya dikerat dan disumbat ke dalam sebuah bagasi sebelum ditemukan di tepi lebuh raya, berhampiran susur Rawang Selatan, Januari lalu.

    Keputusan itu dibuat oleh Majistret Sasha Diana Sabtu selepas suspek yang juga merupakan warganegara Nepal itu memberitahu mahkamah dia tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sejurus disoal oleh jurubahasa mahkamah sebelum pertuduhan dibacakan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Baghwant Singh memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi melantik seorang jurubahasa bagi membaca pertuduhan itu dalam Bahasa Nepal.

    Justeru, Majistret Sasha Diana menetapkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah pada 7 April depan untuk pertuduhan itu dibacakan ke atasnya, lapor UtusanTV.

    Sebelum ini pihak polis dilaporkan menahan 15 warga asing susulan siasatan terhadap kes bunuh seorang lelaki berusia 48 tahun yang mayatnya dikerat serta disimpan dalam bagasi sebelum dibuang dekat Kilometer 447, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Rawang pada pertengahan Januari lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan enam daripada mereka berusia 24 hingga 30 tahun dipercayai terlibat dalam pembunuhan terbabit, bagaimanapun seorang daripada mereka masih bebas.

    Beliau berkata, hasil siasatan polis terhadap kesemua suspek yang ditahan mendapati motif pembunuhan mangsa berusia 48 tahun adalah kerana dendam peribadi.

    Katanya, suspek dan mangsa adalah rakan sekerja sebagai pengawal keselamatan pangsapuri di Sungai Buloh.

    Tambahnya, mangsa dibunuh dan dikerat di sebuah bilik stor pangsapuri tempatnya bekerja oleh rakan senegara.

  • Pas akui PN rancang ‘jatuhkan’ Kerajaan Perpaduan, tiada siapa boleh halang-Hadi

    Pas akui PN rancang ‘jatuhkan’ Kerajaan Perpaduan, tiada siapa boleh halang-Hadi

    PAS mengakui bahawa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha untuk ‘menjatuhkan’ Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Mengikut sistem demokrasi negara, perkara itu boleh dilakukan dan tiada mana-mana pihak boleh menghalang PN untuk menumbangkan kerajaan,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

    Jelasnya, keadaan itu biasa berlaku dalam politik termasuk melalui undi tidak percaya atau mendapatkan Surat Akuan Berkanun (SD).

    “Penyokong kerajaan berpaling tadah, biasa berlakulah dan kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan kerajaan campuran yang ada ini, perasaan tak puas hati sesama komponen dia sendiri, itu ada berlaku,” ujarnya.

    Tegasnya, perkara tersebut tidak mustahil berlaku malah dalam sebuah negara demokrasi dibolehkan.

    “(Sekarang memang ada usaha PN rampas kerajaan?) Ya, itu biasa dalam negara demokrasi, kita berusaha bukan sahaja melalui PRU (Pilihan Raya Umum) tetapi termasuk melalui Parlimen,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi menjangkakan kerajaan hari ini akan tumbang tidak lama lagi.

    Ditanya jika cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan bertentangan dengan titah Yang Dipertuan Agong yang mahukan kestabilan, Timbalan Pengerusi PN itu berkata ia ‘tidak boleh dijadikan sebagai kata putus’.

    “Kenyataan Agong satu kenyataan yang tidak jadi kata putus yang menghalang untuk ada perubahan dalam negara demokrasi.

    “Mengikut Raja Berperlembagaan, (kedudukan) Raja di bawah Perlembagaan. Perlembagaan kita masih menjunjung demokrasi, dan ia tak bercanggah,” jelas Abdul Hadi, lapor Astro Awani.

    Mengenai kenyataan Anwar bahawa Abdul Hadi boleh mengigau dan merancang, Ahli Parlimen Marang itu berkata: “Memang kita berhak merancang dan tiada siapa yang halang kita untuk merancang.”

    Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Marang itu berkata, kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu kekal menjadi pembangkang disifatkan sebagai kenyataan awal dan ia boleh berubah kerana politik bersifat dinamik.

  • Mangsa ditembak suami hamil lima bulan

    Mangsa ditembak suami hamil lima bulan

    SURI rumah yang maut ditembak suaminya yang juga anggota polis semalam di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, hamil lima bulan ketika kejadian.

    Ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, berkata, Safsufarnisya Salleh, 26, hamil anak pertama selepas berkahwin dengan suspek selama dua tahun.

    Menurutnya, Safsufarnisya merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

    “Memang anak saya hamil lima bulan ketika dia meninggal semalam.

    “Malah, kami tidak sangkalah perkara ini boleh berlaku kerana menantu (suspek) ini memang baik orangnya sehinggakan kami sudah anggap dia sebagai anak sendiri.

    “Jadi kehilangan Safsufarnisya ini adalah sesuatu yang sukar untuk saya terima terutama dalam keadaan apa yang terjadi tempoh hari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di Kangar hari ini.

    Katanya, jika dilihat daripada keadaan sebelum ini menantunya yang berasal dari Setiu, Terengganu itu adalah seorang yang ‘ringan tulang’ dan gemar membantu keluarga termasuklah membelikan pelbagai keperluan termasuk makanan di rumah itu.

    “Dia tidak pernah berkira dan kalau dia pulang ke rumah ini, dia pasti akan membawa pulang makanan termasuklah lauk pauk.

    “Paling mengharukan adalah menantu makcik ini sering membawa kami termasuk Allahyarham keluar bersiar-siar sekiranya ada kelapangan.

    “Oleh itu, bagaimanalah kami tak anggap dia sebagai anak sendiri tapi benda sudah jadi maka tidak boleh buat apa-apa sekarang,” katanya.

    Che Mas turut memberitahu bahawa menantunya itu dipercayai mempunyai masalah kemurungan beberapa tahun sebelum ini.

    Ini disebabkan menantunya ada menunjukkan perilaku yang tidak menentu sebelum ini.

    “Pada Aidiladha lalu, menantu saya ini pernah memandu tanpa hala tuju di lebuh raya seorang diri sehingga petrol keretanya habis.

    “Apabila petrol sudah habis, dia kemudian bersolat di tepi lebuh raya itu dan kemudian menangis terisak-isak di tepi lebuh raya.

    “Allahyarham terpaksa menghubungi tempat suaminya bertugas untuk mengesan dan membawanya pulang semula jadi saya tidak menjangkakan ia berlarutan sehingga terjadinya kejadian semalam,” ujarnya, lapor Berita Harian.

    Che Mas mendirikan rumahtangga dengan suaminya, Salleh Eizan, 61 dan hasil perkongsian hidup, mereka turut dikurniakan empat anak berusia antara 39 dan 26 tahun.

    Allahyarham Safsufarnisya pula berkahwin selepas bertemu suspek ketika menjalani latihan praktikal dalam bidang pengurusan forensik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis beberapa tahun lalu.

    Jenazah Safsufarnisya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Simpang Empat selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

    Terdahulu, kenalan, rakan sekampung Allahyarham dan sanak saudara hadir menziarahi keluarga mangsa.

    Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Ru’sele Eizan yang juga bapa saudara mangsa.

  • Kerajaan boleh jimat RM1 bilion, bantu mangsa banjir-Muhyiddin

    Kerajaan boleh jimat RM1 bilion, bantu mangsa banjir-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan RM1 bilion daripada wang yang diperuntukkan untuk penambahan RM500 ke dalam akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), boleh digunakan untuk membantu mangsa banjir.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan tersebut yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini boleh digunakan sebagai dana bantuan untuk mangsa-mangsa banjir.

    “Sebenarnya, pencarum tak mohon suntikan RM1 bilion ini tapi mereka hanya mohon untuk KWSP mereka dibenarkan untuk dikeluarkan secara bersasar.

    “Kalau itu (dana digunakan untuk mangsa banjir) diluluskan, kerajaan boleh menyelamatkan RM1 bilion dan boleh bagi pada kawasan-kawasan yang hadapi banjir yang teruk untuk digunakan untuk selamatkan mangsa-mangsa yang ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

    Sewaktu pembentangan Belanjawan 2023, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk menambah RM500 ke dalam Akaun 1 pencarum KWSP berumur antara 40 dan 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dengan jumlah peruntukan RM1 bilion.

    Muhyiddin berkata, bantuan KWSP itu hanya untuk segelintir pencarum sedangkan hampir 53 peratus penyumbang caruman yang aktif tidak mendapat manfaat daripada pemberian berkenaan.

    “Golongan pencarum yang berumur di bawah usia 40 tahun pula dinafikan hak mereka untuk mendapat bantuan yang sama.

    “Permintaan rata-rata pencarum untuk mengeluarkan simpanan KWSP juga tidak dipedulikan. Jelas kerajaan hari ini tidak mendengar denyut nadi rakyat yang sedang dihimpit oleh bebanan kos sara hidup yang tinggi.

    “Benar KWSP adalah untuk simpanan hari tua, tetapi apa guna bercakap tentang hari tua, jika hari ini pun rakyat tidak mempunyai wang untuk keperluan harian,” katanya.

    Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, sebagai pembangkang, pihaknya kekal profesional dan telus untuk memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif.

    “Saya berharap pihak kerajaan akan memperhalusi dan meneladani isu-isu yang telah dibentangkan. Bukan bersikap pilih kasih dan hanya pandai memainkan sentimen dendam kesumat, mencari-cari salah individu tertentu secara terancang atau dengan izin ‘selective prosecution’.

    “Sikap dangkal sebegini perlu segera dihentikan. Ini bukanlah cara pentadbiran Kerajaan yang seperti rakyat mahukan.

    “Menjunjung prinsip prihatin, bersih dan stabil, kami menyokong dasar dan perancangan kerajaan yang baik serta memberi manfaat sebenar kepada rakyat, serta menolak mana-mana dasar yang memudaratkan rakyat,” katanya.

  • Ganti WKB2030 dengan konsep Malaysia Madani terburu-buru, kata Muhyiddin

    Ganti WKB2030 dengan konsep Malaysia Madani terburu-buru, kata Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengambil pendekatan yang agak terburu-buru dalam menggantikan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dengan konsep baharu Malaysia Madani.

    Jelas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, ini kerana konsep baharu tersebut masih belum jelas perancangannya.

    “Harus diingatkan bahawa WKB2030 telah disepakati untuk menjadi tonggak wawasan negara sehingga tahun 2030, malah termaktub dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang telah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.

    “Agenda Bumiputera sebenarnya telah diberi penekanan khusus dalam Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (2020-2030) sebagai kesinambungan dasar-dasar kerajaan terdahulu iaitu Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000).

    “Di bawah gagasan besar WKB2030 ini, Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) telah pun ditubuhkan yang berfungsi sebagai sebuah mekanisme pemantauan di peringkat tertinggi untuk memastikan semua sasaran golongan bumiputera dapat dicapai.

    “Sebaliknya, sehingga kini, saya tidak melihat agenda ini disebut secara jelas dalam Dasar Malaysia Madani mahupun dalam mana-mana komitmen kerajaan campuran pada hari ini,” katanya.

    Beliau berkata demkian ketika berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

    Justeru dalam hal tersebut katanya, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci tentang kedudukan dasar dan agenda bumiputera dalam dasar pembangunan negara.

    Katanya, kajian impak berkaitan status pencapaian syarikat bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi yang telah dibantu serta menerima manfaat dari pakej dan inisiatif kerajaan perlulah dibentangkan.

    Langkah itu katanya, amat penting bagi melihat sejauh mana dasar-dasar berkaitan, benar-benar memberi manfaat kepada golongan bumiputera.

    “Ini termasuk memperincikan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang yang telah, sedang dan akan diambil pihak kerajaan serta mekanisme pemantauan selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TBP2030) yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini,” katanya.

    Muhyiddin berkata, dalam RMK-12 misalnya, antara penekanan yang diberi termasuk sasaran pertambahan sumbangan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bumiputera sebanyak 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Bagi mencapai sasaran ini, usaha memperkasa golongan bumiputera perlu dipergiat menerusi pembiayaan dan pelaksanaan program keusahawanan seperti Dana Kemakmuran Bumiputera.

    “Seperkara lagi ialah mengenai Yayasan Pelaburan Bumiputera, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera dan Yayasan Ekuiti Nasional yang hendak disatukan. Saya ingin bertanya adakah kerajaan telah menimbangkan dengan sebaik-baiknya keputusan ini,” soalnya.

    Ini kerana katanya, ketiga-tiga entiti berkenaan mempunyai fungsi yang berbeza dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat bumiputera daripada segi pemilikan wang simpanan, hartanah dan ekuiti.

    “Tidakkah penggabungan ketiga-tiga entiti ini akan menyebabkan fungsi setiap entiti tersebut luntur dan seterusnya menjejaskan pencapaian sasaran pemilikan kekayaan bumiputera,” soalnya lagi.

  • Pengurangan subsidi boleh sebabkan kenaikan inflasi mendadak pada tahun ini-Muhyiddin

    Pengurangan subsidi boleh sebabkan kenaikan inflasi mendadak pada tahun ini-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah subsidi dikurangkan daripada RM80 bilion kepada RM64 bilion pada 2023 akan memberi kesan terutama kenaikan kadar inflasi secara mendadak di negara ini pada tahun ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mempersoalkan sama ada kerajaan sudah menilai dan mengenal pasti kesan terhadap pengurangan ini.

    “Hal ini kerana pengurangan jumlah subsidi boleh menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang mendadak pada tahun ini. Rata-rata rakyat yang tidak berkemampuan masih sengsara untuk meletakkan makanan di atas meja.

    “Tambahan pula, meskipun terdapat momentum positif dalam proses pemulihan ekonomi, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif supaya bantuan dapat disalurkan segera secara efektif kepada golongan yang memerlukan.

    “Subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat ternyata dapat meringankan beban mereka, tetapi ia seharusnya dilakukan secara bersasar,” katanya ketika berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, subsidi merupakan bantuan kewangan dan bukan satu bentuk insentif kerajaan.

    Muhyiddin mahu subsidi kerajaan memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan manakala golongan yang berkemampuan pula dapat bersama-sama menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan ekonomi negara.

    “Oleh itu, kadar produktiviti memainkan peranan penting dalam penentuan pengeluaran subsidi untuk mengelakkan sebarang ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan,” ujarnya.

    Sebagai contoh kata Muhyiddin semua kos bahan input dalam rantaian pengeluaran perlu berdasarkan peningkatan kadar produktiviti.

    Selain itu Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme bagi memastikan peningkatan daya pengeluaran di negara ini, tambahnya.

    “Malahan, YAB Tambun dalam belanjawan menyebut tentang iltizam kerajaan hari ini untuk mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar, namun saya melihat masih tiada mekanisme yang kukuh dalam aspek pelaksanaannya.

    “Kerajaan hari ini tidak membuat saringan had subsidi mengikut kategori pendapatan T20, M40 dan B40, seperti mana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, bukan itu sahaja, klasifikasi subsidi harus disemak semula secara teliti untuk mengurangkan bebanan fiskal negara.

    Misalnya, subsidi terhadap bahan input seperti baja bolehlah dikekalkan, namun subsidi menyeluruh terhadap output seperti bahan api harus diselaraskan dengan harga semasa global, katanya.

    “Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, ia mestilah mengikut formula produktiviti bagi setiap kos bahan input kepada output.

    “Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan perlu menjalankan pemantauan dan intervensi untuk menentukan keberhasilan terhadap langkah ini iaitu pengurangan kadar kemiskinan,” jelasnya.

  • Dasar konsolidasi Belanjawan 2023 kurangkan defisit tidak realistik-Muhyddin

    Dasar konsolidasi Belanjawan 2023 kurangkan defisit tidak realistik-Muhyddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dasar mengenai konsolidasi Belanjawan 2023 untuk mengurangkan defisit kepada 3.2 peratus daripada KDNK menjelang 2025, dilihat sebagai kurang realistik.

    Jelanya, ini kerana keadaan negara masih dalam proses pemulihan ekonomi dan rakyat serta perniagaan masih memerlukan bantuan kerajaan.

    “Situasi geopolitik semasa juga menyebabkan ketidaktentuan harga minyak yang memberi kesan negatif kepada pendapatan negara, termasuk mengehadkan kadar bantuan kepada rakyat,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus pada 2022.

    Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ini boleh dilihat sebagai satu petanda positif pemulihan ekonomi negara.

    Namun katanya, angka berkenaan tidak memberi makna dan tidak menggambarkan situasi sebenar ekonomi rakyat, terutamanya mereka yang sedang bergelut dengan kesan-kesan akibat peningkatan kos sara hidup.

    Realitinya ujar Muhyiddin, kadar pertumbuhan ekonomi kekal pada kadar sederhana dan tidak sekata, dengan pelbagai kekangan merentas beberapa sektor utama, termasuk sektor ekonomi, sosial serta pendidikan.

    Beliau berkata, menurut laporan tinjauan ekonomi dan fiskal dan anggaran hasil terkini, kadar pertumbuhan hasil kerajaan Pusat menunjukkan trend menurun, daripada purata tahunan sebanyak 10.7 peratus dalam tempoh 2000 hingga 2009 kepada 4.5 peratus antara 2010 hingga 2018.

    “Saya juga ingin mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai lebih kurang 1.3 juta pembayar cukai individu. Ini mewakili hanya empat peratus yang menampung keseluruhan populasi yang melebihi 33.5 juta.

    “Sebahagian besar kutipan hasil digunakan untuk perbelanjaan mengurus dengan peruntukan terbesar diberikan kepada emolumen, diikuti peruntukan persaraan, geran kepada badan berkanun, negeri dan lain-lain.

    “Perbelanjaan mengurus yang menggunakan 99 peratus daripada hasil kerajaan Pusat seperti dalam Belanjawan yang dibentangkan oleh YAB Tambun adalah tanda kesihatan fiskal yang terhad dan membimbangkan.

    “Tambahan lagi, dasar mengenai konsolidasi belanjawan untuk mengurangkan defisit kepada 3.2 peratus daripada KDNK menjelang 2025,” katanya.