Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bungkusan ganja konon ‘dibeli’ Anwar, Rafizi dirampas

    Bungkusan ganja konon ‘dibeli’ Anwar, Rafizi dirampas

    Polis merampas bungkusan mengandungi ganja yang menggunakan alamat penerima palsu kononnya dibeli Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, laporan dibuat petugas pejabat pertanyaan Kementerian Ekonomi, Menara Prisma, Presint 3, Putrajaya yang menerima panggilan telefon memaklumkan terdapat satu bungkusan di atas nama Rafizi dan Perdana Menteri di sebuah pusat kurier Pulau Meranti, Jumaat lalu.

    Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima bungkusan itu disyaki mengandungi barang terlarang, memandangkan pejabat Menteri Ekonomi turut menerima bungkusan mengandungi daun ganja, minggu lalu.

    Menurut beliau, perkara itu kemudian dimaklumkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Ekonomi iaitu Rashidi Ruskin.

    “Pengadu bersama dua anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BJND) Sepang ke alamat terbabit pada 6.30 petang.

    “Polis merampas satu tiub ubat gigi berpenutup berwarna hijau/putih bercorak daun ganja tertera tulisan ‘Happy Green’ yang di dalamnya mengandungi pes putih kehijauan disyaki ubat gigi dan estrak daun ganja (80 gram),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Kamarul berkata, semakan mendapati bungkusan itu dibeli pengirim secara dalam dalam talian di sebuah laman e-dagang yang beralamat di Indonesia.

    “Siasatan mendapati barang yang dirampas tidak mempunyai kaitan dengan penama yang dialamatkan.

    “Alamat barangan ini adalah sama dengan kes yang disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Putrajaya,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Peniaga hentikan Menu Rahmah, tiada sambutan, alami kerugian

    Peniaga hentikan Menu Rahmah, tiada sambutan, alami kerugian

    SEORANG pemilik restoran di Bayan Lepas, Pulau Pinang, mengakui terpaksa menghentikan ‘Menu Rahmah’ hanya beberapa minggu selepas memperkenalkannya, memandangkan sambutan orang ramai yang kurang dan kerugian kewangan.

    Dalam video yang disiarkan di akaun TikTok rasmi Tong Kayu Cafe Original, pemiliknya Fakhrul menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan selain menghentikan menu tersebut kerana tidak tahan lagi menanggung kerugian.

    “Ya… Saya kena hentikan Menu Rahmah… dengan alasan yang tertentu. Sebenarnya dengan harga RM5 masih ada untung, tapi untungnya kecil dan kita kena main dengan volume.

    “Saya telah buat promosi kepada penduduk, tapi masalahnya tidak ada sambutan.

    “Ada dua sebab untuk pemberhentian itu – yang pertama adalah kerana faktor ekonomi. Saya tidak memiliki modal yang besar dan perniagaan saya hanya perniagaan biasa.

    “Kedua, sambutan yang sangat lemah sehingga membawa kepada kerugian,” katanya dalam video yang menerangkan keputusan dan sebab di sebalik penamatan ‘Menu Rahmah’, lapor Agenda Daily.

    Fakhrul berkata, dia telah memperkenalkan dua menu – nasi putih berlauk ayam masak kicap dan nasi putih ayam goreng kunyit.

    “Saya tidak menyediakan banyak – hanya kira-kira 15 pinggan untuk setiap menu – tetapi kami masih tidak dapat menghabiskannya. Kami terpaksa ‘melepaskan’ hidangan.

    “Saya sudah tidak tahan lagi. Kami ada menu untuk kira-kira dua hingga tiga minggu sudah.

    “Saya menceritakan perihal perniagaan saya… bukan menghentam mana-mana pihak. Saya tak pro mana-mana. Isu ini untuk perniagaan saya… saya peniaga kecil,” katanya.

    Fakhrul turut melahirkan harapan agar pelanggannya tidak mengecamnya atas keputusan itu, sambil menambah bahawa mereka pada mulanya bersemangat tinggi untuk menyokong inisiatif berkenaan, tetapi terpaksa berhenti seketika kerana kerugian.

  • Selepas diburu SPRM, Datuk Roy serah diri

    Selepas diburu SPRM, Datuk Roy serah diri

    LELAKI dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ kerana didakwa menjadi perancang utama kes rasuah membabitkan program Jana Wibawa sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan agensi antirasuah itu.

    Free Malaysia Today memetik sumber berkata, lelaki dikenali sebagai Hussein Nasir, 54, hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur petang tadi.

    “Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk mendapatkan perintah reman,” kata sumber itu kepada FMT.

    Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan identiti ‘Datuk Roy’ sebagai Mohd. Hussein Mohd. Nasir.

    Lelaki berusia 54 tahun itu beralamat terakhir di RRM Semambu, Kuantan, Pahang.

    Difahamkan, lelaki itu pernah dipenjarakan kerana kesalahan rasuah sebelum ini.

    Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM, ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan ke atas program kontroversi itu.

    Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

  • Peras RM150,000 sasar warga China, Inspektor, 5 anggota polis ditahan

    Peras RM150,000 sasar warga China, Inspektor, 5 anggota polis ditahan

    TINDAKAN lima anggota polis dan seorang pegawai berpangkat inspektor dipercayai memeras RM150,000 daripada sekumpulan warga China yang didakwa terbabit aktiviti penipuan, mengundang padah apabila ditahan, Khamis lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, kesemua suspek membabitkan seorang sarjan, tiga koperal dan seorang kostabel, semua bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

    Mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan dibenarkan ditahan reman selama tiga hari.

    Difahamkan, tiga daripada mereka menyerbu sebuah rumah di Jalan Bluconstellation 3, Mines Resort City di Seri Kembangan, dekat ibu negara pada 30 Januari lalu sebelum didakwa memeras tujuh warga China yang berada di rumah itu supaya menyerahkan wang RM150,000 agar tidak ditangkap.

    Kumpulan warga China berkenaan kemudian dikatakan menghubungi seorang lelaki tempatan yang juga ejen pekerja warga asing bagi meminjam wang RM100,000 untuk diserahkan kepada anggota polis terbabit.

    Selepas menyerahkan wang terbabit, mangsa diberitahu bahawa mereka masih perlu menjelaskan baki RM50,000 dalam tempoh beberapa hari.

    Ejen itu kemudian didakwa dipaksa membayar RM30,000 lagi yang dikatakan diserahkan kepada seorang pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Serdang pada 1 Februari lalu.

    Sumber memberitahu, seorang daripada anggota polis dalam kumpulan berkenaan bagaimanapun tidak berpuas hati dengan wang RM130,000 yang sudah diterima dan terus mengganggu ejen berkenaan untuk mendapatkan bagi RM20,000.

    Difahamkan, anggota polis terbabit dikatakan menghantar mesej kepada ejen berkenaan melalui WhatsApp setiap hari kepada mangsa yang sudah kehabisan wang tunai dan tidak dapat membuat pembayaran.

    Pada 15 Februari lalu, enam anggota polis dikatakan datang ke rumah kumpulan warga China berkenaan dan mengancam untuk menangkap warga asing itu, menyebabkan mangsa sekali lagi menghubungi ejen yang sama.

    Selepas menunggu selama dua jam, kesemua anggota polis itu akhirnya keluar dari rumah berkenaan selepas menyedari mangsa tidak lagi mempunyai wang untuk diberikan kepada mereka.

    Namun, seorang daripada anggota polis berkenaan menghubungi ejen itu semula pada 17 dan 20 Februari lalu melalui WhatsApp ketika ejen itu berada di Thailand.

    Ejen berusia 57 tahun terbabit akhirnya membuat laporan pada 9 Mac lalu sebelum semua suspek ditahan pada hari yang sama. Polis turut menyerbu kediaman mereka dan merampas telefon bimbit masing-masing.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika mengesahkan penahanan itu, berkata semua anggota polis berkenaan direman sehingga esok.

    Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat jika warga China yang menjadi mangsa mereka terbabit dalam sebarang kegiatan haram termasuk penipuan.

  • Bekas Setiausaha Politik Salahuddin Ayub dilantik Pengerusi SSM baharu

    Bekas Setiausaha Politik Salahuddin Ayub dilantik Pengerusi SSM baharu

    BEKAS Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahmad Sabki Yusof dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang baharu berkuat kuasa 1 Mac lalu.

    SSM dalam satu kenyataan berkata, Ahmad Sabki yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Undang-Undang Perbandingan daripada Universiti Islam Antarabangsa, adalah seorang yang berpengalaman luas dalam bidang berkaitan syarikat dan komersial.

    “Beliau juga pernah memegang jawatan utama di pelbagai syarikat, organisasi dan firma guaman dalam tugasan berkaitan undang-undang komersial, pengurusan, tadbir urus korporat, pematuhan serta pengurusan risiko,” menurut kenyataan ringkas itu, lapor Agenda Daily.

    Pengumuman itu menyusul selepas pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

  • Majlis Tertinggi PN 20 Mac ini mungkin tentukan permohonan Pejuang – Sanusi

    Majlis Tertinggi PN 20 Mac ini mungkin tentukan permohonan Pejuang – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN sama ada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan diterima untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) hanya boleh ditentukan melalui perbincangan oleh Majlis Tertinggi (MT) gabungan tersebut.

    Menurut, Ketua Pengarah Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, beliau tidak boleh memberi jawapan mengenai perkara itu kerana keputusan berkaitan perkara itu tertakluk kepada keputusan dibuat MT PN.

    “Setiap sesuatu itu mestilah ada pertimbangannya. Kalau mampu bawa kelebihan kepada PN, maka tentulah mereka diterima tetapi kalau bawa beban saja, takkan nak terima?

    “Apa pun keputusan mengenai perkara itu akan dibuat MT PN. MT PN akan ada mesyuarat 20 Mac depan tetapi saya tak tahulah sama ada penyertaan Pejuang ini akan dibincangkan. Kalau tak ada dalam mesyuarat itu, mungkin dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

    Sebelum ini Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir melalui satu kenyataan mengesahkan bahawa parti itu ada memohon untuk menyertai PN.

    Menurut Mukhriz, beliau sudah menghantar surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memohon agar Pejuang diterima sebagai salah satu parti komponennya.

    Ditanya kedudukan kerusi Pejuang di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya parti itu menyertai PN, Muhammad Sanusi berkata perkara itu sudah tentu merupakan antara yang akan dibincang dan dinilaikan.

    “Baru-baru ini pun saya saya ada bertemu Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Kuala Lumpur selepas mereka membuat permohonan untuk sertai PN tetapi saya tak menjanjikan apa-apa.

    “Saya cuma tegaskan bahawa perkara ini perlu dibawa ke Mesyuarat MT PN. Mukhriz kata parti-parti Melayu perlu bergabung dan apabila beliau kata begitu, saya tak tak adalah jawab apa-apa,” katanya.

  • ‘Jangan bagi muka, tangkap peserta pesta LGBT’ – Pekemas

    ‘Jangan bagi muka, tangkap peserta pesta LGBT’ – Pekemas

    PERTUBUHAN Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) menggesa pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat video tular dipercayai ada kaitan dengan pesta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau perarakan kumpulan seks songsang yang didakwa berlaku di ibu negara.

    Presidennya, Faizan Mohd Noor berkata, jika benar wujud perarakan sedemikian, pihak polis harus menangkap semua peserta dan mengenakan tindakan sewajarnya sebagai pengajaran agar acara seperti itu tidak berulang.

    Menurutnya, walaupun tidak dinamakan secara khusus, perarakan LGBT itu dilihat berselindung di sebalik penganjuran perhimpunan Women’s March Malaysia 2023 apabila kebanyakan peserta dilihat memegang bendera pelangi yang jelas merupakan simbol LGBT.

    “Jangan bagi muka, keadaan sebegini boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.

    “Pemimpin politik kerajaan juga harus bertindak dan menyiasat siapa dalang di sebalik penganjuran acara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan bertegas, penganjur perhimpunan itu akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung perarakan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka di ibu negara.

    Jawatankuasa penganjur Women’s March Malaysia 2023 bagaimanapun mengecam sekeras-kerasnya siasatan polis terhadap perhimpunan dan perarakan yang didakwa sempena Women’s March Malaysia 2023.

    Sekitar 150 individu terdiri daripada aktivis hak asasi (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan tersebut sambil memegang plakad, yang antaranya tertulis “Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Bride, Trans Women Are Women, Police Your Behaviour Not My Body”, dan lain-lain lagi.

    Kesemua individu yang sedang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

    Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf LGBT serta konsep negara sekular.

    Titah baginda, jaminan itu bertepatan waktunya untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

  • Ahli Parlimen cadang naikkan pencen pesara GLC RM500 sebulan

    Ahli Parlimen cadang naikkan pencen pesara GLC RM500 sebulan

    SEORANG ahli Parlimen pembangkang mencadangkan kerajaan menaikkan kadar pencen pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak kurang daripada RM500 sebulan.

    Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) berkata, ada dalam kalangan pesara GLC seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Telekom Malaysia Berhad dan Pos Malaysia hanya menerima pencen kurang RM200 sebulan.

    “Saya ingin merujuk isu berkait kadar pencen rendah pesara agensi kerajaan yang diswastakan pada tahun 80-an dan 90-an. Pesara syarikat GLC seperti TNB, Telekom, Pos, KTMB dan lain-lain menerima bayaran pencen rendah.

    “Ramai dalam kalangan mereka hanya menerima jumlah pencen amat sedikit iaitu bawah RM200 sebulan. Saya pohon kerajaan pertimbangkan untuk menambah kadar bayaran pencen bulanan mereka kepada sekurangnya RM500 sebulan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, lapor Free Malaysia Today.

    Hassan berkata, ada pesara GLC terpaksa bergantung kepada sumber pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan kerana bayaran pencen diterima tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

  • Saravanan akui ke India, tapi bukan ikut Mat Sabu cari telur

    Saravanan akui ke India, tapi bukan ikut Mat Sabu cari telur

    TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menafikan beliau sebahagian rombongan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ke India baru-baru ini untuk bertemu pembekal telur ayam.

    Bagaimanapun Saravanan mengesahkan beliau berada dalam penerbangan yang sama ke India dengan Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu dan ia adalah hanya satu kebetulan sahaja.

    “Ini (perjalanan) berlaku pada bulan Januari. Saya pergi ke India untuk upacara sembahyang dan kebetulan saya terserempak dengan menteri dan lelaki yang berkenaan,” kata Saravanan kepada Malaysiakini.

    Beliau merujuk kepada gambar tular yang diterbitkan oleh sebuah blog dan telah diedarkan semula oleh portal MalaysiaNow Jumaat, lalu yang turut menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan.

    Mengulas lanjut Saravanan berkata, mereka terpaksa berkongsi kenderaan sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.

    “Mereka mempunyai kereta buggy yang terhad. Jadi di lapangan terbang (Chennai) selepas mendarat, kami semua perlu berkongsi kenderaan yang sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.

    “Saya pergi (ke India) untuk ikuti upacara, saya tidak tahu mereka pergi untuk beberapa urusan rasmi. Ia hanya kebetulan, itu sahaja,” jelas bekas menteri itu ketika dihubungi hari ini.

    Perjalanan Mohamad ke India mendapat perhatian berikutan dakwaan mengenai kontrak rundingan terus kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk bekalan telur dari negara itu.

    Pada Sabtu, pemimpin Bersatu Azmin Ali mendakwa kerajaan persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim telah menganugerahkan projek mengimport telur dari India kepada Deepak, seorang ahli perniagaan yang menjadi pengkritik terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

    Ketika menyampaikan ucapan pada majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, bekas menteri kanan itu juga mendakwa kontrak berkenaan diberikan melalui rundingan terus, bertentangan dengan ikrar kerajaan baru untuk menamatkan amalan sedemikian bagi projek kerajaan.

    Azmin juga mendakwa telur yang diimport Deepak dari India diberi pengecualian oleh kerajaan daripada menjalani pemeriksaan keselamatan makanan.

    Sebagai tindak balas, J&E Advance Tech Sdn Bhd, pengimport tunggal telur dari India hari ini menafikan kedua-dua dakwaan berhubung rundingan langsung dan pengecualian keselamatan makanan.

    Sebaliknya, syarikat itu berkata ia telah meminta kebenaran daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India bagi menangani kekurangan teruk dalam pasaran dan diberi kelulusan sementara berkuat kuasa sehingga Jun 2023.

    Syarikat itu dalam kenyataannya tidak menyebut tentang hubungan Deepak yang dikatakan dan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati nama saudagar permaidani itu tidak disenaraikan sebagai pemegang saham atau pengarah dalam firma itu.

  • Cukupkah kakitangan SPRM siasat kes rasuah?

    Cukupkah kakitangan SPRM siasat kes rasuah?

    KEUPAYAAN Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berikutan pertambahan kes rasuah dipersoalkan seorang ahli Parlimen.

    Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, mengikut maklumat, SPRM hanya mempunyai kira-kira 3,000 kakitangan di seluruh negara.

    Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berkata, daripada jumlah itu, hanya 30 peratus atau 900 orang bertugas di Bahagian Siasatan.

    “Adakah jumlah itu sudah mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa SPRM dalam mencegah dan menyiasat kes rasuah yang kelihatan semakin banyak ketika ini?,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahmad Fadhli juga meminta kerajaan menjelaskan perancangan untuk memenuhi janji dalam manifesto bahawa pencalonan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang anggotanya dwipartisan.

    “Sampai hari ini, kita tidak dapat melihat lagi apakah `roadmap’ ke arah itu supaya orang melihat pendakwaan yang dibuat oleh SPRM bukan bermotifkan politik.

    “Kes-kes yang lapuk dibiarkan, tetapi kes baharu disiasat begitu cepat dan didakwa di mahkamah, sedangkan kes yang disebut-sebut sebelum Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU15) nampaknya sudah disapu ke bawah karpet,” katanya.