Author: Wartawan WartaRakyat

  • Politik Melayu dalam zaman kemerosotan- Wan Fayhsal

    Politik Melayu dalam zaman kemerosotan- Wan Fayhsal

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, politik Melayu sedang berada dalam ‘the age of decline’ atau zaman kemerosotan.

    “Antara sebab kemerosotannya dilihat sejak 2018 hinggalah masa ini, pengaruh politik Melayu dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin mengecil dan minima.

    “Ini akan menjadikan naratif Melayu, naratif ekonomi, sosiobudaya dan kepercayaan orang Melayu, semakin tidak signifikan dan dianggap sebagai naratif picisan atau naratif yang alternatif,” katanya.

    Ahli Parlimen Macang itu berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-4 di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, di Parlimen juga jarang mendengar Ahli Parlimen dari kerajaan bercakap tentang kelangsungan Melayu dan Bumiputera.

    Beliau mendakwa, hanya Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) sahaja yang berani menyuarakan hal demikian.

    “Saya khuatir, jika situasi ini berterusan, orang Melayu akan hilang rasa kepunyaan kepada tanah air mereka sendiri dan akhirnya beranggapan bahawa demokrasi tidak berupaya untuk merealisasikan hasrat dan kepentingan politik mereka. Situasi ini perlu kita elakkan,” katanya.

    Sementara itu, Wan Fayhsal berpandangan ‘pakatan tidak suci’ antara UMNO dan DAP juga merupakan sebab politik Melayu menyumbang zaman kemerosotan.

    Beliau berkata, pakatan dua parti itu disifatkan sebagai pengkhianatan terbesar dalam sejarah politik Melayu.

    “… (Ini) disaluti hipokrasi politik yang pelik lagi jelik. Pakatan tidak suci ini merupakan hasil kerja senyap-senyap Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) sendiri bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) setelah sekian lama.

    “Tatkala UMNO sedang meneroka kerjasama politik bersama PN, mereka juga pada masa yang sama berpakat-pakat dengan PH,” katanya, lapor FMT.

  • Kerjasama UMNO-PH untuk tutup dosa silam – Armada

    Kerjasama UMNO-PH untuk tutup dosa silam – Armada

    KERJASAMA politik antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) hanya bertujuan untuk menutup dosa-dosa lampau pemimpin mereka.

    Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, langklah tersebut juga merosakkan kesatuan antara parti utama Melayu di Malaysia.

    “Lebih memeritkan lagi, pakatan tidak suci ini disaluti dengan hipokrasi politik yang menebal dan disokong oleh seluruh jentera Pakatan Harapan (PH).

    “Jika dahulu, PH mahu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dihumban ke dalam penjara, kini dia sendiri jadi Timbalan Perdana Menteri yang diangkat gabungan tersebut.

    “Segala dosa-dosa silamnya seakan dilupuskan daripada sejarah,” katanya ketika Perhimpunan Agung Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

    Katanya, kerjasama berkenaan hakikatnya tidak mendatangkan justifikasi yang baik terhadap PH kerana UMNO akan kekal sebagai liabiliti kepada gabungan berkenaan.

    Jelasnya, parti itu kini terpaksa berpaut kepada PH demi meneruskan kelangsungan politik mereka.

    “UMNO kini hanya mampu merayu belas kasihan kerajaan untuk mereka kekal relevan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Muhyiddin luang masa tinjau Perhimpunan Agung Armada

    Muhyiddin luang masa tinjau Perhimpunan Agung Armada

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa meninjau Perhimpunan Agung Tahunan Armada, di Kuala Lumpur hari ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tiba pada pukul 2.30 petang dengan diiring beberapa pimpinan tertinggi parti itu.

    Ketika ini Ahli Parlimen Pagoh itu berada dalam dewan bagi mendengar perbahasan Armada yang diadakan secara tertutup.

  • PN yakin sokongan bertambah pada PRN susulan kes Muhyiddin

    PN yakin sokongan bertambah pada PRN susulan kes Muhyiddin

    AHLI Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN akan mengadakan jelajah seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Kita akan mengadakan road show ke seluruh negara menerangkan kepada rakyat tentang isu.

    “Kita akan pergi ke semua negeri kerana kita bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat dan penyokong. Kita rasa bertanggungjawab menjelaskan apa yang sedang berlaku dan apa yang akan kita buat.

    “PN akan menggabungkan segala kekuatannya untuk PRN yang tak lama lagi,” katanya kepada media selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu hari ini.

    Hadir sama dan merasmikan mesyuarat itu ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    Semalam Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

    Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, gabungan itu berpandangan pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin akan menambahkan lagi kekuatan PN berdepan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Beliau berkata, pihaknya menerima respon yang baik daripada rakyat susulan perdakwaan terhadap bekas perdana menteri itu.

    “Kita melihat dengan keadaan tuduhan-tuduhan yang dikenakan itu, kita menerima respon yang baik daripada rakyat bahawa ia perancangan untuk melemahkan PN .

    “Saya tak nampak ia akan menjejaskan prestasi kita, sebaliknya akan menambahkan lagi sokongan.

    “Sesuatu yang berlaku terutamanya kepada pembangkang akan memberikan kelebihan. Kita yakin tidak akan melemahkan kita sebaliknya akan menambahkan kekuatan kita,” katanya, lapor MalaysiaKini

    Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata demikian ketika mengulas sejauh mana pendakwaan terhadap Muhyiddin akan menjejaskan kekuatan PN dalam PRN di enam negeri akan datang.

  • ‘Rakyat minta pengeluaran bersasar, bukan cagar simpanan KWSP’

    ‘Rakyat minta pengeluaran bersasar, bukan cagar simpanan KWSP’

    ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kesal dengan cadangan kerajaan agar simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh digunakan sebagai cagaran pinjaman.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu jelas berbeza dengan apa yang menurutnya sebagai kehendak rakyat, serta apa yang pernah disuarakannya sendiri sebelum ini.

    “Bila rakyat minta pengeluaran KWSP bersasar, apa jawapan menteri kewangan (Anwar)? Dia suruh cagar pula simpanan kita kepada bank.

    “Rakyat tengah susah, bagi pengeluaran yang bersasar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

    Wan Fayhsal berkata, kerajaan seharusnya membawa cadangan yang lebih baik dan dapat membantu rakyat secara jangka panjang.

    “Bukan itu (simpanan KWSP dijadikan cagaran) yang rakyat mahu. Jika tengok semua komen, sekurang-kurangnya oleh netizen, semuanya negatif,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Pada 9 Mac lalu, Anwar ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat mengemukakan cadangan itu yang menurutnya hanya bagi mereka yang benar-benar terdesak dan hanya diberikan kepada pencarum yang mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP.

    Cadangan itu dibantah sejumlah pihak, antaranya NGO Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia yang menyifatkan ia langsung tidak membantu pencarum yang terhimpit dengan keadaan ekonomi.

    Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) pula berpandangan cadangan itu dibuat tanpa penelitian sewajarnya.

  • Ada usaha kecilkan pengundi Melayu – Armada Bersatu

    Ada usaha kecilkan pengundi Melayu – Armada Bersatu

    TERDAPAT usaha mengecilkan saiz jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh kerajaan.

    Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan itu adalah selaras dengan konsep ‘Malaysian- Malaysia’ yang dibawa Pakatan Harapan (PH) tatkala politik bangsa Melayu kini sedang berpecah belah.

    Tegas Ahli Parlimen Machang itu, sekiranya usaha licik tersebut berjaya dilakukan, struktur sosial dan ekonomi rakyat bakal berubah.

    “Tidak keterlaluan untuk saya katakan, keadaan politik negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan PRU17 serta dekad mendatang bakal berubah sama sekali

    “Justeru saya menyatakan kewujudan Bersatu dalam membawa naratif baharu perjuangan Melayu amat diperlukan,” katanya ketika Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, wakil rakyat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai keabsahan demokratik untuk menawarkan satu pembawakan baharu kepada politik Melayu agar tidak terus tenggelam dalam pembawakan politik yang diterajui PH.

    “Tahap keyakinan Melayu yang rendah terhadap PH kini sebenarnya adalah satu signal jelas dan nyata tentang betapa dahaganya bangsa Melayu kini kepada kepimpinan politik dan kerajaan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • ‘Ada pihak mahu lihat PN korup’- Wan Ahmad Fahysal

    ‘Ada pihak mahu lihat PN korup’- Wan Ahmad Fahysal

    TERDAPAT pihak yang mahu Perikatan Nasional (PN) dilihat korup dalam kalangan masyarakat Melayu, kata Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

    “Ini dapat dilihat menerusi pendakwaan yang dilakukan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Kita berhimpun pada pagi ini dengan rasa sugul dan amarah yang mendalam. Muhyiddin sedang menghadapi badai dendam kesumat politik yang tidak terperi hebatnya.

    “Walaupun hati saya berasa amat berat melihat dan mendengar pertuduhan yang dibacakan ke atas beliau (Muhyiddin) ketika kami bersama beliau di mahkamah semalam.

    “Nun jauh lebih berat buat Abah yang memikul beban ini untuk kita semua,” kata beliau dalam Perhimpuan Agung Bersatu di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, politik Melayu kini sedang berhadapan dengan kemerosotan terutama di arena Parlimen.

    “Jarang kita mendengar ahli Parlimen dari kerajaan untuk bercakap tentang kelangsungan Melayu dan Bumiputera. Hanya ahli Parlimen dari PN sahaja yang berani menyuarakan hal demikian.

    “Saya khuatir, jika situasi ini berterusan, orang Melayu akan hilang rasa kepunyaan kepada tanah air mereka sendiri dan akhirnya beranggapan bahawa demokrasi tidak berupaya untuk merealisasikan hasrat dan kepentingan politik mereka,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Ahmad Fayhsal umum lepas jawatan Ketua Armada Bersatu

    Ahmad Fayhsal umum lepas jawatan Ketua Armada Bersatu

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini pada pemilihan akan datang.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang membuat pengumuman tersebut hari ini dan keputusan tersebut diambil susulan beliau telah melebihi umur yang sah untuk menerajui sayap parti itu.

    “Perhimpunan Agung Tahunan Armada (ini) adalah yang terakhir saya. Saya akan graduate (melangkah) ke fasa seterusnya.

    “Jadi saya akan wariskan Armada kepada perwakilan untuk teruskan pertempuran akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Oktober ini akan menentukan calon yang akan menggantikan tempatnya nanti.

    Wan Ahmad Fayhsal dipilih sebagai Ketua Armada dalam pemilihan parti itu pada Ogos 2020 lalu.

    Beliau pada ketika itu menewaskan pesaing tunggalnya, Muzzammil Ismail yang merupakan Exco Armada.

  • Muhyiddin tidak perlu letak jawatan – Armada

    Muhyiddin tidak perlu letak jawatan – Armada

    ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal dengan pendirian bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melepaskan jawatan sebagai Presiden parti, kata Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    “Ini kerana enam pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa bersifat pendakwaan terpilih.

    “Kita mahu supaya Tan Sri Muhyiddin kekal dengan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

    “Sebab (apa yang berlaku ke atas beliau) adalah pendakwaan terpilih,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Armada di Kuala Lumpur hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

    Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd., bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Bekas Perdana Menteri itu menjadi pemimpin Bersatu ketiga didakwa di mahkamah ini atas tuduhan jenayah, selepas bekas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

    Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa di mahkamah ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

    Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

  • Isu cukai Yayasan Albukhary: Guan Eng pula mahu saman Muhyiddin

    Isu cukai Yayasan Albukhary: Guan Eng pula mahu saman Muhyiddin

    PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, mengikut jejak langkah ketua utama mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritik mereka.

    Tindakan terbaharu itu dilakukan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng apabila meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan beliau membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan sebelum ini.

    Guan Eng juga meminta bekas Perdana Menteri itu memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

    “Saya akan beri beliau (Muhyiddin) tempoh sehingga Rabu untuk menyatakan kebenaran mengenai perkara ini dan membersihkan nama saya. Saya akan mengarahkan peguamnya memulakan prosiding fitnah dengan segera jika gagal berbuat demikian,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Khamis lalu, Muhyiddin pada sidang media di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberi keterangan, berkata, Yayasan Albukhary diberikan kelulusan pengecualian cukai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

    Kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, kerajaan gabungan PH telah ditubuhkan dan Guan Eng yang menjadi menteri kewangan ketika itu telah membatalkan pengecualian cukai berkenaan.

    “Semasa saya menjadi PM, Tan Sri Syed Mokhtar telah membuat rayuan atas pembatalan tersebut,” kata Muhyiddin, lapor Agenda Daily.

    Sebelum ini, Anwar yang juga Perdana Menteri menghantar surat tuntutan (LOD) dan saman kepada Ahli Parlimen PN Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim dan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Pengerusi PH dan Presiden PKR itu juga memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan terhadap Muhyiddin sendiri.

    Susulan itu, Awang Solahuddin ketika membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 27 Februari lalu melahirkan kebimbangan bahawa Anwar akan dikenang sebagai ‘bapa saman negara’ kerana tindakannya menakut-nakutkan pihak yang menegurnya.

    Sehubungan itu, beliau meminta Anwar supaya berlapang dada dan berjiwa besar menerima kritikan daripada pembangkang.

    Menurut laman sesawang Wikipedia, sejak 2008 hingga 2014 Anwar telah menyaman 12 individu dan entiti, termasuk Chandra Muzaffar, Khairy Jamaluddin, Datuk S. Nallakarupan, Saiful Bukhari Azlan, Datuk Seri Anifah Aman, New Straits Times dan Utusan.