PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, mengikut jejak langkah ketua utama mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritik mereka.

Tindakan terbaharu itu dilakukan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng apabila meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan beliau membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan sebelum ini.

Guan Eng juga meminta bekas Perdana Menteri itu memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

“Saya akan beri beliau (Muhyiddin) tempoh sehingga Rabu untuk menyatakan kebenaran mengenai perkara ini dan membersihkan nama saya. Saya akan mengarahkan peguamnya memulakan prosiding fitnah dengan segera jika gagal berbuat demikian,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Khamis lalu, Muhyiddin pada sidang media di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberi keterangan, berkata, Yayasan Albukhary diberikan kelulusan pengecualian cukai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

Kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, kerajaan gabungan PH telah ditubuhkan dan Guan Eng yang menjadi menteri kewangan ketika itu telah membatalkan pengecualian cukai berkenaan.

“Semasa saya menjadi PM, Tan Sri Syed Mokhtar telah membuat rayuan atas pembatalan tersebut,” kata Muhyiddin, lapor Agenda Daily.

Sebelum ini, Anwar yang juga Perdana Menteri menghantar surat tuntutan (LOD) dan saman kepada Ahli Parlimen PN Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim dan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Pengerusi PH dan Presiden PKR itu juga memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan terhadap Muhyiddin sendiri.

Susulan itu, Awang Solahuddin ketika membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 27 Februari lalu melahirkan kebimbangan bahawa Anwar akan dikenang sebagai ‘bapa saman negara’ kerana tindakannya menakut-nakutkan pihak yang menegurnya.

Sehubungan itu, beliau meminta Anwar supaya berlapang dada dan berjiwa besar menerima kritikan daripada pembangkang.

Menurut laman sesawang Wikipedia, sejak 2008 hingga 2014 Anwar telah menyaman 12 individu dan entiti, termasuk Chandra Muzaffar, Khairy Jamaluddin, Datuk S. Nallakarupan, Saiful Bukhari Azlan, Datuk Seri Anifah Aman, New Straits Times dan Utusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here