Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bantuan Kewangan Haji meningkat, beri kesan agihan keuntungan pendeposit

    Bantuan Kewangan Haji meningkat, beri kesan agihan keuntungan pendeposit

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menjangkakan jumlah Bantuan Kewangan Haji akan meningkat kepada hampir RM500 juta pada 2024 jika bayaran bagi tujuan menunaikan rukum Islam kelima itu tidak disemak.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Nai’im Mokhtar, keadaan itu akan memberi kesan kepada Tabung Haji dalam aspek agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya.

    “Sejak 2001 sehingga 2022, sebanyak RM2.2 bilion telah dibelanjakan bagi Bantuan Kewangan Haji.

    “Tabung Haji menjangka jumlah Bantuan Kewangan Haji akan meningkat dari RM185 juta pada 2022 kepada RM400 juta pada tahun 2023.

    “Jumlah ini dijangka meningkat kepada hampir RM500 juta pada tahun 2024 sekiranya bayaran haji tidak disemak dan ini akan memberi kesan kepada Tabung Haji yang perlu memberi agihan keuntungan yang berpatutan kepada pendepositnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta Perdana Menteri menyatakan asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.

    Jelas beliau, Tabung Haji akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu jemaah haji muassasah yang kurang pendapatan menunaikan haji buat pertama kali bagi meringankan bebanan kewangan mereka.

    “Walaupun boleh menerima Bantuan Kewangan Haji, bakal haji kumpulan B40 dan M40 diberi peluang untuk secara sukarela membayar lebih daripada kadar yang ditetapkan, walaupun mungkin tidak dapat membayar sepenuhnya kos haji,” katanya lagi, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, Tabung Haji menetapkan Bantuan Kewangan Haji (Hafis) bagi ibadah haji tahun ini diperuntukkan kepada jemaah muassasah dalam kumpulan B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan haji sahaja.

    Bagi kumpulan jemaah muassasah T20 iaitu mereka yang berpendapatan melebihi RM15,000 sebulan (individu) dikenakan bayaran penuh kos menunaikan Haji.

  • UMNO masih pentas ‘Zahid-Najib’

    UMNO masih pentas ‘Zahid-Najib’

    TIGA lantikan ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diumumkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk mengenai hasrat di pihak presiden parti untuk mengukuhkan kedudukannya sambil menyenangkan hati penyokong setia pendahulunya.

    Penganalisis politik, Jeniri Amir berkata, perkera itu boleh dibuktikan dengan pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan parti dan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agung.

    “(Ketika pemilihan parti Sabtu lalu) akar umbi dengan jelas tidak mahu barisan Zahid, (tetapi Zahid) memerlukan orang yang rapat dengannya.

    “Jadi, untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kepimpinan tertinggi, beliau perlu memerlukan penyokong setia seperti Azalina dan Asyraf,” katanya kepada FMT.

    Pelantikan bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ke MKT, adalah untuk mengukuhkan sokongan daripada penyokong setia bekas perdana menteri Najib Razak, kata Jeniri.

    “Ia langkah bijak untuk menyenangkan hati kem Najib,” ujar Felo Majlis Profesor Negara itu.

    “Dengan orang Najib yang turut berada dalam barisan baharu, parti akan kekal menjadi pentas ‘Zahid-Najib’, seperti yang dikatakan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin,” katanya.

    Semalam, Zahid mengumumkan pelantikan Azalina, Asyraf dan Shahrizat ke MKT parti.

    Asyraf juga menggantikan Ahli MKT, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung parti, manakala Azalina menggantikan Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan.

    Apa yang ketara, Presiden UMNO tidak mengendahkan bekas Perdana Menteri dan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk MKT.

    Ismail pernah mengkritik kepimpinan Zahid pada masa lalu, kata Jeniri dan pengecualiannya adalah sama dengan presiden parti menutup pintu terhadap pengkritiknya.

    “Zahid tidak mahu musuh dari dalam,” kata Jeniri, sambil memberi amaran bahawa prospek masa depan mereka yang menyokong Ismail kini suram.

    James Chin dari University of Tasmania bersetuju bahawa pelantikan itu jelas menunjukkan kerjasama antara Zahid dan Datuk Seri Najib Razak.

    Ketiadaan Ismail tidak mengejutkan, katanya, memandangkan beliau menentang UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

    “Ismail mengingkari hasrat Zahid dan Najib untuk pilihan raya awal ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Mereka mahu pilihan raya umum diadakan tidak lama selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor apabila parti mempunyai momentum.

    “Jadi, Khairy betul, ia adalah pentas ‘Zahid dan Najib’. Najib masih berpengaruh dalam UMNO,” katanya kepada FMT.

    Chin memberi amaran bahawa Zahid dan Najib boleh hilang kawalan ke atas parti itu jika UMNO menghadapi masalah buruk pada PRN akan datang.

    Akar umbi mungkin mendesak perubahan dalam kepimpinan untuk memulihkan nasib parti, katanya.

  • AGC tak tahu adakah Rohana dah kembalikan wang AS$10 juta

    AGC tak tahu adakah Rohana dah kembalikan wang AS$10 juta

    JABATAN Peguam Negara (AGC) tidak mengetahui sekiranya bekas Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan telah memulangkan wang AS$10 juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

    Rohana ialah bekas teman wanita kepada bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis di parlimen oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong)

    Terdahulu, Lip Eng bertanya kepada Perdana Menteri apakah Rohana telah memulangkan wang tunai berjumlah AS$10 juta itu.

    Beliau juga meminta Perdana Menteri menyatakan berapa banyak aset 1MDB yang telah dikembalikan kepada kerajaan dan berapa hutang 1MDB yang masih perlu dibayar kerajaan.

    “Jabatan peguam negara tiada pengetahuan berkenaan perkara ini. Terima kasih,” kata Azalina bagi pihak Perdana Menteri, lapor Malaysiakini.

    Februari tahun lalu, Leissner memberitahu mahkamah Amerika Syarikat (AS) bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan tiga wanita Malaysia, termasuk Rohana.

    Pada satu ketika, Leissner membelanjakan AS$10 juta untuk membeli sebuah rumah di London untuk Rohana selepas wanita itu kecewa kerana dia memutuskan hubungan mereka selama 10 tahun untuk berkahwin dengan model AS, Kimora Lee Simmons pada 2013.

    Dalam keterangannya Leissner berkata dia membeli rumah itu kerana Rohana mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

    Susulan itu media tempatan melaporkan Rohana bersetuju memulangkan aset AS$10 juta itu, tetapi tiada pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang pada masa itu telah pun menemu bualnya.

    Pada Mac tahun lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Rohana disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) dan harta Rohana di London serta aset lain dibekukan.

    Pada 13 Mac lalu, Parlimen diberitahu baki hutang 1MDB ialah sebanyak RM9.7 bilion manakala RM41.6 bilion aset 1MDB telah diperoleh semula.

  • Ira Kazar bakal fail saman terhadap Jawi

    Ira Kazar bakal fail saman terhadap Jawi

    IRA Kazar atau nama sebenar, Faghirah Fatini Kazaruddin bakal mengambil tindakan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berikutan pendedahan pihak tersebut terhadap tuduhan persetubuhan luar nikah sebelum berkahwin kepada umum.

    Peguam, Ammar Ghalip yang mewakili Ira berkata, pihaknya bakal memfailkan saman terhadap Jawi kerana pendedahan yang dibuat oleh pihak tersebut kepada masyarakat.

    “Berkenaan dengan kenyataan Puteri Sarah mengenai siasatan-siasatan daripada Jawi itu, ia masih belum selesai dan dalam siasatan lagi.

    “Isu berkenaan masih disiasat dan terdapat perkara yang boleh dipersoalkan. Jadi, tindakan undang-undang telah pun diambil kepada Jawi,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Semalam media melaporkan Syamsul Yusof, menafikan dakwaan isteri pertamanya, Puteri Sarah bahawa dia melakukan persetubuhan luar nikah sebelum berkahwin dengan isteri, Ira Kazar.

    Menurutnya, dia tidak pernah melakukan persetubuhan luar nikah seperti yang didakwa dan turut mempersoalkan ketelusan Jawi.

    Dalam pada itu, Ira berkata, akan menyaman pihak Jawi pada minggu hadapan berikutan pendedahan kesnya kepada umum.

    “Ira akan saman Jawi. Minggu depan kami akan failkan saman,” ujarnya.

  • Ramadan medan insafi diri, imarahkan masjid, titah Sultan Selangor

    Ramadan medan insafi diri, imarahkan masjid, titah Sultan Selangor

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam menjadikan Ramadan sebagai medan untuk menginsafi dan bermuhasabah diri.

    Baginda turut menasihati umat Islam untuk menjauhi perbuatan tercela seperti mengadu domba dan menyebar fitnah.

    “Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasullullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya (Riwayat al-Bukhari),” titahnya dikongsikan menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

    Menerusi kenyataan itu, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan selamat berpuasa dan menyambut bulan Ramadan 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat negeri Selangor.

    Titah baginda, Ramadan adalah bulan terbaik untuk melipatgandakan amalan-amalan berpahala serta melakukan amal kebajikan.

    Baginda turut menasihatkan Muslimin dan Muslimat supaya terus mengimarahkan masjid dan surau termasuk menunaikan ibadah solat sunat tarawih secara berjemaah sepanjang Ramadan, lapor Sinar Harian.

  • Pendakwaan berhasrat pindah kes rasuah Adam Radlan

    Pendakwaan berhasrat pindah kes rasuah Adam Radlan

    PIHAK pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa mereka berhasrat untuk memindahkan dua pertuduhan kes rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Shah Alam membabitkan Adam Radlan Adam Muhammad ke mahkamah yang sama di Kuala Lumpur.

    Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaidi berkata, sebutan bagi kes di Shah Alam ditetapkan pada 14 April depan.

    “Pendakwaan berhasrat untuk memindahkan kes terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut itu ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur,” katanya lapor Sinar Harian.

    Dengan kata lain, dua pertuduhan di Shah Alam itu akan didengar bersama pertuduhan yang dibuat di Kuala Lumpur.

    Sementara itu, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili ahli perniagaan itu tidak membantah cadangan terbabit.

    Azura kemudiannya menetapkan sebutan kes seterusnya dan serahan dokumen pada 29 Mei depan.

    Pada 21 Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat itu dituduh di Mahkamah Sesyen di Kuala Lmpur atas satu tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd.

    Dia turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

  • Bina keharmonian: Pasang billboard ada gambar PM di Kedah mesti turut letak gambar MB

    Bina keharmonian: Pasang billboard ada gambar PM di Kedah mesti turut letak gambar MB

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MANA-MANA pihak yang berhasrat memasang billboard atau iklan memaparkan gambar dan slogan pemimpin negara di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah, dimestikan untuk menyertakannya dengan gambar pemimpin dan slogan negeri.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, mereka yang mahu memasang billboard dan iklan sedemikian mestia memohon lesen dari pihak PBT.

    Katanya, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Exco semalam bagi membina keharmonian.

    “Contohnya billboard yang memaparkan gambar Perdana Menteri dengan slogan Malaysia Madani mestilah disertakan dengan gambar Menteri Besar Kedah bersama slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ dengan saiz dan tata letak sewajarnya,” katanya melalui satu status dimuat naik di laman Facebooknya malam tadi.

    Bersama status tersebut, Muhammad Sanusi turut memuat naik gambar sebuah papan iklan gergasi memaparkan wajah Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf yang dipasang salah sebuah lokasi di Alor Setar.

    Zamri merupakan ADUN dari PKR yang turut memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

    Muhammad Sanusi turut memaklumkan, papan iklan gergasi memaparkan gambar menteri dan timbalan menteri juga harus disertakan dengan gambar exco negeri yang memegang portfolio berkaitan.

    “Syarat-syarat lain yang dikuatkuasakan oleh PBT juga mestilah sentiasa dipatuhi,” katanya.

  • ‘Tanggungjawab moral saya untuk beritahu yang Anwar dibayar RM15 juta’

    ‘Tanggungjawab moral saya untuk beritahu yang Anwar dibayar RM15 juta’

    AHLI Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau mempunyai tanggungjawab moral, sosial dan politik untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai bayaran sebanyak RM15 juta yang didakwa diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata demikian sebagai sebahagian daripada pembelaan berhubung keistimewaan yang layak, ulasan yang saksama dan justifikasi terhadap saman fitnah oleh Perdana Menteri itu.

    Menurut pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 28 Februari lalu dan dilihat oleh Malaysiakini, Amzad berkata kenyataan yang dikeluarkan tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap plaintif.

    Defendan berkata ini kerana pengundi berhak menerima komen-komen tersebut bagi membuat pertimbangan terhadap isu-isu semasa membabitkan tindakan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin politik dan isu berkaitan pengurusan kewangan kerajaan.

    Amzad mendakwa kenyataannya berdasarkan fakta bahawa Faekah Hussin yang pernah menjadi ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) di Selangor membangkitkan isu tuntutan sebanyak RM15 juta itu.

    Menurutnya isu itu turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang ketika itu, Tan Sri Noh Omar semasa perbahasan Belanjawan di Dewan Rakyat pada 2015.

    Beliau juga menyatakan bahawa Anwar tidak pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap Faekah berhubung dakwaan berkenaan.

    “Defendan menegaskan bahawa sebagai seorang pemimpin masyarakat, defendan berada di bawah tanggungjawab politik dan/atau moral dan/atau sosial dan/atau undang-undang untuk memaklumkan kepada masyarakat awam, khususnya kepada para pengundi dan masyarakat umum.

    “Plaintif selaku seorang politikus seharusnya berani bertanggungjawab atas fakta-fakta yang dinyatakan oleh defendan dan tidak tersinggung dengan teguran, saranan dan kritikan yang dibuat oleh defendan dan masyarakat amnya.

    “Defendan menegaskan bahawa defendan tidak pernah mempunyai apa-apa niat jahat ke atas plaintif dalam video TikTok dan pertemuan dan perbualan tidak formal tersebut selain daripada memberi kritikan ke atas plaintif bagi memastikan ketelusan pengurusan kewangan negara,” tegas Amzad.

    Pada 22 Disember tahun lalu, Anwar memfailkan saman sivil berhubung kenyataan Amzad bahawa pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berbohong memperoleh gaji RM1 semasa menjadi penasihat ekonomi Selangor.

    Saman itu juga difailkan berhubung kenyataan Amzad mengenai pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2018 yang membebaskan Anwar dari penjara atas kes liwat 2.

    Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Amzad melalui video TikTok membuat beberapa kenyataan berunsur fitnah kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran pada 7 Dis tahun lepas.

    Justifikasi adalah pembelaan bahawa kenyataan atau sesuatu dakwaan adalah fakta dan jika berjaya dibuktikan di mahkamah, akan menjadi pembelaan mutlak terhadap saman fitnah berkenaan.

    Keistimewaan yang layak pula ialah pembelaan yang terpakai dalam situasi di mana kata-kata dikeluarkan oleh seseorang yang mempunyai kepentingan, atau kewajipan undang-undang, sosial atau moral untuk berbuat demikian.

    Ulasan yang saksama ialah apabila kenyataan yang disangkal itu dibuat sebagai ulasan yang saksama, bukannya sebagai kenyataan fakta, berhubung isu kepentingan awam.

    Mengenai isu pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Abwar, Amzad berkata, umum mengetahui Anwar dihukum penjara selama enam tahun kerana salah guna kuasa oleh Mahkamah Tinggi pada 1999 dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tersebut pada 2002.

    Menurutnya, orang ramai juga mengetahui mengenai kes liwat 1 dan 2 membabitkan plaintif.

    Amzad berkata, perintah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong menyatakan bahawa pengampunan tersebut diberikan berkait dengan sabitan atas tuduhan liwat II sahaja tanpa menyebut sabitan atau pertuduhan dalam kes-kes yang lain.

    Defendan seterusnya merujuk penghakiman bertulis oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan kes liwat 1.

    Menurutnya dalam penghakiman bertulis tersebut, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Abdul Hamid Mohamad menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan percaya bahawa tertuduh (Plaintif) adalah seorang yang terlibat dalam aktiviti homoseksual, sebagaimana petikan berikut:-

    “We find evidence to confirm that the appellants were involved in homosexual activities and we are more inclined to believe that the alleged incident at Tivoli Villa did happen,”

    (Terdapat bukti untuk mengesahkan bahawa perayu terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami lebih cenderung untuk mempercayai bahawa insiden yang didakwa di Tivoli Villa memang berlaku).

    Hamid bagaimanapun berkata “mahkamah hanya boleh mensabitkan perayu jika pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan yang didakwa seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan, di luar keraguan munasabah, atas bukti yang boleh diterima dan mengikut prinsip undang-undang yang ditetapkan”.

    Anwar sebelum ini mengambil tindakan undang-undang pada 2014 agar Mahkamah Persekutuan membatalkan petikan berkernaan.

    Saman fitnah tersebut masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

    Anwar diwakili peguam Sankara Nair, manakala Amzad diwakili Yusfarizal Yussof.

  • Umat Islam tunai tarawih malam pertama Ramadan 

    Umat Islam tunai tarawih malam pertama Ramadan 

    Oleh: ADAM RAZAK

    TARAWIH…Masjid seluruh negara kembali meriah sebaik tibanya bulan Ramadan dengan bermulanya solat sunat tarawih secara berjemaah. 

    Tinjauan Warta Rakyat di Masjid Negara malam ini mendapati para jemaah tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memperoleh keberkatan Ramadan dengan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah. 

    Sebahagian daripada umat islam menunaikan solat tarawih pada malam pertama bulan ramadan di Masjid Negara, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Solat tarawih secara berjemaah di masjid tersebut sepanjang 23 rakaat juga berlangsung dalam keadaan harmoni dan tenang dengan imam masjid membaca surah-surah lazim.

    Umat Islam seluruh negara akan mula berpuasa esok seperti mana pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebentar tadi.

    Sebahagian daripada umat islam menunaikan solat tarawih pada malam pertama bulan ramadan di Masjid Negara, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Khamis, 1 Ramadan bersamaan 23 Mac menurut perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

    Sebahagian daripada umat islam menunaikan solat tarawih pada malam pertama bulan ramadan di Masjid Negara, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
  • Khairul Dzaimee ditukar, Ruslin kini KP Imigresen

    Khairul Dzaimee ditukar, Ruslin kini KP Imigresen

    KETUA Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud sah ditukarkan ke sebuah bahagian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa hari ini, menurut laporan.

    Memetik laporan Sinar Harian, ia selepas jabatan itu mengadakan majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen Malaysia di ibu pejabat jabatan itu, dekat Putrajaya pada pukul 5 petang hari ini.

    Difahamkan beliau akan melaporkan diri ke bahagian itu pada Isnin depan.

    Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) kini disandang oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh.

    Kedudukan Khairul Dzaimee menjadi tanda tanya selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memperkenalkan Ruslin sebagai Ketua Pengarah Imigresen dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri pada pagi tadi.