Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pas seru pemimpin UMNO digantung, dipecat buat pendirian – Tuan Ibrahim

    Pas seru pemimpin UMNO digantung, dipecat buat pendirian – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan pemimpin UMNO yang sudah dipecat atau sedang menjalani hukuman gantung keahlian selama enam tahun supaya tidak menunggu untuk ditendang parti itu baru lah hendak menyambung perjuangan mereka.

    Jelas Timbalan Presiden Pas itu, kekuatan mereka selaku ‘orang lama politik’ sia-sia apabila bersendirian, sebaliknya Perikatan Nasional (PN) mengiktiraf masing-masing cukup berpengaruh dalam masyarakat.

    “Kita perlu kekuatan untuk bergabung bagi masa depan negara.

    “Orang dah dibuang dan digantung enam tahun harus buat pendirian, takkan hendak tunggu orang tendang keluar … sedar-sedarlah diri,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Beberapa nama terkenal dalam UMNO dipecat keahlian sebelum atau selepas perhimpunan agung UMNO pada Januari lalu, antaranya bekas setiausaha agung Tan Sri Annuar Musa, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, bekas ketua UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, dan bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar atas kesalahan berkait PRU15.

    Beberapa lagi digantung keahlian selama enam tahun, antaranya bekas naib presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas naib ketua Pemuda, Shahril Hamdan, dan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. Ketiga-tiga mereka mendakwa tidak tahu atau tidak jelas sebab digantung.

    Shahidan bertanding PRU15 atas tiket Perikatan Nasional selepas BN tidak menamakan beliau sebagai calon.

    Tuan Ibrahim mengambil contoh situasi Annuar yang dilihat tidak puas hati kerana hanya bergerak bawah NGO Muafakat Nasional.

    “Orang politik tidak begitu dan orang lama mesti ada parti. Kalau tiada dia berjuang rasa tawar dan hambar,” katanya.

    Beliau turut menyentuh situasi Tajuddin, yang masih menaruh harapan UMNO menarik balik penggantungannya.

    Tajuddin memberitahu FMT baru-baru ini bahawa dalam rayuannya beliau memohon maaf atas kelantangan mengkritik Presiden Zahid Hamidi.

    “Kalau tak puas hati tetapi hanya bagi tahu sendiri-sendiri, mana ada kekuatan,” kata Tuan Ibrahim.

  • Wanita OKU rentung dalam kebakaran

    Wanita OKU rentung dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi, Pontian, hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil berkata, wanita berkenaan ditemui di ruangan bilik tidur rumah berkenaan.

    “Sejurus menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah melalui talian MERS999, pada 12.27 tengah hari, satu jentera Fire Rescue Tedner (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian.

    Keadaan rumah yang diduduki mangsa terbakar 70 peratus. – Foto bomba

    “Seramai 23 anggota diketuai Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil terlibat dalam operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, setibanya ke lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat jenis kekal dan berkeluasan 30 x 60 x 12 kaki dan dianggarkan 70 peratus daripada keseluruhan rumah musnah dalam kebakaran.

    PKO juga ujar beliau, menemukan seorang wanita OKU ditemui rentung dalam bilik tidur rumah berkenaan.

    “Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Dua remaja cedera, motosikal langgar MPV polis

    Dua remaja cedera, motosikal langgar MPV polis

    DUA remaja cedera apabila motosikal yang dinaiki berlanggar dengan sebuah unit kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Persimpangan Lembah Hijau, Bandar Tasik Puteri, Rawang di Gombak pukul 10.10 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian itu kereta peronda tersebut dari arah Bandar Tasik Puteri menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar).

    “Setibanya di persimpangan lampu isyarat Persiaran 3, Lembah Hijau, motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja masing-masing berumur 14 tahun itu telah melanggar bahagian kiri kereta peronda polis tersebut.

    “Pelanggaran mengakibatkan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa terbabas sebelum kedua-duanya terjatuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

    Katanya, dua anggota polis yang berada dalam kereta peronda tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ujar Zainal Mohamed, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta segera tampil bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Norazlan Noorudin di talian 0197974466 atau IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Duda rugi RM183,000 angkara Love Scam

    Duda rugi RM183,000 angkara Love Scam

    SEORANG jurukimpal di Kuantan kerugian RM183,600 akibat terpedaya sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita tempatan melalui Facebook.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata disebabkan sayang dan merancang untuk berkahwin, lelaki berusia 55 tahun itu sanggup membuat pinjaman peribadi.

    “Selain itu, mangsa turut mengeluarkan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    “Berdasarkan laporan, mangsa berstatus duda yang kematian isteri berkenalan dengan seorang wanita melalui Facebook pada Januari lalu.

    “Mangsa berkenalan dengan lebih rapat dan berbincang untuk berkahwin. Pada awal Februari lalu, mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian ke akaun suspek berjumlah RM25,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kata beliau, tujuan wang itu digunakan untuk pembayaran kos kiriman wang AS$600,000 (RM2,642,187) untuk perbelanjaan perkahwinan mereka.

    Ramli berkata, selepas itu, mangsa membuat 10 kali transaksi pembayaran kepada dua akaun bank yang berbeza sebagai penambahan perbelanjaan perkahwinan.

    Katanya, mangsa kemudiannya terus didesak untuk memasukkan RM30,000 untuk tujuan bayaran kepada Bank Negara bagi menyelesaikan masalah kiriman wang terbabit.

    “Tetapi mangsa enggan berbuat demikian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Isteri maut, suami dirawat di ICU selepas makan ikan buntal

    Isteri maut, suami dirawat di ICU selepas makan ikan buntal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG suami isteri di Kluang yang pertama kali makan ikan buntal mengalami pening kepala, sesak nafas dan menggigil pada Sabtu lalu.

    Anaknya kemudian menghantar ibunya ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di Kluang pada pukul 3 petang.

    Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kira-kira satu jam kemudian suami mangsa turut mengalami gejala sama.

    “Pasangan berkenaan dibawa ke Jabatan Kecemasan HEBHK pada jam 5 petang, namun wanita berkenaan disahkan meninggal dunia pada 7 malam, manakala suaminya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HEBHK.

    “Pasangan suami isteri itu mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara pra tempahan melalui Facebook (FB),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, selepas menerima ikan tersebut pada Sabtu lalu, mangsa menggoreng untuk hidangan tengah hari dan difahamkan adalah kali pertama pasangan itu menjamu masakan ikan buntal.

    “Siasatan lanjut mendapati ikan berkenaan diperoleh dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat,” katanya.

    Katanya, penjual ikan buntal yang berasal dari Batu Pahat akan menghantar kepada pelanggan berdasarkan tempahan melalui Facebook.

    “Sebanyak 15 kilogram ikan sudak dijual kepada masing-masing empat pelanggan di Chamek dan Paloh, dan seorang di Yong Peng pada hari itu.

    “Selain pasangan terbabit, pelanggan lain belum memakan ikan buntal itu,” katanya.

    Kata Tian Soon, Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat sudah mengambil sampel ikan itu daripada pelanggan yang dibeli dari penjual berkaitan untuk dihantar ke makmal bagi dianalisa.

    Jelas beliau, sehingga kini tiada lagi pelaporan baru berkaitan dengan ikan buntal.

    “Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati ketika memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang diketahui,” katanya.

  • Penuntut Malaysia dijemput ajal, ketika perjalanan membeli kitab

    Penuntut Malaysia dijemput ajal, ketika perjalanan membeli kitab

    KELUARGA seorang pelajar lelaki yang maut di Jordan dalam kemalangan jalan raya ketika perjalanan dari Mu’tah ke Amman dengan tujuan membeli kitab, reda apabila Muhamad Haziq Haikal, 23, menghadap penciptaNYA pada bulan Ramadan yang mulia ini.

    Bapa arwah, Md. Noor Hussain, 63, berkata, pemergian anak bongsu kesayangan daripada enam beradik itu amat dirasai mereka sekeluarga.

    Dia terkilan kerana hampir dua minggu tidak dapat berkomunikasi dengan arwah berikutan sibuk dengan pelbagai urusan selepas kediaman keluarga mereka dekat Tongkang Pechah di Batu Pahat, dilanda banjir awal bulan ini.

    “Sudah hampir enam bulan arwah mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam jurusan Usuluddin di Fakulti Syariah di Universiti Mu’tah.

    “Pengajiannya di Jordan selama dua tahun dan merancang untuk menamatkan pengajian terus tanpa pulang ke kampung dalam tempoh masa pengajian,” katanya.

    Md. Noor berkata, arwah yang juga bekas penuntut Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) meninggal dunia dalam kemalangan kereta ketika dalam perjalanan membeli kitab bagi kegunaan peribadi pada Jumaat lalu iaitu hari kedua Ramadan.

    Dia berkata, keluarganya reda kerana yakin Allah berikan kelebihan kepada arwah yang dikebumikan di tanah perkuburan Mu’tah, sebuah lapangan peperangan yang mulia di antara sempadan Syria dan Jordan.

    Katanya, mereka sekeluarga membenarkan jenazah anaknya itu disemadikan di Mu’tah pada keesokan hari (Sabtu lalu) selepas waktu Zohor (waktu Jordan) kerana bagi memastikan urusan terakhirnya berjalan lancar.

    “Arwah adalah anak yang sangat baik dan soleh dan minat mendalami ilmu agama, dia pernah menjadi imam tarawih di sekitar Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru, selain mendapat syahadah hafazan al-Quran di Melaka dan mensyahadahkan hafazan al-Quran pelajar di Sarawak.

    “Dia anak yang ringan tulang, suka membantu ibu ayah di rumah, gemar membantu individu lain, aktif dalam khidmat masyarakat dan memiliki hubungan yang baik dengan rakan mahupun pensyarah.

    “Malah dia juga gemar memasak dan menyediakan sajian berbuka puasa ketika bersama keluarga,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid hari ini.

    Sementara itu, abang arwah, Muhamad Aizuddin, 36, yang juga Penolong Pendaftar MARSAH, menyifatkan adiknya seorang insan peramah yang sentiasa dirindui ahli keluarga.

    “Memang kami terkilan tidak dapat mengurus pengebumiannya, namun mungkin ia sudah suratan takdir, apa pun kami bersyukur semua urusannya lancar.

    “Hajat kami sekeluarga untuk melawat pusaranya di Jordan namun berikutan kekangan kewangan, kami masih mengumpul dana terutama kos pembelian tiket penerbangan ke sana.

    “Kami berharap segala urusan dipermudahkan supaya hajat kami untuk menziarahi maqam (kubur) arwah dalam tempoh terdekat tercapai,” katanya.

    Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga Allahyarham Muhamad Haziq boleh disalurkan ke akaun Bank Islam milik Muhamad Aizudin 01032020509946 atau hubungi 013-7019077.

  • Pelepasan cukai SSPN: Pembayar cukai kecewa, kesal keputusan kerajaan

    Pelepasan cukai SSPN: Pembayar cukai kecewa, kesal keputusan kerajaan

    KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 terhadap pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN mengundang rasa kecewa dan kesal khususnya ibu bapa yang membayar cukai.

    Memetik laporan Harian Metro, pekerja Swasta, Ayati Omar, 50 berkata keputusan itu sewajarnya dipertimbangkan semula.

    Menurutnya yang sudah mencarum SSPN untuk empat anaknya sejak 2008, caruman di SSPN adalah langkah terbaik untuk mengurangkan rebat cukai.

    “Saya sangat terkejut dan kecewa. Selain menyimpan, sejujurnya ia tujuan kita buka SSPN itu untuk pelepasan cukai, setiap tahun saya akan mencarum bagi setiap akaun anak, dalam masa sama dapat rebat pengurangan cukai.

    “Jika SSPN, kita boleh menabung, ada faedah walaupun tidak banyak dan paling penting dapat pelepasan cukai. Pelepasan cukai menerusi caruman SSPN saya pernah dapat paling tinggi RM3,000,” katanya, hari ini.

    Ayati turut meminta kerajaan supaya melihat semula pemansuhan berkenaan.

    Katanya sekiranya diteruskan, kemungkinan ramai pencarum akan berhenti menabung.

    “Kalau SSPN tiada pelepasan cukai, lebih baik simpan di bank lain atau pelaburan lain.

    “Contoh saya, setahun kena cukai lebih RM4,000, saya tidak ambil insurans peribadi dan pembelian barangan, maknanya kita tidak dapat rebat pulangan cukai itu semula.

    “Kalau tolak rebat SSPN ini, paling tidak saya dapat semula RM2,500, jadi nampak kurang pembayaran cukai,” katanya.

    Sementara itu, Pekerja Swasta, Nor Shikin Md Salleh berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan itu.

    “SSPN itu adalah galakan untuk rakyat menabung, pada masa sama boleh mengurangkan pembayaran cukai.

    “Saya harap kerajaan timbangkan semula, janganlah sampai memansuhkan pelepasan cukai daripada SSPN.

    “Mungkin ada kaedah lain yang boleh berikan situasi menang-menang kepada kami pembayar cukai,” katanya.

    Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim berkata bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

  • Pertimbang semula pembatalan pelepasan cukai SSPN – Syed Saddiq

    Pertimbang semula pembatalan pelepasan cukai SSPN – Syed Saddiq

    KERAJAAN didesak mempertimbangkan semula pembatalan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Beliau berkata, perkara itu bukan perkara kecil kerana memberi kesan kewangan yang agak besar kepada golongan pertengahan.

    Menurutnya, simpanan SSPN adalah untuk pendidikan anak-anak, bukan untuk membeli barangan mewah dan kerana itu, beliau berpendapat pelepasan cukai harus dikekalkan.

    “Saya merayu kepada kerajaan, kepada keprihatinan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula keputusan ini.

    “Saya teliti sebab mengapa pelepasan itu tidak dilanjutkan, mereka kata kerana sudah ada insentif pelepasan cukai yang lain seperti pembelian perubatan daripada RM8,000 ke RM10,000. Itu hanya RM2,000.

    “RM8,000 (pelepasan cukai SSPN) ini adalah untuk tujuan pendidikan dan akan berterusan untuk tahun akan datang,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, keputusan seperti itu akan mengundang kemarahan rakyat khususnya golongan pertengahan yang terkesan.

    Malah katanya, niat mereka untuk melabur bagi pendidikan anak-anak juga mungkin menurun disebabkan tiada lagi insentif sebegitu buat mereka.

    Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong pada Isnin dilaporkan berkata, bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

    Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Steven Sim mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

    Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.

  • Sayap Bersatu desak menteri tarik balik pembekuan pekerja asing

    Sayap Bersatu desak menteri tarik balik pembekuan pekerja asing

    SAYAP Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar menarik balik keputusan membekukan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor.

    Ketua Penerangannya, S. Subramaniam berkata, keputusan menteri menangguhkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing bercanggah dengan keputusan jemaah menteri sebelum ini.

    “Keputusan menteri untuk menarik balik Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang sepatutnya tamat pada 31 Mac ini bukan berdasarkan keperluan industri tetapi, seolah-olah ‘siapa cepat dia dapat’, yang lambat perlu ‘gigit jari’.

    “Nampaknya, kerajaan hari ini masih tidak faham isu pekerja asing. Kalau nak menangguh permohonan baru tidak mengapa.

    “Tapi ini membeku semua proses termasuk majikan yang mendapat kelulusan dan sedang menunggu untuk temuduga juga dibekukan. Memang tak adil,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

    Pada 18 Mac, Sivakumar mengumumkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

    Dalam kenyataannya menteri itu berkata, kerajaan meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing setakat 14 Mac 2023.

    Bagaimanapun, Subramaniam mendakwa kenyataan menteri tidak menunjukkan situasi sebenarnya.

    “Angka yang diberikan oleh beliau adalah termasuk kelulusan hampir 580,000 pekerja asing yang diberikan semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Sasaran kerajaan hari ini di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang bermula pada 17 Jan lalu adalah 500,000. Berdasarkan pecahan yang diberikan oleh menteri sehingga 14 Mac hanya 415,000 kelulusan diberikan oleh kerajaan hari ini.

    “Jadi, KSM masih kurang 85,000 kelulusan untuk mencapai sasaran. Kenapa menteri tergesa-gesa membekukan,” soalnya.

    Pada 17 Januari, kerajaan mengumumkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing untuk membawa masuk pekerja asing melibatkan lima sektor yang dianggap sebagai kritikal iaitu restoran, perkilangan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, majikan yang berjaya membawa masuk pekerja asing di bawah pelan penggajian dan kuota baru akan diberi tempoh enam bulan untuk mematuhi prasyarat tersebut.

    Prasyarat ini termasuk pematuhan kepada undang-undang buruh, melayakkan pekerja asing mengambil kuota di bawah Kementerian Sumber Manusia dan membayar gaji minimum.

    Beliau juga berkata penguatkuasaan bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan akan dilaksanakan selepas tempoh enam bulan.

  • Kemenangan Ketua UMNO Sik tidak sah

    Kemenangan Ketua UMNO Sik tidak sah

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEMENANGAN Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim pada pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026, 18 Mac lalu tidak sah.

    Susulan itu, proses pemilihan semula jawatan berkenaan yang dimenangi Muhamad Khizri hanya dengan majoriti satu undi akan diadakan tidak lama lagi.

    Menurut Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man, beliau menerima surat pemakluman daripada Ibu Pejabat UMNO semalam bahawa pemilihan bagi jawatan tersebut perlu diadakan semula.

    Bagaimanapun kata beliau, proses tersebut tidak membabitkan jawatan lain yang turut dipertandingkan dalam pemilihan sebelum ini.

    “Surat itu dihantar kepada Setiausaha UMNO Bahagian Sik dan salinannya diterima Badan Perhubungan UMNO negeri. Ada dinyatakan alasan mengapa pemilihan tersebut perlu diadakan semula dan pihak kami sedang menelitinya.

    “Surat itu juga menyatakan bahawa keputusan telah dibuat agar pemilihan bagi jawatan ketua dilaksanakan semula dan mereka serahkan kepada badan perhubungan negeri untuk tentukan tarikhnya,” katanya.

    Muhamad Khizri yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO bahagian itu meraih 229 undi menewaskan penyandang, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah yang memperolehi 228 undi.

    Beliau turut menewaskan dua calon lain iaitu bekas Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abdul Rahman (6 undi) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid (43 undi) dalam pertembungan empat penjuru.

    Tambah Ariffin, tarikh pemilihan belum ditentukan kerana perkara tersebut perlu dibincangkan dengan pihak terlibat termasuk jawatankuasa pemilihan.

    “Tak boleh terburu-buru kerana kita ada jawatankuasa yang terlibat.

    Perkara ini pun melibatkan masa, kos dan sebagainya kerana beberapa perkara perlu dilakukan termasuk cetakan semula kertas undi.

    “Prosesnya seperti kita buat pemilihan semula bagi Wanita UMNO Kuala Kedah sebelum ini tetapi perjalanannya mungkin lebih mudah kerana cuma melibatkan satu jawatan sahaja,” katanya.