Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tinggalkan kereta Honda Civic demi elak diperiksa pihak berkuasa

    Tinggalkan kereta Honda Civic demi elak diperiksa pihak berkuasa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DEMI mengelak daripada diperiksa pihak polis, seorang lelaki sanggup melarikan diri dan meninggalkan kereta Honda Civic dipandunya di persimpangan lampu isyarat Kedondong dekat Pokok Sena, Kedah, awal pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, intipan dijalankan kira-kira pukul 1.30 pagi itu mendapati berlaku aktiviti merbahaya di jalanan, melibatkan beberapa buah kereta.

    “Empat daripada kereta yang ada di situ didapati menjadikan lampu isyarat kawasan tersebut sebagai tempat permulaan perlumbaan.

    “Kesemua mereka kemudiannya dikepung untuk ditahan, tidak jauh dari lokasi tersebut. Usaha tersebut membuahkan hasil dengan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 33 tahun berjaya ditahan.

    “Bagaimanapun seorang daripada empat pemandu itu meninggalkan keretanya untuk melarikan diri,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, ketika ini pihaknya masih mengesan individu yang meninggalkan kenderaan tersebut.

    “Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Selain tiga individu yang ditahan itu, beberapa pemilik kenderaan lain yang asyik menyaksikan kegiatan itu turut diperiksa dan disaman atas beberapa kesalahan termasuk mengubah suai kenderaan,” katanya.

  • BN-PH Pulau Pinang bincang PRN selepas pemilihan parti

    BN-PH Pulau Pinang bincang PRN selepas pemilihan parti

    UMNO Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) negeri itu bagi membincangkan gerak kerja dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaik sahaja pemilihan parti tersebut di peringkat Bahagian dan Pusat selesai.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, buat masa ini, Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang belum mengadakan pertemuan rasmi dengan PH meskipun kedua-dua parti telah mendapat arahan rasmi untuk memulakan rundingan daripada Pusat.

    Ujar beliau, meskipun kedua-dua parti bakal mengadakan kerjasama dalam PRN negeri itu kelak, namun ia adalah atas dasar Kerajaan Perpaduan yang terbina ketika ini dan BN tetap akan bertanding atas tiket serta logo parti itu sendiri.

    “Arahan sudah ada untuk kita bincang bersama PH Pulau Pinang dan kita akan bincang berkenaan pengagihan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu terlebih dahulu khususnya dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Berkenaan perkara lain (termasuk pengahihan baki kerusi DUN melibatkan kedua-dua parti komponen BN dan PH) akan dibincang pada pertemuan seterusnya,” katanya.

    Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, ditanya berhubung penerimaan pengundi terhadap kerjasama pertama kali BN dan PH pada PRN Pulau Pinang kelak, Musa berkata, kerjasama kedua-dua parti tersebut hanyalah bermatlamat untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan yang stabil dari sudut ekonomi dan politik dalam negara.

    “Tentang parti, kita tidak bergabung dengan PH, cuma soal kerjasama untuk berdepan pilihan raya itu memang ada.

    “Kita akan bertolak ansur, yang mana kerusi PH bertanding kita tidak akan bertanding, kita pun berharap mana-mana kerusi yang kita tanding, PH tidak akan bertanding.

    “Sebab kalau kita mahu lawan tiga penjuru sudah pasti kita (PH dan BN) akan kalah. Jadi kerjasama ini lebih kepada tolak ansur sebab kita mahu tubuh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

  • Ku Li sukar digugat, kekal terajui UMNO Bahagian Gua Musang

    Ku Li sukar digugat, kekal terajui UMNO Bahagian Gua Musang

    TENGKU Razaleigh Hamzah atau Ku Li membuktikan beliau masih belum hilang pengaruh apabila perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang terus memberi kepercayaan kepada beliau menerajui pentadbiran kawasan itu.

    Pada Pemilihan UMNO Bahagian Gua Musang itu, Ku Li mendapat 453 undi untuk meninggalkan jauh dua pencabarnya, Che Mohd Izani Che Musa dan Datuk Saari Lembut.

    Memetik laporan Sinar Harian, Che Mohd Izani memperoleh 46 undian, manakala Saari lima undi.

    Ini merupakan kali kedua Ku Li dicabar sejak memimpin UMNO Bahagian Gua Musang selama 64 tahun.

    Kali pertama Ku Li dicabar oleh bekas Ketua Pemuda ketika itu, Datuk Bazlan Baharuddin pada pemilihan UMNO Bahagian Gua Musang 2013.

    Kemenangan itu menyaksikan Ku Li mengekalkan jawatan dan menjadi Ketua UMNO bahagian paling lama berkhidmat di negara ini.

    Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hasyim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

    Katanya, kemenangan besar memberi isyarat Ku Li masih relevan memimpin UMNO Bahagian Gua Musang.

  • Ahli Parlimen Putatan digantung keahlian UMNO 6 tahun

    Ahli Parlimen Putatan digantung keahlian UMNO 6 tahun

    UMNO bertindak menggantung keahlian Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya dalam parti itu selama enam tahun.

    Memetik laporan Astro AWANI, difahamkan, beliau dikenakan tindakan berkenaan selepas dipercayai membelakangkan keputusan parti dengan tidak menyokong keputusan UMNO Sabah sebelum ini.

    Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan perkara berkenaan dalam satu sidang media di Sandakan, hari ini.

    “Well… dia kena gantung enam tahun,” katanya ringkas.

    Sebelum ini, Shahelmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, bersama empat lagi ADUN yang bertanding menggunakan tiket UMNO ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, bertindak kekal menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

    Shahelmy bersama empat ADUN itu tidak menyokong keputusan UMNO Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji.

    Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya, digantung, UMNO,

  • Jangan layan veteran tentera macam peminta sedekah, kata MP Bersatu

    Jangan layan veteran tentera macam peminta sedekah, kata MP Bersatu

    ISU penyelarasan pencen membabitkan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tertangguh sejak 2013 perlu diselesaikan segera oleh kerajaan PH-BN.

    Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berkata, walaupun penyelarasan gaji pegawai dan anggota ATM sudah dilakukan 20 tahun lalu, namun penyelarasan itu tidak membabitkan pegawai dan anggota yang sudah pencen.

    Menurut beliau, belum ada menteri yang menerajui Kementerian Pertahanan dilihat ingin menyelesaikan isu berlarutan itu.

    “Saya nak hak mereka ini ditunaikan, mereka bukan merayu, mereka bukan meminta, mereka tidak meminta sedekah, tapi ini adalah hak mereka yang perlu ditunaikan oleh kerajaan.

    “Kita kena ingat, mereka ini, veteran ATM ini bekerja 24 jam tidak ada ‘over-time’ tidak macam orang (kerja) lain, tinggal anak isteri dan kalau berlaku apa-apa, siapa nak jaga keluarga,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, beliau merasmikan mesyuarat agong tahunan Persatuan Veteran ATM (PVATM) Paya Besar, Pahang di Kuantan, hari ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan pada 13 Mac lalu memaklumkan kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan itu tahun ini.

    Katanya, penyelarasan pencen untuk veteran ATM akan diusahakan dalam belanjawan tahun depan jika keadaan kewangan negara mengizinkan.

    Isu penyelarasan pencen sudah dibangkitkan sejak tahun lalu apabila Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menuntut empat perkara membabitkan veteran ATM.

    Empat perkara dituntut adalah penyelarasan pencen, tempoh perkhidmatan, pengampunan kepada pegawai atau anggota dijatuhkan hukuman dan Pencen Hilang Upaya (PHU).

    Semak semula pencen hilang upaya

    Dalam pada itu Khlir turut memohon kerajaan mempertimbangkan kadar PHU yang sudah tidak disemak semula sejak tahun 2000.

    “Sudah 23 tahun kadar itu tidak disemak dan saya dimaklumkan ketika ini terdapat 272 penerima PHU, ada yang hilang kaki, hilang mata (penglihatan) naikkanlah (elaun) itu, takkan nak tunggu mereka semua mati dulu,” katanya lagi.

    Buat masa ini veteran ATM yang hilang upaya menerima PHU antara minimum RM500 hingga RM2,000 maksimum.

    Khlir bagaimanapun memuji Mohamad yang disifatkan sebagai menteri pertahanan yang baik dan ikhlas membantu veteran ATM.

    “Saya harap veteran ATM janganlah kutuk menteri pertahanan sekarang (Mohamad) sebab saya nampak dia seorang yang baik dan ikhlas menjalankan tugas.

    “Kalau nak kutuk menteri pertahanan sebelum ini, kutuklah, sebab saya tahulah perangai mereka,” katanya.

  • 51 penjawat awam dibuang kerja tahun lalu – SPA

    51 penjawat awam dibuang kerja tahun lalu – SPA

    PENGERUSI Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, sebanyak 51 orang penjawat awam dibuang kerja kerana masalah tertib dan kelakuan, tahun lalu.

    Menurut beliau, 18 penjawat awam terbabit dibuang kerja kerana tidak hadir bertugas, 20 individu kerana isu tatakelakuan, antaranya terbabit dengan dadah, manakala 13 individu lagi disebabkan sabitan mahkamah.

    Katanya, selain itu 97 kakitangan pula ditamatkan perkhidmatan kerana gagal disahkan dalam tempoh percubaan.

    “Bagi 2021 pula, seramai 83 penjawat awam dibuang kerja, dengan 48 daripada tidak hadir bertugas, 26 membabitkan isu tatakelakuan dan sembilan lagi kerana sabitan mahkamah,” katanya, lapor Berita Harian.

    Zainal Rahim berkata, terdapat lima lembaga tatatertib, antaranya yang dipengerusikan oleh beliau dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

    Beliau menegaskan, SPA sentiasa mematuhi Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 395/1993 bagi memastikan anggota perkhidmatan awam melaksanakan tanggungjawab berasaskan kepada peraturan dan pekeliling yang ditetapkan.

    Sementara itu, Zainal Rahim berkata, SPA akan cuba meluluskan 100 peratus permohonan pertukaran perkhidmatan dalam keadaan tertentu yang dibuat pegawai kerajaan.

    Katanya, permohonan itu akan diluluskan bagi mengelakkan timbul isu lain seperti kemurungan dan pengurangan produktiviti kerja atau tidak hadir bertugas dalam kalangan penjawat awam yang tidak dapat bertukar.

    “Macam ada yang isteri bekerja di suatu negeri, suami berkhidmat di jabatan Persekutuan. Kita tak pernah mengecewakan, kita luluskan pertukaran kerana tidak mahu mengakibatkan perkara lain seperti malas bekerja, tidak hadir bertugas dan kemurungan,” katanya.

    Beliau berkata, sepanjang tempoh lima tahun iaitu sejak 2017 hingga tahun lalu, SPA sudah meluluskan 315 pertukaran perkhidmatan penjawat awam, termasuk 56 pertukaran tahun lalu, yang dibuat atas permohonan pegawai atau jabatan.

    Pertukaran di bawah bidang kuasa SPA, membabitkan pertukaran ketua perkhidmatan dalam perkhidmatan awam am Persekutuan dan daripada perkhidmatan awam negeri di bawah bidang kuasa suruhanjaya ke perkhidmatan awam am Persekutuan.

    Pertukaran biasa dalam perkhidmatan daripada satu kementerian kepada kementerian lain itu adalah di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau kementerian.

    Selain itu, Zainal Rahim berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 15,096 pengesahan lantikan dibuat suruhanjaya itu, selain 13,300 pengesahan dalam perkhidmatan.

    Beliau berkata, pengambilan pegawai tadbir dan diplomatik juga tidak dibuat pada tahun ini, sama seperti tahun lalu.

    Pengambilan terakhir pegawai tadbir dan diplomatik dibuat pada 2021, dengan pembaharuan dari aspek penilaian dan temu duga secara dalam talian di SPA atau temu duga dari lokasi calon berada.

  • “Sombong!”, Tajuddin kesal dihalang masuk Mesyuarat Perwakilan UMNO

    “Sombong!”, Tajuddin kesal dihalang masuk Mesyuarat Perwakilan UMNO

    MESYUARAT Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak kecoh selepas Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dihalang daripada memasuki Dewan Besar Bandar Baru Felda Seberang Perak di Pasir Salak, hari ini.

    Memetik laporan Astro AWANI, difahamkan Tajuddin yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tidak dibenarkan masuk atas sebab keanggotaannya sebagai ahli parti berkenaan digantung.

    Bekas Ketua UMNO Bahagian itu terdahulu hadir sekitar pukul 9.50 pagi sebelum dihalang oleh petugas keselamatan di pintu pagar utama dewan tersebut.

    Sementara itu, ketika dihubungi Tajuddin menzahirkan kekesalan kerana tidak dibenarkan untuk mengikuti perjalanan mesyuarat berkenaan.
    Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut menyifatkan kejadian itu sebagai ‘sombong’ dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

    “Saya sayang UMNO, saya setia. 50 tahun dalam UMNO.

    “Sombong! Mantan KB (ketua bahagian) pun dihalang masuk. Tidak pernah berlaku, tiada alasan diberikan mereka,” dakwanya ketika dihubungi hari ini.

    Pada pemilihan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, anak sulung beliau, Dr Faizal Tajuddin bertanding menentang bekas pemangku ketua bahagian itu, Khairul Azwan Harun.

    Minggu lalu, anak perempuan Tajuddin, Datin Sri Rahayu dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak baharu menewaskan penyandangnya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

    Oktober lalu, media melaporkan Tajuddin digantung keahliannya selama enam tahun selain dipecat daripada MKT UMNO.

  • “Jerantut lebih besar dari 2 negeri, wajar dapat peruntukan besar”

    “Jerantut lebih besar dari 2 negeri, wajar dapat peruntukan besar”

    JERANTUT adalah daerah yang besar iaitu lebih besar daripada Negeri Sembilan dan Perlis, kata Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin.

    Beliau sehubungan itu berkata, adalah sangat wajar untuk Jerantut mendapat sejumlah peruntukan yang besar untuk kemajuan kawasan luar bandar.

    Menurutnya, pada persidangan Dewan Rakyat, beliau telah mengambil peluang membangkitkan beberapa isu kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempertimbangkan dengan sewajarnya.

    “Saya telah memohon agar jalan kampung di Jerantut yang tidak berada di bawah seliaan dan tanggungjawab JKR seperti Jalan Batu Balak, Jalan utama ke Ulu Tembeling iaitu dari Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling, Jalan Kampung Sempadan di Batu Balai diberikan peruntukan membaik pulih kerana ia penting untuk rakyat setempat.

    “Selain itu, saya juga menyentuh keutamaan dan keperluan bantuan kepada masyarakat Orang Asal di Daerah Jerantut yang melibatkan 12 perkampungan iaitu Kampung Sungai Kiol, Kampung Sungai Mai, Kampung Sungai Kol, Kampung Sungai Berjuang, Kampung Sungai Bangkong, Kampung Paya Petai, Kampung Paya Lintah, Kampung Batu 10 Sungai Retang, Kampung Kuala Atok, Kampung Sungai Tekal, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Kucing.

    “Keperluan rumah baru amat mendesak memandangkan isi rumah mereka semakin meningkat,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, menerusi hantaran di Facebook.

    Sehubungan itu, Khairil Nizam memohon untuk Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan pihak kementerian mempertimbangkan secara telus permohonan tersebut untuk meningkatkan keselesaan kepada masyarakat di desa sekitar Jerantut.

  • “Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata”, kata Hadi

    “Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata”, kata Hadi

    TINDAKAN mengheret mereka yang dianggap lawan politik ke mahkamah secara terpilih dan tergesa-gesa sehingga digali habis-habisan bagi mencipta kesalahan adalah satu tindakan zalim yang nyata.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu berlaku disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses yang betul tanpa gangguan yang salah.

    Tegasnya, lebih malang lagi, apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja kerana alasan permusuhan.

    “Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata. Berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih.

    “Haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi ruangan Minda Presiden Pas bertajuk “Apabila pemimpin tidak bersifat adil” di Facebook hari ini.

    Mengulas lanjut Hadi mendakwa, selepas berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih, mereka kemudiannya bertindak menghentikan perjalanan mahkamah terhadap kawan yang akrab atau penyokongnya.

    Katanya, ia walaupun kawan atau penyokong itu sudah layak diheret ke mahkamah dan sedang dalam proses perbicaraan mahkamah.

    “Ketika dibawakan bukti secara bertali arus dan belum selesai proses perbicaraannya, tiba-tiba kes tersebut dihentikan,” katanya.

    Addul Hadi menjelaskan, Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa melalui prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya.

    Katanya ini supaya tidak terdedah kepada berlakunya kezaliman melainkan kalangan mereka yang dipelihara Allah dengan hidayah-Nya kerana hanya perkara yang benar-benar layak dibawa ke mahkamah sahaja yang diambil tindakan kehakiman.

    “Kadang-kadang, nasihat yang benar dianggap salah kerana mempertahankan kezaliman yang nyata.

    “Nasihat yang diberikan bagi membetulkan kesalahan dan menginsafkan golongan yang zalim adalah kewajipan orang-orang yang beriman,” katanya.

  • Pemilihan Pemuda UMNO Jempol batal, akan diundi semula

    Pemilihan Pemuda UMNO Jempol batal, akan diundi semula

    UMNO Bahagian Jempol akan mengadakan semula pemilihan bagi sayap pemuda bahagian itu selepas pemilihan pada 11 Mac lalu dibatalkan.

    Menurut Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, UMNO Bahagian menerima keputusan itu menerusi surat rasmi bertarikh 15 Mac lalu.

    Katanya, pembatalan persidangan dan pemilihan pergerakan pemuda itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO.

    “Pembatalan itu adalah rentetan daripada beberapa bantahan yang dihantar oleh perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol supaya membuat pengundian semula.

    “Sehubungan itu kita mencadangkan satu sesi pengundian semula bagi sayap itu diadakan sebaik sahaja pengurusan UMNO Bahagian Jempol yang baharu dibentuk iaitu selepas persidangan pada hari ini,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Shamshulkahar yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata berikutan pembatalan itu, 10 wakil pergerakan pemuda yang dilantik pada mesyuarat tersebut juga terbatal dan tidak akan mewakili Pemuda ke persidangan bahagian.

    “Bagaimanapun status Ketua Pemuda Cawangan adalah tidak terjejas dan merupakan perwakilan yang sah untuk hadir ke mesyuarat hari ini.