Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dana asing terus tinggalkan pasaran saham tempatan

    Dana asing terus tinggalkan pasaran saham tempatan

    DANA asing terus meninggalkan Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut dengan jualan bersih asing berjumlah RM536 juta dicatatkan pada minggu lalu, demikian kata MIDF Research.

    Namun, firma penyelidikan itu berkata, jumlah jualan asing itu lebih rendah sebanyak 3.8 peratus berbanding RM556.9 juta pada minggu sebelumnya.

    Katanya, dana asing menjadi penjual bersih setiap hari sepanjang minggu lalu, dengan jumlah jualan bersih tertinggi dicatatkan pada Selasa sejumlah RM251.3 juta, diikuti RM99.7 juta pada Khamis dan RM90.3 juta pada Jumaat.

    “Sentimen kekal lemah berikutan cabaran yang dihadapi dalam sektor perbankan Amerika Syarikat (AS).

    “Pelabur asing menjadi penjual bersih untuk 13 hari dagangan sejak 1 Mac. Mereka mencatatkan jualan bersih RM1.78 bilion setakat ini bagi tahun ini.

    “Daripada 11 minggu setakat tahun ini, mereka menjadi penjual bersih untuk lapan minggu,” katanya.

    Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM67.9 juta), teknologi (RM13.2 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM7.8 juta).

    Ia berkata, sektor yang menyaksikan pengaliran keluar asing bersih pula ialah perkhidmatan kewangan (RM359.5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM90.3 juta) dan produk pengguna dan perkhidmatan (RM63.5 juta).

    Sementara itu, MIDF Research berkata, institusi tempatan terus menyokong ekuiti domestik, dengan belian bersih bagi tiga minggu berturut-turut sebanyak RM565.7 juta.

    Angka itu adalah jumlah mingguan tertinggi bagi 2023 dan tertinggi sejak minggu berakhir 9 Disember 2022.

    Institusi tempatan adalah pembeli bersih setiap hari, paling tinggi dilihat pada Jumaat sebanyak RM187.7 juta dan mereka juga telah menjadi pembeli bersih setiap hari sejak 1 Mac.

    Pembelian bersih dalam ekuiti sebanyak RM1.76 bilion ekuiti dicatatkan membabitkan institusi tempatan, sementara peruncit tempatan menjadi penjual bersih pada kadar RM29.7 juta minggu lalu selepas belian bersih tiga minggu berturut-turut.

    Penjualan bersih setiap hari dicatatkan peruncit tempatan, kecuali pada Selasa apabila mereka membeli RM113.2 juta.

    Jumlah jualan bersih tertinggi oleh peruncit tempatan adalah pada Jumaat sebanyak RM97.5 juta.

    “Setakat ini, mereka membeli bersih RM14.8 juta ekuiti, dengan enam daripada 11 minggu belian bersih.

    “Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 18.4 peratus, institusi tempatan sebanyak 40.4 peratus dan pelabur asing sebanyak 51.0 peratus,” katanya lapor BH.

  • DAP kekal pembangkang di Sarawak – Pengerusi

    DAP kekal pembangkang di Sarawak – Pengerusi

    BAGI memastikan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat dikawal, DAP akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan sebaiknya di negeri itu.

    Menurut pengerusinya Chong Chieng Jen, walaupun tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kancah politik negara apabila DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan dengan GPS di peringkat persekutuan, parti itu kekal sebagai pembangkang di peringkat negeri.

    “Berada dalam kedudukan sedemikian bukan mudah tetapi kami akan terus menyuarakan jika dasar di peringkat persekutuan atau negeri tidak memihak kepada rakyat,” katanya menurut Borneo Post.

    Menurutnya, sama ada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mampu berkhidmat untuk tempoh lima tahun bergantung kepada tiga faktor utama.

    “Ia melibatkan prestasi 100 hari kerajaan perpaduan, keputusan pemilihan UMNO, dan pilihan raya enam negeri tahun ini,” katanya.

    Chong berkata, pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah melakukan beberapa pembaharuan setakat ini dan beliau yakin pemimpin kerajaan pada masa akan datang mampu mengelak daripada terlibat rasuah.

    Ahli Parlimen Stampin itu menerima kecaman daripada pemimpin GPS baru-baru ini selepas menggelar gabungan berkenaan sebagai “oportunis” apabila memutuskan menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

    Ucapan itu dibuat ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, dan beliau juga mendakwa GPS gagal memperjuangkan hak negeri.

    Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Chong dan menggesanya memohon maaf kepada semua rakyat Sarawak, pengerusi GPS serta semua Ahli Parlimen GPS.

    Seorang lagi Ahli Parlimen GPS, Shafizan Kepli memberitahu Chong supaya tidak “menggoncang bot” ketika membandingkan kerajaan persekutuan dengan sebuah bot diketuai oleh Anwar, GPS dan gabungan lain semuanya mendayung untuk memastikan ia “mencapai garisan penamat”.

  • Diana Danielle mohon cerai, Farid Kamil enggan lafaz talak

    Diana Danielle mohon cerai, Farid Kamil enggan lafaz talak

    PELAKON Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, yang juga pelakon, Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Kuala Lumpur pagi tadi.

    Memetik sebuah portal berita, pelakon cantik berdarah kacukan itu membuat permohonan cerai awal bulan ini atas alasan tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

    Namun, Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari enggan melafazkan cerai tersebut, lapor Astro Awani.

    Difahamkan pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.

    Pasangan berkenaan berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 7.

  • Ganti rugi RM2j: MP DAP berjaya kumpul RM2.25j elak muflis

    Ganti rugi RM2j: MP DAP berjaya kumpul RM2.25j elak muflis

    BELUM sampai tujuh hari, Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Lim Lip Eng berjaya mengumpul RM2.25 juta untuk membayar ganti rugi dan kos yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas kalah dalam saman fitnah kepada firma e-dagang Monspace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Jessy Lai.

    Kejayaan itu mengelakkan Lip Eng daripada diisytihar bankrap dan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

    Justeru beliau meminta penyokongnya untuk tidak lagi menderma, dan memberi jaminan bahawa akan ada akauntabiliti.

    “Saya tidak dapat berterima kasih kepada semua orang untuk kebaikan dan bantuan yang dihulurkan pada waktu yang sukar ini. Saya terharu dengan kemurahan hati kamu.

    “Seorang juruaudit bertauliah akan dilantik bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti terhadap derma yang dikutip,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Minggu lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Lim membayar RM2.25 juta sebagai ganti rugi dan kos kepada firma e-dagang Monspace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Jessy Lai.

    Syarikat itu dan pengasasnya telah memfailkan tindakan sivil terhadap Lim pada 2019 atas dakwaan bahawa syarikat itu terlibat dalam skim pelaburan yang gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan kepada pelabur.

    Pada tahun yang sama, beberapa pengasas Monspace turut didakwa di mahkamah jenayah atas dakwaan menjalankan skim piramid dan aktiviti pengubahan wang haram.

    Lim terpaksa membayar ganti rugi dalam tempoh tujuh hari kerana tiada penangguhan diberikan sementara menunggu rayuan.

    Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan dirinya diisytharkan muflis, dan veteran DAP itu akan kehilangan kerusi Parlimennya.

    Ahli Parlimen Kepong itu telah berjanji bahawa jika dia berjaya dalam rayuan masa depannya dan boleh menuntut semula ganti rugi berkenaan, dia akan menderma kesemuanya kepada pertubuhan kebajikan dan pendidikan.

  • Kes Crackhouse Comedy: ‘Saya sudah ingatkan penghibur untuk tidak sentuh isu sensitif’ – Saksi

    Kes Crackhouse Comedy: ‘Saya sudah ingatkan penghibur untuk tidak sentuh isu sensitif’ – Saksi

    SEORANG saksi dalam kes Siti Nuramira Abdullah yang bertindak menanggalkan pakaian ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, Jun tahun lalu memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa dia telah mengingatkan para penghibur untuk tidak menyentuh isu sensitif.

    Saksi pendakwaan yang juga merupakan pengacara majlis pada ketika itu, Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa, 26, berkata, walaupun tiada peraturan bertulis, namun dia telah mengingatkan beberapa peraturan tidak bertulis.

    Katanya, peraturan tidak bertulis itu adalah tertakluk kepada undang-undang Malaysia terutamanya untuk tidak menyentuh isu agama, bangsa dan kerabat diraja.

    “Saya diberitahu, ada dua penghibur baharu yang memperkenalkan diri mereka sebagai Amy dan Alex. Kebiasaannya saya akan membuat taklimat ringkas untuk mengingatkan penghibur supaya lebih sensitif ketika berjenaka.

    “Ia lebih kepada peraturan yang tidak bertulis dan budi bahasa professional berkenaan apa yang boleh disentuh dan apa yang tidak boleh,” katanya.

    Muhammad Ashraf berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob pada prosiding kes itu dihadapan Hakim Nor Hasniah Ab. Razak, pagi ini.

    Dia yang juga pernah menjadi seorang pereka grafik berkata, isu sensitif yang disentuh oleh Siti Nuramira pada persembahan itu adalah isu agama.

    Mahkamah kemudian menayangkan klip video tular yang memaparkan aksi Siti Nuramira menanggalkan tudung dan baju kurung ketika membuat persembahan komedi di kelab itu.

    Ketika ditanya mengenai reaksinya selepas tindakan yang dilakukan oleh Siti Nuramira itu, Muhammad Ashraf mengakui terkejut dengan aksi berkenaan sepanjang menjadi hos di kelab komedi itu.

    “Saya tidak pernah melihat perkara seperti itu lebih-lebih lagi pada acara ‘live’. Ia sangat mengejutkan dan berlaku sangat pantas.

    “Saya juga lihat penonton turut terkejut dan saya selaku pengacara mencuba sebaiknya untuk meneutralkan kembali suasana,” katanya lagi, lapor Utusan TV.

    Muhammad Asyraf yang juga pernah membuat persembahan komedi di kelab itu menegaskan bahawa persembahan Siti Nuramira itu tiada elemen jenaka.

    Bagaimanapun, peguam yang mewakili Siti Nuramira, R. Sivaraj mencadangkan bahawa isu sensitif seperti agama dan bangsa pernah dijadikan bahan jenaka di kelab berkenaan sebelum ini.

    Sivaraj: Saya mencadangkan bahawa bangsa dan agama pernah digunakan (sebagai jenaka) di Crackhouse Comedy Club.

    Muhammad Asyraf: Saya setuju.

    Hakim Nor Hasniah kemudian menangguhkan prosiding kes itu pagi esok.

    Pada 13 Julai 2022, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni di kalangan sesama Islam.

    Perkara itu susulan satu video berdurasi 54 saat tular dalam media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam dan menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

    Wanita tersebut ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 9 Julai 2022.

  • Wanita warga emas ditipu konon badan berhantu

    Wanita warga emas ditipu konon badan berhantu

    GARA-GARA mempercayai hantu berada dalam badan, seorang wanita warga emas kerugian RM2,000 kononnya untuk membuang mahkluk halus tersebut.

    Dalam kejadian pukul 9.30 pagi semalam, mangsa berusia 69 tahun didatangi tiga individu wanita yang tidak dikenali ketika berada di Pasar Lama Bahau dan seorang suspek kemudian menegur mengenai hantu yang mengikut mangsa.

    Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, ketiga-tiga suspek mendakwa boleh membersihkan dan membuang hantu di badan mangsa tanpa meminta sebarang bayaran pada awalnya.

    “Mangsa kemudian bersetuju sebelum seorang suspek meminta mangsa pulang ke rumah mengambil wang dan barang kemas bagi upacara membuang hantu.

    “Dia diminta menyerahkan wang dan barang kemas di tepi sebuah bank di Bahau bagi upacara membuang hantu dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hoo berkata, selepas menyerahkan wang tunai RM1,000, dua utas rantai leher, satu utas rantai tangan dan dua bentuk cincin, mangsa diberi dua botol air mineral kecil dan satu bungkus garam.

    Katanya, mangsa kemudian diminta pulang dan tidak dibenarkan memandang ke arah belakang.

    “Sebaik tiba di rumah, anak mangsa bertanya mengenai air serta garam berkenaan dan mangsa menceritakan kejadian sebelum anak memberitahu mangsa sebenarnya sudah ditipu.

    “Mangsa kemudian mendakwa dipukau dan ditipu oleh suspek dan mengalami kerugian sebanyak RM2,000,” katanya, lapor Harian Metro.

    Hoo berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Kes Jana Wibawa: Datuk Roy, bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah bebas reman

    Kes Jana Wibawa: Datuk Roy, bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah bebas reman

    DATUK Roy dan seorang bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah yang direman bagi membantu siasatan berhubung program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), dilepaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Menurut Peguam bela kedua-dua lelaki berkenaan, Fahmi Abd Moin, Majistret Mahkamah Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin, membenarkan anak guam dilepaskan masing-masing dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, lapor Berita Harian.

    Datuk Roy ditahan ketika memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di pejabat SPRM di sini, pada pukul 3 petang Isnin lalu.

    Majistret Kuala Lumpur, Noorelynna Hanim Abd Halim, kemudian membenarkan lelaki berusia 54 tahun itu direman tiga hari dan melepaskan suspek dengan jaminan SPRM, pada Khamis lalu.

    Pada hari sama, Datuk Roy ditahan semula sebelum Mahkamah Majistret Putrajaya menyambung reman empat hari lagi berakhir hari ini.

    Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

    Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

    Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

    Bekas Timbalan Pendaftar itu pula ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur, pukul 9.30 malam, Jumaat lalu, sebelum direman selama tiga hari berakhir hari ini.

    Suspek berusia 50-an itu disyaki cuba bersubahat meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM2 juta, bagi membantu menyelesaikan kes siasatan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan yang sudah dituduh berkaitan projek itu.

    Lelaki itu dipercayai meminta suapan sebagai balasan seperti meminta pihak SPRM menukar keterangan tertuduh kepada saksi dan menukar pertuduhan rasuah kepada pertuduhan alternatif.

    Suspek pernah bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah di Putrajaya, sebelum bersara pada Disember 2021.

  • Jom Ziarah Gereja: Hannah Yeoh akan dipanggil polis

    Jom Ziarah Gereja: Hannah Yeoh akan dipanggil polis

    MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya akan memanggil Hannah dalam masa terdekat.

    “Kita akan merakam keterangan Chegubard (Badrul Hisham Shaharin) pada hari ini bagi membantu siasatan.
    Setakat ini, pihak polis telah menerima dua laporan polis berkaitan isu berkenaan.

    “Kita telah merakam keterangan tiga individu yang terdiri daripada pengadu dan dua wakil NGO bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam media melaporkan, Polis membuka satu kertas siasaran berhubung penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, walaupun program itu telah dibatalkan semalam, namun satu laporan polis telah diterima berhubung kes itu.

    Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa, program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam.

  • Penjawat awam didakwa memandu ketika mabuk

    Penjawat awam didakwa memandu ketika mabuk

    SEORANG penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk di hadapan Pos Pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh minggu lalu.

    Jazvinjit Singh Ranjit Singh, 30, yang bertugas di sebuah hospital dekat Ipoh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Honda Civic dengan kadar alkohol melebihi had yang ditetapkan, lapor Sinar Harian.

    Selepas ujian nafas dijalankan, didapati dalam badan tertuduh mengandungi sebanyak 167 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah iaitu lebih 117 miligram daripada had ditetapkan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Lapangan Terbang Off Jalan Angsana, hadapan Pos Pengawal PLPGU Ipoh lebih kurang pukul 12.10 malam pada 17 Mac lepas.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan denda tidak melebihi RM30,000.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.M. Moganaraj Mithra manakala tertuduh diwakili Peguam Ranjit Singh Sandhu.

    Majistret kemudian membenarkan ikat jamin RM7,000 terhadap tertuduh oleh seorang penjamin selain syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat sekali sebulan.

    Mahkamah turut menetapkan 3 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Polis sebelum ini menahan reman lelaki terbabit selama tiga hari bagi membantu siasatan.

    Dalam kejadian itu, lelaki berkenaan dikesan memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sebelum melanggar penghadang jalan berhampiran pos pengawal PLPGU Ipoh.

    Lelaki itu turut dilapor bertindak agresif apabila mengamuk dan memukul dua anggota polis hingga mendatangkan kecederaan.

  • ADUN Pas tegur kerajaan Kelantan:Membangun bersama Islam tapi abai ruang solat

    ADUN Pas tegur kerajaan Kelantan:Membangun bersama Islam tapi abai ruang solat

    HASSAN Mahamood (PN-Tawang) menegur
    kerajaan negeri Kelantan supaya menitikberatkan kepada aspek ruangan kawasan solat dalam sebarang perancangan pembangunan mereka.

    Perkara itu dibangkitkan Hassan ketika bangun mengemukakan soalan tambahan berhubung perancangan pembangunan Terminal KB Sentral.

    “Tadi Exco ada menyebut beberapa komponen yang akan dibina, bagaimana dengan ruangan solat?
    Maaflah saya nak tegur kerajaan, lepas-lepas dah walaupun kita Membangun Bersama Islam tetapi kerajaan dalam merancang itu tidak memberi perhatian kepada ruangan solat, termasuklah di lapangan terbang.

    “Saya nak tanya kerajaan dalam komponen ini ada atau tidak untuk bina ruangan masjid?

    “Kita kadang-kadang malu, kita pergi ke Bangkok di lapangan terbangnya ruangan solat luas. Dia (Thailand) Buddha, kita Islam tapi nak sembahyang berjujuk beratur,” kata wakil rakyat Pas itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)di Kota Bharu, hari ini.

    Membangun Bersama Islam merupakan slogan dan dasar dan pentadbiran kerajaan Pas Kelantan yang bermula sejak Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar.

    Sementara itu Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Hanifa Ahmad mengakui terlepas pandang untuk menyatakan kemudahan itu ketika menjawab pertanyaan mengenai perkembangan projek KB Sentral tersebut.

    “Sebenarnya ada ruang solat, akan bina surau. Cadangan kita nak wujudkan masjid tetapi ia sudah ada berhampiran.

    “Maka kita cadangkan supaya didirikan surau di tengah-tengah kompleks KB Sentral. Ada dalam pelan, tadi saya tertinggal (sebut),” katanya.

    Untuk rekod projek KB Sentral turut dikenali sebagai Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) yang dirancang kerajaan Kelantan sebelum ini tergendala kerana tiada kesanggupan bagi pihak kontraktor.

    Ini menjadi perhatian ramai selepas tularnya keadaan stesen bas berkenaan yang dikaitkan sesetengah pihak sebagai sangat daif.

    Terminal itu menempatkan stesen bas utama bagi bas-bas ekspres keluar masuk Kota Bharu.

    Terdahulu Hanifa (PN-Pengkalan Pasir) menjelaskan projek penbangunan KB Sentral yang akan menelan belanja keseluruhan bernilai RM172 juta itu sudah melalui proses lantikan kontraktor.

    Secara asas menurutnya pembangunan KB dan diintegrasi dengan stesen ECRL di Tunjong, Kota Bharu.

    “Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan siap pada pada 2027, manakala KB Sentral akan siap pada 2026,” lapor Malaysiakini.

    “Cadangan projek KB Sentral merupakan terminal bas bergred A akan merangkumi komponen terminal bas ekspres, terminal bas henti-henti, stesen teksi dan e-hailing, parkir awam, hotel, apartmen, pusat membeli-belah, kafe dan kemudahan awam lain,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Rohani Ibrahim (PN-Tanjung Mas).