Author: Wartawan WartaRakyat

  • Padah main mercun ubah suai, tangan lelaki ‘hancur’

    Padah main mercun ubah suai, tangan lelaki ‘hancur’

    TINDAKAN seorang lelaki disyaki bermain mercun yang diubah suai membawa padah apabila cedera parah di kedua-dua belah tangan dan luka di badan dalam kejadian di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.

    Kejadian membabitkan lelaki berusia 27 tahun itu berlaku berdekatan rumah mereka kira-kira pukul 3.30 pagi.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail, insiden itu disedari abang mangsa berusia 29 tahun selepas terdengar bunyi letupan yang kuat.

    Katanya, abang mangsa pada awalnya menyangka berlaku pergaduhan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

    “Bagaimanapun, sebaik bergegas keluar dari rumah, abang mangsa mendapati adiknya mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan disyaki akibat letupan mercun yang diubah suai,” katanyamenurut laporan Harian Metro hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Mohd Zaki berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    “Ini adalah kejadian kedua yang direkodkan di daerah ini akibat mercun selepas empat kanak-kanak mengalami kecederaan akibat letupan mercun yang diubah suai pada 4 April lalu,” katanya.

  • Bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri diawalkan 14 April

    Bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri diawalkan 14 April

    TARIKH pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan daripada 17 April kepada 14 April ini setelah dipersetujui kerajaan.

    Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Zulkapli Mohamed, perubahan tarikh itu dibuat setelah mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam membuat persediaan bagi menyambut perayaan tidak lama lagi.

    “Sukacita dimaklumkan bahawa, mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara Kerajaan Persekutuan dalam membuat persediaan untuk menyambut perayaan tidak lama lagi, kerajaan telah bersetuju untuk membuat perubahan ke atas tarikh pembayaran BKKA Tahun 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan daripada 17 April 2023 kepada 14 April 2023.

    “Tertakluk kepada penerimaan pakai oleh pihak berkuasa masing-masing, arahan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi surat rasmi hari ini lapor Sinar Harian.

    Ketika membentangkan Belanjawan 2023 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pemberian BKKA adalah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam membuat perancangan dan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya.

    BKKA adalah bantuan hari raya bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

    Pada 24 Mac, Zulkapli berkata, bahawa penjawat awam dan pesara kerajaan yang layak bakal menerima BKKA 2023 pada 17 April ini. — Sinar Harian

  • ‘Sambutan Raya saya akan lebih tenang’ – Puteri Sarah

    ‘Sambutan Raya saya akan lebih tenang’ – Puteri Sarah

    PELAKON Puteri Sarah Liyana menyatakan rasa syukur urusan perceraiannya dengan pengarah, Syamsul Yusof akhirnya dipermudahkan.

    Puteri Sarah berkata, tidak mahu bermusuhan dan lega segalanya selesai dengan dengan baik.

    “Sambutan raya saya akan lebih gembira dan tenang. Yang penting saya tak mahu bermusuh dan berdendam. Itu sahaja.

    “Sebelum ini banyak benda tak terjawab. Sekarang ini sudah terjawab. Saya hanya mahu ketenangan. Alhamdullillah saya sudah dapat,” katanya ketika ditemui selepas prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

    Tambah Sarah lagi, beliau tidak mempunyai masalah untuk membenarkan anak-anak bertemu Syamsul sekiranya Pengarah filem Mat Kilau itu memberi kerjasama.

    “Anak-anak juga tiada masalah beraya dengan dia, kalau Syamsul beri kerjasama, saya pun akan beri kerjasama. Tiada apa nak bermusuhan dan bergaduh. Semua sudah selesai, demi kebaikan anak-anak.

    “Saya okay sahaja, saya tak nak lebih-lebih pun. Yang penting dia pun dapat jumpa anak,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Tambah Puteri Sarah, perbincangan malam semalam juga berlaku pada saat akhir. Bagaimanapun, pelakon itu tidak mahu memperincikan siapa yang hadir pada perbincangan tersebut.

    Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini menetapkan 18 April ini untuk pengarah, Syamsul Yusof melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya pelakon, Puteri Sarah Liyana.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof bersama Puteri Sarah ketika hadir bagi sebutan permohonan tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

    Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

    Antara terma-terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

    Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin ,38, manakala peguam syarie Azmi Mohd. Rais mewakili Syamsul atau Mohd. Syamsul Mohd. Yusof.

    Sebelum ini, sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.

    Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

    Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

    JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

    Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

    Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, senggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua.

    Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Duit, barang kemas RM10,000 lesap diperdaya ‘pegawai JKM’

    Duit, barang kemas RM10,000 lesap diperdaya ‘pegawai JKM’

    MENYAMAR sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum memperdayakan warga emas di sekitar daerah Jeli dengan menawarkan bantuan bulanan serta rumah baharu.

    Suspek yang merupakan seorang wanita menaiki sebuah Perodua Axia berwarna hijau bersama seorang lelaki menyasarkan golongan warga emas.

    Itu modus operandi seorang wanita berusia 40-an tersebut dalam mencari dan menipu mangsanya.

    Seorang ahli keluarga mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zali, 51, berkata, pada Ahad, ibu dan ayah mentuanya yang tinggal di Kampung Lawar di Jeli telah didatangi ‘pegawai JKM’ yang kononnya ingin melakukan bancian.

    “Wanita tersebut memperkenalkan diri sebagai pegawai dari JKM Tanah Merah dan menawarkan bantuan bulanan berjumlah RM500 serta sebuah rumah baharu.

    “Dia juga meminta ibu dan ayah mentua membayar deposit RM2,500 bagi melancarkan proses bantuan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurutnya, kerana terperdaya dengan kata-kata tersebut pasangan warga emas berusia 73 dan 82 tahun itu telah menyerahkan barang kemas sebagai gantian kepada wang tunai.

    Ujarnya, ibu mentua telah memberikan seutas gelang tangan, rantai leher dan sebentuk cincin yang dianggarkan bernilai RM6,3000.

    Zali memberitahu, wanita tersebut berjanji akan kembali semula pada Rabu ini untuk membawa kedua mentua melihat rumah baharu yang akan diberikan kepada mereka.

    “Tersedar seperti ditipu, kami sekeluarga telah membuat laporan di Balai Polis Batu Melintang untuk tindakan selanjutnya.

    “Selepas kejadian ini tersebar kami juga dimaklumkan terdapat beberapa warga emas di sekitar jajahan Jeli yang telah ditipu menggunakan modus operandi sama. Ada yang mengalami kerugian sehingga RM10,000,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Saari Yaacob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

  • Isu perkauman: Kerajaan didakwa terdesak kaitkan pemimpin PN

    Isu perkauman: Kerajaan didakwa terdesak kaitkan pemimpin PN

    KERAJAAN didakwa ketandusan isu sehingga mengaitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengan kenyataan berunsur perkauman.

    Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd. Harun Esa berkata, isu tersebut telah reda dan kembali dibangkitkan supaya rakyat memandang serong terhadap parti berkenaan.

    Beliau menyifatkan itu sebagai tindakan politik terdesak pihak kerajaan yang ketandusan isu untuk mengaitkan pembangkang dengan kesalahan.

    “Isu ini sudah lama dan sudah reda namun seperti mereka ini (kerajaan) masih dengan mentaliti ‘pembangkang’ kerana menghangatkan sesuatu isu supaya rakyat pandang serong kepada PN,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau mengulas isu dua pemimpin PN iaitu Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Ahli Parlimen Permatang Pauh yang Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan disiasat berhubung kenyataan berunsur perkauman.

    Jelas Mohd. Harun, Abdul Hadi yang didakwa berunsur perkauman itu mempunyai asas.

    “Tidak ada salah apa yang Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi) sebut itu malah ia juga telah diakui oleh kajian dari universiti tempatan bahawa 88 peratus daripada pemberi rasuah adalah dalam kalangan bukan Melayu.

    “Sepatutnya pihak berkuasa memandang positif dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk membasmi perkara ini,” ujarnya.

    Beliau berkata, kerajaan juga perlu menukar kaedah membasmi rasuah dengan memerangi golongan pemberi rasuah bukan sekadar penerima rasuah.

    “Gejala rasuah ini berbentuk dua hala. Apabila ada ‘demand’, pasti ada ‘supply’ nya. Jadi untuk menghapuskannya perlu juga diperangi pemberinya dahulu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman, membabitkan dua wakil rakyat PN.

    Katanya, Abdul Hadi disiasat kerana mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia manakala Muhammad Fawwaz pula didakwa memfitnah orang bukan Islam.

  • Bekas presiden MHS tarik balik saman libel terhadap Ramasamy

    Bekas presiden MHS tarik balik saman libel terhadap Ramasamy

    BEKAS Presiden Malaysian Hindu Sangam (MHS), R.S. Mohan Shan menarik balik saman libel yang difailkannya terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy kerana memperlekehkannya sebagai ketua agama berhubung prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semasa perayaan Thaipusam tahun lepas.

    Peguam Mohan, Rajesh Nagarajan, memaklumkan Pesuruhjaya Kehakiman Ros Mawar Rozain bahawa anak guamnya tidak berhasrat meneruskan kes selepas menilai semula perkara itu.

    Peguam utama Ramasamy, Shamsher Singh Thind turut mengesahkan perkara yang dimaklumkan kepadanya awal pagi tadi.

    Ros Mawar kemudiannya membatalkan saman itu tanpa mengeluarkan arahan mengenai kos. Mohan juga tidak dibenarkan memfailkan saman baharu mengenai perkara sama.

    Perbicaraan dijadualkan berlangsung selama lima hari mulai hari ini, lapor FMT.

    MHS dan Mohan memfailkan saman pada 8 Mac tahun lepas, tetapi pertubuhan keagamaan itu menarik balik tindakannya bulan lepas atas terma yang sama seperti hari ini.

    Pemegang jawatan baharu juga telah mengambil alih pengurusan MHS berikutan mesyuarat agung tahunannya bulan lepas.

    Saman itu berpunca daripada catatan Facebook Ramasamy yang dibuat pada Januari tahun lepas, sebagai respons terhadap amaran Mohan tentang bahaya ‘kluster Thaipusam’, terutamanya dengan kemunculan varian Covid-19 baharu, Omicron.

  • Ajal penoreh getah dibelit ular sawa enam meter

    Ajal penoreh getah dibelit ular sawa enam meter

    SEORANG penoreh getah maut setelah dibelit seekor ular sawa sepanjang enam meter dalam kejadian di sebuah kebun getah dekat Desa Sukajaya, Bayung Lencir, Sumatera Selatan di Indonesia Jumaat lalu.

    Memetik laporan Tribun News, mangsa yang dikenali sebagai Sangadah, 50, sempat menjerit meminta pertolongan ketika kakinya dibelit reptilia berkenaan.

    Rakan mangsa yang mendengar jeritan Sangadah bagaimanapun tidak berani menghulurkan pertolongan.

    Difahamkan, rakan mangsa pergi meminta bantuan penduduk kampung dan setibanya di lokasi kembali, Sangadah dilihat tidak bermaya kerana ular sawa tersebut telah membelit badannya sehingga paras dada.

    Penduduk kampung kemudian bertindak membunuh ular sawa tersebut.

    Namun Sangadah telah meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.

    Seorang anak mangsa, Ma’ruf Tamami berkata, ibunya pergi ke kebun getah untuk menoreh seorang diri pada pukul 6 pagi.

    “Seorang saksi melihat kaki ibu dibelit, dia yang panik segera memanggil penduduk untuk membunuh ular sawa itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Kampung Sukajaya, Sunarto berkata, ketika ditemui, ular tersebut masih hidup dan segera dibunuh bagi menyelamatkan mangsa.

    “Selama ini mangsa sering menoreh getah sendirian di kebun dan tidak pernah berlaku kes manusia diserang ular di kawasan ini,” tambahnya.

    Menurut Mukim Bayung Lencir, M Imron berkata, kes ini merupakan kejadian pertama penduduk mati dibelit ular.

  • PH nafi ‘korban kerusi’ di Selangor

    PH nafi ‘korban kerusi’ di Selangor

    PAKATAN Harapan (PH) Selangor menafikan dakwaan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai gabungan itu akan ‘dikorbankan’ bagi memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada PRN nanti.

    Setiausaha PH Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, perkara itu tidak dibincangkan antara PH dan BN dalam rundingan agihan kerusi.

    “Pendirian kita masih sama seperti diputuskan PH di peringkat Pusat bahawa parti akan kekal bertanding di kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    “Tidak ada perbincangan berkaitan ‘korban kerusi’ di Selangor. Pendirian PH Selangor sebagaimana kenyataan Ketua Setiausaha PH (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) iaitu ‘status quo’ bagi semua kerusi yang dimenangi oleh PH.

    “Jika kita tidak boleh menang banyak, jadi kenapa perlu adanya kerjasama,” katanya menurut Berita Harian.

    Terdahulu, media yang memetik sumber melaporkan, PH mungkin akan menyerahkan sekurang-kurangnya lima kerusi ‘selamat’ kepada BN dalam langkah strategik bagi mengekalkan kerajaan perpaduan.

    DAP dan PKR dikatakan melakukannya untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).

    Malah, nama Bendahari BN Selangor, Datu Seri Tengku Zafrul Aziz, antara beberapa calon gabungan itu yang mungkin bertanding di kerusi selamat, yang dijangka dikorbankan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN akan datang.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, yang tewas di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 kepada calon PH, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dijangka diberi kerusi bandar majoriti Melayu yang agak selamat.

    Sebelum ini, Saifuddin berkata, PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU14 dalam menghadapi PRN di enam negeri kelak.

    Selain itu, Khairuddin berkata, beliau percaya undi orang Melayu di Selangor lebih bersifat realistik dan yakin keputusan pilihan raya itu nanti akan memihak kepada PH.

    Katanya, PH Selangor juga yakin pengundi muda melalui Undi18 di Selangor akan terus bersama dengan PH.

  • 336kg heroin bernilai RM789j dari Malaysia dirampas pihak berkuasa Australia

    336kg heroin bernilai RM789j dari Malaysia dirampas pihak berkuasa Australia

    SEBANYAK 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dirampas pihak berkuasa Australia dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

    Menurut Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

    Katanya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena berkenaan yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

    “Pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan, positif dadah jenis heroin.

    “Penyiasat AFP serta pegawai ABF kemudian menggerudi sehingga bahagian dalam blok konkrit dan berjaya mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, pihak berkuasa mengeluarkan semua bungkusan heroin daripada blok konkrit berkenaan dan meneruskan menghantar konsainan ke alamat di Brendale, utara Brisbane pada 28 Mac lalu.

    “Pada 29 Mac lalu, risikan mendapati konsainan itu diambil oleh seorang lelaki tempatan menggunakan trak yang disewa menuju ke Sydney sebelum ia diturunkan di sebuah bangsal industri di Mount Druitt pada 30 Mac.

    “Lelaki berusia 55 tahun itu kembali semula ke bangsal itu bersama alat pemotong industri untuk mengeluarkan bungkusan dadah dalam blok konkrit berkenaan sebelum ditangkap,” katanya.

    Susulan itu, katanya, AFP menggeledah beberapa premis perniagaan dan kediaman di New South Wales serta Queensland dan merampas pelbagai barangan berharga, termasuk barang kemas bernilai AUD700,000 (RM2.05 juta).

    Rampasan heroin seberat 336kg itu adalah yang kedua terbesar pernah direkodkan AFP dan ABF. Rampasan terbesar heroin seberat 450kg direkodkan di Melbourne pada 2021.

    Sementara itu, Komander AFP, John Tanti, berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat bersama negara antarabangsa dan negara anggota Komanwel dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah.

    “AFP komited untuk menghentikan kegiatan sindiket yang menggunakan Lautan Pasifik sebagai ‘lebuh raya dadah’ secara maritim dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sindiket yang mendalangi kegiatan itu.

    “Kegiatan jenayah terancang rentas negara ini adalah satu ancaman kepada Australia, sedangkan sindiket dadah menjana jutaan dolar daripada kegiatan itu,” katanya.

  • Kit Siang ramal 70% peluang Anwar kekal PM hingga habis penggal

    Kit Siang ramal 70% peluang Anwar kekal PM hingga habis penggal

    PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

    Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu meramalkan peluang itu sekitar 70 peratus sahaja.

    “Selepas empat bulan setengah sebagai Perdana Menteri Malaysia dan selepas lapan minggu Dewan Rakyat bersidang sempena Pembukaan Parlimen ke-15, saya lebih yakin yang Anwar boleh melengkapkan penggalnya sebagai Perdana Menteri ke-10.

    “Sekiranya saya diminta untuk memberikan markah kemungkinan Anwar untuk kekal sebagai Perdana Menteri ke-10 sekarang, saya akan berikan 90 peratus kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk setahun, 80 peratus kemungkinan bertahan untuk tiga tahun. Dan 70 peratus kemungkinan bertahan untuk penggal penuh lima tahun,” katanya.

    Kata Lim, jangkaan itu mengambil kira kegagalan pimpinan Perikatan Nasional (PN) menjalankan tanggungjawab mereka di Parlimen dan kegagalan mereka menyahut titah Yang di-Pertuan Agong agar menjaga kestabilan politik.

    Lim mendakwa, PN memainkan peranan dalam merosakkan perpaduan kaum di negara ini melalui retorik perkauman dan agama.

    Untuk rekod, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menjangkakan kerajaan Persekutuan yang diterajui Anwar akan tumbang tidak lama lagi.

    Abdul Hadi ketika berucap di Dewan Rakyat juga dilpaorkan berkata pembangkang tidak boleh dipersalahkan sekiranya pentadbiran PH runtuh sekali lagi.

    Sementara itu, Lim berkata peranan UMNO sangat penting dalam memastikan Anwar kekal sebagai perdana menteri.

    “Satu unsur penting yang menentukan ketahanan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah sama ada UMNO dapat memainkan peranan penting untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip-prinsip asas pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

    “Prestasi buruk UMNO dalam PRU-15 menjadi bukti bahawa kepercayaan yang pengundi Melayu akan kekal setia dengan BossKu (Najib Abdul Razak) walaupun selepas disabitkan dengan pelbagai pertuduhan berkaitan dengan 1MDB adalah satu kesilapan.

    “Sekiranya perkara ini betul, UMNO sepatutnya menyaksikan kebangkitan dan bukannya kekalahan besar dalam pilihan raya umum pada November tahun lepas,” katanya.

    Kata Lim, pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang dijadual selewat-lewanya Ogos ini merupakan ujian besar kepada ketahanan Anwar.

    “PRN menjadi ujian besar seterusnya kepada Anwar yang akan menentukan sama ada dia akan kekal menjadi perdana menteri untuk satu penggal selama lima tahunnya,” katanya, lapor Malaysiakini.